Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-63

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-63

874
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-63

Ini jenis kedua golongan Yahudi. Mereka itu datuk nenek kepada Yahudi yang hidup zaman Nabi di Madinah. Sekarang cucu cicit merekalah yang duduk di Madinah.

Mereka itu ada perangai buruk yang Allah SWT hendak ceritakan kepada semua. Allah SWT hendak ceritakan pertamanya kepada orang Arab Madinah kerana merekalah yang mula-mula terima al-Qur’an dan mereka yang berdepan dengan golongan Yahudi itu. Kalau Yahudi di Madinah waktu itu, mereka tentu tidak akan menceritakan kesilapan tok nenek mereka.

Oleh kerana Arab Madinah tidak tahu kisah ini, mereka sangka yang golongan Yahudi itu adalah golongan suci yang tidak boleh dipersalahkan. Mereka nampak Yahudi itu macam puak-puak wali sahaja. Maka Allah SWT bongkarkan kisah mereka. Sesudah mereka dengar kisah ini, fikirkanlah bagaimana hubungan mereka dengan golongan Yahudi itu.

Kalau tok nenek mereka berperangai macam itu, ada kemungkinan cucu cicit mereka pun ada perangai macam itu juga. Maka, hendaklah diketahui yang golongan Yahudi itu tidaklah baik sangat.

Kita akan baca tiga keburukan mereka.

1. Tawalli anil Ahkam. Berpaling dari beramal dengan hukum

2. Banyak soal tentang hukum Tuhan. Benda senang tetapi mereka yang susahkan.

3. Suka buat helah dalam beramal dalam hukum Tuhan. Ini kisah mereka menangkap ikan pada hari Sabtu. Mereka tidak boleh menangkap ikan pada hari ibadat, iaitu hari Sabtu. Tetapi hari Sabtu itulah Allah beri ujian dengan ikan keluar dengan banyak. Maka, mereka buat helah dengan tahan pukat pada hari Jumaat dan angkat pada hari Ahad. Mereka kata mereka hanya tangkap ikan hari Ahad sahaja.

Begitulah masyarakat kita sekarang pun buat helah juga. Sebagai contoh, riba’ itu haram. Tetapi dengan helah yang dilakukan, riba’ yang haram boleh jadi halal juga. Cuma nama sudah jadi lain (bunga seolah-oleh boleh diwangikan seperti bunga).

Maka helah sebegitu adalah sifat Yahudi. Begitu juga ada ulama’ dalam Islam yang buat helah dalam hal syariat. Mereka pusing dalil-dalil syariat sampaikan yang haram boleh jadi halal. Mereka pun ikut sifat Yahudi.

Sebagai contoh, Majlis Tahlil adalah bid’ah kerana Nabi tidak pernah buat dan banyak kesalahan di dalam majlis itu tetapi ada tok guru yang bagi hujah ‘murtabak’. Dia kata tepung boleh makan, telur boleh makan, air boleh makan, bawang boleh makan. Maka kalau digaulkan semua sekali jadi murtabak, selalu sahaja dimakan.

Jadi dia beri hujah karut: dalam Majlis Tahlil ada bacaan ayat Qur’an, ada zikir, ada doa. Semua benda ini boleh diamalkan. Jadi kalau digaulkan sekali dalam satu majlis, apa salahnya? Inilah hujah seperti yang digunakan oleh Yahudi, menggunakan helah dalam agama.

وَإِذ أَخَذنا ميثاقَكُم وَرَفَعنا فَوقَكُمُ الطّورَ خُذوا ما آتَيناكُم بِقُوَّةٍ وَاذكُروا ما فيهِ لَعَلَّكُم تَتَّقونَ

Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil perjanjian setia kamu semasa Kami angkatkan Gunung Tursina di atas kamu (sambil Kami berfirman): “Terimalah Taurat yang telah Kami berikan kepada kamu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh, dan ingatlah (jangan lupakan) apa yang tersebut di dalamnya, supaya kamu bertaqwa.

وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثَاقَكُمْ

Dan ingatlah ketika Kami mengambil perjanjian dengan kamu;

Ini adalah perangai pertama mereka iaitu berpaling dari syariat. Perkataan مِيثَاقَ dalam ayat ini sebenarnya ada juga dalam Taurat. Allah gunakan lafaz yang sama supaya mereka tidak ada alasan untuk mengatakan yang ianya adalah perkara yang berlainan. Lafaz عهد juga ada lafaz yang sama dalam Taurat dan al-Qur’an. Ia untuk mengingatkan yang mereka telah berjanji akan berpegang dengan syariat dalam Taurat.

Oleh itu, ini adalah perjanjian dengan tok nenek mereka di zaman Nabi Musa. Perjanjian itu adalah antara tok nenek Bani Israil yang dahulu, tetapi kenapa Allah SWT mengingatkan Bani Israil zaman Nabi Muhammad pula? Ini adalah kerana mereka adalah satu bangsa. Mereka pun tahu tentang perjanjian itu kerana mereka memang berbangga dengan sejarah mereka. Oleh itu, mereka ambil tahu apa yang terjadi dalam sejarah mereka. Maka, mereka memang tahu apa yang telah berlaku.

Kata مِيثَاقَ bermaksud perjanjian yang ada tanggungjawab yang berat di dalamnya. Sebab itulah Allah tekankan dalam ayat ini. Maka jangan ambil lewa tentang perjanjian itu. Penjelasan tentang apakah perjanjian itu ada dalam Surah al-A’raf. Ada hubungan antara Surah Baqarah dan Surah A’raf kerana ada kaitan.

Peringatan kepada Bani Israil zaman Nabi Muhammad itu adalah juga peringatan kepada kita juga. Jangan kita sangka yang perjanjian itu adalah untuk bangsa Yahudi sahaja. Apabila Allah SWT letakkan dalam al-Qur’an, bermakna ia juga untuk perhatian kita juga.

وَرَفَعْنَا فَوْقَكُمُ الطُّورَ

Dan Kami angkat bukit Thur atas kepala kamu;

Tetapi mereka telah engkar dan kerana itu Allah SWT telah mengangkat Bukit Thur atas mereka. Allah SWT hendak hempap mereka kalau mereka tidak mahu beramal dengan Taurat. Dulu mereka beri alasan tidak ada kitab. Sekarang bila sudah ada, mereka tidak mahu beramal pula. Sampai Allah angkat Bukit Thur ini atas mereka untuk beri ancaman kepada mereka.

Bukit Thur telah diangkat atas mereka kerana mereka engkar kepada Nabi Musa. Mereka engkar apabila mereka kata 70 orang wakil yang mengikut Nabi Musa ke atas bukit itu telah bersekongkol dengan Nabi Musa. 70 orang wakil itu telah dimatikan kerana mereka telah minta untuk melihat Allah SWT secara zahir. Selepas mereka dimatikan, mereka telah dihidupkan.

Selepas dihidupkan, tentulah mereka telah percaya kepada Nabi Musa. Bila mereka turun ke bawah bukit bertemu dengan kaum mereka, mereka telah menceritakan segalanya kepada Bani Israil yang di bawah.Namun, kaum mereka yang lain, masih tidak mahu percaya. Mereka kata wakil-wakil itu telah bersekongkol pula dengan Nabi Musa. Mereka kata Nabi Musa telah rasuah wakil-wakil itu.

Ada juga yang kata memang terangkat bukit Thursina atas kepada mereka terawang-awang. Ada yang kata ia hanya bergegar dan jatuh sahaja.

Apabila bumi bergegar dengan kuat, tentulah kita akan pegang sesuatu. Apa yang kita hendak pegang?

خُذُوا مَا آتَيْنَاكُمْ بِقُوَّةٍ

Allah berkata: Peganglah sungguh-sungguh apa yang Kami telah beri kepada kamu;

Mereka diarahkan untuk beramal sungguh-sungguh dengan kitab Taurat itu dan jangan main-main. Mereka telah terima Nabi Musa itu tetapi mereka tidak menerimanya dengan serius kerana itulah Allah SWT telah angkat Bukit Thursina atas mereka untuk menakutkan kepada mereka. Ia sebagai penekanan kepada mereka untuk menerima Nabi Musa dan syariat bersungguh-sungguh.

Allah SWT jadikan satu perkara yang hebat dan besar untuk menyedarkan mereka. Jika sesuatu yang besar berlaku, tentulah manusia memberi perhatian. Oleh kerana puak Yahudi itu memang degil, maka Allah SWT kena gunakan kekerasan.

وَاذْكُرُوا مَا فِيهِ

dan ingatlah apa yang ada dalam Taurat itu;

Arahan untuk ‘ingat’ di sini bermaksud: belajarlah. Dan kena sentiasa muzakarah sesama mereka. Jangan culas belajar ilmu yang ada dalam kitab Taurat.

Dan bukan sahaja belajar, tetapi lepas belajar, kena mengajar dan sampaikan kepada orang lain. Kena amalkan yang telah dipelajari itu kerana makna ‘zikr’ bukan hanya ingat, tetapi kena juga ingatkan kepada orang lain.

Maka, kita pun kena belajar dan mengajar tafsir al-Qur’an juga. Bukan hanya mengajar ‘baca’ al-Quran, tetapi mengajar tafsir al-Qur’an. Sekarang orang Melayu rata-rata menjaga bacaan al-Qur’an mereka, sampai ada yang masuk kelas Tajwid untuk orang dewasa tetapi mereka masih tidak masuk kelas belajar tafsir al-Qur’an untuk memahami apakah yang Allah SWT sampaikan dalam al-Qur’an. Ini amat pelik: belajar baca tetapi tidak belajar bagaimana hendak faham apa yang dibaca.

لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

mudah-mudahan kamu akan bertakwa;

Apabila Allah SWT kata ‘mudah-mudahan’, ia bermaksud: pasti. Maknanya, kalau kita pegang al-Qur’an dengan belajar dan mengajar, kita akan pasti mendapat takwa. Ini kerana apabila kita mengajar, kita akan selalu diingatkan dengan ajaran dalam al-Qur’an itu, maka mudah-mudahan akan membawa orang yang mengajar itu kepada ketaqwaan.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan