Utama Bilik Motivasi Presuposisi 11: Neuro Linguistics States are Created by and Composed of Internal...

Presuposisi 11: Neuro Linguistics States are Created by and Composed of Internal Representations and Physiology

187
0
Iklan

Siri Pengenalan NLP Oleh Azlizan Nueq.

1. Neuro Linguistic states are created by, and composed of, internal representations and physiology.

Neurolinguistik ‘states’ adalah hasil gabungan daripada perwakilan dan fisiologi dalaman.”

Apakah ‘state’ (keadaan)? State dalam NLP adalah suatu keadaan di mana fikiran, perasaan dan fizikal tubuh yang saling berhubungan membentuk kondisi dalam diri anda. Misalnya, state anda dalam keadaan bersemangat tentu akan berbeza sekali dengan state anda ketika dalam keadaan kecewa. Jadi ‘bersemangat’, ‘sedih’, ‘yakin’, ‘marah’ adalah state.

State merupakan istilah yang sering digunakan dalam perbahasan NLP. State merujuk pada sejumlah proses neurologi yang berlangsung pada diri seseorang dan terus berlangsung dari waktu ke waktu. State memang berubah-ubah dan cabaran kita adalah untuk memperbanyakkan “resourceful state” daripada “unresourceful state”.

Resourceful state dan unresourceful state adalah istilah yang digunakan dalam NLP. Dalam NLP, state positif sering disebut sebagai Resourceful State iaitu ketika orang berasa luar biasa dan memiliki pilihan-pilihan yang bersumber daya manakala state negatif sering disebut sebagai “Stuck State” (state buntu) iaitu ketika orang sedar bahawa hanya terdapat sedikit pilihan atau bahkan tidak ada pilihan sama sekali. Tetapi untuk memudahkan perbincangan, kita pakai istilah ‘positive state’ dan ‘negative state’ mungkin ramai yang lebih faham.

State adalah gabungan daripada kondisi fizikal dan mental yang mendasari seseorang dalam berperilaku. Selain itu, state di mana seseorang berada adalah merupakan reaksi bawah sedar terhadap apa yang dialaminya pada saat itu. Kalau kita dalam state yang positif, banyak kebaikan yang kita boleh lakukan. Kalau berada di dalam state negatif, semua perkara yang dibuat serba tidak kena dan tidak menjadi.

 

Kita telah sebutkan sebelum ini, minda dan tubuh adalah ‘satu sistem’ yang bermaksud fikiran dan badan adalah sebahagian daripada sistem yang sama yang saling mempengaruhi di antara satu sama lain. Apa yang terjadi dengan fikiran akan mempengaruhi badan jasmani.

Perhatikanlah tubuh badan orang yang sedang gembira, kecewa, marah, menahan geram, sedih, menangis, putus asa. Setiap state ternyata mempunyai tindakbalas pada tubuh masing-masing. Kalau seseorang yang dalam keadaan sedih, dia akan membongkok, jalan pun perlahan sahaja, bukan?

Manakala, orang yang sedang yakin, daripada gerak tubuhnya pun kita sudah tahu. Dia akan bergerak dengan laju, bercakap pun dengan pantas dan teratur. Keyakinan akan jelas terpancar pada wajah dan tubuh badannya. Ini adalah kerana, statenya waktu itu adalah positif dan ia terserlah pada tubuhnya.

Memang perasaan itu boleh dikawal. Sebab itulah para aktor profesional mudah untuk mendapatkan state tertentu hanya dengan mengubah dan mengolah minda mereka sahaja. Kalau hendak gembira, mereka akan fikirkan perkara yang gembira dan tubuh mereka pun ikut sekali; kalau perlukan babak yang memerlukan menangis, maka, mereka akan fikirkan perkara yang boleh menyebabkan mereka sedih.

Maka, kita boleh gunakan pengetahuan dan pemerhatian kita tentang state ini untuk mengubah state kita. Terdapat dua cara penting yang dapat mempengaruhi state seseorang secara terus, iaitu:

1. Physiology atau Postur Tubuh
Dengan menyedari postur tubuh (kinestetik) pada waktu di mana seseorang berada dan melakukan penyesuaian ke atas postur tubuh tersebut maka akan mengubah state orang tersebut daripada state positif kepada state negatif.

2. Internal Representation
“Internal Representation” (Perwakilan Dalaman) adalah persepsi yang ada di dalam fikiran seseorang mengenai ‘dunia luar’ yang diwakilkan oleh gambar (visual), suara (auditory), perasaan (kinesthetic), penciuman (olfactory).

Dengan mengubah internal representation dalam fikiran seseorang maka sebuah state juga dapat berubah secara cepat.

Contoh:

1. Kita lihat sesuatu yang menggembirakan kita, hati kita pun jadi gembira. Sebagai contoh, kalau ingin gembira, tengok anak-anak terutama semasa mereka kecil. Tentu akan mengubah state anda bukan? Sekurang-kurangnya untuk beberapa ketika.

2. Kalau kita dengar ceramah yang bersemangat, waktu itu pun kita jadi bersemangat, bukan? Kerana itu ada penceramah yang boleh menggerakkan manusia untuk berperang, untuk berdamai, untuk meracun fikiran manusia dan lain-lain. Mereka menggunakan kelebihan bercakap mereka menggunakan suara (auditory) untuk mengubah state seseorang.

Begitu juga, kalau kita bercakap dengan seseorang yang lembut, hati kita pun menjadi lembut. Pernah atau tidak, anda hendak memarahi seseorang, tetapi tiba-tiba dia relaks dan bercakap lembut dengan kita. Perlahan-lahan kita pun tidak jadi hendak marah, bukan?

3. Kinesthetic pula berkenaan sentuhan. Ada orang yang bila dia memakai baju yang lembut dan sedap di badan, perasaan dia pun menjadi lain. Dia rasa lebih bersemangat dan berkeyakinan tinggi. Sebab itu ada yang suka memakai baju baldu, ada yang suka memakai sutera dan lain-lain lagi. Ini kerana mereka perasan yang kalau memakai baju tertentu, perasaan mereka juga turut berubah. Jadi baju itu menjadi baju kegemaran mereka. Ini adalah kerana sentuhan pakaian itu telah mengubah state mereka.

4. Olfactory adalah deria bau (senang untuk ingat, bau old factory yang busuk). Ini boleh dikatakan paling cepat mengubah state kita. Kadangkala kita sendiri pun tidak menyedarinya. Kita tercium satu bau dan ia mampu membangkitkan ingatan kepada pengalaman yang bertahun lamanya dahulu. Ia boleh menjadikan kita gembira. [tengah buat nota ini, tiba-tiba ada orang jual Aroma Herbanika… talk about serendipity].

Sebab itulah sekarang ini “Essential Oil” (Minyak Esensial) sangat laris digunakan di rumah-rumah. Memang ramai yang sukakan bau yang menyegarkan dan ini adalah dasar kepada konsep aromaterapi.

Kerana itu dicadangkan bangun pagi jangan terus buka mesej dalam telefon pintar kerana ada kemungkinan ada perkara yang menyebabkan kita negatif. Maka, kena gerakkan diri kita supaya menjadi positif terlebih dahulu beberapa waktu di waktu pagi supaya kita mulakan hari kita dengan positif.

Pagi-pagi selepas gosok gigi, cakap kepada cermin: “I love You”(Saya sayangkan awak), “you are enough”(Awak adalah cukup baik),”you are great”( Awak adalah hebat!).

Untuk melatih rasa percaya diri antara lain:

1. Melakukan “state of excellent” (state kecemerlangan). Mencari pada kondisi apa atau bagaimana anda merasa percaya diri. Misalnya, jika anda seorang ahli sukan, ambillah postur bersedia untuk bersukan yang baik dalam kehidupan sehari-hari. Ambil semangatnya.

2. Lakukan “matching and mirroring” (suaikan dan cerminkan). Seringkali kita tidak percaya diri ketika berbicara dengan seseorang, apalagi dengan orang atasan atau orang yang baru dikenal. Mulakanlah pembicaraan dengan mencari persamaan baik dalam gerakan, intonasi suara, gerak geri tubuh dan mimik muka. Bayangkan bagaimana rupa dan perawakan yang anda rasa seorang yang yakin dan cuba tiru.

Seringkali kita mendapat respon yang negatif dari lingkungan sekitar, yang bisa mempengaruhi rasa percaya diri. Menghadapi kondisi seperti ini, tetaplah pertahankan state. Cuba jangan terkesan dengan perkara negatif yang berlaku. Tetap fokus pada hal-hal yang positif.

Perkara-perkara yang negatif kita namakan ANT(Automatic Negative Thought). Senang nak ingat sebab boleh bayangkan semut. Jangan layan sangat. Kalau kita layan, bukan boleh berjaya pun menyelesaikan masalah. Buang jauh-jauh perasaan itu. Dahulu saya pernah diajar, kalau ada perasaan negatif itu, calit dahi sebagai isyarat buang perkara negatif. Ia isyarat kepada menahan perkara negatif daripada masuk ke dalam fikiran kita.

Kita kena tahu musuh kepada state. Ia adalah perkara-perkara negatif yang boleh memberi kesan kepada diri kita. Kadang-kadang ada perkara yang terjadi di pagi hari, sampai ke malam teringat lagi dan sepanjang hari ia mengganggu hari kita. Rasanya semua boleh faham perkara ini.

Jadi kita kena jaga minda kita daripada terkesan dengan perkara negatif. Kita di dunia ini memang sentiasa sahaja ada ujian. Inilah yang Allah ‎ﷻ telah janjikan – dunia ini tempat ujian. Antaranya Allah ‎ﷻ telah berfirman:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَنَبْلُوكُمْ بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

“Tiap-tiap yang berjiwa pasti akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan“ [Al-Anbiya’: 35].

Jadi, ujian memang akan ada. Namun bagaimana kita menghadapi ujian itu? Adakah dengan state negatif atau positif? Ramai orang yang terkesan sangat dengan perkara yang terjadi sampai minda mereka menjadi lemah dan layu. Sikap mereka ini seperti termometer. Kalau cuaca panas, bacaannya naik; kalau cuaca sejuk, bacaannya turun balik.

Kalau berterusan begini, kehidupan kita akan susah. Sebaliknya kita kena berusaha untuk menjadi termostat. Termostat adalah pengawal suhu. Kalau hendakkan sejuk, tukar bacaan di dail untuk turunkan suhu bilik menjadi sejuk; dan kalau hendakkan panas, naikkan bacaan di dail termostat itu. Maka cabaran bagi kita di dunia ini adalah untuk berubah dari termometer kepada termostat. Inilah cabaran bagi anda! Anda boleh lakukannya? Katakan ya! Katakan: Aku termostat, bukannya termometer!”

Komen dan Soalan