Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-88 dan Ke-89

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-88 dan Ke-89

760
0
Iklan

Tafsir Surah al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-88

Ini adalah jawapan mereka apabila mereka diajak untuk menerima Al-Qur’an.

وَقالوا قُلوبُنا غُلفٌ ۚ بَل لَعَنَهُمُ اللَّهُ بِكُفرِهِم فَقَليلًا ما يُؤمِنونَ

Dan mereka (kaum Yahudi) berkata pula: “Hati kami tertutup (tidak dapat menerima Islam)”. (Sebenarnya hati mereka tidak tertutup) bahkan Allah telah melaknatkan mereka disebabkan kekufuran mereka, oleh itu maka sedikit benar mereka yang beriman.

وَقَالُوا قُلُوبُنَا غُلْفٌ

Dan mereka berkata: Hati-hati kami sudah tertutup rapat;

Mereka beri alasan yang hati mereka tertutup daripada menerima ajaran daripada Nabi Muhammad ﷺ. Apabila dinasihatkan kepada mereka untuk beriman dengan Al-Qur’an, mereka kata hati mereka sudah penuh dengan ilmu sampai kononnya tidak boleh terima ilmu yang baru lagi.

Maknanya mereka kata mereka sudah pandai sangat, jadi mereka suruh ajar orang yang jahil sahaja kononnya. Ini adalah tafsir pertama.

Alasan begini pun orang kita pun mungkin akan berkata begitu juga. Iaitu mereka kata mereka sudah belajar agama lama dan mereka sudah pandai. Jadi, kalau hendak dakwah, maka dakwah sahaja kepada orang yang tidak belajar.

Atau makna kedua, ia bermaksud hati mereka amat kental, bukan mudah untuk masuk ajaran lain.

بَلْ لَعَنَهُمُ اللَّهُ

Bahkan Allah sebenarnya telah melaknat mereka;

Itu alasan mereka sahaja, sebenarnya Allah ‎ﷻ sudah laknat mereka. Makna ‘laknat’ adalah, Allah ‎ﷻ jauhkan mereka daripada rahmat-Nya. Maksudnya mereka tidak akan mendapat kesedaran kerana kekufuran mereka yang lama-lama terdahulu.

Ini kerana mereka banyak sangat menolak hidayah pada waktu dahulu, sampaikan Allah ‎ﷻ sudah tidak mahukan mereka lagi. Syukurlah Allah ‎ﷻ telah memberikan kita hidayah dengan menggerakkan hati kita untuk mula belajar tafsir Al-Qur’an ini.

بِكُفْرِهِمْ

dengan kesesatan mereka;

Allah ‎ﷻ laknat mereka kerana kekufuran mereka yang dahulu.

فَقَلِيلًا مَا يُؤْمِنُونَ

dan sedikit sangat di antara mereka itu yang beriman.

Sedikit sahaja yang beriman dalam kalangan mereka, atau sedikit sahaja ajaran yang mereka boleh terima. Ini adalah kerana kedegilan mereka.

Tafsir Ayat Ke-89

Ini adalah tentang Yahudi jenis kelima. Satu ayat ini sahaja ingin memberitahu kepada kita yang menolak kitab itu bukan sahaja Yahudi di zaman datuk nenek dahulu, tetapi Yahudi zaman Nabi Muhammad ﷺ juga. Sedangkan ajaran nabi-nabi mereka pun mereka tolak, apatah lagi bila Nabi Muhammad ﷺ membawakan ajaran Islam, lagilah mereka tolak dengan sewenang-wenangnya.

Tambahan pula Nabi Muhammad ﷺ bukan dalam kalangan Bangsa Yahudi. Ayat ini merujuk kepada Yahudi di zaman Nabi Muhammad ﷺ.

وَلَمّا جاءَهُم كِتابٌ مِن عِندِ اللَّهِ مُصَدِّقٌ لِما مَعَهُم وَكانوا مِن قَبلُ يَستَفتِحونَ عَلَى الَّذينَ كَفَروا فَلَمّا جاءَهُم ما عَرَفوا كَفَروا بِهِ ۚ فَلَعنَةُ اللَّهِ عَلَى الكافِرينَ

Dan ketika datang kepada mereka sebuah Kitab dari Allah (Al-Qur’an), yang mengesahkan apa yang ada pada mereka (Kitab Taurat), sedang mereka sebelum itu sentiasa memohon (kepada Allah) kemenangan atas kaum kafir musyrik (dengan kedatangan seorang Nabi pembawa Kitab itu). Setelah datang kepada mereka apa yang mereka sedia mengetahui kebenarannya (Nabi Muhammad dan Al-Qur’an), mereka mengingkarinya; maka (dengan yang demikian), laknat Allah menimpa orang-orang yang kafir ingkar itu.

وَلَمَّا جَاءَهُمْ كِتَابٌ

Dan apabila datang kepada mereka Kitab;

Yang dimaksudkan ‘kitab’ dalam ayat ini adalah Al-Qur’an kerana ada sifat Al-Qur’an ini yang akan disebut selepas ini: (yang membenarkan) مُصَدِّقٌ

مِنْ عِنْدِ اللَّهِ

daripada sisi Allah

Allah ‎ﷻ mengingatkan mereka bahawa Al-Qur’an itu daripada sisi Allah ‎ﷻ bukannya rekaan manusia. Kalau Taurat daripada Allah ‎ﷻ, begitu juga Al-Qur’an.

مُصَدِّقٌ لِمَا مَعَهُمْ

yang membenarkan apa yang ada di kalangan mereka;

Iaitu membenarkan ajaran dalam Kitab Taurat. Membenarkan isi kitab mereka dari segi tauhid. Kena terjemah seperti ini kerana bukan membenarkan dari segi amalan dan fiqah kerana syariat tidak sama. Tetapi ajaran tauhid sahaja yang sama.

وَكَانُوا مِنْ قَبْلُ يَسْتَفْتِحُونَ عَلَى الَّذِينَ كَفَرُوا

Sedang mereka sebelum itu meminta kemenangan ke atas kaum Musyrik;

Sebelum Nabi Muhammad ﷺ diangkat menjadi Nabi, orang-orang Yahudi Madinah memohon kepada Allah ‎ﷻ supaya dilantik seorang Rasul untuk memerangi kuffar Musyrikin Mekah. Mereka tahu yang Musyrikin Mekah itu salah kerana mengamalkan syirik dengan menyembah berhala. Padahal mereka tidak sedar yang mereka pun sesat juga.

Tetapi Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan yang mereka dahulu pernah minta dibangkitkan Rasul akhir zaman. Yahudi Madinah semasa berbalah dengan puak Arab, mereka berkata: “Tunggulah nanti Nabi akhir zaman akan datang!” Ini kerana Arab Mekah menyokong puak musyrik yang tidak mempunyai kitab iaitu mereka menyokong kerajaan Parsi yang beragama Majusi dalam hal politik.

Tanah jajahan Parsi adalah Yaman dan Mekah pula di bawah Yaman. Ini kerana kerajaan Parsi tidak mahu mentadbir Mekah secara langsung, maka mereka serahkan kepada Yaman sahaja untuk menguruskannya. Maka, setiap kali ada peperangan antara Yahudi dan Arab, puak Yahudi akan berkata, akan bangkit Nabi yang akan membaca kitab seperti mereka juga dan memberi kemenangan kepada mereka. Namun apabila Nabi akhir zaman itu (Nabi Muhammad ﷺ) datang, mereka tolak pula.

فَلَمَّا جَاءَهُمْ مَا عَرَفُوا

Maka tatkala datang kepada mereka seorang yang mereka kenal;

Iaitu Nabi Muhammad ﷺ yang mereka katakan sebelum itu benar-benar telah dibangkitkan. Mereka kenal sungguh Nabi Muhammad ﷺ itu kerana sifat Nabi sama dengan apa yang mereka baca dalam kitab mereka.

Cuma yang mereka tidak sangka adalah baginda daripada Bani Ismail, bukan dari Bani Israil. Mereka sangkakan yang Nabi itu akan meneruskan agama Yahudi tetapi sebaliknya pula. Mereka tidak sangka Nabi akhir zaman itu daripada bangsa Arab.

كَفَرُوا بِهِ

mereka kufur kepadanya;

Apabila benar Nabi akhir yang mereka katakan itu telah dibangkitkan, mereka tidak mahu terima kerana Nabi Muhammad ﷺ bukan datang daripada bangsa mereka. Mereka tolak baginda walaupun mereka sedar yang memang baginda itu seorang Nabi dan memang Nabi akhir zaman yang mereka tunggu-tunggu selama ini.

Maknanya, kadang-kadang manusia apabila kebenaran tidak datang daripadapuak mereka, maka mereka tolak. Contohnya, kalau ada yang hendak datang mengajar tafsir Al-Qur’an, tetapi orang itu bukan daripada guru yang mereka biasa belajar dengannya, maka mereka akan tolak. Ataupun, yang  mengajar itu lain dari apa yang dia faham selama hari ini, maka dia tolak juga.

فَلَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الْكَافِرِينَ

Maka laknat Allah ke atas orang-orang kafir;

Oleh kerana mereka terus tolak Nabi Muhammad ﷺ dan kebenaran yang disampaikan oleh baginda, maka mereka telah dilaknat oleh Allah ‎ﷻ. Maksud dilaknat itu bermakna mereka akan dibiarkan dalam kufur.

Keduanya, Allah ‎ﷻ tidak beri keampunan. Caranya adalah tidak ditimbulkan dalam hati mereka untuk meminta ampun. Pernah tidak kita berbuat dosa, tetapi kita tidak teringin untuk minta ampun? Rasa macam malas hendak meminta ampun.

Atau tidak teringat pun untuk meminta ampun atas dosa kita itu. Walaupun kita tahu yang kita telah buat itu adalah salah. Itu maknanya, Allah telah ‎ﷻ melaknat kita. Ini kerana, kalau kita minta ampun, in sha Allah Dia akan ampunkan dosa kita itu. Terpulang kepada Dia sama ada hendak ampunkan ataupun tidak. Tetapi kalau langsung tidak ada keinginan untuk meminta ampun, bagaimana?

Dorongan untuk meminta ampun itu pun sebenarnya datang daripada Dia juga. Jadi, kalau kita teringat akan dosa yang telah kita telah lakukan, sama ada tengah masak atau tengah bawa kereta, teruslah meminta ampun waktu itu juga. Ini kerana semasa itu Allah ‎ﷻ telah timbulkan dalam hati kita keinginan untuk meminta ampun kepada dosa itu.

Dan ketika itu pintu pengampunan sedang terbuka. Allah ‎ﷻ detikkan keinginan untuk meminta ampun kerana Dia memang hendak mengampunkan kita. Maka jangan kita tidak endahkan bisikan hati kita untuk meminta ampun pada waktu itu. Ambil peluang itu untuk benar-benar memohon ampun kepada Allah ‎ﷻ.

Selalunya orang yang berbuat dosa, mereka tidak teringat untuk meminta ampun. Apabila Allah ‎ﷻ tidak ampunkan dosa kita, kita tidak akan masuk syurga. Ingatlah bahawa kita masuk syurga bukan dengan pahala. Kita masuk syurga dengan rahmat Allah ‎ﷻ. Ini kerana berapa banyak pun ibadat yang kita buat, tidak mampu membalas segala kurnia Allah ‎ﷻ ke atas kita.

Allahu a’lam. 

Komen dan Soalan