Bahagian:
C. Siapa yang Wajib Salat? (sambungan dari https://staging-01.uito.org/2019/08/25/fiqh-asasi-sunnah-kitab-salat-dan-kedudukannya-dalam-islam/)
Tajuk:
2. Jumlah Salat yang Difardhukan
D. Waktu-waktu Salat.
Tajuk:
1. Waktu Salat Zuhur
2. Waktu Salat ‘Asar
2. Jumlah salat yang difardhukan
✍🏻Seperti yang kita tahu, salat Fardhu ada 5 waktu. Dalilnya:
“Salat lima waktu Allah ﷻ wajibkan ke atas hamba-hamba-Nya. Sesiapa yang mengerjakannya tanpa mensia-siakan di antara kelima-lima salat tersebut kerana meremehkan keberadaannya maka dia mendapatkan janji di sisi Allah ﷻ untuk Allah ﷻ masukkan ke syurga. Namun siapa yang tidak mengerjakannya maka tidak ada baginya janji di sisi Allah ﷻ, jika Allah ﷻ menghendaki Allah ﷻ akan mengazabnya, dan jika Allah ﷻ menghendaki maka Allah ﷻ akan mengampuninya.”
(HR Abu Dawud رحم الله no. 1420 disahihkan Asy-Syaikh Al-Albani رحم الله dalam Sahih Abu Dawud)
✍🏻Daripada Talhah bin Ubaidillah رضي الله عنه bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
خَمْسُ صَلَوَاتٍ فِي اليَوْمِ وَاللَّيْلَةِ
“Ada lima salat (yang wajib didirikan) pada siang malam.”
(Hadith riwayat al-Bukhari no. 46 dan Muslim no. 11)
✍🏻Dalam hadith lain Nabi Muhammad ﷺ bersabda:
أَرَأَيْتُمْ لَوْ أَنَّ نَهَرًا بِبَابِ أَحَدِكُمْ ، يَغْتَسِلُ فِيهِ كُلَّ يَوْمٍ خَمْسًا ، مَا تَقُولُ ذَلِكَ يُبْقِى مِنْ دَرَنِهِ » . قَالُوا لاَ يُبْقِى مِنْ دَرَنِهِ شَيْئًا . قَالَ « فَذَلِكَ مِثْلُ الصَّلَوَاتِ الْخَمْسِ ، يَمْحُو اللَّهُ بِهَا الْخَطَايَا »
“Tahukah kalian, seandainya terdapat sebatang sungai berhampiran pintu salah seorang di antara kalian, lalu dia mandi dari air sungai itu setiap hari sebanyak lima kali, apakah akan tersisa kotorannya walau sedikit?” Para sahabat menjawab, “Tidak akan tersisa sedikit pun kotorannya.” Baginda berkata, “Maka begitulah perumpamaan salat lima waktu, dengannya Allah ﷻ menghapuskan dosa.”
(HR. Bukhari no. 528 dan Muslim no. 667)
Cuma ada satu perbincangan tentang bilangan waktu salat ini yang saya rasa perlu disentuh. Ini kerana ada fahaman sesat yang mengatakan dalam al-Qur’an, hanya disebut 3 kali salat sahaja.
Mereka ini adalah golongan yang menolak hadith. Kita yang berpegang kepada hadith ini, tidak ada masalah sangat kerana sudah jelas bahawa hadith juga adalah wahyu yang kita mesti taat juga.
Oleh kerana ada kemungkinan anda juga ada terdengar perbincangan ini, maka saya jelaskan juga di sini supaya boleh dijawab kalau ada yang bawa hujah ini kepada anda.
✍🏻Ayat al-Quran yang digunakan oleh golongan Anti-hadith itu adalah [ Nur: 58 ]
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لِيَستَأذِنكُمُ الَّذينَ مَلَكَت أَيمٰنُكُم وَالَّذينَ لَم يَبلُغُوا الحُلُمَ مِنكُم ثَلٰثَ مَرّٰتٍ ۚ مِّن قَبلِ صَلَوٰةِ الفَجرِ وَحينَ تَضَعونَ ثِيابَكُم مِّنَ الظَّهيرَةِ وَمِن بَعدِ صَلَوٰةِ العِشاءِ ۚ ثَلٰثُ عَورٰتٍ لَّكُم ۚ لَيسَ عَلَيكُم وَلا عَلَيهِم جُناحٌ بَعدَهُنَّ ۚ طَوّٰفونَ عَلَيكُم بَعضُكُم عَلىٰ بَعضٍ ۚ كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللهُ لَكُمُ الآيٰتِ ۗ وَاللهُ عَليمٌ حَكيمٌ
“Hai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba (lelaki dan wanita) yang kamu miliki, dan orang-orang yang belum baligh di antara kamu, meminta izin kepada kamu tiga kali (dalam satu hari) iaitu: sebelum sembahyang Subuh, ketika kamu menanggalkan pakaian (luar)mu di tengah hari (Zuhur) dan sesudah sembahyang Isyak. (Itulah) tiga aurat bagi kamu. Tidak ada dosa ke atasmu dan tidak (pula) ke atas mereka selain daripada (tiga waktu) itu. Mereka di sekeliling kamu, sebahagian kamu ke atas sebahagian (yang lain). Demikianlah Allah ﷻ menjelaskan ayat-ayat bagi kamu. Dan Allah ﷻ Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”
Berdasarkan ayat di atas, golongan anti-hadith mengatakan salat hanya ada tiga waktu sahaja. Namun begitu, ayat ini bukanlah hendak menceritakan waktu salat, tetapi hendak mengajar yang anak-anak perlu meminta izin dalam tiga waktu ini sebelum memasuki bilik ibu bapa.
Al-Qur’an bukanlah buku teks sekolah yang menyebut satu persatu perkara (tidak disebut salat ada lima, waktunya sekian-sekian…). Waktu-waktu salat telah disentuh dalam al-Qur’an pada ayat-ayat tertentu:
الصَّلٰوةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتٰبًا مَّوْقُوتًا
✍🏻“Sesungguhnya salat itu diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman yang tertentu waktunya”. [ An-Nisa’: 103 ]
Syarah:
Waktu salat telah ditentukan waktunya. Perkara ini diajar oleh Nabi Muhammad ﷺ dengan jelas seperti disebut dalam banyak hadith serta melalui perbuatan sahabat dan orang Islam (yang berakal normal) sejak zaman berzaman.
وَأَقِمِ الصَّلَاةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِنَ اللَّيْلِ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ذَلِكَ ذِكْرَى لِلذَّاكِرِينَ
“Dan dirikanlah salat (wahai Muhammad, engkau dan umatmu) pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada ketika yang berhampiran dengannya dari waktu malam, sesungguhnya perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa perbuatan-perbuatan yang buruk, itulah peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat“. [ Hud: 114 ]
Syarah:
Menurut para mufassirin, ayat ini disebutkan waktu salat, iaitu kedua tepi siang, iaitu Subuh dan ‘Asar. Pada bahagian permulaan malam, iaitu Maghrib dan Isyak.
أَقِمِ الصَّلَاةَ لِدُلُوكِ الشَّمْسِ إِلَى غَسَقِ اللَّيْلِ وَقُرْءَانَ الْفَجْرِ إِنَّ قُرْءَانَ الْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا
“Dirikanlah salat ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam dan (dirikanlah) salat Subuh sesungguhnya salat Subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya)”. [ Al-Isra’: 78 ]
Tafsir:
Menurut para mufassrin, ayat ini disebutkan waktu salat iaitu sesudah matahari tergelincir, iaitu salat Zuhur dan ‘Asar. Sedangkan gelap malam adalah salat Maghrib dan Isyak dan Qur`anal Fajri iaitu salat Subuh.
Maka waktu-waktu salat sebenarnya telah disentuh dalam al-Qur’an dan bagi mereka yang cuba mempelajari dan memahami tafsir al-Qur’an sudah tentu tidak mempunyai isu dengan perkara ini.
D. Waktu-waktu salat
Zaman kini kita selalunya melihat jam sahaja untuk menentukan bila masuknya waktu salat. Tetapi sebenarnya waktu itu ditentukan oleh keadaan alam pada waktu itu. Mungkin ada di antara kita yang tidak tahu pun bilakah masuk waktu salat kalau tidak ada jam. Maka sekarang kita belajar perkara ini, untuk kita tahu bilakah masuk waktu itu.
Secara umumnya, Islam adalah agama yang menggunakan alam sebagai penanda aras dan waktu untuk melakukan ibadat. Kita mungkin sudah tahu tentang Hilal (anak bulan) Ramadhan dan Hari Raya.
Sekurang-kurangnya tentu semua orang tahu tentang anak bulan ini sebab sudah tentu ramai yang menunggu sahaja Penyimpan Mohor Besar Raja-raja umumnya ketika bulan Ramadhan dan yang lebih penting, ketika tibanya Hari Raya.
Begitu juga dengan waktu salat. Waktu salat juga ditentukan dengan melihat kepada alam. Maka, tiada masalah jika tidak ada jam.
1. Waktu Zuhur
Waktu Zuhur adalah apabila matahari telah ‘tergelincir’. Apakah maksud tergelincir ini? Tergelincir di sini bermaksud bergerak sedikit sahaja dari kedudukan di tengah-tengah langit.
507 حَدَّثَنَا أَبُو الْيَمَانِ قَالَ أَخْبَرَنَا شُعَيْبٌ عَنْ الزُّهْرِيِّ قَالَ أَخْبَرَنِي أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ حِينَ زَاغَتْ الشَّمْسُ فَصَلَّى الظُّهْرَ
507. Telah menceritakan kepada kami Abu Al-Yaman berkata, telah mengkhabarkan kepada kami Syu’aib daripada Az-Zuhri berkata, telah mengkhabarkan kepadaku Anas bin Malik, bahawa Rasulullah ﷺ keluar rumah untuk melaksanakan salat Zuhur sebaik sahaja matahari tergelincir.
(Sahih Bukhari no. 507).
Untuk menentukan waktu Zuhur adalah dengan melihat habis bayang di sebelah barat dan timbul bayangan di sebelah timur. Kalau matahari betul-betul tegak di atas kepala kita, dan kita pacakkan sebatang kayu di atas tanah, tiada bayang-bayang, bukan?
Namun, apabila matahari itu bergerak sahaja sedikit, bayang-bayang akan menjelma. Maka, inilah tandanya waktu Zuhur telah masuk.
Cuma di negara kita, matahari tidak berada tegak di atas kepala kita. Maka kalau kita pacakkan sebatang kayu lurus, maka akan terus ada bayang. Maka kenalah perhatikan bayang itu.
Sampai satu masa, tidak bergerak bayangnya (mungkin berterusan 2cm sahaja). Kemudian bila bayang itu bergerak sahaja (menjadi 2.1cm), maka itu tandanya telah gelincir matahari dan waktu Zuhur sudah masuk.
Sampai bilakah waktu Zuhur itu? Harus dilihat juga kepada bayang-bayang kayu itu. Selagi bayang-bayangnya belum sama panjang dengan panjang kayu itu, maka masih lagi dalam waktu Zuhur.
2. Waktu ‘Asar
Waktu ‘Asar masuk apabila bayang-bayang kayu telah sama panjang dengan batang kayu itu.
Kalau kita gunakan contoh kayu yang panjangnya 1 meter, maka bayangnya pun 1 meter juga. Kalau bayangnya memang telah ada sepanjang 2cm (seperti contoh di atas tadi), maka waktu ‘Asar masuk apabila bayang menjadi 1.2 meter.
Nabi ﷺ bersabda:
أَمَّنِي جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ عِنْدَ الْبَيْتِ مَرَّتَيْنِ فَصَلَّى الظُّهْرَ فِي الأُولَى مِنْهُمَا حِينَ كَانَ الْفَىْءُ مِثْلَ الشِّرَاكِ ثُمَّ صَلَّى الْعَصْرَ حِينَ كَانَ كُلُّ شَيْءٍ مِثْلَ ظِلِّهِ
“Jibril عليه السلام telah mengimamiku di rumah sebanyak dua kali. Dia telah salat Zuhur pertama apabila panjang bayang sepanjang satu tali kasut. Kemudian dia telah salat ‘Asar apabila panjang bayang sama panjang dengan barangnya.”
(Sahih daripada Sunan Tirmizi no 149).
Masa salat ‘Asar dari waktu mulanya sampailah terbenam matahari.
✍🏻Salat ‘Asar adalah salat yang penting sampaikan ada ancaman khusus bagi mereka yang meninggalkannya:
520 – حَدَّثَنَا مُسْلِمُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ، قَالَ: حَدَّثَنَا هِشَامٌ، قَالَ: حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ أَبِي كَثِيرٍ، عَنْ أَبِي قِلاَبَةَ، عَنْ أَبِي المَلِيحِ، قَالَ: كُنَّا مَعَ بُرَيْدَةَ فِي غَزْوَةٍ فِي يَوْمٍ ذِي غَيْمٍ، فَقَالَ: بَكِّرُوا بِصَلاَةِ العَصْرِ، فَإِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «مَنْ تَرَكَ صَلاَةَ العَصْرِ فَقَدْ حَبِطَ عَمَلُهُ»
520. Telah menceritakan kepada kami Muslim bin Ibrahim berkata, telah menceritakan kepada kami Hisyam berkata, telah menceritakan kepada kami Yahya bin Abu Katsir daripada Abu Qilabah daripada Al-Malih berkata, “Kami pernah bersama Buraidah pada suatu peperangan pada hari mendung, lalu dia berkata, “Segeralah laksanakan salat ‘Asar! Kerana Nabi ﷺ pernah bersabda: “Barangsiapa meninggalkan salat ‘Asar sesungguhnya terhapuslah amalnya.”
(Sahih Bukhari no 520).
Syarah:
Apakah maksud ‘terhapus amalan’? Dalam mentakwil hadith ini, ulama’ berbeza pendapat:
1. Yang dikatakan terhapus amalnya itu adalah kalau dia tidak salat kerana dia berpendapat ‘tidak perlu salat’. Maksudnya iaitu dia menganggap salat adalah tidak fardhu. Bukan sebab dia malas untuk salat.
Kalau menganggap salat tidak fardhu, maka dia telah jatuh murtad.Kalau dia cuma malas sahaja, maka imannya tidak sempurna, tetapi bukanlah sampai tidak beriman langsung.
2. Apakah yang terhapus? Semua amalan atau salat itu sahaja?
Ada yang berpendapat:
– majaz (seolah-olah) sahaja, atau;
– hampir-hampir, atau;
– amalan itu tidak sempurna, atau;
– amalan itu tidak dapat menyelamatkannya daripada neraka. Dia akan dimasukkan ke neraka dahulu, barulah dipakai pahala daripada amalannya itu, atau;
– pahala yang terhapus adalah salat hari itu sahaja;
– dia tidak mendapat keseluruhan pahala salat kerana dia tidak buat di awal waktu. Hanya akan mendapat pahala yang penuh kalau dia buat di awal waktu;
– amalan kebajikan lainnya akan terhapus. Sebagai contoh, kalau dia lewat salat itu kerana perniagaannya, keuntungan perniagaannya itu tiada keberkatan.
Ringkasnya, janganlah tinggalkan salat ‘Asar. Itu sahaja yang kita perlu ingat kerana salat ‘Asar ini bahaya kerana ia waktu yang kita sedang sibuk dengan kehidupan seharian kita. Sibuk untuk menyiapkan kerja, kemudian sibuk untuk balik ke rumah. Ini kerana sibuk dengan dunia, maka ada yang sampai terlupa salat ‘Asar.
✍🏻Salat ‘Asar itu sangat penting sampaikan Allah ﷻ menyebut khusus salat ini di dalam al-Qur’an:
حافِظوا عَلَى الصَّلَواتِ وَالصَّلاةِ الوُسطىٰ
“Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang ‘Asar)”
[ Al-Baqarah: 238 ]
Tafsir:
Ulama’ mengatakan bahawa Salat Wusta yang disebut dalam ayat ini adalah Salat ‘Asar berdasarkan hadith:
✍🏻Nabi ﷺ menjelaskan melalui Ali رضي الله عنه bahawa ketika perang Ahzab, dikatakan oleh baginda:
”Kami dilalaikan (oleh musuh) daripada salat Wusta, iaitu salat ‘Asar. Semoga Allah ﷻ memenuhi rumah-rumah dan kuburan mereka dengan api neraka.”
(HR. Muslim, I/205, 437 dan 627).