Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-49 hingga Ke-51

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-49 hingga Ke-51

254
0
Iklan

Ringkasnya jasa-jasa Allah ‎ﷻ kepada Yahudi dalam ayat-ayat ini:

Ayat ke-49: jasa pertama (mereka diselamatkan dari Firaun)

Ayat ke-50: jasa kedua (laut dibelah dan Firaun dimatikan bersama tenteranya)

Ayat ke-51 dan ke-52: jasa ketiga (mereka diampunkan walaupun telah menyembah patung sapi)

Ayat ke-53: jasa keempat (mereka diberikan dengan Kitab Taurat)

Ayat ke-54: jasa kelima (mereka diampunkan setelah berbuat syirik)

Ayat ke-55 dan ke-56: jasa keenam (mereka dihidupkan kembali setelah dimatikan kerana minta untuk melihat Allah ‎ﷻ)

Ayat ke-57: jasa ketujuh (mereka dinaungi dengan awan dan diberi makan Manna dan Salwa)

Ayat ke-60: jasa kelapan (mereka diberi minum dari air dalam batu)

Jadi, ada lapan jasa yang Allah ‎ﷻ sebut dalam bahagian ini. Jasa ini ada diulang-ulang dalam surah-surah lain. Dalam surah-surah lain pula, ada disebut jasa-jasa lain pula.

Dan bahagian hukuman pula:

Ayat ke-58 dan ke-59: hukuman pertama

Ayat ke-61: hukuman kedua

Mari kita baca jasa yang pertama:

وَإِذ نَجَّيناكُم مِن آلِ فِرعَونَ يَسومونَكُم سوءَ العَذابِ يُذَبِّحونَ أَبناءَكُم وَيَستَحيونَ نِساءَكُم ۚ وَفي ذٰلِكُم بَلاءٌ مِن رَبِّكُم عَظيمٌ

Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu.

وَإِذْ نَجَّيْنَاكُمْ

Dan ingatlah ketika Kami selamatkan kamu;

Perkataan yang digunakan dalam wazan begini bermaksud ‘berkali-kali Allah ‎ﷻ telah selamatkan mereka’. Bukan hanya sekali sahaja. Ini adalah kerana keluarga Firaun mempunyai peluang untuk menghapuskan bangsa Israil tetapi Allah ‎ﷻ telah menyelamatkan mereka setiap kali.

مِنْ آلِ فِرْعَوْنَ

daripada keluarga Firaun;

Ini adalah jasa pertama iaitu ketika Allah ‎ﷻ menyelamatkan mereka dari golongan Firaun. Mereka telah menimpakan ke atas Bani Israil azab yang sangat dahsyat. Dia membunuh anak-anak lelaki Bani Israil dan membiarkan wanita-wanita mereka hidup untuk menjadi hamba abdi. Akhirnya Allah ‎ﷻ menyelamatkan mereka dari kezaliman itu.

Kerajaan Firaun memerintah dan menindas bangsa Israil selama 400 tahun. ‘Firaun’ bukanlah nama seorang individu tetapi ia adalah satu pangkat keturunan. Selepas mati satu Firaun, akan diganti oleh Firaun yang lain.

Firaun adalah dari keturunan bangsa Qibti. Cara pemerintahan Firaun adalah dengan menggunakan dinasti kekeluargaan. Sebab itu Allah ‎ﷻ menggunakan kata ‘keluarga Firaun’. Maknanya, ini bukan Firaun seorang sahaja yang memerintah mereka dan menindas mereka. Semua pangkat tinggi diberikan kepada anak beranak dari keluarganya sahaja. Oleh itu, kalau kerajaan mana-mana negara sekarang menggunakan dinasti keluarga, maka ia adalah sama dengan cara Firaun memerintah.

يَسُومُونَكُمْ سُوءَ الْعَذَابِ

Mereka telah mengenakan kamu ke dalam azab yang teruk;

Sudahlah keluarga Firaun itu menjadikan mereka sebagai hamba abdi, malah mereka buat lebih teruk lagi. Bermakna keluarga Firaun menjadikan mereka sebagai satu bangsa yang hina.

يُذَبِّحُونَ أَبْنَاءَكُمْ

Mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu;

Memang mereka telah melakukan kezaliman yang amat teruk. Firaun telah mengarahkan penyembelihan anak-anak lelaki mereka. Hal ini disebabkan ramalan tukang tenung bahawa akan ada seorang anak lelaki kelahiran Bani Israil yang akan menjadi penyebab lenyapnya kerajaan Firaun itu tetapi Firaun hanya dapat buat sekali sahaja walaupun perintah yang Firaun keluarkan adalah sebanyak dua kali. Pada kali yang kedua, tidak sempat kerana dia telah ditenggelamkan dalam air laut yang terbelah.

Perkataan yang Allah ‎ﷻ gunakan dalam ayat ini adalah dalam ‘present tense’. Dari segi balaghah ia bermaksud ia boleh lagi terjadi dalam zaman ini. Kalau dalam bentuk ‘past tense’, maka ia bermaksud Firaun sahaja yang buat. Maka ini mengajar kita yang masih ada lagi orang yang bersifat seperti Firaun yang akan melakukan perkara yang sama kerana sentiasa sahaja ada orang yang bersifat seperti Firaun dalam dunia ini.

وَيَسْتَحْيُونَ نِسَاءَكُمْ

dan membiarkan hidup perempuan-perempuan kamu;

Maknanya, mereka membiarkan perempuan-perempuan hidup hanya untuk menghina bani Israil itu supaya tiada lagi lelaki daripada bani Israil. Mereka akan mengambil perempuan-perempuan bani Israil itu sebagai hak mereka (merogol) dan yang lahir nanti selepas itu adalah bangsa daripada keturunan Qibti belaka.

Ini adalah satu penghinaan yang paling teruk yang boleh dikenakan kepada satu-satu bangsa. Zaman sekarang ini pun masih lagi dilakukan oleh bangsa-bangsa tertentu yang hendak menghina satu bangsa lain. Ia dipanggil “ethnic cleansing” (pembersihan etnik).

Perkataan yang Allah ‎ﷻ gunakan dalam ayat ini juga adalah dalam ‘present tense’. Bermaksud ia boleh lagi terjadi pada zaman ini.

Keturunan Firaun ini adalah keturunan Qibti ataupun dalam bahasa Inggeris sekarang dikenali sebagai Coptic Christian kerana keturunan mereka itu kemudiannya telah masuk agama Kristian.

وَفِي ذَٰلِكُمْ

Dan pada yang demikian untuk kamu

Dalam apa yang terjadi kepada kaum kamu itu.

بَلَاءٌ مِنْ رَبِّكُمْ عَظِيمٌ

adalah ujian besar dari Tuhan kamu yang Maha Agung;

Pada demikian itu, suatu nikmat yang sangat besar – iaitu penyelamatan anak-anak lelaki dari dibunuh dan perempuan-perempuan mereka daripada dijadikan hamba abdi. Ini adalah terjemahan pertama bagi lafaz وَفي ذٰلِكُم.

Terjemahan kedua bagi lafaz وَفي ذٰلِكُم, merujuk kepada kejadian anak-anak lelaki dibunuh dan perempuan-perempuan mereka dijadikan hamba abdi, itu adalah ‘bala bencana’ daripads Allah ‎ﷻ. Ada dua pendapat kerana lafaz بَلاءٌ boleh jadi ‘nikmat’ atau ‘bala’. Satu kalimah yang mempunyai dua makna yang berlawanan.

Sebenarnya, semua ujian yang ada adalah daripada Allah ‎ﷻ belaka. Allah ‎ﷻ hendak menguji kita dalam kehidupan dunia ini. Kita pun ada juga mendapat ujian dari masa ke semasa. Kita juga mungkin boleh terkena dengan ujian yang telah dikenakan kepada Bani Israil ini kerana akan sentiasa ada jenis seperti Firaun dalam setiap zaman. Semoga Allah ‎ﷻ selamatkan kita.

Tafsir Ayat Ke-50

Ini adalah jasa yang kedua yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada Bani Israil. Ini ketika Laut Khulzum (atau Laut Merah) dibelah untuk mereka jadikan laluan untuk lari daripada Firaun dan telah ditenggelamkan pengikut Firaun dan Firaun sendiri ke dalam laut. Kamu boleh lihat sendiri mereka ditenggelami oleh air. Mereka boleh nampak sendiri bagaimana air yang dibelah itu dicantumkan dan semua pengikut Firaun dan Firaun sendiri mati kesemuanya.

وَإِذ فَرَقنا بِكُمُ البَحرَ فَأَنجَيناكُم وَأَغرَقنا آلَ فِرعَونَ وَأَنتُم تَنظُرونَ

Dan (kenangkanlah) ketika kami belahkan laut (Merah) untuk kamu lalui (kerana melarikan diri daripada angkara Firaun), maka Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun bersama-sama tenteranya, sedang kamu semua menyaksikannya.

وَإِذْ فَرَقْنَا بِكُمُ الْبَحْرَ

Dan ingatlah ketika Kami belahkan laut untuk kamu;

Perkataan ‘بِكُمُ‘ dalam ayat ini menunjukkan laut itu dibelah hanya untuk mereka sahaja. Selepas itu tidak ada laut yang dibelah lagi sampai sekarang.

Seperti yang kita tahu dari kisah sejarah para Nabi yang kita biasa dengar, Nabi Musa عليه السلام yang memukul laut itu dengan tongkat, tetapi Allah ‎ﷻ berkata dalam ayat ini bahawa Dia yang belahkan.

Maknanya, Allah عليه السلام yang sebenarnya membelah laut itu. Bukan Nabi Musa عليه السلام. Nabi Musa عليه السلام tidak mempunyai kuasa apa-apa untuk mengeluarkan mukjizat.

Begitu juga, Tok wali juga tidak ada kuasa untuk mengeluarkan keramat. Keramat itu seperti mukjizat juga, tidak boleh berulang-ulang dilakukan mengikut niat pembuatnya. Seperti juga Nabi Musa عليه السلام membelah laut itu, sekali sahaja dilakukan. Tidak ada cerita yang mengatakan, kalau baginda hendak menyeberang laut lagi, maka baginda membelah lagi laut ataupun sungai.

Jadi, keramat pun kalau terjadi, hanya sekali sahaja boleh dilakukan. Kalau keramat berlaku berulang kali, bermakna itu bukanlah keramat, tetapi adalah sihir. Sihir sahaja yang terjadi dengan kehendak orang itu dan boleh terjadi banyak kali.

Banyak orang yang boleh berbuat sihir. Kalau ada kuasa untuk melakukan sesuatu berulang kali, itu adalah sihir dan sihir adalah perbuatan kufur kepada Allah ‎ﷻ. Mereka yang boleh membuat sihir itu adalah kerana mereka beramal dengan sesuatu amalan yang salah. Jadi, banyaklah orang yang mengamalkan wirid-wirid pelik dan “ilmu rahsia”.

Dalam pengajian sesat mereka itu, ilmu itu hanya boleh diberikan kepada orang tertentu sahaja. Kononnya kalau belum sampai tempoh atau tahap tertentu, tidak boleh pakai lagi. Dan ini amatlah bahaya kerana kalau mengamalkan sesuatu wirid tertentu, mesti ada mengamalkan tawassul di permulaannya.

فَأَنْجَيْنَاكُمْ

Maka Kami selamatkan kamu;

Allah ‎ﷻ menyelamatkan mereka daripada ditenggelami laut dan daripada keluarga Firaun.

وَأَغْرَقْنَا آلَ فِرْعَوْنَ

Dan Kami tenggelamkan keluarga Firaun;

Keluarga Firaun telah ditenggelamkan dan dengan Firaun sekali. Bukanlah keluarganya sahaja tetapi berserta tentera dan pengikutnya sekali.

Semasa dia lemas itu, barulah Firaun mahu beriman. Dia telah mengucap sebenarnya tetapi tidak diterima syahadahnya pada waktu itu. Kalau baru mahu beriman semasa menghadapi suasana yang menyebabkan kita mati, maka tidak diterima iman orang itu.

Contohnya, kalau kita kemalangan, dan waktu itu baru mahu beriman, ia tidak akan diterima. Kalau dia telah pernah melakukan syirik kepada Allah ‎ﷻ, maka taubatnya pada waktu itu tidak diterima. Ini adalah kerana nyawanya sudah di kerongkong. Kalau dosanya jenis yang bukan syirik, in sha Allah masih lagi diterima.

Seluruh keluarga Firaun telah mati dalam laut. Tidak ada lagi yang meneruskan pemerintahannya selepas itu.

وَأَنْتُمْ تَنْظُرُونَ

Sedangkan kamu waktu itu, sedang melihat;

Golongan Bani Israil yang ada pada waktu itu memang nampak sendiri dengan mata mereka bahawa memang betul Firaun mati lemas dalam Laut Merah. Mereka sendiri nampak bagaimana laut boleh terbelah dan mereka diberikan laluan kering di tengah-tengah laut itu. Dan mereka kemudian nampak laut itu menghempap Firaun dan pengikutnya.

Ini adalah nikmat kerana kaum lain tidak nampak azab yang dikenakan terhadap kaum mereka. Macam kaum Luth, mereka ditinggalkan kaum mereka dan tidak boleh toleh ke belakang.

Kalau boleh nampak azab yang dikenakan kepada penentang, itu lebih seronok sebenarnya kerana boleh tengok sendiri. Dan Nabi ﷺ telah diberikan kelebihan yang lebih lagi kerana baginda dapat balas dengan tangan sendiri di dalam peperangan demi peperangan.

Jadi, walaupun Bani Israil itu dapat melihat Firaun dan tenteranya ditenggelamkan, tetapi mereka tidak berani lagi selagi mereka tidak melihat jasad Firaun. Takut-takut nanti timbul pula di tempat lain. Begitulah takutnya mereka dengan Firaun. Maka, mereka telah mencari jasad Firaun sampai mereka jumpa. Ini adalah kerana telah ada kepercayaan dalam kalangan mereka bahawa Firaun tidak boleh mati. Ada juga yang percaya bahawa Firaun adalah tuhan dan mereka hendak memastikan betul-betul bahawa Firaun telah mati. Maka Allah ‎ﷻ telah memuntahkan kembali jasad Firaun ke luar supaya mereka nampak yang memang Firaun benar-benar telah mati.

Jadi, Allah ‎ﷻ sedang mengingatkan Bani Israil tentang jasa Allah ‎ﷻ kepada mereka. Begitu juga Allah ‎ﷻ katakan kepada kita, mengingatkan yang dulu kita pernah juga mengamalkan syirik kerana kita tidak tahu bahawa perbuatan syirik itu salah.

Atau dahulu kita miskin, dan Allah ‎ﷻ telah berikan kekayaan. Allah ‎ﷻ ingin mengingatkan kita tentang nikmat-nikmat yang Dia telah berikan kepada kita. Tentu banyak nikmat yang telah Allah ‎ﷻ berikan.

Tafsir Ayat Ke-51

Ini adalah jasa ketiga yang Allah ‎ﷻ ingatkan kepada mereka.

وَإِذ واعَدنا موسىٰ أَربَعينَ لَيلَةً ثُمَّ اتَّخَذتُمُ العِجلَ مِن بَعدِهِ وَأَنتُم ظالِمونَ

Dan (kenangkanlah) ketika Kami berjanji kepada Nabi Musa (untuk memberi Taurat kepadanya sesudah dia bersiap selama) empat puluh malam. Kemudian, setelah dia pergi, kamu menyembah (patung) anak lembu, dan kamu sebenarnya orang-orang yang zalim (terhadap diri sendiri).

وَإِذْ وَاعَدْنَا مُوسَىٰ

Dan ingatlah ketika Kami ambil perjanjian dengan Nabi Musa;

Kejadian ini berlaku setelah mereka selamat daripada dikejar oleh Firaun dan selepas kisah belahan laut itu. Sepatutnya, selepas kejadian yang besar itu, bangsa Bani Israil telah menerima Nabi Musa عليه السلام sebagai Nabi mereka dan mereka sepatutnya taat kepada baginda. Tetapi kita lihatlah apa yang terjadi.

أَرْبَعِينَ لَيْلَةً

selama 40 hari;

Nabi Musa عليه السلام telah bertapa (bermunajat) di bukit Thursina untuk terima kitab Taurat. Nabi Musa عليه السلام pada waktu itu diperintahkan untuk membawa 70 ribu umatnya ke Bukit Thursina untuk menerima Kitab Taurat. Nabi Musa عليه السلام naik dahulu seorang diri. Sepatutnya dia bawa semua sekali naik bersamanya.

Jadi disebabkan itulah ujian diberikan kepada Nabi Musa عليه السلام dan kaumnya. Asalnya adalah 30 malam, dan Allah ‎ﷻ suruh tambah lagi 10 malam. Dalam tempoh itu, kaumnya yang di bawah telah menyembah patung anak sapi yang dibuat dari emas. Sebab bukan semua dibawa naik ke atas, ada yang ditinggalkan di bawah bukit Thursina. Yang menyembah patung sapi itu adalah mereka yang menunggu di bawah.

ثُمَّ اتَّخَذْتُمُ الْعِجْلَ

Kemudian kamu ambil anak lembu sebagai pujaan kamu

Kemudian mereka yang tidak pergi dengan Nabi Musa عليه السلام ‎telah menjadikan patung anak lembu sebagai ilah pemujaan, dan mereka minta macam-macam kepadanya, selepas pemergian Nabi Musa عليه السلام pergi bertapa. Mereka puja anak lembu itu.

مِنْ بَعْدِهِ

selepas pemergian Nabi Musa

Iaitu selepas Nabi Musa عليه السلام naik ke Bukit Thursina. Bayangkan ini berlaku selepas segala apa yang telah terjadi dan segala apa yang mereka telah saksikan. Setelah Nabi Musa عليه السلام menyelamatkan mereka dan selepas Allah ‎ﷻ telah belahkan laut untuk mereka. Mereka masih lagi melakukan perkara syirik. Maka amat berat sekali dosa yang telah mereka lakukan.

وَأَنْتُمْ ظَالِمُونَ

Kamu waktu itu zalim;

Makna ‘zalim’ dalam ayat ini bermaksud syirik. Ada di kalangan umat Nabi Musa عليه السلام yang telah menyembah patung anak sapi. Orang-orang lain tidak berani melarang, kerana yang buat itu adalah orang-orang yang gagah. Nabi Harun pun tidak berani hendak melarang mereka.

Yang menjadi kepalanya adalah Musa Samiri. Allah ‎ﷻ hendak menekankan bahawa yang zalim sebenarnya adalah mereka kerana bangsa Bani Israil ini adalah jenis yang menyalahkan orang lain dalam kesalahan mereka. Sampai Allah ‎ﷻ pun mereka salahkan apabila mereka telah melakukan kesalahan. Jadi Allah ‎ﷻ ingin menekankan bahawa merekalah sebenarnya yang bersalah, bukannya orang lain, bukannya Allah ‎ﷻ.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan