Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-69 hingga Ke-71

Tafsir Surah al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-69 hingga Ke-71

815
0
Iklan

Tafsir Surah al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-69

Mereka masih tidak berpuas hati dengan penerangan yang telah diberikan. Sebenarnya, mereka hendak mempersendakan Nabi Musa عليه السلام‎ sahaja kerana baginda suruh mereka sembelih lembu. Maka mereka tanya lagi. Sekarang, mereka tanya tentang warna pula.

قالُوا ادعُ لَنا رَبَّكَ يُبَيِّن لَنا ما لَونُها ۚ قالَ إِنَّهُ يَقولُ إِنَّها بَقَرَةٌ صَفراءُ فاقِعٌ لَونُها تَسُرُّ النّاظِرينَ

Mereka berkata lagi: “Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami apa warnanya?” Nabi Musa menjawab: “Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu kuning, kuning tua warnanya, lagi menyukakan orang-orang yang melihatnya”.

قَالُوا ادْعُ لَنَا رَبَّكَ

Mereka berkata: “Tolonglah doa untuk kami kepada Tuhan kamu”

Lihatlah, mereka masih lagi kata: “Tuhan kamu”. Sekarang kita akan baca soalan karut mereka lagi. Soalan ini akan lebih menyusahkan mereka lagi.

يُبَيِّنْ لَنَا مَا لَوْنُهَا

“Supaya Dia menjelaskan untuk kami apakah warna lembu itu?”;

Sekarang mereka sudah bertanyakan warna pula. Maka, sekali lagi Nabi Musa عليه السلام telah berdoa kepada Tuhan untuk menjelaskan. Sekali lagi, Nabi Musa عليه السلام terpaksa mendaki Bukit Thur untuk bertanya Allah ‎ﷻ tentang soalan lagi.

قَالَ إِنَّهُ يَقُولُ إِنَّهَا بَقَرَةٌ

Nabi Musa berkata: “Sesungguhnya Dia (Allah) berkata bahawasanya lembu betina itu”

Nabi Musa عليه السلام masih menekankan yang Allah ‎ﷻ sendiri yang jawab, bukan daripada baginda sendiri.

صَفْرَاءُ

“berwarna kuning emas”;

Warna kuning emas adalah warna lembu yang amat sukar dicari. Ia juga adalah warna yang lain dari biasa. Oleh itu ulama’ ada melarang untuk menggunakan warna kuning keemasan pada pakaian dan sebagainya demi untuk mengelakkan dari dikaitkan dengan warna kegemaran Yahudi ini.

Malangnya, kalau kita lihat mereka yang ada urusan dengan perbomohan tentu akan menggunakan warna kuning ini pada kain mereka.

فَاقِعٌ لَوْنُهَا

terang warnanya

Maksudnya, warna itu memang cantik terang benderang. Memang jelas warna itu.

تَسُرُّ النَّاظِرِينَ

yang menyenangkan sesiapa yang memandang

Maknanya ia adalah lembu yang cantik. Orang akan suka tengok kerana tidak pernah tengok lembu yang berwarna seperti itu. Tetapi harus diingatkan, tidak ada kelebihan kepada lembu yang berwarna seperti itu. Allah ‎ﷻ cuma hendak menyusahkan mereka sahaja. Jangan pula kita selepas ini kita mencari lembu berwarna kuning emas pula. Sebenarnya, sehingga sekarang orang Yahudi mencari lembu berwarna kuning keemasan ini dan apabila tidak ada mereka telah membuatnya secara genetik.

Susah untuk mencari lembu seperti itu. Bukan senang untuk mencari yang berwarna kuning keemasan. Itulah keburukan mereka yang banyak bertanya. Ini lagi menyusahkan mereka. Kalau mereka buat sahaja dari awal lagi, mereka hanya perlu mencari lembu betina sahaja.

Bukanlah kita hendak berkata bahawa tidak elok bertanya. Ada pertanyaan yang digalakkan untuk bertanya. Ada beza kalau kita hendak mendalami ilmu. Contohnya, kalau orang bertanya: “Bagaimanakah caranya hendak membayar zakat?” Itu adalah soalan untuk mendalami agama.

Tetapi kalau ada orang bertanya begini: “Kenapa kena bayar zakat?” Itu bukan soalan, tetapi itu ada tanda kemungkinan orang itu yang tidak mahu membayar zakat.

Tafsir Ayat Ke-70

Mereka masih tidak berpuas hati lagi. Mereka masih ingin bertanya lagi.

قالُوا ادعُ لَنا رَبَّكَ يُبَيِّن لَنا ما هِيَ إِنَّ البَقَرَ تَشابَهَ عَلَينا وَإِنّا إِن شاءَ اللَّهُ لَمُهتَدونَ

Mereka berkata lagi: “Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkan-Nya kepada kami lembu betina yang mana satu? Kerana sesungguhnya lembu yang dikehendaki itu kesamaran kepada kami (susah kami memilihnya), dan kami insya Allah akan mendapat petunjuk (untuk mencari dan menyembelih lembu itu)”.

قَالُوا ادْعُ لَنَا رَبَّكَ

Mereka berkata: “Tolonglah doa untuk kami kepada Tuhan kamu”

Sekali lagi mereka bertanyakan soalan yang menyusahkan diri mereka sendiri. Dan sekali lagi mereka mengatakan itu ‘Tuhan Musa’.

يُبَيِّنْ لَنَا مَا هِيَ

“Supaya Dia menjelaskan untuk kami apakah hakikat sebenar lembu betina itu?”

Mereka sudah mula merasakan bahawa kalau mereka tidak cari lembu itu kelak mereka akan dimurkai oleh Allah ‎ﷻ. Maka, mereka telah berusaha untuk mencari lembu itu. Sekarang mereka ingin tahu ‘hakikat’ lembu itu pula. Ingin benar-benar tahu kerana mereka sudah rasa ini adalah lembu yang istimewa. Padahal asalnya ia adalah mana-mana lembu sahaja.

إِنَّ الْبَقَرَ تَشَابَهَ عَلَيْنَا

“Sesungguhnya lembu betina itu masih samar kepada kami”;

Mereka masih lagi merasa keliru kerana pada mereka, sama sahaja lembu yang dijelaskan oleh Allah ‎ﷻ itu dengan lembu-lembu yang lain. Dari bahasa yang digunakan, kita boleh tahu bahawa mereka telah mencari tetapi mereka tidak jumpa.

Mereka tidak jumpa kerana mereka telah menyusahkan diri mereka dengan banyak bertanya dan kerana itu kebarangkalian untuk menjumpai lembu betina yang memenuhi kriteria yang telah disebut itu amat payah. Padahal, kalau dari mula lagi mereka buat, mereka hanya perlu sembelih mana-mana lembu betina sahaja.

وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ لَمُهْتَدُونَ

“Dan kami mudah-mudahan dengan izin Allah lepas ini akan terpimpin.”;

Iaitu semoga mereka terpimpin untuk mencari lembu yang benar. Oleh kerana mereka ada tambah perkataan ‘in sha Allah’ inilah yang menyebabkan Allah ‎ﷻ t‎olong mereka akhirnya untuk menjumpai lembu betina itu kemudiannya kerana lafaz itu telah meredakan kemarahan Allah ‎ﷻ.

Oleh kerana itu, memang kita sentiasa kena gunakan lafaz ‘in sha Allah’ ini. Maknanya kita meletakkan segala qadha dan qadar kepada Allah ‎ﷻ. Kalau kita kata esok kita akan pergi ke mana-mana, tanpa sebut in sha Allah, itu tidak patut sekali kerana kita tidak pasti sama ada kita boleh pergi atau tidak.

Malangnya, dalam masyarakat kita sekarang sudah jadi lain pula. Kalau ada orang yang kata ‘in sha Allah’, automatik kita akan sangka yang orang itu sebenarnya tidak mahu pergi. Bukankah begitu? Lihatlah bagaimana syaitan telah menukar satu makna yang baik kepada makna yang buruk pula.

Lihat bagaimana mereka sudah bertanyakan tentang ‘hakikat’ lembu betina itu. Macam orang tasawuf sekarang, mereka hendak tahu ‘hakikat’ Tuhan pula. Macam-macam perkara mereka hendak tahu ‘hakikat’nya. Contohnya, bila dengan al-Qur’an, mereka hendak tahu ‘hakikat’ al-Qur’an itu apa. ‘Alif’ makna apa, ‘Lam’ makna apa, ‘sabdu’ atas Allah ‎ﷻ makna apa dan sebagainya.

Mereka hendak mencari ‘hakikat’ belaka. Samalah dengan kaum Yahudi ini yang hendak mengetahui apakah hakikat lembu itu, puak tasawuf kita hendak tahu hakikat macam-macam pula. Padahal benda itu tidak perlu tahu pun tidak mengapa. Kita tidak akan dapat untuk mencapai hakikat sebenar sesuatu perkara itu.

Sama sahaja antara mereka itu. Tetapi orang tasawuf itu menyangka yang mereka itu dapat ilmu yang lebih daripada orang lain. Dan mereka rasa mereka terpimpin lebih dari orang lain. Ini adalah kerana syaitan yang sama yang kempen kepada mereka dan yang kempen kepada orang Yahudi itu.

Tafsir Ayat Ke-71:

قالَ إِنَّهُ يَقولُ إِنَّها بَقَرَةٌ لا ذَلولٌ تُثيرُ الأَرضَ وَلا تَسقِي الحَرثَ مُسَلَّمَةٌ لا شِيَةَ فيها ۚ قالُوا الآنَ جِئتَ بِالحَقِّ ۚ فَذَبَحوها وَما كادوا يَفعَلونَ

Nabi Musa menjawab: “Bahawasanya Allah berfirman: Sebenarnya (lembu yang dikehendaki itu) ialah lembu betina yang tidak pernah digunakan untuk membajak tanah (sawah bendang), dan tidak pula (digunakan mengangkut air) untuk menyiram tanaman; ia juga tidak cacat dan tidak ada belang pada warnanya”. Mereka berkata: “Sekarang barulah engkau dapat menerangkan sifat-sifatnya yang sebenar”. Maka mereka pun menyembelih lembu yang tersebut, dan hampir-hampir mereka tidak dapat menunaikan (perintah Allah) itu.

قَالَ إِنَّهُ يَقُولُ إِنَّهَا بَقَرَةٌ لَا ذَلُولٌ تُثِيرُ الْأَرْضَ

Lalu Nabi Musa berkata bahawasanya Allah berkata bahawa lembu betina itu tidak pernah diajar untuk membajak tanah;

Lembu itu bukan tidak buat kerja membajak tanah, diajar pun tidak pernah untuk membajak tanah. Ini memang jenis lembu yang duduk sahaja. Tidak seperti lembu-lembu yang lain. Ini memang lembu yang kerjanya hanya makan dan tidur sahaja.

وَلَا تَسْقِي الْحَرْثَ

dan tidak diguna untuk siram tanaman;

Menyiram tanaman pun tidak pernah. Maknanya, lembu ini dibela sahaja sebab ia cantik sangat. Maka, bukan senang untuk mencari lembu yang jenis ini. Sudahlah lembu yang cantik, tidak diguna untuk membuat kerja pula.

مُسَلَّمَةٌ

Sihat tubuh badan dia;

Ini lembu yang sihat lagi cantik bukan yang jenis kurus, bukan gemuk.

لَا شِيَةَ فِيهَا

Tidak ada jalur;

Maknanya, badan dia tidak ada jalur, tidak ada tanda. Warna kekuningan keseluruhan badannya. Kerana kalau ada jalur atau tompok-tompok, sudah dikira cacat.

قَالُوا الْآنَ جِئْتَ بِالْحَقِّ

Mereka berkata: Sekarang ini baru engkau menjelaskan sifat-sifat lembu itu dengan sebenarnya;

Apabila Nabi Musa عليه السلام menjelaskan sifat lembu itu, mereka sudah rasa takjub dengan lembu itu pula. Mereka pun segera merata-rata mencari lembu itu. Mengikut satu cerita Israiliyat, mereka mengambil masa 40 tahun untuk bertemu dengan lembu itu. Allah ‎ﷻ telah membiarkan mereka mencari lembu itu dalam masa yang lama. Macam-macam jenis mereka cari, namun ada sahaja kecacatan pada lembu itu.

Akhirnya mereka telah berjaya menjumpai lembu itu. Tuan lembu itu pula hanya mahu menjual dengan harga yang mahal. Akhirnya mereka telah membeli lembu itu dengan emas seberat lembu itu. Mereka kena kongsi wang yang banyak untuk membeli lembu itu.

Sampai sekarang pun, kalau lembu yang warna kuning ini memang mahal harganya sebab ia adalah cantik; tetapi cerita ini adalah Kisah Israiliyat dan tidak boleh dijadikan sebagai sumber tafsir. Jadi, walaupun kisah ini masyhur dan ada juga dalam kitab-kitab tafsir kita kena tinggalkan juga kerana kalau sampai 40 tahun kena cari lembu itu, sudah lama sangat.

فَذَبَحُوهَا

Maka mereka menyembelih lembu itu;

Akhirnya mereka dapat juga menjumpai lembu itu dan mereka menyembelihnya. Mereka cari sapi tersebut dan kebetulan ditemukan pada seorang anak muda yang berbakti kepada ibunya, lalu mereka beli dengan emas sepenuh bungkusan yang terbuat dari kulit sapi itu. Atau dikatakan dibeli dengan emas seberat lembu itu.

وَمَا كَادُوا يَفْعَلُونَ

dan hampir-hampir mereka tidak dapat menunaikan perintah itu;

Mereka hampir tidak dapat menyembelihnya kerana timbul rasa sayang kepada lembu itu. Mereka rasa sayang untuk menyembelih lembu itu sebab lembu itu cantik sangat. Dan mereka pula memang jenis kaum yang suka memuja lembu. Mulanya mereka memang tidak mahu sembelih tetapi oleh kerana mereka telah dipaksa untuk menyembelih lembu itu, barulah mereka sembelih.

Maknanya, pengajaran yang kita boleh ambil dari ayat ini, bila sudah diperintah, ikut sahaja. Jangan soal dan tanya banyak. Bangsa Yahudi memang banyak soal. Kita pun ada yang jenis macam itu juga. Macam-macam soalan orang kita akan tanya bila disampaikan ilmu agama kepada mereka.

Soalan yang mereka tanya itu adalah soalan yang tidak perlu mereka tanya sebenarnya. Kalau tanya banyak tetapi hendak buat, tidak mengapalah juga, tetapi terdapat juga jenis yang sengaja suka bertanya hanya kerana ingin bertanya, tanpa ada keinginan untuk buat pun. Kadang-kadang susah kita hendak jawab soalan dari pelajar kerana soalan itu tidak pernah ditanya oleh orang dahulu dan ulama’ pun tidak jawab.

Warna kuning ini memang ada masalah besar. Banyak yang menganggap keramat kalau warna kuning. Sebab itu ada ‘Pulut Kuning’, balut nisan dengan warna kuning dan sebagainya.

Kita pun biasa lihat ada kubur yang berbalut nisannya dengan warna kuning. Terdapat juga keris keramat yang dibalut kain kuning termasuklah dengan penggunaan pulut kuning dan sebagainya. Ia adalah tanda kepada pemujaan.

Sekarang kita sudah tahu bahawa perkara yang berkenaan dengan kuning itu telah diceritakan di dalam Surah al-Baqarah. Raja-raja selalunya akan menggunakan warna kuning. Tidak kira raja negara mana. Kuning adalah warna diraja.

Ini termasuklah yang bukan raja pun, ada yang gemar memakai warna kuning sebagai tanda keramat. Ada di kalangan masyarakat kita, yang kalau hendak bersalin pun mesti ada kain warna kuning juga. Kadang-kadang apabila yang ada pangkat sikit sahaja pun sudah mula hendak memakai warna kuning. Ini semua adalah kesan-kesan peninggalan kepada pemujaan dalam masyarakat kita. Walaupun sudah lama masuk Islam, masih lagi tidak boleh ditinggalkan sepenuhnya.

Ada yang rasa susah untuk meninggalkannya. Sebagai contoh, sudah biasa sangat makan pulut kuning, apabila ada majlis sahaja, kena ada pulut kuning. Pulut hijau mereka tidak buat. Maka, selalu juga kita makan. Tetapi seeloknya kita tinggalkan kesan-kesan dari pemujaan ini. Namun begitulah, kalau kita tegur mereka ini, nanti kita pula yang akan kena balik.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan