Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-77 hingga Ke-79

Tafsir Surah al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-77 hingga Ke-79

987
0
Iklan

Tafsir Surah al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-77 hingga Ke-79

Tafsir Ayat Ke-77

Ayat ini adalah sambungan kepada ayat sebelum ini.

أَوَلا يَعلَمونَ أَنَّ اللَّهَ يَعلَمُ ما يُسِرّونَ وَما يُعلِنونَ

(Mereka berani berkata demikian) dan tidakkah mereka ketahui bahawasanya Allah ‎ﷻ  mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka lahirkan?

أَوَلَا يَعْلَمُونَ

Tidakkah mereka mengetahui

Ayat ini menunjukkan kebodohan ulama’ Yahudi. Ada jumlah yang kena taqdir (tambah) di sini: patutkah ulama’-ulama’ Yahudi itu memberi arahan sedemikian kepada orang bawahan mereka? Apakah arahan yang dimaksudkan? Iaitu arahan melarang pengikut mereka membocorkan rahsia kebenaran Islam.

أَنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا يُسِرُّونَ

Sesungguhnya Allah ‎ﷻ  tahu apa yang mereka rahsiakan

Lihatlah betapa bodohnya mereka – mereka suruh orang bawahan mereka untuk sorokkan maklumat yang benar kepada sahabat yang beriman. Tidak kah mereka tahu yang Allah ‎ﷻ tahu apa yang mereka lakukan?

Sebenarnya mereka tahu, tetapi lama-lama mereka mengharap Allah ‎ﷻ tidak tahu apa yang mereka telah buat. Allah ‎ﷻ tegaskan dalam ayat ini yang Dia tahu walaupun apa yang mereka cakap dalam hati mereka.

وَمَا يُعْلِنُونَ

dan apa yang mereka nyatakan;

Patutkah mereka buat begitu sedangkan Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui? Dalam ayat sebelum ini, mereka berkata-kata sesama mereka dalam perjumpaan rahsia mereka. Allah ‎ﷻ tahu sama ada apa yang mereka zahirkan dengan mulut mereka itu datang daripada hati mereka atau tidak.

Mereka tahu Allah ‎ﷻ tahu, tetapi mereka buat juga. Mereka jadi begitu kerana sifat غَافِلٍ (lalai) mereka yang telah disebutkan sebelum ini. Mereka tahu dengan akal, tetapi tidak dengan hati mereka. Mereka ini macam baghal yang bawa kitab yang banyak atas belakangnya, tetapi tidak faham sikit pun apa yang diceritakan dalam kitab itu.

Golongan agama zaman sekarang pun ada yang sebegitu juga iaitu ulama’ yang mendapat upah. Mereka rahsiakan apa yang ada dalam Al-Qur’an. Jangan sangka ayat-ayat dalam Surah Baqarah ini tentang orang Yahudi sahaja. Allah ‎ﷻ kisahkan tentang perbuatan mereka supaya kita tidak jadi macam mereka.

Ada orang Islam yang takut hendak ceritakan tentang semua ayat-ayat dalam Al-Qur’an. Mereka simpan ayat-ayat yang mereka rasa ‘kontroversi’. Mereka takut orang ramai akan pandang serong kepada mereka. Padahal itu hanya perasaan mereka sahaja. Tidak ada ayat yang sepatutnya disembunyikan.

Seluruh ayat Al-Qur’an yang Allah ‎ﷻ turunkan adalah untuk kebaikan semua manusia di dunia – bukan hanya kepada orang Islam sahaja. Tugas kita adalah untuk menyampaikan kepada semua orang – tidak kira Muslim atau kafir. Jangan jadi takut dengan apa yang ada dalam Islam. Islam adalah agama yang benar.

Yang jadi takut hendak sampaikan itu adalah kerana tidak belajar sahaja dan tidak yakin dengan agama Islam. Mereka tidak belajar sampaikan mereka tidak faham tentang keindahan Al-Qur’an dan Islam dan akhirnya mereka sendiri sangsi dengan agama mereka sendiri sampaikan mereka tidak yakin untuk sampaikan kepada manusia.

Sebenarnya, banyak orang bukan Islam yang hendak tahu tentang Islam. Jadi kita kena pandai jawab. Kalau tidak, mereka tidak akan faham dan mereka akan jadi salah faham tentang Islam. Memang ada orang yang ada perasaan jahat dalam hati mereka, dan mereka tanya bukan hendak tahu tetapi hendak mencari salah.

Namun, walau pun begitu, kita masih juga kena jawab kerana kita tidak boleh simpan kebenaran. Berusahalah belajar supaya kita faham dan kita dapat menyebarkan Islam dengan benar, dengan yakin dan tidak sangsi dengan agama sendiri.

Tafsir Ayat Ke-78

Ini pula tentang orang awam Yahudi yang kebanyakannya jahil dengan agama mereka sendiri.

وَمِنهُم أُمِّيّونَ لا يَعلَمونَ الكِتابَ إِلّا أَمانِيَّ وَإِن هُم إِلّا يَظُنّونَ

Dan di antara mereka pula ada orang-orang yang ‘buta huruf’, mereka tidak mengetahui akan isi Kitab Taurat selain dari penerangan-penerangan bohong (daripada ketua-ketua mereka), dan mereka hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan sahaja.

وَمِنْهُمْ أُمِّيُّونَ

Dan diantara mereka itu adalah mereka yang buta huruf;

Ummiy itu asalnya adalah daripada makna ‘ibu’. Apabila dikatakan seseorang itu ‘ummiy‘, ia bermaksud orang itu tidak tahu apa-apa, sama seperti dia baru keluar dari perut ibunya. Oleh itu, ia juga digunakan untuk mengatakan seseorang itu buta huruf tidak tahu membaca sebab apabila kita keluar dari perut ibu kita, kita pun tidak tahu membaca.

Maksudnya mereka yang tidak tahu apa-apa tentang isi kandungan Kitab Taurat mereka. Mereka itu adalah orang-orang dari kalangan puak Yahudi. Mereka itu buta huruf dan tidak belajar Kitab Taurat.

‘Ummiyyun’ juga digunakan kepada sahabat Nabi tetapi para sahabat cuma tidak tahu menulis dan membaca sahaja, tetapi mereka belajar agama dan faham Al-Qur’an. Puak Yahudi yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah jenis yang tidak belajar kitab. Tidak tahu isi kitab Taurat mereka sendiri.

لَا يَعْلَمُونَ الْكِتَابَ

mereka tidak mengetahui tentang kitab;

Mereka tidak tahu tafsir kitab Taurat dan kebanyakan orang Islam pun begitu juga, tidak tahu tafsir Al-Qur’an. Majoriti masyarakat Islam hari ini tidak mengerti apa yang hendak disampaikan oleh Al-Qur’an. Mereka sangka mereka sudah Islam sebab mereka solat, puasa, pakai tudung kepala dan sebagainya tetapi sebenarnya mereka tidak faham agama pun.

إِلَّا أَمَانِيَّ

melainkan cerita-cerita dongeng yang tiada bukti;

Melainkan mereka hanya tahu khayalan-khayalan tahyul yang disampaikan oleh ulama’ mereka sahaja kerana mereka bodoh dan tidak belajar, senang sahaja mereka kena tipu oleh ulama’ mereka.

Sama juga macam orang kita yang jahil wahyu. Ramai daripada masyarakat kita yang ikut tarekat sebab hendak cepat naik maqam dalam agama. Mereka ada guru-guru mereka tetapi yang mereka tidak tahu adalah, apa yang disampaikan oleh guru mereka itu adalah ilmu khayalan sahaja. Tahyul sahaja apa yang disampaikan oleh guru mereka itu.

Dalam Al-Qur’an ia dipanggil ‘angan-angan kosong hendak dapat syurga’. Belajar agama dan tafsir Al-Qur’an tidak mahu, tetapi berangan hendak masuk syurga. Mereka sangka mereka boleh dapat kedudukan tinggi dalam syurga hanya berbekalkan zikir-zikir wirid karut mereka itu.

Ibn Abbas menafsirkan ayat ini dengan mengatakan maksudnya: Bani Israil itu hanya membaca dan menghafal sahaja kitab Taurat itu tanpa memahaminya. Mereka memang baca terutama dalam majlis-majlis keramaian mereka.

Ini samalah dengan masyarakat Islam kita hari ini. Ada yang hari-hari boleh baca Al-Qur’an tetapi mereka tidak faham ajaran di dalamnya. Ada yang belajar bertahun-tahun hafal Al-Qur’an, tetapi tak tahu apakah makna Al-Qur’an yang hendak Allah ‎ﷻ  sampaikan. Mereka itu tidak ubah macam burung Kakak Tua, hanya tahu cakap sahaja, tetapi tidak tahu apa yang dicakapkan.

Jadi, kalau kita pun begitu juga, kita sudah jadi macam orang Yahudi yang jahil itu. Maknanya, sejarah berulang. Kalau orang yang ada agama dahulu begitu, orang Islam kita pun begitu juga. Al-Qur’an hanya menjadi bacaan sahaja, dibaca di keraian, di majlis-majlis tertentu. Kalau pun selalu dibaca di rumah, tetapi tidak difahami oleh mereka yang membacanya.

وَإِنْ هُمْ

Dan sesungguhnya mereka;

Iaitu orang-orang Yahudi yang buta huruf dan jahil itu tadi, tidak kira sama ada dia orang Islam atau tidak.

إِلَّا يَظُنُّونَ

tidak lain dan tidak bukan, mereka hanya agak-agak sahaja;

Mereka yang jahil tidak belajar tafsir (Taurat atau Al-Qur’an) itu hanya boleh baca terjemahan sahaja dan kemudian mereka agak-agak maksudnya. Ini amat bahaya.

Kita tidak boleh agak-agak apakah yang Allah ‎ﷻ suka dan tidak suka kita lakukan. Kita hendaklah melihat apakah dalil dan nas yang ada dalam sumber-sumber agama kita – nas itu adalah Al-Qur’an dan Sunnah. Namun, yang menyedihkan banyak dalam kalangan orang Islam kita tiada membawakan bukti apabila mereka mengatakan sesuatu tentang agama.

Hujah-hujah mereka kebanyakannya adalah selain daripada wahyu.  Jika mereka menyampaikan hujah daripada Al-Qur’an dan Hadith, ia amat berlainan daripada pemahaman yang sebenar. Ini kerana mereka tidak belajar faham Al-Qur’an dan Hadith seperti yang difahami oleh para sahabat dan golongan salaf.

Sama sahaja apa yang dikatakan tentang puak Yahudi dalam ayat ini dengan umat Islam zaman sekarang. Mereka agak-agak sahaja tentang hal agama. Contohnya, mereka akan kata: “takkan Allah ‎ﷻ tak beri pahala kalau kita buat ibadat ini kalau kita ikhlas, walaupun Nabi tak pernah buat pun?” Ini adalah kerana mereka tidak tahu agama dengan jelas. Mereka jahil tentang agama, oleh kerana itu mereka agak-agak sahaja.

Yang jadi masalahnya adalah mereka sangka mereka tahu. Padahal mereka tidak tahu agama. Masalah yang paling besar adalah apabila orang bodoh tidak tahu yang mereka bodoh. Ini dipanggil ‘jahil murakkab’. Kalau mereka tahu mereka bodoh, kita boleh ajar mereka lagi dan mereka akan terima kerana mereka tahu mereka tidak tahu.

Namun, mereka sangka mereka sudah tahu, bila kita hendak ajar, mereka tidak mahu terima. Inilah yang dipanggil Jahil Murakkab – orang yang bodoh tetapi tidak tahu mereka bodoh!

Tafisr Ayat Ke-79

Ayat ini adalah berkenaan dengan Pendeta Yahudi yang mempersendakan ugamanya sendiri.

فَوَيلٌ لِلَّذينَ يَكتُبونَ الكِتابَ بِأَيديهِم ثُمَّ يَقولونَ هٰذا مِن عِندِ اللَّهِ لِيَشتَروا بِهِ ثَمَنًا قَليلًا ۖ فَوَيلٌ لَهُم مِمّا كَتَبَت أَيديهِم وَوَيلٌ لَهُم مِمّا يَكسِبونَ

Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah ‎ﷻ  dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: “Ini ialah dari sisi Allah ‎ﷻ ”, supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu.

فَوَيْلٌ لِلَّذِينَ

Dan celaka besarlah bagi orang-orang;

Iaitu pendeta-pendeta Yahudi itu dan mereka yang sifat seperti mereka.

يَكْتُبُونَ الْكِتَابَ بِأَيْدِيهِمْ

yang menulis kitab dengan tangan mereka sendiri;

Mereka menulis tafsir Kitab Taurat atau mereka menulis kitab-kitab agama. Orang agama kita pun ada yang buat macam ini. Menulis tentang cerita-cerita daripada ayat-ayat Al-Qur’an atau kitab-kitab tentang agama iaitu mereka menulis maklumat yang salah daripada akidah dan kefahaman Islam.

Ulama’ Yahudi telah menukar kitab mereka. Memang mereka tukar betul daripada teks yang ada. Mereka boleh buat kerana Taurat bukan macam Al-Qur’an. Tidak ada jaminan yang Taurat tidak boleh ditukar.  Orang awam mereka memang tidak dapat melihat keseluruhan Kitab Taurat kerana ia disimpan oleh pendeta mereka.

Pendeta mereka hanya akan tunjukkan sebahagian sahaja. Ini supaya senang mereka hendak dakwa: ya ini memang ada dalam Taurat dan kerana orang awam mereka tidak dapat tengok kitab Taurat yang asli, mereka senang ditipu.

Allah ‎ﷻ telah jamin Al-Qur’an tidak boleh ditukar tetapi walaupun kita tidak tukar perkataan yang dalam Al-Qur’an, tetapi ada orang yang menukar maksud hukum-hukum dalam Al-Qur’an. Mereka telah terjemah hukum-hukum dalam Al-Qur’an ikut agenda mereka.

Mereka ubah hukum yang Allah ‎ﷻ telah jelaskan dalam Al-Qur’an dengan hukum yang lain. Sebab mereka kata hukum dalam Al-Qur’an itu ketat sangat.

ثُمَّ يَقُولُونَ هَٰذَا مِنْ عِنْدِ اللَّهِ

Kemudian mereka berkata, “Ini adalah dari Allah ‎ﷻ ”;

Mereka kata bahawa apa yang mereka buat itu adalah daripada Allah ‎ﷻ atau mereka kata itu adalah sebahagian daripada agama, padahal ia tidak berpandukan nas yang sahih.

Sebagai contoh, ada kitab yang mengajar amalan-amalan wirid. Macam-macam jenis wirid yang mereka reka dan mereka kata ia daripada Allah ‎ﷻ  atau mereka kata ia adalah baik. Mereka kata kalau amalkan begitu begini akan dapat pahala begitu begini. Mereka tidak membawa dalil pun sebagai hujah mereka.

Banyak buku-buku amalan itu boleh didapati dengan mudah di kedai-kedai yang bersepah. Sesiapa sahaja boleh beli dan mereka memang sangka ia adalah amalan yang baik. Padahal, ia adalah amalan yang salah. Ada daripada amalan-amalan itu yang mensyirikkan Allah ‎ﷻ.

Mereka yang buat buku-buku itu adalah kerana hendak mendapatkan duit. Padahal sebenarnya kalau mereka menceritakan tentang amalan-amalan ibadat, mereka kena bawa dalil hadith, sumber dari mana datangnya amalan itu. Kena beritahu juga nama kitab hadith yang mana dia ambil supaya senang kita hendak periksa benar atau tidak sebab ada sekarang yang senang-senang sahaja kata ian daripada kitab Bukhari dan sebagainya, tetapi bila diperiksa, tidak ada pun.

Jika hendak ambil daripada kitab, kena ambil daripada kitab yang muktabar tetapi yang mereka bawa sumber adalah daripada kitab yang bukan daripada kitab yang muktabar yang tidak boleh dipertanggungjawabkan. Ketahuilah bukan semua kitab karangan manusia boleh dipercayai. Memang kita kena berhati-hati dalam perkara ini.

Hadith-hadith yang di dalam kitab-kitab hadith tidaklah sama antara mereka. Ada yang sahih dan ada yang tidak. Mana-mana hadith yang sahih telah dimasukkan ke dalam dua Kitab Hadith yang utama (Bukhari dan Muslim). Selain daripada itu, kena diperiksa sama ada hadith itu adalah betul ataupun tidak.

Banyak sekali hadith yang dhaif dan palsu. Antara hadith yang palsu adalah hadith tentang ‘Nur Muhammad’. Fahaman ini banyak dalama kalangan masyarakat kita, terutama golongan tarekat, iaitu mereka percaya bahawa segala kejadian alam ini adalah daripada Nur Muhammad. Sumber mereka adalah hadith palsu tetapi mereka tidak tahu kerana mereka tidak belajar hadith.

Inilah juga yang dimaksudkan dalam ayat Al-Qur’an ini, iaitu mereka memalsukan hadith dan mengatakan ia adalah daripada Allah ‎ﷻ .

Maka, berhati-hatilah dengan amalan-amalan yang tidak diambil daripada amalan yang sahih daripada Nabi Muhammad. Ada amalan yang mengandungi elemen syirik. Sia-sia sahaja kita amalkan. Bukan memberi pahala kepada kita, tetapi memasukkan kita ke dalam neraka pula. Contohnya, amalan Selawat Syifa’. Amalan itu bukan daripada Nabi dan daripada lafaz Selawat Syifa’ itu, meletakkan kuasa menyembuh kepada Nabi dan ini tentunya syirik dengan jelas.

Padahal cara selawat telah diajar dalam kitab-kitab hadith. Bukan itu sahaja, sebenarnya dalam selawat-selawat yang diajar Nabi itu, tidak ada perkataan ‘Sayyidina’ sebelum nama Nabi Muhammad. Tidak pernah ada dalam kitab-kitab hadith yang muktabar yang menggunakan lafaz ‘sayyidina’ sedemikian.

Perkataan ‘Sayyidina’ itu maknanya adalah ‘penghulu’. Panggilan itu tidak sesuai digunakan kepada Nabi Muhammad. Bayangkan kalau sultan melawat rumah kita, kita panggil dia dengan gelaran ‘penghulu’. Itu pun sudah tidak sesuai tetapi kita meletakkan gelaran yang tidak sesuai itu kepada Nabi kita sendiri. Padahal gelaran yang diberi Allah ‎ﷻ di dalam Al-Qur’an kepada Nabi adalah ‘Nabi’ dan ‘Rasul’ sahaja.

Kenapa mereka menulis kitab yang tidak benar dan mengatakan pula ia adalah daripada Allah ‎ﷻ ?

لِيَشْتَرُوا بِهِ ثَمَنًا قَلِيلًا

Supaya mereka dapat tukar yang mereka tulis itu dengan upah yang sedikit;

Mereka jual benda yang salah itu untuk mendapat upah dan habuan keduniaan juga mereka mahukan pengaruh dan jadi tersohor.  Ini adalah mudah kerana pengikut-pengikut yang jahil memang hendakkan perkara yang mudah sahaja.

Pendeta Yahudi dulu memang tukar Taurat untuk ubah fatwa agama mereka supaya mereka mendapat bayaran. Kalau ada yang datang kepada mereka dengan meminta hukum, mereka akan beri hukum ikut kehendak orang yang bertanya dan kemudian mereka diberi upah.

فَوَيْلٌ لَهُمْ مِمَّا كَتَبَتْ أَيْدِيهِمْ

Maka celaka besarlah bagi mereka daripada apa yang mereka tulis dengan tangan-tangan mereka;

Ini adalah celaka yang kedua.

وَوَيْلٌ لَهُمْ مِمَّا يَكْسِبُونَ

Dan celakalah bagi mereka daripada hasil yang mereka dapat;

Iaitu mereka menggunakan apa yang mereka tulis itu untuk dapat upah dan kemudian mereka mengajar pula untuk mendapat rezeki dan rezeki yang mereka dapat itu adalah haram. Ia lebih haram lagi daripada riba. Dalam Al-Qur’an, ia dipanggil ‘suhtun’.

Ada yang tidak berani hendak cakap perkara yang benar semasa mengajar sebab takut nanti mereka tidak dipanggil mengajar lagi di masjid itu. Maka, mereka sembunyikan kebenaran. Mereka juga tidak berani tegur kesalahan yang dilakukan oleh pelajar mereka. Ini adalah kerana mereka takut periuk nasi mereka terganggu. Ini juga adalah salah.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan