Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-90 dan Ke-91

Tafsir Surah al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-90 dan Ke-91

1432
0
Iklan

Tafsir Surah al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-90 dan Ke-91

Ayat ke-90 hingga ayat ke-123 menceritakan tentang sifat dengki luar biasa Yahudi terhadap keturunan lain. Mereka menolak wahyu hanya kerana Nabi terakhir dilantik daripada bangsa yang lain.

Mereka menganggap syurga hanya untuk bangsa mereka sahaja. Mereka juga mendakwa merekalah bangsa yang benar dan bangsa lain adalah sesat.

بِئسَمَا اشتَرَوا بِهِ أَنفُسَهُم أَن يَكفُروا بِما أَنزَلَ اللَّهُ بَغيًا أَن يُنَزِّلَ اللَّهُ مِن فَضلِهِ عَلىٰ مَن يَشاءُ مِن عِبادِهِ ۖ فَباءوا بِغَضَبٍ عَلىٰ غَضَبٍ ۚ وَلِلكافِرينَ عَذابٌ مُهينٌ

Sejahat-jahat perkara (yang mereka lakukan) ialah perbuatan mereka membeli kesenangan dirinya sendiri dengan mengingkari Al-Qur’an yang telah diturunkan oleh Allah, kerana dengki bahawa Allah menurunkan daripada limpah kurnia-Nya (wahyu) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya (iaitu Nabi Muhammad SAW). Dengan sebab itu sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan Allah bertalu-talu, dan orang-orang yang kafir itu akan beroleh azab sengsara yang menghinakan.

بِئْسَمَا اشْتَرَوْا

Buruk sungguh jual beli mereka

Apakah jual beli yang dimaksudkan ini?

بِهِ أَنْفُسَهُمْ

dengan diri-diri mereka sendiri;

Mereka tukar keampunan Allah ‎ﷻ dengan neraka. Mereka ada peluang untuk membaiki keadaan diri mereka, tetapi mereka tidak ambil. Mereka beli dunia dengan menjual rahmat daripada Allah ‌‎ﷻ sebab mereka merasa kalau mereka masuk neraka pun sekejap sahaja.

أَنْ يَكْفُرُوا

dengan mereka kufur;

Mereka ‘beli’ kufur, dan mereka nanti akan diazab dalam neraka. Berdoalah kita supaya berlindung dari mempunyai sifat sebegini.

بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ

dengan Al-Qur’an yang Allah turunkan;

Mereka lupa bahawa yang mereka kufurkan itu adalah Al-Qur’an iaitu wahyu Allah ‎ﷻ. Mereka tidak mahu belajar Al-Qur’an. Mereka beli kufur dengan menolak Al-Qur’an.

Macam orang kita juga yang tidak mahu belajar tafsir Al-Qur’an tetapi sangka akan dapat masuk syurga. Mereka biarkan Al-Qur’an berlapuk di rumah dengan tidak dibaca dan dipelajari maknanya. Atau mereka cuma jadikan hiasan dinding atau hanya dibaca sekali sekala (selalunya bila Ramadhan menjelma).

Kenapa orang-orang Yahudi buat begitu?

بَغْيًا

Kerana mereka dengki;

Kenapa mereka kufur? Kita kena tahu apakah maksud lafaz بَغْيًا itu. Ia bermaksud dengki dan hasad. Ia adalah perasaan tidak boleh tengok orang lain lebih daripada mereka. Lebih-lebih lagi kalau orang bawahan mereka yang menjadi besar. Mereka hendakkan mereka sahaja di kedudukan yang tinggi.

Orang Melayu pun banyak ada sifat ini. Mereka tidak mahu jatuh “standard”. Oleh itu, kita dapat tahu bahawa orang Yahudi itu dengki kerana Nabi akhir zaman bukan orang Yahudi. Mereka tidak puas hati sebab Nabi akhir zaman itu datang dalam kalangan bangsa Arab yang mereka selama ini pandang rendah dan menjadi kuli mereka sahaja.

Orang kita pula, dengki kerana ilmu tafsir ini tok guru mereka tidak ajar. Tok guru mereka hanya ajar kitab yang bukan Al-Qur’an. Jadi bila ada yang datang membawa ajaran tafsir Al-Qur’an, yang mereka cerita adalah kitab-kitab yang mereka sudah belajar daripada guru mereka. Macam-macam kitab karangan manusia mereka sudah belajar. Tetapi Al-Qur’an belum belajar lagi.

Jadi mereka belajar kitab karangan manusia itu sampai tidak mahu belajar tafsir Al-Qur’an. Mereka rasa sudah cukup dengan kitab-kitab itu. Dan ada guru yang tidak suka anak murid dia belajar tafsir Al-Qur’an. Seperti mereka menyekat sesiapa yang mahu belajar Al-Qur’an. Padahal kita hendak belajar tafsir Al-Qur’an kerana kita ingin tahu kehendak Allah ‎ﷻ dan untuk tahu kehendak Allah  ‎ﷻ kita kena tahu tafsir.

Malangnya, ada guru-guru yang ajar ajaran salah akan kata kalau belajar tafsir Al-Qur’an, akan menjadi sesat. Sampai hasilnya, anak-anak murid mereka tidak mahu belajar tafsir Al-Qur’an.

Antara cara mereka sekat adalah mereka kata bagaimana hendak belajar Al-Qur’an sedangkan mereka tidak tahu membaca Al-Qur’an? Dan tidak tahu bahasa Arab?

Sampaikan mereka menangguh belajar tafsir Al-Qur’an sehingga mereka tahu baca Al-Qur’an dan tahu bahasa Arab. Kalau begitu, sampai bila baru mereka boleh belajar tafsir? Sedangkan apabila belajar tafsir, akan timbul dalam hati keinginan untuk belajar baca Al-Qur’an dan untuk tahu bahasa Arab.

Lama-kelamaan kita akan tahu bahasa Arab sebab kita hendak tahu apakah makna setiap huruf-huruf itu. Yang penting, mulakan dengan mengetahui apakah kehendak Allah ‎ﷻ daripada Al-Qur’an itu.

أَنْ يُنَزِّلَ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ

Kerana Allah menurunkan daripada kurnia-Nya

Mereka tidak suka Allah ‎ﷻ turunkan wahyu kepada Nabi daripada bangsa Arab. Mereka mahukan Nabi dalam kalangan mereka juga. Sedangkan mereka sepatutnya tahu yang Nabi akhir zaman tidak semestinya akan datang daripada bangsa mereka.

Namun, oleh kerana dengki mereka tidak mahu puak lain menjadi Nabi. Jiwa mereka tidak boleh terima. Tetapi sebenarnya, kalau datang daripada bangsa mereka sendiri pun, mereka tidak ikut juga. Ini kerana sifat mereka yang amat degil.

عَلَىٰ مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ

ke atas sesiapa yang Dia kehendaki daripada hamba-hamba-Nya;

Daripada ramai-ramai makhluk yang dijadikan, Allah ‎ﷻ telah pilih Nabi Muhammad ﷺ untuk disampaikan wahyu Al-Qur’an. Allah ‎ﷻ tidak pilih orang Yahudi walaupun keturunan mereka banyak nabi-nabi dan rasul-rasul.

Macam kita juga, kalau orang lain yang mengajar tafsir Al-Qur’an yang bukan daripada puak kita, ada yang tidak mahu belajar tafsir. Dikatakan pula kepada yang mengajar tafsir itu bahawa ajaran mereka sesat sebab ajaran daripada tafsir Al-Qur’an lain daripada apa yang mereka telah belajar daripada kitab-kitab itu.

Padahal Al-Qur’an daripada Allah ‎ﷻ dan kitab itu karangan manusia sahaja. Kalau karangan manusia, tentu ada salah dan silapnya. Maka untuk tahu mana yang salah dan silap, kenalah tahu tafsir Al-Qur’an.

فَبَاءُوا بِغَضَبٍ عَلَىٰ غَضَبٍ

Maka mereka kembali kepada Allah dengan kemurkaan atas kemurkaan;

Oleh kerana kedegilan mereka itu, maka mereka kembali bertemu Allah ‎ﷻ dengan kemurkaan atas kemurkaan. Berganda kemurkaan ke atas mereka. Kemurkaan pertama kerana tidak mengikut kitab mereka dan kemurkaan kedua kerana tidak mengikut Al-Qur’an.

وَلِلْكَافِرِينَ

Dan bagi orang kafir seperti ini;

Iaitu mereka yang tidak mahu belajar tafsir Al-Qur’an dan hadith Nabi dengan memberi pelbagai alasan. Ini  kerana sama sahaja sifat mereka dengan sifat orang Yahudi itu.

عَذَابٌ مُهِينٌ

akan dapat azab yang menghinakan di akhirat kelak.

Mereka akan mendapat azab yang menghinakan. Maknanya ia bukan azab biasa.

Tafsir Ayat Ke-91

Ini adalah Ayat Syikayah atau ayat rungutan Allah ‎ﷻ.

Dalam ayat sebelum ini, telah disebutkan bagaimana orang Yahudi tidak mahu beriman kerana mereka ada sikap dengki di dalam diri mereka.

Tetapi sikap dengki itu sikap dalaman, maka kita tidak tahu mereka betul-betul dengki ataupun tidak. Maka Allah ‎ﷻ berikan dalil yang mereka memang ada perasaan dengki.

وَإِذا قيلَ لَهُم آمِنوا بِما أَنزَلَ اللَّهُ قالوا نُؤمِنُ بِما أُنزِلَ عَلَينا وَيَكفُرونَ بِما وَراءَهُ وَهُوَ الحَقُّ مُصَدِّقًا لِما مَعَهُم ۗ قُل فَلِمَ تَقتُلونَ أَنبِياءَ اللَّهِ مِن قَبلُ إِن كُنتُم مُؤمِنينَ

Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Berimanlah kamu kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepada Nabi Muhammad)”, mereka menjawab: “Kami hanya beriman kepada apa yang telah diturunkan kepada kami (Taurat)”. Dan mereka ingkarkan (Kitab) yang lain yang diturunkan kemudian daripadanya, padahal Al-Qur’an itu benar lagi mengesahkan Kitab Taurat yang ada pada mereka. Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika demikian mengapa kamu membunuh Nabi-nabi Allah pada masa yang lalu kalaulah kamu benar-benar orang-orang yang beriman?”.

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ آمِنُوا بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ

Apabila dikatakan kepada mereka: “Kamu berimanlah dengan wahyu yang Allah turunkan”;

Iaitu apabila mereka dinasihatkan supaya beriman dengan Al-Qur’an. Apa jawab mereka?

قَالُوا نُؤْمِنُ بِمَا أُنْزِلَ عَلَيْنَا

mereka jawab: “Kami hanya beriman dengan apa yang diturunkan kepada kami sahaja”.

Dalam ayat ini Allah ‎ﷻ hendak memberitahu kepada kita alasan batil mereka kenapa mereka tidak mahu menerima Al-Qur’an dan Nabi Muhammad ﷺ. Alasan mereka itu adalah alasan yang tidak boleh dipakai langsung.

Mereka tidak mahu terima Al-Qur’an yang diturunkan Allah ‎ﷻ kerana mereka kata ia tidak diturunkan kepada puak mereka. Kononnya mereka hendak beriman dengan apa yang diberikan kepada mereka sahaja.

Begitulah juga ada di antara masyarakat kita yang tidak mahu menerima dakwah kerana cara orang mengajar itu lain daripada cara yang mereka telah biasa. Ini kerana cara mengajar itu tidak kena dengan selera mereka, maka mereka tolak sahaja.

Bani Israil sangka mereka tidak boleh hendak terima kitab lain lagi. Ini kita dapat tahu dari penggunaan perkataan عَلَيْنَا – “ke atas kami”. Perkataan itu menunjukkan ada elemen ‘tanggungjawab’ yang telah dikenakan ke atas mereka di dalamnya. Mereka sangka hanya Taurat sahaja yang mereka boleh terima, kitab-kitab lain sudah tidak boleh lagi.

Ini kerana pendeta mereka ada yang ajar: memang Muhammad ﷺ itu Nabi, tetapi Nabi untuk bangsa Arab sahaja. Mereka tetap kena pakai Taurat juga.

وَيَكْفُرُونَ بِمَا وَرَاءَهُ

Dan mereka engkar dengan kitab yang setelahnya;

Iaitu mereka mereka tidak mahu terima kitab yang diturunkan selepas Taurat. Mereka kata mereka tetap kena pegang Taurat kerana mereka telah berjanji dahulu.

Tetapi sebenarnya mereka bukan beriman pun dengan Kitab Taurat itu. Lihatlah bagaimana Bani Israil tidak menerima Nabi Isa عليه السلام – padahal Nabi Isa عليه السلام itu adalah Nabi mereka juga. Itu semua adalah alasan mereka sahaja.

Dan mereka kata mereka beriman dengan Taurat, tetapi dalam ayat sebelum ini kita telah belajar bagaimana Kitab Taurat itu pun mereka telah ubah mengikut kehendak nafsu mereka. Zaman sekarang mereka memberi alasan kenapa mereka boleh ubah Kitab Taurat.

Mereka kata tidak salah mereka ubah Taurat sebab Allah ‎ﷻ telah memberikan intelektualiti kepada manusia, maka manusia boleh mengubah Kitab Allah ‎ﷻ mengikut keadaan semasa. Begitulah, mereka memang jenis manusia yang pandai memusing kata-kata.

وَهُوَ الْحَقُّ

Sedangkan Al-Qur’an itu benar;

Al-Qur’an itu benar daripada Allah ‎ﷻ. Kalau Taurat itu benar dan datang daripada Allah ‎ﷻ, begitu juga dengan Al-Qur’an. Tetapi mereka tetap juga berani hendak menolak Al-Qur’an yang datang daripada Allah ‎ﷻ.

مُصَدِّقًا لِمَا مَعَهُمْ

membenarkan apa yang ada dalam kalangan mereka;

Iaitu membenarkan Kitab Taurat, Injil dan Zabur yang mereka telah ada. Apakah yang telah dibenarkan oleh kitab-kitab itu?

Kitab-kitab itu telah menyebut tentang kedatangan Nabi akhir zaman. Dan kriteria manusia yang disebut dalam kitab-kitab itu menepati ciri-ciri Nabi Muhammad ﷺ. Mereka sahaja yang menutup mata hati mereka daripada menerima Nabi Muhammad ﷺ walaupun telah jelas kepada mereka bahawa Nabi Muhammad ﷺ itulah yang mereka tunggu-tunggu selama ini.

قُلْ فَلِمَ تَقْتُلُونَ أَنْبِيَاءَ اللَّهِ مِنْ قَبْلُ

Katakan kepada mereka: “Kenapa kamu bunuh nabi-nabi Allah sebelum ini,

Allah ‎ﷻ suruh Nabi sahaja yang cakap kepada mereka sebab Allah ‎ﷻ sudah murka kepada mereka, tidak mahu bercakap secara langsung dengan mereka lagi. Allah ‎ﷻ ajar bagaimana untuk bercakap dengan mereka.

Tanya mereka: kenapa mereka bunuh para Nabi mereka?

إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ

sekiranya kamu dulu betul-betul beriman dengan Allah?”

Contohnya, mereka telah bunuh Nabi Yahya عليه السلام, Zakaria عليه السلام dan lain-lain.

Allah ‎ﷻ suruh Nabi tanya: kalau betul kamu itu beriman dengan kitab yang telah diturunkan kepada kamu, kenapa kamu bunuh nabi-nabi dahulu? Adakah dibenarkan dalam kitab mereka untuk membunuh para Nabi? Hendak bunuh manusia biasa pun tidak boleh, apatah lagi membunuh seorang Nabi? Itu adalah dosa yang amat besar.

Allah ‎ﷻ akan buka lagi rahsia mereka dalam sambungan ayat seterusnya.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan