Utama Uncategorized Tafsir Surah al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-86 dan Ke-87

Tafsir Surah al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-86 dan Ke-87

904
0
Iklan

Tafsir Surah al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-86 dan Ke-87

Tafsir Ayat Ke-86

Ini adalah penutup kepada kisah Yahudi jenis ketiga ini.

أُولٰئِكَ الَّذينَ اشتَرَوُا الحَياةَ الدُّنيا بِالآخِرَةِ ۖ فَلا يُخَفَّفُ عَنهُمُ العَذابُ وَلا هُم يُنصَرونَ

Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada hari kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan.

أُولَٰئِكَ الَّذِينَ

Mereka yang bersifat seperti itu;

Iaitu mereka yang tidak mengambil keseluruhan ajaran daripada kitab wahyu, sama ada Kitab Taurat atau Al-Qur’an. Ia adalah mereka yang memilih-milih manakah hukum yang mereka hendak pakai dan tinggalkan mana yang tidak suka.

اشْتَرَوُا الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالْآخِرَةِ

mereka membeli kehidupan dunia ini dengan menjual akhirat;

Maknanya, mereka beli neraka sebenarnya. Mereka hendakkan dunia sahaja dan tidak kisah dengan nasib mereka di akhirat. Mereka hendak menjaga kedudukan mereka sebagai ketua masyarakat Arab dan harta benda mereka yang ada pada masyarakat Arab.

Ini kerana masyarakat Arab itu adalah kuli mereka dan mempunyai kepentingan dalam urusan keduniaan mereka. Mereka sayangkan kedudukan dan kewangan mereka, sampaikan ada undang-undang dalam Taurat yang mereka sanggup tolak.

Ayat ini selalunya digunakan berkenaan orang kafir – mereka menjual akhirat untuk membeli dunia. Namun dalam ayat ini, ia adalah tentang mereka yang telah diberikan kitab, tetapi tidak mengikut ajaran dalam kitab itu. Maknanya, sama sahaja kita dengan mereka kalau tidak mengikuti keseluruhan kitab Al-Qur’an yang telah diberikan kepada kita.

فَلَا يُخَفَّفُ عَنْهُمُ الْعَذَابُ

Maka tidak diringankan sedikit pun azab daripada mereka;

Azab yang akan dikenakan kepada mereka tidak diringankan, walaupun satu hari, satu jam atau satu saat. Tidak akan dikurangkan kekuatan api yang membakar mereka nanti.

Nanti akan disebut dalam ayat-ayat lain ada ahli neraka yang cuba memohon supaya dikurangkan azab neraka, minta ditangguhkan, tetapi semua permintaan mereka tidak dilayan oleh Malaikat Penjaga Neraka nanti.

وَلَا هُمْ يُنْصَرُونَ

Dan mereka tidak akan diberi pertolongan;

Tidak diberi pertolongan daripada sesiapa pun. Adakah sesiapa yang berani hendak menolong mereka yang duduk dalam neraka? Tidak akan ada yang berani. Yang sudah memasuki syurga pula tidak akan ingat sesiapa pun yang pernah mereka kenal dahulu semasa di dunia. Sama ada emak atau ayah, adik atau abang, isteri atau suami – mereka tidak akan ingat lagi sebab kalau mereka teringat, mereka akan berasa sedih. Syurga bukanlah tempat untuk bersedih lagi. Oleh itu, tidak ada orang yang akan mendoakan untuk mereka nanti selepas mereka yang telah melakukan kejahatan itu memasuki neraka.

Maka, kita hanya boleh mengharapkan diri kita sahaja untuk melepaskan diri kita sebab kalau kita ada orang yang kita kenal memasuki syurga, mereka pun sudah tidak ingatkan kita lagi.

Tidak ada sesiapa yang akan menolong kita nanti. Apabila kita mengadap Allah ‎ﷻ di Hari Pengadilan, kita akan berseorangan. Kita akan menghadap Allah ‎ﷻ seorang diri. Tidak akan sesiapa yang akan bersama kita yang boleh menolong.

Tafsir Ayat Ke-87

Ini adalah tentang golongan Yahudi yang keempat. Bukan setakat mereka tolak kitab, tetapi Nabi mereka sendiri pun mereka boleh bunuh. Maknanya orang yang mengajar kitab itu sendiri mereka dustai dan ada yang mereka bunuh. Orang beriman yang mengikuti para Nabi pun mereka bunuh. Maknanya jenis ini adalah mereka yang lebih teruk.

وَلَقَد آتَينا موسَى الكِتابَ وَقَفَّينا مِن بَعدِهِ بِالرُّسُلِ ۖ وَآتَينا عيسَى ابنَ مَريَمَ البَيِّناتِ وَأَيَّدناهُ بِروحِ القُدُسِ ۗ أَفَكُلَّما جاءَكُم رَسولٌ بِما لا تَهوىٰ أَنفُسُكُمُ استَكبَرتُم فَفَريقًا كَذَّبتُم وَفَريقًا تَقتُلونَ

Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami iringi kemudian daripadanya dengan beberapa orang Rasul, dan Kami berikan kepada Nabi Isa Ibni Maryam beberapa mukjizat serta Kami teguhkan kebenarannya dengan Ruhul-Qudus (Jibril). Maka patutkah, tiap-tiap kali datang kepada kamu seorang Rasul membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu (dengan) sombong takbur (menolaknya), sehingga sebahagian daripada Rasul-rasul itu kamu dustakan, dan sebahagian yang lain pula kamu membunuhnya?

وَلَقَدْ آتَيْنَا مُوسَى الْكِتَابَ

Dan sesungguhnya Kami kurniakan kepada Musa kitab;

Nabi Musa عليه السلام telah dikurniakan dengan Kitab Taurat untuk mengajar agama kepada Bani Israil. Nabi-nabi selepas baginda juga menggunakan Kitab Taurat juga sebagai panduan agama. Ini adalah kerana Kitab Taurat adalah panduan syariat bagi Bani Israil.

وَقَفَّيْنَا مِنْ بَعْدِهِ بِالرُّسُلِ

dan Kami susuli selepas dia, rasul demi rasul;

Selepas Nabi Musa عليه السلام, telah disambung dengan Nabi-nabi yang lain. Lafaz perkataan قَفَّ bermaksud ‘bertali arus’ – seperti biji butir tasbih dan bersambung-sambung satu demi satu. Keturunan Bani Israil memang dikurniakan dengan banyak sekali Nabi dalam kalangan keturunan mereka.

وَآتَيْنَا عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ

Dan Kami berikan kepada Isa bin Maryam;

Salah seorang Nabi yang datang selepas Nabi Musa عليه السلام adalah Nabi Isa عليه السلام anak kepada Maryam. Hanya Nabi Isa عليه السلام sahaja yang berbinkan ibunya. Manusia yang lain semuanya akan dipanggil berbinkan nama ayah mereka. Tidak akan dipanggil manusia nanti dengan nama ibu mereka melainkan Nabi Isa عليه السلام sahaja.

Tetapi puak ajaran sesat yang mengamalkan sihir, apabila hendak menyihir, mereka mesti akan menggunakan nama emak kepada seseorang itu. Sebab itulah kita selalu dengar orang akan bertanya: apa nama emak?

Kalau ada orang yang seperti itu, maka beredarlah daripada bersamanya lagi. Lihatlah juga bagaimana pada waktu membacakan talqin, tekong yang membacakan talqin itu akan membacakan nama ibu si mati itu juga. Datang dari manakah ajaran itu? Kita pun tidak tahu. Ini adalah kerana hadith-hadith talqin semuanya tidak sahih.

Ayat ini dibacakan kepada Bani Israil pada zaman Nabi Muhammad ﷺ. Tetapi Allah ‎ﷻ sebut Nabi Isa عليه السلام, sedangkan baginda tidak diterima sebagai Nabi oleh mereka. Kenapa begitu? Allah ‎ﷻ sebutkan Nabi Isa عليه السلام dalam ayat ini sebagai teguran kepada mereka kerana mereka tidak menerima Nabi Isa عليه السلام sebagai Nabi mereka. Ini kerana Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan mereka bahawa Nabi Isa عليه السلام itu adalah Nabi mereka sebenarnya kerana baginda juga daripada keturunan Bani Israil. Mereka sahaja yang tidak  menerimanya.

الْبَيِّنَاتِ

dengan bukti-bukti kebenaran;

Baginda diberikan dengan Kitab Injil dan juga mukjizat atau tanda-tanda yang jelas. Antaranya baginda diberikan dengan mukjizat menyembuhkan penyakit, menghidupkan orang yang mati dan banyak lagi.

Apabila sampai kepada Nabi Isa عليه السلام, masih lagi pakai Kitab Taurat sebagai sumber syariat. Ini kerana Nabi Isa عليه السلام tetap daripada Bani Israil dan baginda tetap menegakkan syariat Kitab Taurat.

وَأَيَّدْنَاهُ بِرُوحِ الْقُدُسِ

dan Kami kuatkan baginda dengan Ruh Qudus;

Ruh Qudus (Roh yang disucikan) yang dimaksudkan adalah Malaikat Jibrail عليه السلام. Allah ‎ﷻ bantu Nabi Isa عليه السلام dengan Jibrail عليه السلام sebagai kekuatan semangat. Ini kerana baginda tidak ada ayah. Ini menandakan bahawa Nabi Isa عليه السلام itu lemah dari segi kedudukan baginda dalam masyarakat. Pengikut baginda pun tidak ramai.

Ini menunjukkan yang baginda bukanlah ‘Anak Tuhan’, kerana baginda masih memerlukan sokongan. Kalau baginda Anak Tuhan, tidaklah perlu pertolongan sampai begitu.

Jibrail عليه السلام sentiasa mendampingi Nabi Isa عليه السلام seperti yang disebut dalam hadith. Ini adalah keistimewaan yang diberikan kepada Nabi Isa عليه السلام sahaja. Kepada Nabi Muhammad ﷺ, Jibrail عليه السلام hanya datang semasa membawa wahyu dan pada waktu-waktu tertentu sahaja.

Nabi Muhammad ﷺ pernah mengajak Jibrail عليه السلام untuk datang berjumpa baginda walaupun tanpa membawa wahyu. Jibrail عليه السلام menjawab bahawa malaikat hanya menurut perintah Allah ‎ﷻ sahaja. Mereka hanya turun selepas diperintahkan oleh Allah ‎ﷻ. Tetapi, puak-puak silat boleh pula berkata Jibrail عليه السلام menjaga mereka kerana mereka selalu seru Jibrail عليه السلام.

Ingatlah bahawa hanya Nabi Isa عليه السلام sahaja yang Jibrail عليه السلام sentiasa dampingi. Dan Nabi Isa عليه السلام telah diangkat ke langit ketika baginda berumur 33 tahun. Nabi Isa عليه السلام tidak ada rumah kerana baginda sentiasa tabligh menyampaikan dakwah kepada umatnya. Dan baginda hanya berjaya mendapatkan 12 orang pengikut sahaja. Nabi Nuh عليه السلام berdakwah selama 950 tahun, cuma dapat 83 orang sahaja yang mengikutinya semasa dalam bahtera.

Dan nabi-nabi lain, ada yang langsung tidak ada pengikut. Ada yang anya seorang sahaja pengikut. Dalam Surah Yaasin, disebutkan kisah tiga orang Nabi yang diutus kepada satu bandar dan tiga orang itu hanya dapat seorang pengikut sahaja yang bernama Habib bin Najar.

Jadi kalau kita berdakwah tetapi tidak mendapat pengikut, maka janganlah rasa terkilan. Sedangkan ada Nabi yang tidak ada pengikut. Adakah mereka tidak benar kalau tidak ada pengikut?

أَفَكُلَّمَا جَاءَكُمْ رَسُولٌ

Apakah setiap kali rasul-rasul datang kepada kamu;

Allah ‎ﷻ ajar Nabi Muhammad ﷺ untuk bertanya kepada mereka untuk berdakwah kepada mereka dan untuk membongkar keburukan mereka dahulu.

بِمَا لَا تَهْوَىٰ أَنْفُسُكُمُ

yang membawa ajaran yang tidak mengikut nafsu kamu;

Ajaran yang benar selalunya akan berlawanan dengan kehendak nafsu, iaitu nafsu mereka yang hendak membuat tawwasul, membuat syirik dan buat itu dan ini yang tidak mengikut ajaran agama. Rasul-rasul itu datang melawan kehendak mereka. Maka apakah mereka buat?

اسْتَكْبَرْتُمْ

Kamu semua sombong;

Maksud ‘sombong’ adalah tidak mahu mengikut jalan yang benar. Sombong adalah satu penyakit yang akan menyebabkan tidak boleh menerima dakwah agama. Kalau kita sombong, maka kita tidak akan dapat menerima ajaran agama.

Apabila ada Nabi yang datang kepada Bani Israil, mereka sombong tidak mahu ikut. Mereka rasa mereka lagi baik daripada nabi-nabi mereka itu.

فَفَرِيقًا كَذَّبْتُمْ

Sebahagian daripada rasul itu kamu dustakan mereka;

Kenapa Allah ‎ﷻ kata mereka dustakan nabi-nabi mereka, padahal mereka kata mereka terima nabi Musa عليه السلام dan nabi-nabi yang lain? Ini kerana walaupun mereka kata mereka terima, tetapi mereka tidak mengikut cakap nabi-nabi mereka.

Mereka persoal kata-kata Nabi-nabi mereka sendiri. Mereka kata yang Nabi mereka bawa itu adalah dusta sahaja, sedangkan apa yang mereka bawa itu adalah wahyu.

وَفَرِيقًا تَقْتُلُونَ

dan setengah dari rasul-rasul itu, kamu bunuh;

Mereka rasa lebih baik nabi-nabi itu dibunuh kerana mereka kata nabi-nabi itu menipu. Dan walaupun selepas mereka kata yang Nabi itu penipu, masih ada lagi yang mengikuti ajaran Nabi itu, maka mereka mengambil keputusan baik dibunuh sahaja Nabi itu.

Itu sudah sampai tahap yang paling buruk. Sudahlah mereka tidak mahu mengikut ajaran Kitab, kemudian mereka tuduh pula yang Nabi-Nabi yang membawa ajaran Kitab itu menipu, akhirnya mereka sanggup bunuh Nabi-Nabi itu.

Perkataan تَقْتُلُونَ yang Allah ‎ﷻ gunakan dalam ayat ini adalah dalam bentuk “present tense”. Maknanya, perbuatan membunuh itu masih lagi akan berlaku. Oleh kerana itu, kita pun boleh perasan bagaimana perangai ini pun masih ada dalam masyarakat Islam juga. Kita tidaklah bunuh Nabi kerana Nabi sudah tidak ada, namun berapa banyak ulama’-ulama’ dalam kalangan kita yang telah dibunuh oleh kerajaan yang tidak dapat menerima mereka?

Maknanya orang Islam pun ada juga mengikut perbuatan buruk Bani Israil. Kita juga tahu bahawa nabi-nabi dalam kalangan Bani Israil telah pernah ditangkap, diseksa dan dibuat macam-macam, bukan?

Begitu juga dengan ulama’-ulama’ kita. Berapa banyak ulama’ seperti Imam Abu Hanifah, Imam Bukhari, Ibnu Taimiyyah رحمه الله dan banyak lagi telah dilayan dengan buruk oleh ketua negara mereka? Bagaimana pula dengan ulama’-ulama’ zaman moden ini? Tidakkah banyak kisah kita dengar mereka juga telah diperlakukan sebegitu? Kadangkala kerana tidak ada tauliah sahaja sudah ditangkap dan dipenjarakan.

Allahu a’lam. 

 

Komen dan Soalan