F. Waktu-waktu dilarang mengerjakan salat
Waktu-waktu yang dilarang salat adalah:
1. Setelah salat subuh hingga matahari terbit;
2. Ketika matahari sedang terbit hingga setinggi tombak (iaitu bersamaan 16 minit selepas matahari mula terbit);
3. Ketika tengahari iaitu matahari tegak di atas kepala;
4. Ketika matahari akan terbenam (dari waktu langit kekuning-kuningan);
5. Setelah salat ‘Asar hingga matahari terbenam.
📍Pengecualian:
1. Di Tanah Haram Mekah. Tiada waktu haram;
2. Hari Jumaat. Tidak haram pada waktu tengahari tersebut.
✍🏻Hadith yang berkenaan perkara ini ialah:
ثلاث ساعات كان رسول الله صلى الله عليه و سلم ينهانا أن نصلي فيهن أو أن نقبر فيهن موتانا حين تطلع الشمس بازغة حتى ترتفع وحين يقوم قائم الظهيرة حتى تميل الشمس وحين تضيف الشمس للغروب حتى تغرب
“Tiga waktu Nabi ﷺ melarang kami sembahyang dan mengebumikan mayat padanya;
i) Ketika terbit matahari, sehingga naik tinggi;
ii) Ketika matahari berada di kemuncak pertengahan, sehingga tergelincir;
iii) Ketika matahari mula terbenam, sehinggalah ia terbenam.”
(HR Muslim No. 831)
✍🏻Selain itu ada disebutkan dalam hadith:
عن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم نهى عن صلاة بعد العصر حتى تغرب الشمس ، وبعد الصبح حتى تطلع الشمس
Daripada Abi Hurairah رضي الله عنه:
“Sesungguhnya Rasulullah ﷺ melarang daripada mengerjakan salat selepas ‘Asar sehingga terbenam matahari dan salat selepas Subuh sehingga terbit matahari.”
(Sahih Muslim No. 1366, Sahih Bukhari No. 553, Imam Abu Dawud, Imam Tirmizi, Imam Nasaie dan Imam Ahmad.)
Dibenarkan melaksanakan apa-apa sahaja jenis salat di tanah suci Mekah tanpa mengira sebarang waktu sekalipun pada waktu yang terlarang.
✍🏻Pendapat ini adalah yang sahih dalam mazhab Syafi‘iy dan disokong dengan hadith Rasulullah ﷺ, sabda Baginda ﷺ:
“Wahai Bani Abdi Manaf, jangan kamu melarang seseorang Tawaf di rumah ini (Baitullah) dan salat pada bila-bila waktu yang dia sukai, malam atau siang.”
(Sunan At-Tirmidzi No. 795)
Syarah:
Ini adalah kerana, kelebihan yang ada pada Kota Mekah yang tiada pada tempat-tempat lain.
✍🏻Tentang pengecualian pada Hari Jumaat dijelaskan dalam sebuah hadith daripada Abu Qatadah daripada Nabi ﷺ, katanya:
“Bahawasanya Baginda ﷺ membenci salat pada tengahari (rembang) kecuali pada hari Jumaat.” dan Baginda ﷺ bersabda: “Sesunguhnya neraka Jahanam dimarakkan (pada ketika itu) melainkan pada hari Jumaat.”
(Sunan Abu Daud No. 915)
Syarah:
Sanad hadith ini dhaif. Namun amalan sahabat sabit juga melakukan salat sunat sebelum Jumaat. Pendapat ini juga dipilih oleh jumhur ulama’.
Berkata Imam Malik, aku tidak melarang sesiapa yang salat. Pada masa yang sama, aku juga tidak suka amalan itu sebab ada hadith larangan Nabi ﷺ.
Pandangan yang dipilih oleh Ibn Hajar pula ialah, ia boleh diamalkan kerana sabit hadith ini diperkuatkan oleh hadith-hadith yang sama makna dengan jalan yang lain.
Terdapat riwayat menyebut sahabat terus menerus salat sunat sementara menunggu Nabi ﷺ ke mimbar.
Walau bagaimanapun, hadith ini dhaif juga. Maka seeloknya tidak diamalkan kerana sabit jelas larangan Nabi ﷺ dalam hadith riwayat Muslim tanpa menyebut hari Jumaat, waAllahu a’lam.
Kenapakah terdapat larangan pada waktu-waktu yang tersebut di atas?
✍🏻Berhubung dengan persoalan sebab-sebab larangan tersebut, telah dijelaskan oleh ‘Amr bin ‘Abasah bahawa dia pernah berkata kepada Rasulullah ﷺ:
“Beritahulah kepadaku mengenai salat?”
Lalu baginda ﷺ menjawab:
“Kerjakanlah salat Subuh, kemudian berhentilah daripada salat sehingga matahari terbit sehingga ia naik. Sesungguhnya pada ketika matahari terbit, matahari itu terbit di antara dua tanduk syaitan dan pada ketika itu orang-orang kafir sujud kepadanya. Kerjakanlah salat kerana sesungguhnya salat itu disaksikan dan dihadiri (Malaikat) sampai bayang-bayang tombak semakin pendek.
Kemudian berhenti daripada salat pada ketika itu (sewaktu matahari tegak di atas kepala) kerana Neraka Jahanam sedang dipanaskan. Jika bayangan sudah nampak kembali, dirikanlah salat kerana sesungguhnya salat itu disaksikan dan dihadiri (Malaikat) sehingga engkau mengerjakan salat ‘Asar. Berhentilah daripada salat sehingga matahari terbenam kerana sesungguhnya matahari itu terbenam di antara dua tanduk syaitan dan pada ketika itu, orang-orang kafir sujud kepadanya.”
(Riwayat Muslim No. 832)
G. Salat Sunat Tidak Lama Kemudiannya Iqamat
Ini selalunya terjadi ketika kita memasuki masjid atau surau dan kita terus mengerjakan Salat Tahiyatul Masjid. Belum sempat kita habis lagi, muazzin mengumandangkan iqamat. Sedangkan kita masih mengerjakan salat Tahiyatul Masjid atau apa-apa salat sunat yang lain (sementara menunggu Imam sampai).
📍Maka apakah yang harus dilakukan? Adakah meneruskan dan menghabiskan salat sunat itu ataupun tidak?
Dalil yang berkenaan berdasarkan sebuah hadith daripada Abu Hurairah رضي الله عنه yang mana Rasulullah ﷺ telah bersabda:
إِذَا أُقِيمَتِ الصَّلاَةُ فَلاَ صَلاَةَ إِلاَّ الْمَكْتُوبَةُ
“Jika sudah diiqamatkan salat, maka tidak ada salat melainkan salat maktubah (fardhu).”
(Riwayat Muslim No.710)
Salat fardhu lebih utama daripada mana-mana salat sunat. Maka apabila telah dikumandangkan iqamat, telah sampai waktu untuk salat berjemaah. Maka pada waktu itu, salat fardhu lebih utama. Sama ada kita meneruskan salat sunat atau tidak, bergantung kepada keadaan:
1️⃣ Kalau kita rasa sempat habiskan untuk takbiratul ihram dengan imam, maka boleh. Mungkin kita sudah tahu yang selepas iqamah pun bukannya terus salat atau; kita tahu yang imam tetap akan menunggu kita habiskan dahulu salat itu.
2️⃣ Namun, kalau kita rasa tidak sempat untuk takbiratul ihram sekali dengan imam, mungkin kita baru sahaja memulakan salat sunat itu, maka kita disunatkan untuk menghentikan salat sunat itu bagi bergabung dengan jemaah untuk salat fardhu.
Bagaimanakah caranya? Tiada tatacara khusus. Tiada bagi salam atau apa-apa. Terus berhenti sahaja.
H. Salat yang ada sebab tertentu pada waktu larangan
Kita telah sebutkan lima waktu yang memang tidak dibenarkan untuk mendirikan salat. Namun, jika ada suatu sebab yang munasabah, maka DIBENARKAN, contohnya seperti tiga perkara berikut:
1) Sewaktu kesiangan untuk bangun Salat Subuh dan ketika itu matahari sudah terbit, maka tetap diwajibkan untuk Salat Subuh.
2) Begitu juga dengan Salat ‘Asar, sekiranya kita terlambat untuk melakukan salat tersebut dan ketika itu bersamaan dengan masa tenggelamnya matahari, kita tetap diwajibkan untuk melaksanakan salat ‘Asar.
3) Ketika baru tersedar daripada pengsan atau baru pulih daripada penyakit gila, maka tetap dituntut untuk melaksanakan salat yang tertinggal.
Adapun salat sunat (nawafil) yang mana mempunyai sebab (untuk melakukannya) seperti Salat Tahiyatul Masjid, Sujud Tilawah dan Syukur, Salat al-‘Eid, Salat al-Kusuf, Salat Jenazah dan juga qadha’ salat fardhu yang ditinggalkan, maka mazhab Asy-Syafi’iy mengharuskan tanpa memakruhkannya.
Adapun mazhab Abu Hanifah dan yang lainnya tidak membenarkan kerana termasuk dalam keumuman larangan hadith.