Utama Bilik (001) Fiqh Asasi Pemula Fiqh Asasi Sunnah: Kitab Thaharah – Haidh dan Nifas

Fiqh Asasi Sunnah: Kitab Thaharah – Haidh dan Nifas

220
0
Iklan

Kitab : Thaharah
Bab: Haidh dan Nifas
Bahagian:
G. Wanita hamil yang melihat darah keluar.

H. Beberapa permasalahan berkenaan Haidh, Nifas dan Istihadah.

Tajuk:
♦️Hukum wanita nifas sama dengan hukum wanita haidh.
♦️Wanita haidh dan nifas mandi untuk ihram.
♦️Wanita boleh guna ubat tahan haidh selagi tidak membahayakan.
♦️Wanita haidh boleh hadiri eid dan dengar khutbah. Cuma jauhkan diri dari ruang salat.
♦️Suami boleh baca Qur’an di pangkuan isteri yang haidh.
♦️Wanita haidh boleh menyikat, cuci rambut suaminya.
♦️Boleh minum sisa minuman wanita haidh.
♦️Kalau keguguran, sama ada janin terbentuk atau tidak, dianggap sebagai nifas.
♦️Selagi tidak mendapati lendir putih pada hari-hari terakhir haidh, masih dikira sebagai dalam haidh lagi.
♦️Jika seorang wanita rasa sakit hendak haidh (PMS) tetapi tiada darah sebelum matahari terbenam, maka dia sempurnakan puasa dan tetap mengerjakan salat.
♦️Jikalau kitaran haidh tidak teratur, maka seorang wanita itu hendaklah melihat warna darahnya kerana darah haidh dikenali dari warnanya.
♦️Kaffarah bagi suami yang menyetubuhi isterinya dalam nifas sama seperti kaffarah bagi lelaki yang mendatangi isterinya dalam haidh.
♦️Jika titisan darah terus mengalir selama sebulan, maka dikira haidh hanya pada hari yang normal sahaja.
♦️Jika seorang wanita turun darah pada jangkamasa yang dia biasa haidh, kemudian tidak keluar lagi hari berikutnya.
♦️Cairan merah atau kuning selain dari hari-hari biasa haidh dikira sebagai darah istihadah.
♦️Wanita tidak perlu risau cairan kotor yang keluar darinya selain dari kebiasaan waktu haidh.
♦️Jika seorang wanita bersalin secara pembedahan dan tiada darah yang keluar, maka hukum nifas tidak berlaku padanya.
♦️Jika seorang wanita keguguran dan ada darah keluar, darah itu adalah darah nifas.

G. Wanita hamil yang melihat darah keluar.

Sepatutnya wanita yang telah hamil tidak mengeluarkan darah lagi tetapi ada kalanya ini terjadi juga. Bagaimanakah hukumnya? Adakah itu haidh atau istihadah? Ulama’ khilaf di dalam hal ini.

Dalam Mazhab Asy-Syafi’iy, wanita hamil masih tetap boleh mengeluarkan darah haidh kalau kena syaratnya (dalam masa yang biasa datang haidh dan ciri-ciri darah itu adalah ciri-ciri darah haidh).

Namun, yang rajihnya, wanita hamil sebenarnya tidak ada haidh dan ini disokong oleh hadith ini.

✍🏻Tentang tawanan perang wanita,
لا توطأ حامل حتى تضع، ولا حائل حتى تستبرأ بحيضة

Budak wanita yang hamil tidak boleh disetubuhi sampai melahirkan, dan budak wanita yang tidak hamil, tidak boleh disetubuhi sampai mengalami haidh sekali. [ Diriwayatkan oleh Abu Dawud ]

✍🏻Lalu Ibnu Qudamah رضي الله عنه menyimpulkan:
والحامل لا تحيض، فإن رأت دمًا، فهو دم فاسد
Wanita hamil tidak mengalami haidh. Jika dia melihat darah, maka itu darah kerana sakit (darah istihadah).
(al-Kafi fi Fiqhil Hambali, 1/133).

📍Maka, kalau wanita hamil keluar darah, itu bukanlah darah haidh. Oleh itu, wanita hamil itu tetap kena solat dan puasa.

H. Beberapa permasalahan berkenaan Haidh, Nifas dan Istihadah.

1. Hukum wanita nifas sama dengan hukum wanita haidh

Hukum wanita haidh dan nifas sama sahaja, tidak ada bezanya. Ini termasuk hal halal dan haram, solat dan puasa, dan apa perkara yang boleh dibuat dan tidak boleh dibuat seperti yang telah dibincangkan sebelum ini.

2. Wanita haidh dan nifas mandi untuk ihram

Ketika seorang wanita yang sedang haidh atau nifas hendak mengerjakan haji dan melewati Miqat, maka dia harus mandi dan niat ihram seperti wanita yang suci daripada darah haidh atau nifas.

Namun begitu, dia harus menggunakan pembalut bagi memastikan tiada darah yang akan menitik di atas lantai. Setelah suci dia harus pergi ke Baitullah untuk mengerjakan tawaf dan sai serta menggunting rambut. Maka ibadah umrahnya telah sempurna.

✍🏻Dalilnya:

“Sembilan tahun lamanya baginda menetap di Madinah, namun baginda belum haji. Kemudian baginda memberitahu bahawa tahun kesepuluh baginda akan naik haji. Kerana itu berbondong-bondonglah orang datang ke Madinah, hendak mengikuti bersama-sama Rasulullah ﷺ untuk beramal seperti amalan baginda. Lalu kami berangkat bersama-sama dengan baginda. Ketika sampai di Zulhulaifah, Asma’ binti ‘Umais melahirkan puteranya, Muhammad bin Abu Bakar. Beliau bertanyakan kepada Rasulullah ﷺ apa yang harus dilakukannya (kerana melahirkan itu). Sabda Rasulullah ﷺ “Mandi dan pakai kain pembalut mu. Kemudian pakai pakaian ihram mu kembali.”
[ Sahih Muslim 1188 ]

Syarah:
Maknanya, dia terus juga masuk Ihram. Cuma yang tidak boleh dilakukan adalah tawaf dan solat sahaja. Maka kena tunggu habis darah nifas dan kemudian habiskan urusan umrah atau haji.

3. Wanita boleh guna ubat tahan haidh selagi tidak membahayakan

Sekarang terdapat ubat yang boleh diambil supaya haidh tertahan. Ini harus asalkan tidak membahayakan kesihatan. Maka kena dapatkan nasihat daripada doktor.

Ini sesuai bagi kita yang bukan senang ada kesempatan untuk mengerjakan Umrah atau Haji. Maka kita gunakan kesempatan yang ada bila kita pergi. Rugi kalau sampai ke Tanah Suci tetapi tidak dapat sempurnakan ibadah Umrah/Haji.

4. Wanita haidh boleh hadiri Eid dan dengar khutbah. Cuma jauhkan diri dari ruang salat.

Wanita Muslimah sepatutnya tidak meninggalkan urusan Salat Eid.

✍🏻Ini berdasarkan hadith daripada baginda:

Daripada Hafsah binti Sirin رضي الله عنها, seorang perempuan bertanya Nabi ﷺ: “Bolehkah kami (wanita) yang tidak memiliki jilbab, tidak keluar bersalat ‘eid?” Baginda menjawab: “Hendaklah sahabatnya memakaikannya jilbab yang dia miliki.” Apabila bertemu Ummu ‘Atiyyah رضي الله عنها, saya bertanya: “Pernahkah puan mendengar sendiri daripada Rasulullah ﷺ?” Beliau menjawab: “Saya pernah mendengar Baginda bersabda: “Hendaklah gadis remaja dan wanita yang haidh keluar (ke musolla) menyaksikan kebaikan dan doa orang beriman. Wanita haidh hendaklah berada jauh dari tempat salat.”
[ Riwayat Imam Muslim di dalam sahihnya, begitu juga Imam Bukhari dengan lafaz yang hampir sama, Abu Daud dan lain-lain ].

Syarah:
Kalau tidak ada pakaian yang sesuai baginda menyuruh pinjam supaya dapat pergi dengar khutbah Eid disampaikan. Namun, malangnya zaman sekarang, wanita sibuk dengan kuih muih dan persediaan raya sahaja. Amat malang sekali.

Maksud hadith ini kalau haidh pun boleh pergi ke musolla. Musolla adalah tempat salat yang diadakan di kawasan lapang. Mereka boleh duduk di tepian supaya dapat mendengar khutbah yang disampaikan oleh khatib selepas Salat Eid.

5. Suami boleh baca Qur’an di pangkuan isteri yang haidh

Isteri yang di dalam haidh tidak najis, maka boleh bersentuhan dengan mereka dan malah boleh membaca al-Qur’an di pangkuan isteri yang dalam haidh.

✍🏻Dalilnya:

168. `Aisyah رضي الله عنها berkata, “Nabi Muhammad ﷺ bersandar di pangkuan aku, padahal aku sedang haidh, kemudian beliau membaca Qur’an.”
[ Sahih Bukhari, Kitab Haidh ].

Syarah:
Maka boleh membaca Qur’an di pangkuan isteri yang di dalam haidh seperti yang dilakukan oleh Rasulullah ﷺ. Ini menunjukkan kemesraan baginda dengan para isterinya. Oleh sebab itulah masa lepak bersantai sepatutnya dengan isteri, bukan dengan kawan-kawan di kedai mamak.

6. Wanita haidh boleh menyikat, cuci rambut suaminya.

Wanita dalam haidh boleh menyentuh suami dan berkhidmat untuk suami. Contohnya mandikan suami, memotong kuku suami, menyikat rambut suami dan lain-lain. Ini semua tidak mengapa. Dalilnya:

✍🏻167. Urwah رضي الله عنه pernah ditanya orang, “Bolehkah wanita haidh melayaniku dan bolehkah wanita junub mendekatiku?” Urwah رضي الله عنه berkata, “Semuanya boleh bagiku, semuanya boleh melayaniku, dan tiada celanya. `Aisyah رضي الله عنها telah menceritakan kepadaku bahawa dia pernah menyisir rambut Rasulullah ﷺ ketika beliau sedang haidh, padahal ketika itu Rasulullah ﷺ sedang i’tikaf di masjid; baginda mendekatkan kepalanya kepadanya (`Aisyah رضي الله عنها) dan beliau (`Aisyah رضي الله عنها) ada di dalam kamarnya, lalu dia menyisir baginda, padahal beliau sedang haidh.”

Syarah:
Para isteri Rasulullah ﷺ berkhidmat untuk baginda. Setiap hari baginda akan bertemu dengan isterinya dan mereka akan bermesra dengan baginda. Bukanlah mubasharah sahaja, tetapi dalam perkara-perkara lain seperti memotong kuku dan menyikat rambut.

📍Bilakah kali terakhir anda membuat perkara ini untuk suami anda?

7. Boleh minum sisa minuman wanita haidh

Wanita haidh bukan najis dan sisa mereka tidak menjadi najis. Kita mungkin berasa pelik tentang hal ini, tetapi orang Yahudi suatu ketika dahulu menganggap wanita haidh itu kotor dan tidak boleh duduk makan sekali dengan orang lain. Maka jangan orang Islam pun termakan dengan fahaman sebegitu hendaknya. Wanita haidh itu suci, yang tidak suci hanyalah darahnya sahaja.

Dalilnya:

✍🏻Daripada `Aisyah رضي الله عنها, beliau berkata: “Aku biasa minum dari gelas yang sama ketika haidh, lalu Nabi ﷺ mengambil gelas tersebut dan meletakkan mulutnya di tempat aku meletakkan mulut, lalu baginda minum.”
[ HR Abdurrozaq dan Said bin Manshur, dan riwayat lain yang senada dari Muslim ].

Syarah:
Ini menunjukkan kemesraan baginda dengan para isterinya. Baginda selalu minum dari bekas mulut isteri baginda. Walaupun isteri baginda dalam haidh, baginda tetap terus melakukannya. Ini dalil yang wanita haidh tidak dalam najis.

8. Kalau keguguran, darah yang keluar dianggap sebagai nifas.

Kalau keguguran dan ada darah yang turun, maka darah itu dianggap nifas. Maka hendaklah berhenti dari salat dan puasa dan larangan-larangan lain yang sama dengan haidh.

Namun, umur janin itu menjadi khilaf di kalangan ulama’. Maka secara umumnya, ada tiga peringkat janin dilihat dari umur janin berdasarkan nasihat doktor.

Hukum sama ada darah itu adalah nifas atau tidak bergantung kepada umur janin itu.

1. Sampai 80 hari. Sepakat ulama’ mengatakan yang darah yang keluar itu adalah istihadah. Maka dikehendaki salat dan puasa.

2. 80 sampai 120 hari. Ulama’ khilaf. Ada ulama’ yang berkata darah yang keluar itu adalah darah nifas. Dan ada yang berkata harus dilihat bentuk janin sama ada sudah berbentuk manusia atau belum. Yang rajih, tidak kisah sama ada ada bentuk atau tidak, ia adalah darah nifas.

3. 121 hari dan seterusnya. Sepakat ulama’ berkata bahawa darah yang keluar adalah darah nifas. Maka hendaklah berhenti dari salat dan puasa.

9. Selagi tidak mendapati lendir putih pada hari-hari terakhir haidh, masih dikira sebagai dalam haidh lagi.

Tanda haidh telah berhenti itu adalah apabila keluar lendir putih dari tempat keluar darah. Ini adalah sebagai tanda haidh telah berhenti.

10. Jika seorang wanita rasa sakit hendak haidh (PMS) tetapi tiada darah sebelum matahari terbenam, maka dia sempurnakan puasa dan tetap mengerjakan salat.

Sakit hendak datang haidh bukanlah bermaksud sudah haidh. Tanda datang haidh adalah apabila turunnya darah yang menetapi ciri-ciri darah haidh.

11. Jikalau kitaran haidh tidak teratur, maka seorang wanita itu hendaklah melihat warna darahnya kerana darah haidh dikenali dari warnanya.

Ada wanita yang kitaran haidhnya tidak tetap. Maka bagi mereka ini haruslah melihat kepada sifat darah yang turun. Haruslah mengenali bagaimana rupa darah haidh iaitu darahnya yang berwarna kehitaman.

12. Kaffarah bagi suami yang menyetubuhi isterinya dalam nifas sama seperti kaffarah bagi lelaki yang mendatangi isterinya dalam haidh

✍🏻Ini berdasarkan hadith yang kita telah sampaikan, berdasarkan hadith Ibn Abbas رضي الله عنه:

إِذَا وَاقَعَ الرَّجُلُ أَهْلَهُ وَهِيَ حَائِضٌ إِن كَانَ دَمًا أَحْمَرَ فَلْيَتَصَدَّقْ بِدِينَارٍ وَإِن كَانَ أَصْفَرَ فَلْيَتَصَدَّقْ بِنصْفِ دِيْنَارٍ

Maksudnya: Jika seorang lelaki menyetubuhi isterinya sedangkan dia sedang haidh, jika darahnya berwarna merah maka hendaklah dia bersedekah dengan satu dinar dan jika darahnya kekuningan maka hendaklah dia bersedekah dengan separuh dinar.
[ Riwayat Abu Daud. Al-Hakim mensahihkannya ].

Syarah:
Kita telah jelaskan yang hukum bagi nifas sama sahaja dengan hukum bagi haidh.

13. Jika titisan darah terus mengalir selama sebulan, maka dikira haidh hanya pada hari yang normal sahaja.

Ini berdasarkan pendapat yang mengatakan bahawa haidh itu hanya dalam hari-hari yang normal sahaja. Kalau di luar dari itu, ia dikira darah istihadah.

Ulama’ fiqh telah memudahkan perkara ini dengan memberi pendapat iaitu jangka haidh yang maksima adalah selama 15 hari sahaja. Kalau dia keluar darah selama sebulan, tidak mungkin dia tidak salat selama sebulan pula.

14. Jika seorang wanita turun darah pada jangkamasa yang dia biasa haidh, kemudian tidak keluar lagi hari berikutnya.

Bagi wanita yang sama kitaran haidhnya, dia berpegang kepada bilangan hari yang normal. Ini adalah kerana itulah kebiasaan baginya.

15. Cairan merah atau kuning selain dari hari-hari biasa haidh dikira sebagai darah istihadah.

Kalau darah keluar luar dari kebiasaan masa haidh wanita itu, dan warna pun bukan kehitaman, maka ia tidak dikira sebagai haidh tetapi dikira sebagai darah istihadah sahaja. Maka hendaklah salat dan berpuasa seperti biasa.

16. Wanita tidak perlu risau cairan kotor yang keluar darinya selain dari kebiasaan waktu haidh.

Kalau keluar apa-apa cairan yang di luar dari kebiasaan kitaran haidhnya, maka wanita tidak perlu risau tentang cairan itu. Terus sahaja anggap ia sebagai darah istihadah kalau ia merah ataupun kekuningan.

17. Jika seorang wanita bersalin secara pembedahan dan tiada darah yang keluar, maka hukum nifas tidak berlaku padanya.

Nifas hanya berlaku kalau ada darah. Kalau tidak ada darah, maka tiada hukum nifas bagi wanita itu.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan