Utama Bilik (001) Fiqh Asasi Pemula Fiqh Asasi Sunnah: Kitab Thaharah – Darah Istihadah

Fiqh Asasi Sunnah: Kitab Thaharah – Darah Istihadah

3470
0
Iklan

Kitab : Thaharah
Bab : Haidh dan Nifas

A. Pengertian Istihadah.

B. Beberapa kondisi wanita yang Istihadah.

Tajuk:
♦️ Wanita yang mengetahui masa haidh (sebelum sakit)
♦️ Tidak mengetahui lamanya masa haidh (sebelum sakit)
♦️ Tidak mengetahui lama masa haidh, tetapi dapat bezakan antara darah haidh dan istihadah.

C. Hukum-hukum Istihadah
Tajuk
♦️Boleh melakukan seks walaupun darah istihadah masih keluar.
♦️Hendaklah menjaga dirinya dari darah istihadah.
♦️Berwudhu’ hanya setelah masuk waktu salat.
♦️Mandi wajib sekali sahaja ketika darah haidh berhenti.
♦️Wajib berwudhu’ setiap kali mengerjakan solat.
♦️Wanita yang istihadah sama seperti wanita yang dalam keadaan suci.

D. Wanita Haidh dan Nifas harus qadha’ Puasa, namun tidak qadha’ Solat.

E. Bagaimana kalau seorang wanita suci setelah Waktu Asar atau Isyak?

F. Jamak Shuri bagi wanita yang Istihadah.

ISTIHADAH

Ini adalah perbincangan terakhir sebelum kita habiskan Kitab Taharah (Bersuci) dan kita masuk ke dalam Kitab Solat pula.

A. Pengertian Istihadah

Istihadah (الاستحاضة) ialah darah yang keluar dari kemaluan secara berterusan bagi seorang wanita. Ia keluar tanpa terputus-putus atau mungkin terputus sekejap seperti sehari-dua dalam sebulan. Ia keluar luar masa dari tempoh haidh.

B. Beberapa kondisi wanita yang Istihadah

Untuk mengetahui bilangan hari istihadah, maka ada beberapa jenis kondisi yang perlu diberi perhatian.

1. Wanita yang mengetahui masa haidh (sebelum sakit)

Bagi wanita yang tahu kebiasaan hari haidhnya, maka dia menggunakan kiraan itu sebagai tanda aras baginya. Selain dari hari-hari itu, maka ia dikira sebagai istihadah sahaja.

Sebagai contoh, kebiasaan bilangan hari haidh bagi Fatimah adalah 6 hari. Lalu kalau dia didatangi darah pada hari yang ke-7 dan seterusnya, itu dikira sebagai istihadah. Dia patut mandi pada akhir hari ke-6 dan dikira sudah suci.

✍🏻Dalilnya:

حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يُوسُفَ، قَالَ أَخْبَرَنَا مَالِكٌ، عَنْ هِشَامِ بْنِ عُرْوَةَ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ عَائِشَةَ، أَنَّهَا قَالَتْ قَالَتْ فَاطِمَةُ بِنْتُ أَبِي حُبَيْشٍ لِرَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي لاَ أَطْهُرُ، أَفَأَدَعُ الصَّلاَةَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ إِنَّمَا ذَلِكِ عِرْقٌ وَلَيْسَ بِالْحَيْضَةِ، فَإِذَا أَقْبَلَتِ الْحَيْضَةُ فَاتْرُكِي الصَّلاَةَ، فَإِذَا ذَهَبَ قَدْرُهَا فَاغْسِلِي عَنْكِ الدَّمَ وَصَلِّي ‏”‌‏.‏

295. Telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Yusuf berkata, telah mengkhabarkan kepada kami Malik daripada Hisyam bin ‘Urwah daripada Bapaknya daripada ‘Aisyah, bahawa dia berkata, “Fatimah binti Abu Hubaisy berkata kepada Rasulullah ﷺ, “Wahai Rasulullah, aku dalam keadaan tidak suci. Apakah aku boleh meninggalkan salat?” Rasulullah ﷺ lalu menjawab: “Sesungguhnya itu adalah darah penyakit dan bukan darah haidh. Jika haidh kamu datang maka tinggalkanlah salat, dan jika telah berlalu masa-masa haid, maka bersihkanlah darah darimu lalu salatlah.”

Syarah:
Maksud ‘darah penyakit’ itu adalah istihadah. Dari hadis ini mengajar wanita yang mereka tinggalkan salat dan puasa pada ketika masa-masa haidh yang biasa sahaja. Luar dari itu, kenalah mandi dan salat seperti biasa.

2. Tidak mengetahui lamanya masa haidh (sebelum sakit)

Ada juga para wanita yang tidak tahu berapakah bilangan kebiasaan haidhnya. Mungkin kerana dari mula dia datang haidh sudah ada darah istihadah lagi. Dalam kondisi ini, maka jangka haidhnya adalah 6 atau 7 hari mengikut kebiasaan wanita pada zamannya.

✍🏻Dalil bagi pegangan ini adalah berdasarkan hadis ini:

عن حمنة بنت جحش قَالَتْ: كُنْتُ أُسْتُحَاضُ حَيْضَةً كَثِيْرَةً شَدِيْدَةً فَأَتَيْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه و سلم أَسْتَفْتِيْهِ وَ أُخْبِرُهُ فَوَجَدْتُهُ فىِ بَيْتِ أُخْتىِ زَيْنَبَ بِنْتِ جَحْشٍ فَقُلْتُ: يَا رَسُوْلَ اللهِ إِنيِّ امْرَأَةٌ أُسْتُحَاضُ حَيْضَةً كَثِيْرَةً شَدِيْدَةً فَمَا تَرَى فِيْهَا قَدْ مَنَعَتْنىِ الصَّلاَةُ وَ الصَّوْمُ؟ فَقَالَ: أَنْعَتُ لَكِ اْلكُرْسُفَ فَإِنَّهُ يُذْهِبُ الدَّمَ قَالَتْ: هُوَ أَكْثَرُ مِنْ ذَلِكَ قَالَ: فَاتَّخِذِيْ ثَوْبًا فَقَالَتْ: هُوَ أَكْثَرُ مِنْ ذَلِكَ إِنمَّاَ أَثُجُّ ثَجًّا قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه و سلم : سَآمُرُكِ بِأَمْرَيْنِ أَيَّهُمَا فَعَلْتِ أَجْزَأَ عَنْكِ مِنَ اْلآخَرِ وَ إِنْ قَوِيْتِ عَلَيْهِمَا فَأَنْتِ أَعْلَمُ فَقَالَ لَهَا: إِنمَّاَ هَذِهِ رَكْضَةٌ مِنْ رَكَضَاتِ الشَّيْطَانِ فَتَحَيَّضِيْ سِتَّةَ أَيَّامٍ أَوْ سَبْعَةَ أَيَّامٍ فىِ عِلْمِ اللهِ ثُمَّ اغْتَسِلِيْ حَتىَّ إِذَا رَأَيْتِ أَنَّكِ قَدْ طَهُرْتِ وَ اسْتَنْقَأْتِ فَصَلِّي ثَلاَثًا وَ عِشْرِيْنَ لَيْلَةً أَوْ أَرْبَعًا وَ عِشْرِيْنِ لَيْلَةً وَ أَيَّامَهَا وَ صُوْمِيْ فَإِنَّ ذَلِكَ يُجْزِيْكَ وَ كَذَلِكَ فَافْعَلِيْ كُلَّ شَهْرٍ كَمَا َتحِيْضُ النِّسَاءُ وَ كَمَا يَطْهُرْنَ مِيْقَاتَ حَيْضِهِنَّ وَ طُهْرِهِنَّ وَ إِنْ قَوِيْتِ عَلَى أَنْ تُؤَخِّرِي الظُّهْرَ وَ تُعَجِّلَ اْلعَصْرَ فَتَغْتَسِلِيْنَ وَ تَجْمَعِيْنَ بَيْنَ الصَّلاَتَيْنِ الظُّهْرِ وَ اْلعَصْرِ وَ تُؤَخِّرِيْنَ اْلمـَغْرِبَ وَ تُعَجِّلِيْنَ اْلعِشَاءَ ثُمَّ تَغْتَسِلِيْنَ وَ تَجْمَعِيْنَ بَيْنَ الصَّلاَتَيْنِ فَافْعَلِيْ وَ تَغْتَسِلِيْنَ مَعَ اْلفَجْرِ فَافْعَلِيْ وَ صُوْمِيْ إِنْ قَدِرْتِ عَلَى ذَلِكَ قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه و سلم: هَذَا أَعْجَبُ اْلأَمْرَيْنِ إِلَيَّ

Daripada Hamnah binti Jahsyi رضي الله عنها berkata, “Aku pernah mengalami istihadhah yang deras sekali, lalu aku mendatangi Rasulullah ﷺ untuk meminta fatwa kepadanya. Aku mendapatkan berita tentangnya lalu aku menjumpai baginda di rumah saudariku Zainab binti Jahsyi. Aku berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mengalami istihadah yang deras sekali, bagaimana pendapatmu, apakah ia mencegahku dari salat dan puasa?”. Baginda menjawab, “Aku akan terangkan kepadamu, kain kapas (yang engkau lekatkan pada farji) dapat menghilangkan (atau menyerap) darah”. Hamnah رضي الله عنها berkata, “Darahku lebih banyak dari itu”. Nabi ﷺ menjawab, “Ambillah kain”. Hamnah رضي الله عنها berkata lagi, ”Darahku lebih banyak lagi dari itu kerana ia adalah darah yang mengalir”. Maka bersabdalah Rasulullah ﷺ, ”Aku akan perintahkan kepadamu dua hal, manapun yang engkau kerjakan nescaya mencukupimu dari yang lain, tetapi jikalau engkau mampu keduanya engkaulah yang lebih tahu”. Baginda bersabda kepadanya, ”Itu hanyalah satu gangguan dari beberapa gangguan syaitan, maka berhaidhlah engkau enam atau tujuh hari di dalam ilmu Allah ‎ﷻ kemudian mandilah sehingga apabila engkau lihat (atau yakin) bahawa engkau telah suci dan telah sampai masa suci maka salatlah selama dua puluh tiga atau dua puluh empat hari dan puasalah.

Maka sesungguhnya yang demikian itu cukup bagimu dan demikian pula hendaknya engkau lakukan setiap bulan sebagaimana perempuan haidh dan suci pada waktu haidh dan sucinya mereka. Jikalah engkau masih mampu maka hendaknya engkau mengakhiri salat Zuhur dan menyegerakan salat Asar lalu engkau mandi dan menjama’ antara dua salat iaitu Zuhur dan Asar, dan engkau mengakhirkan Maghrib dan menyegerakan Isyak kemudian engkau mandi dan menjama’ antara dua salat iaitu Maghrib dan Isyak, maka tunaikanlah. Engkau mandi bersama salat fajar maka tunaikanlah dan berpuasalah jika engkau mampu”. Lalu Rasulullah ﷺ bersabda, ”Cara yang terakhir inilah yang lebih aku sukai.”.
[HR Abu Daud: 287, At-Tirmizi: 128, Ibnu Majah: 627 dan Ahmad: VI/ 381-382, 439, 439-440. Berkata Asy-Syaikh Al-Albani: Hasan].

Syarah:
Wanita dalam hadis ini baru mengalami haidh dan tidak tahu kebiasaan haidh baginya. Kerana itu Rasulullah ﷺ memberitahu yang dia hendaklah mengikut kebiasaan wanita pada zamannya.

3. Tidak mengetahui lama masa haidh, tetapi dapat membezakan antara darah haidh dan istihadah.

Mungkin ada wanita yang tidak ada masa yang normal bagi haidhnya, tetapi dia dapat membezakan di antara warna darah haidh dan istihadah. Maka dia haruslah mengikut warna yang keluar itu. Kalau warna haidh, maka dia haruslah meninggalkan puasa dan salat. Ini berdasarkan hadith.

✍🏻Nabi ﷺ berkata kepada Fatimah binti Abu Hubaisy رضي الله عنها:

إِذَا كَانَ دَمُ الحَيْضَةِ فَإِنَّهُ أَسْوَدُ يُعْرَفُ، فَإِذَا كَانَ ذَلِكَ فَأَمْسِكِيْ عَن الصَّلاَةِ، فَإِذَا كَانَ الآخَرُ فَتَوَضَّئِيْ وَصَلِّيْ فَإِنَّمَا هُوَ عِرْقٌ … رواه أبو داود والنسائي وصححه ابن حبان والحاكم

“Darah haidh iaitu apabila berwarna hitam yang dapat diketahui, maka tinggalkan salat, tetapi jika selain itu cirinya maka berwudhu’lah dan lakukan salat kerana itu adalah darah penyakit.”
[ HR. Abu Dawud, An-Nasa’i dan dinyatakan sahih oleh Ibnu Hibban dan Al-Hakim ].

C. Hukum-hukum Istihadah

1. Boleh melakukan seks walaupun darah istihadah masih keluar

Seorang isteri boleh berhubungan badan dengan suaminya kalau dalam istihadah. Ini kerana pada dasarnya, isteri itu dalam keadaan suci. Kalau dalam istihadah pun boleh salat, maka tentu boleh juga berhubungan badan. Ini adalah pendapat jumhur.

✍🏻✍🏻Ini berdasarkan satu riwayat, “Bahawa Hamnah bint Jahsy رضي الله عنها sedang dalam keadaan istihadah sedangkan suaminya (Tholhah bin ‘Ubed رضي الله عنه) menyetubuhinya.
[Sunan Abu Dawud no. 303]

✍🏻Dalam riwayat lain, “Bahawa Ummu Habibah رضي الله عنها ketika sedang istihadah dan suaminya (Abdurrahman bin Auf رضي الله عنه) menyetubuhinya. Lalu keduanya bertanya tentang HUKUM WANITA YANG ISTIHADAH kepada Rasulullah ﷺ. Maka jika persetubuhan itu adalah “HARAM”, nescaya nabi ﷺ sudah menjelaskan kepada keduanya.
[Sunan Abu Dawud no. 302]

2. Hendaklah menjaga dirinya dari darah istihadah

Sebelum mengambil wudhu’ untuk salat, hendaklah dibersihkan darah istihadah itu. Dan kemudian diletakkan kapas atau kain pada kemaluan untuk mengurangkan turunnya darah itu. Kalau zaman sekarang, bolehlah memakai tuala wanita.

3. Berwudhu’ hanya setelah masuk waktu salat

Wanita dalam istihadah boleh salat. Cuma untuk salat, wudhu’ baginya diambil hanya apabila sudah masuk waktu salat dan selepas wudhu’ dia terus sahaja salat.

4. Mandi wajib sekali sahaja ketika darah haidh berhenti.

Dia tidak wajib mandi untuk salat, hanya perlu wudhu’ sahaja untuk salat. Wanita istihadah hanya perlu mandi sekali sahaja iaitu apabila darah haidh berhenti.

Tetapi memang sunat dan digalakkan untuk mandi setiap kali untuk solat. Malah ada pendapat yang mengatakan ini adalah sebagai penyembuh kepada penyakit darahnya itu (dengan selalu mandi dapat membetulkan urat wanita itu).

5. Wajib berwudhu’ setiap kali mengerjakan salat.

Diwajibkan untuk wudhu’ setiap kali untuk salat.

✍🏻Ini berdasarkan hadith Nabi ﷺ yang berkata kepada Fatimah binti Abu Hubaisy رضي الله عنها:

إِذَا كَانَ دَمُ الحَيْضَةِ فَإِنَّهُ أَسْوَدُ يُعْرَفُ، فَإِذَا كَانَ ذَلِكَ فَأَمْسِكِيْ عَن الصَّلاَةِ، فَإِذَا كَانَ الآخَرُ فَتَوَضَّئِيْ وَصَلِّيْ فَإِنَّمَا هُوَ عِرْقٌ … رواه أبو داود والنسائي وصححه ابن حبان والحاكم

“Darah haidh iaitu apabila berwarna hitam yang dapat diketahui, maka tinggalkan salat, tetapi jika selain itu cirinya maka berwudhu’lah dan lakukan salat kerana itu adalah darah penyakit.”
[HR. Abu Dawud, An-Nasa’i dan dinyatakan sahih oleh Ibnu Hibban dan Al-Hakim].

6. Wanita yang istihadah sama seperti wanita yang dalam keadaan suci

Wanita dalam istihadah sama sahaja dengan wanita suci yang lain: boleh salat, puasa, baca al-Qur’an, berhubungan badan dengan suami dan lain-lain lagi.

D. Wanita Haidh dan Nifas harus qadha’ Puasa, namun tidak qadha’ Solat

✍🏻Ini jelas disebut dalam hadith:

عَنْ مُعَاذَةَ قَالَتْ سَأَلْتُ عَائِشَةَ فَقُلْتُ مَا بَالُ الْحَائِضِ تَقْضِي الصَّوْمَ وَلَا تَقْضِي الصَّلَاةَ فَقَالَتْ أَحَرُورِيَّةٌ أَنْتِ قُلْتُ لَسْتُ بِحَرُورِيَّةٍ وَلَكِنِّي أَسْأَلُ قَالَتْ كَانَ يُصِيبُنَا ذَلِكَ فَنُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّوْمِ وَلَا نُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّلَاةِ — رواه مسلم

“Daripada Mu’adzah dia berkata, saya pernah bertanya kepada A’isyah رضي الله عنها kemudian aku berkata kepadanya, bagaimana orang yang haidh itu harus mengqadha’ puasa tetapi tidak wajib mengqadha’ salat. Lantas dia (‘Aisyah رضي الله عنها) bertanya kepadaku, apakah kamu termasuk orang haruriyyah? Aku pun menjawab, aku bukan orang haruriyyah tetapi aku hanya bertanya. ‘Aisyah رضي الله عنها pun lantas berkata, bahawa hal itu (haidh) kami alami kemudian kami diperintahkan untuk mengqadha’ puasa tetapi tidak diperintahkan untuk mengqadha’ salat”.
(HR. Muslim)

Syarah:
Maksud haruriyyah itu orang daripada kampung Harura`, dinisbatkan kepada nama daerah di pinggir kota Kufah yang menjadi tempat berkumpulnya generasi awal kaum khawarij. Kemudian istilah haruriy atau haruriyyah menjadi terkenal sehingga digunakan untuk merujuk setiap orang khawarij. Di antara contoh penggunaannya adalah pertanyaan ‘Aisyah رضي الله عنها di atas kepada Mu’adzah. Kenapa ‘Aisyah bertanya begitu, kerana menurut golongan khawarij, orang yang haidh itu wajib mengqadha’ salat yang ditinggalkan pada saat mengalami haid. Mereka hanya menggunakan akal mereka sahaja.

Ini juga adalah salah satu dari hujah untuk mengatakan yang hukum agama Islam ini bukanlah boleh ditentukan oleh akal. Kalau kita gunakan akal, tentulah salat itu mestilah diqadha’. Ini adalah kerana salat itu lagi besar ibadahnya dari puasa. Tetapi tidak begitu kerana hukum agama menggunakan dalil. Dan dalil mengatakan kalau puasa wajib diqadha’ tetapi salat tidak wajib diqadha’ oleh wanita yang mengalami haidh atau nifas.

E. Bagaimana kalau seorang wanita suci setelah Waktu Asar atau Isyak?

✍🏻Kata Imam al-Nawawi رحم الله: “Yang sahih di sisi kami (Mazhab Asy-Syafi’iy) bahawa mereka yang uzur, wajib untuk melaksanakan salat Zuhur jika dia sempat melaksanakan apa yang wajib dengannya dalam salat Asar (apabila hilang uzurnya). Inilah pendapat Abdurrahman bin Auf, Ibn Abbas, ahli fiqh Madinah yang tujuh, Ahmad, dan selain mereka. Manakala kata al-Hasan, Qatadah, Hammad, al-Thauri, Abu Hanifah dan Malik, tidak wajib ke atas orang itu.”
[Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (3/66)]

Maksudnya, kalau seorang wanita telah perasan yang dia telah suci dari haidh pada waktu Asar, maka wanita itu wajib salat Asar dan qadha’ Zuhur sekali. Dan kalau dia suci pada waktu Isyak, maka dia wajib salat Isyak dan qadha’ salat Maghrib sekali.

Ini adalah kerana waktu Zuhur dipasangkan dengan waktu Asar dalam jama’, begitu juga waktu Maghrib dipasangkan dengan waktu Isyak dalam jama’.

F. Jamak Shuri bagi wanita yang Istihadah

Mungkin ada yang baru pertama kali dengar Jamak Shuri ini. ‘Jamak Shuri’ ini dari kalimah Shurah (rupa). Jadi ia bermaksud: ia berupa nampak seperti ‘Jamak’ tetapi sebenarnya tidak. Ini kerana ia adalah ‘pakej’ salat Hujung Zuhur dan Awal Asar; dan Hujung Maghrib dan Awal Isyak.

Maksudnya, kalau kita sudah tahu waktu salat Asar masuk jam 4:15, maka, kita salat Zuhur sekitar jam 4:10 iaitu masih lagi waktu Zuhur. Tidak mengapa kalau dalam solat itu termasuk dalam waktu Asar. Selepas salam untuk salat Zuhur, terus sahaja masuk salat Asar kerana ketika itu waktu Asar telah masuk.

Kelebihan Jamak Shuri ini adalah sekali sahaja wudhu’ untuk dua salat.

✍🏻Dalil bagi perbuatan ini adalah hadith yang sebelum ini kita telah berikan:
Jikalah engkau masih mampu maka hendaknya engkau mengakhiri salat Zuhur dan menyegerakan salat Asar lalu engkau mandi dan menjama’ antara dua salat iaitu Zuhur dan Asar, dan engkau mengakhirkan Maghrib dan menyegerakan Isyak kemudian engkau mandi dan menjama’ antara dua salat iaitu Maghrib dan Isyak, maka tunaikanlah.
[HR Abu Daud: 287, At-Tirmizi: 128, Ibnu Majah: 627 dan Ahmad: VI/ 381-382, 439, 439-440. Berkata Asy-Syaikh Al-Albani: Hasan].

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan