Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-40

Tafsir surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-40

764
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah

Pengenalan kepada topik yang baru:

Dari ayat ke-40 surah al-Baqarah hingga ke hujung Juzuk Pertama, adalah berkenaan orang Yahudi. Jadi ayat ini dan seterusnya adalah khitab kepada Bani Israil. Sebelum ini kitab secara umum kepada manusia.

Mereka ini mendapat kitab yang khusus kerana mereka golongan yang dikurniakan kitab wahyu. Memang terdapat lagi bangsa lain yang mendapat kitab wahyu tetapi yang paling masyhur adalah Bani Israil. Mereka mendapat Kitab Taurat, Zabur dan Injil. Memang mereka mendapat banyak kitab kalau dibandingkan dengan golongan lain. Yang bangsa lain ada juga mendapat kitab tetapi tidak masyhur.

Namun, walaupun mereka mendapat kitab wahyu, masalahnya mereka sendiri tidak mengikut kitab itu. Majoriti daripada golongan mereka yang tidak mengikut ajaran di dalam kitab.

Maka Allah ‎ﷻ ingin mengingatkan kita jangan jadi seperti mereka kerana kita pun ada kitab al-Qur’an tetapi tidak mengikut ajaran di dalamnya juga, bukan? Maka jangan buat malu – masyhur sahaja umat Islam ada al-Qur’an tetapi tidak pakai pun. Tahu baca sahaja tetapi tidak tahu apa yang Allah ‎ﷻ sampaikan dalam al-Qur’an itu. Jadi kita ini sama sahaja dengan orang-orang Yahudi itu.

Maka teguran ini adalah kepada orang Yahudi dan para pendeta mereka. Ia berkenaan soalan yang mereka tanya kepada Nabi ﷺ dan jawapan kepada mereka. Ia hendak memperkenalkan kita kepada sifat-sifat orang Yahudi kerana ditakuti kita pun ada sifat-sifat mereka.

Allah ‎ﷻ menceritakan tentang mereka supaya kita boleh mengambil pengajaran daripada kisah mereka. Bukan hanya suka-suka sahaja Allah ‎ﷻ menceritakan perihal tentang mereka. Bukanlah tujuan kita belajar tentang mereka itu hanya untuk menunjukkan kepada kita betapa teruknya perangai mereka tetapi kerana Allah ‎ﷻ ingin memberitahu kita yang kadang-kadang kita pun ada sifat Yahudi.

Kenalah berlapang dada jikalau kita ada sifat-sifat Yahudi. Jangan kita salahkan ayat-ayat al-Qur’an ini dan tafsir ini pula kerana mungkin dalam kita belajar tafsir ini, ada antara sifat-sifat itu yang sama dengan kita atau ada antara guru kita yang ada sifat para pendeta Yahudi. Maka, kalau begitu, kenalah kita berhati-hati dengan guru-guru seperti itu dan meninggalkan mereka kerana kalau kita terus mengikut mereka, maka kita akan kerugian.

Ayat 40 – 123 ditujukan kepada ahli Kitab lebih-lebih kepada mereka yang tinggal di sekitar kota Madinah bersama dengan Nabi Muhammad ﷺ. Mereka sebenarnya adalah penghalang besar kepada dakwah Islam. Jadi harus dijelaskan dengan sejelas-jelasnya tentang mereka.

Untuk memahami ayat-ayat ini, kita kena faham sejarah waktu itu dahulu. Orang Arab Madinah sebenarnya sebelum memasuki Islam, mereka sudah mempunyai guru yang menjadi tempat rujukan mereka, iaitu golongan Yahudi. Puak-puak Yahudi itu bukan sahaja guru mereka dalam hal-hal agama, malah puak-puak Yahudi itu juga adalah majikan mereka. Dari segi ekonomi, masyarakat Arab banyak bergantung kepada golongan Yahudi itu.

Mereka banyak berhutang dengan puak-puak Yahudi itu. Puak-puak Yahudi itu bukan sahaja kaya tetapi mereka juga ada ilmu agama. Mereka golongan yang ada kitab wahyu daripada Allah ‎ﷻ. Orang Arab selalu bertanya kepada golongan Yahudi tentang ilmu-ilmu agama. Jadi kesimpulannya, orang Arab kebanyakannya jahil dan miskin walaupun mereka adalah majoriti penduduk Yathrib (nama Madinah sebelum ditukar oleh Nabi Muhammad ﷺ). Oleh itu, Yahudi sangat berpengaruh di Madinah dan amat dipandang tinggi oleh golongan Arab Madinah.

Orang Arab Madinah terdiri daripada banyak puak dan selalu berperang sesama mereka. Puak yang utama adalah Aus dan Khazraj. Dua puak ini mempunyai hubungan dengan Puak Yahudi yang berlainan. Puak Aus berkawan dengan Yahudi Bani Quraizah, sementara puak Khazraj pula berhubungan dengan puak Bani Nadhir.

Puak-puak Yahudi itu menjadi penaung kepada puak Arab masing-masing. Maka apabila puak Arab itu berbalah dan berperang, maka puak Yahudi Quraizah dan Nadhir pun ikut bermusuhan sesama mereka. Sampai kepada tahap berbunuhan sesama Yahudi. Ini semua adalah sebelum kedatangan Nabi ﷺ lagi.

Apabila puak-puak Arab itu sudah ada penaung dan majikan (golongan Yahudi), maka apabila datang orang luar, mereka susah untuk menerima orang luar. Mereka lebih mempercayai puak Yahudi yang telah menjadi tempat rujukan mereka selama ini. Kalau dengar sesuatu yang tidak biasa mereka dengar, mereka akan rujuk tok guru mereka daripada kalangan Yahudi.

Yahudi itu pun bukannya mengikut amalan agama mereka pun. Kalau amalan yang susah dan payah pada fikiran mereka, mereka akan ubah supaya mudah untuk mereka. Kalau kitab mereka sendiri pun mereka susah untuk amalkan, tambahan lagilah kalau kitab yang lain yang diturunkan kepada Nabi selain daripada bani Israil. Kitab itu pula memperkatakan perkara yang sama iaitu melawan hawa nafsu, tentulah mereka akan tolak, kerana mereka tidak suka.

Maka, apabila ditanyakan kepada puak Yahudi itu tentang ayat-ayat al-Qur’an, mereka akan tafsir mengikut hawa nafsu mereka. Maka orang Arab itu akan ragu-ragu untuk menerima ajaran Nabi Muhammad ﷺ setelah mendengar apa yang disampaikan oleh orang-orang Yahudi itu. Oleh itu jika tidak diceritakan dan dijelaskan perangai Yahudi sebenar, susahlah untuk orang Arab menerima Islam semua sekali.

Ayat-ayat tentang perangai Yahudi ini diturunkan awal-awal lagi semasa Nabi ﷺ baru tiba di Madinah. Supaya masyarakat Arab Madinah boleh mengenali sifat tipu, tamak, suka menukar teks agama, dan lain-lain kesalahan dan keburukan orang Yahudi yang selama ini mereka jadikan sebagai tempat rujuk mereka. Mereka juga golongan yang paling kuat makan riba’ kerana mereka yang mengamalkan sistem riba.

Tujuan Allah ‎ﷻ memberitahu tentang mereka adalah supaya orang Islam tidak bergantung dan percaya kepada golongan Yahudi lagi dan juga agar mereka menerima Islam 100%.

Al-Qur’an bukan hendak menceritakan tentang Yahudi itu sahaja. Mungkin ada bangsa lain yang berperangai Yahudi. Dalam kalangan kita pun ada yang berperangai begitu. Kita jangan lupa yang ada kalangan orang-orang Yahudi itu yang baik seperti Abdullah bin Salam dan lain-lain lagi. Ada segelintir golongan Yahudi yang jujur dan mereka telah memasuki Islam. Namun majoriti daripada mereka tidak.

Maka, mereka yang baru hendak belajar agama dan mengenal Sunnah, kenalah belajar Surah al-Baqarah ini agar boleh mengenali golongan Muslim dan agamawan Muslim yang perangai seperti golongan Yahudi juga kerana mereka lah yang menjadi rujukan orang kita sebelum ini, bukan? Maka apabila ada gerakan Sunnah, mereka tidak suka kerana ini dapat menggugat kedudukan mereka.

Allah ‎ﷻ juga sebut tentang golongan munafikin dalam Surah al-Baqarah ini kerana ada golongan munafikin dalam bangsa Yahudi juga. Pecahan pembahagian sifat-sifat golongan Yahudi yang akan disampaikan dalam ayat-ayat seterusnya ini:

1. Golongan pertama disebut dalam ayat ke-40 hingga ke-62 iaitu golongan Yahudi yang hidup pada zaman Rasulullah ﷺ di Madinah.

2. Golongan kedua disebut dalam ayat ke-63 hingga ke-74 iaitu golongan Yahudi yang terdahulu.

3. Golongan ketiga disebut dalam ayat ke-75 hingga ke-85.

4. Golongan keempat dalam ayat ke-86.

5. Golongan kelima disebut dalam ayat ke-87 dan ke-88.

6. Golongan keenam disebut dalam ayat ke-89 hingga ke-91.

7. Golongan ketujuh disebut dalam ayat ke-92 dan ke-93.

Dalam ayat ke-94 hingga ke-123 disebut tentang kesamaran-kesamaran dan teguran Allah ‎ﷻ tentang Yahudi.

Dalam ayat 124, Allah ‎ﷻ menceritakan tentang asas umat Nabi Muhammad ﷺ. Asasnya adalah millah Nabi Ibrahim عليه السلام dan bukannya Islam itu asasnya daripada agama Yahudi. Umat Nabi Muhammad ﷺ ini lahir dari doa Nabi Ibrahim عليه السلام dan Nabi Ismail عليه السلام. Dalam keturunan Nabi Ibrahim عليه السلام, ada anaknya yang bernama Nabi Ishak عليه السلام.

Dan daripada Nabi Ishak عليه السلامlah datangnya keturunan bani Israil. Tetapi susur galur umat Islam pada akhir zaman ini adalah dari doa Nabi Ibrahim عليه السلام dan Nabi Ismail عليه السلام. Maka, tahulah bangsa Arab yang mereka pun keturunan Nabi juga. Kalau sebelumnya itu mereka memang sangka mereka golongan kerdil, maka tidaklah lagi mereka berasa rendah diri. Allah ‎ﷻ ingin memberitahu bangsa Arab yang mereka jangan berasa yang bangsa Yahudi itu sahaja yang hebat.

Kalau bangsa Arab pun menjalankan tugas agama, jaga agama, mengisikan diri dengan wahyu, mereka boleh menjadi lebih hebat lagi daripada bangsa Yahudi. Mereka bangsa Arab telah dipilih untuk menjadi pengikut Nabi akhir zaman. Allah ‎ﷻ hendak memberikan kesedaran kepada mereka tentang perkara itu. Allah ‎ﷻ telah memilih mereka sebagai sahabat yang mulia kerana mereka majoriti daripada kalangan sahabat Nabi ﷺ.

Sampaikan kepada sesiapa sahaja agama ini termasuklah golongan Yahudi (dan yang berperangai seperti Yahudi), dan mereka hendaklah mengikut Nabi ﷺ yang berketurunan bangsa Arab. Dan para sahabat yang berbangsa Arab itu juga hendaklah dijadikan ikutan. Sehinggalah Nabi ﷺ sudah memberitahu yang khalifah dunia kenalah daripada bangsa Quraish, iaitu bangsa Arab. Kalau bangsa lain yang tadbir, porak perandalah dunia ini.

Tafsir Ayat ke-40

Sekarang kita belajar jenis golongan Yahudi yang pertama.

يٰبني إِسرٰءيلَ اذكُروا نِعمَتِيَ الَّتي أَنعَمتُ عَلَيكُم وَأَوفوا بِعَهدي أوفِ بِعَهدِكُم وَإِيّٰيَ فَارهَبونِ

Wahai Bani Israil! Kenangkanlah kamu akan segala nikmat yang telah Kuberikan kepada kamu, dan sempurnakanlah perjanjian (kamu) dengan-Ku, supaya Aku sempurnakan perjanjian-Ku dengan kamu; dan kepada Akulah sahajalah kamu merasa gerun takut, (bukan kepada sesuatu yang lain).

يٰبَنِي إِسْرٰءيلَ

Wahai Bani Israil;

Sekarang Allah ‎ﷻ hendak memberikan contoh kepada kita tentang mereka yang tidak mengikut hidayah agama iaitu Bani Israil. Mereka ini telah mendapat agama sebelum kita tetapi mereka telah meninggalkan agama. Maka, kita kena jadikan mereka sebagai pengajaran buat kita.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ sedang bercakap dengan Bani Israil yang sedang bersama dengan Nabi Muhammad. Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan mereka dan memberi peluang kepada mereka untuk bertaubat. Pertamanya, Allah ‎ﷻ mengingatkan mereka tentang nikmat yang mereka telah perolehi.

Allah ‎ﷻ menyeru mereka dengan bahasa manja, sebab ingin memujuk mereka kembali ke pangkal jalan. Allah ‎ﷻ kaitkan mereka dengan keturunan mereka dalam nisbah agama (kaitkan dengan agama mereka). Ini kerana hendak melembutkan hati mereka. Macam kalau kita hendak memujuk anak cucu Tok Kenali yang amalkan ajaran jauh dari agama, maka kita panggil mereka: “wahai anak cucu Tok Kenali…”

Ini adalah Yahudi jenis yang pertama. Ayat ini adalah titah yang khusus kepada Bani Israil dan terdapat dua jenis Bani Israil: yang awam dan yang ada ilmu (pendeta). Kalau disebut dalam al-Qur’an ‘Ahlul Kitab’, ia merangkumi semua orang, sama ada yang berilmu atau yang jahil. Tetapi, kalau dalam ayat itu menyebut ‘mereka yang diberikan kitab’, ini khusus merujuk kepada ulama’ daripada kalangan Yahudi.

Ayat ini berbentuk pujukan kepada Ahli Kitab untuk kembali kepada syariat. Dalam bahasa Yahudi, ‘isra’ bermaksud hamba dan ‘il’ bermaksud Allah. Maka, perkataan ‘Israil’, maksudnya ‘Hamba Allah’. Ini seperti yang diberitahu oleh Ibn Abbas رضي الله عنه. Dan Israil ini juga adalah gelaran (laqab) bagi Nabi Yaakob عليه السلام. Daripada anaknya yang 12 orang itulah yang menjadi Bani Israil (Anak-anak Israil).

اذْكُرُوا نِعْمَتِيَ

Ingatlah nikmat-nikmatKu;

Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan mereka semula dengan segala nikmat rohani dan nikmat jasmani yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada mereka. Ada ramai daripada kalangan mereka yang Allah ‎ﷻ jadikan Nabi (nikmat rohani) dan ramai juga yang telah menjadi pemimpin yang kaya raya (nikmat jasmani). Maka, Allah ‎ﷻ hendak kenangkan nikmat-nikmat itu kepada mereka.

Allah ‎ﷻ mengingatkan Bani Israil di zaman Nabi Muhammad ﷺ tentang nikmat-nikmat yang pernah diberikan kepada mereka. Banyak juga yang disebut dalam al-Qur’an sebagai contoh: mereka diselamatkan daripada cengkaman Firaun; mereka diberi makan manna dan salwa; dan macam-macam lagi.

Begitulah cara berdakwah yang diajar Allah ‎ﷻ dalam ayat-ayat ini. Mulakan dengan mengingatkan manusia tentang nikmat-nikmat yang mereka telah dapat. Kena ingatkan mereka untuk kenang jasa – maka kenanglah jasa Allah ‎ﷻ dalam beri nikmat kepada mereka, maka kenalah taat kepada Allah ‎ﷻ.

الَّتِي أَنْعَمْتُ عَلَيْكُمْ

yang Aku telah berikan nikmat itu kepada kamu;

Dalam Surah al-Fatihah, kita telah meminta supaya diberikan ‘nikmat’. Jadi Allah ‎ﷻ hendak berkata dalam ayat ini bahawa Bani Israil ini sudah mendapat nikmat itu dahulu. Namun apakah mereka telah buat dengan nikmat yang mereka ada itu? Adakah mereka mengikut perintah Allah ‎ﷻ selepas itu?

Kita pun sedang mendapat nikmat daripada Allah ‎ﷻ. Sebagaimana Bani Israil telah mendapat agama dan Kitab Taurat, kita umat Nabi Muhammad ﷺ juga telah mendapat al-Qur’an. Tetapi kalau kita bertindak terhadap al-Qur’an itu sama macam mereka bertindak kepada Taurat, kita pun boleh jadi seperti mereka juga nanti. Maka, kenalah kita beringat dan berjaga-jaga dengan nikmat (dunia dan akhirat) yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita ini.

وَأَوْفُوا بِعَهْدِي

dan penuhilah janji kamu dengan-Ku,

Digunakan kalimah ahdu dalam ayat ini kerana memang ada dalam Kitab Taurat maka digunakan lafaz yang sama. Allah ‎ﷻ menggunakan bahasa yang mereka sudah biasa.

Dan tunaikanlah janji untuk taat kepada hukum Allah ‎ﷻ. Lebih-lebih lagi, janji untuk mentauhidkan Allah ‎ﷻ. Mereka sebenarnya harus menggunakan semula hukum dari kitab Taurat yang asli. Kalau dirujuk balik kitab itu, memang ajaran yang ada adalah ajaran Tauhid.

Antara lagi janji yang mereka kena penuhi adalah janji untuk mengikut Nabi Akhir Zaman. Mereka sudah lama tahu tentang kedatangan Nabi Akhir Zaman itu. Mereka memang menunggu-nunggu kedatangan Nabi itu. Keturunan mereka dahulu berhijrah ke Yathrib kerana hendak menunggu Nabi Akhir Zaman itu kerana mereka tahu daripada kitab mereka yang baginda akan datang ke situ. Maka bila Nabi sudah datang, hendaklah mereka taat dan mengikut baginda.

أُوفِ بِعَهْدِكُمْ

nescaya Aku akan memenuhi perjanjian-Ku dengan kamu;

Allah ‎ﷻ akan memenuhi perjanjian-Nya jikalau kita memenuhi janji kita dengan-Nya, antaranya Allah ‎ﷻ akan memasukkan manusia yang taat ke dalam Syurga. Dan kalau Bani Israil memenuhi janji mereka, maka Allah ‎ﷻ akan memenuhi janji-Nya untuk mengekalkan nikmat kepada mereka.

وَإِيَّٰيَ فَارْهَبُونِ

Dan kepada Akulah sahaja hendaknya kamu merasa takut.

Allah ‎ﷻ mengingatkan mereka bahawa hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja mereka mesti takut. Kalimah فَارْهَبُونِ dari kata dasar ر ي ب yang bermaksud ‘takut’. Tetapi takut ada banyak jenis. Kalimah ر ي ب bermaksud ‘takut untuk mengecewakan seseorang’.

Sebagai contoh, apabila ada orang yang kita hormati, maka kita takut untuk berbuat sesuatu yang boleh mengecewakan orang itu kerana kita menghormati dirinya. Kalau dengan manusia pun begitu, maka tentulah kena lebih-lebih lagi dengan Allah ‎ﷻ.

Daripada kalimah ر ي ب inilah pendeta atau golongan agama mereka digelar sebagai ‘rahib’.

Mereka diingatkan supaya takut kepada Allah ‎ﷻ supaya mereka ikut mana yang benar. Telah berleluasa atau telah diketahui yang ajaran agama mereka adalah agama yang telah diubahsuai. Apabila ajaran yang telah dipakai oleh orang ramai bukan agama yang asal, maka orang yang hendak mengamalkan yang asal pula menjadi takut. Sebagaimana yang berlaku sekarang juga, berleluasa ajaran dan amalan bid’ah, sampai yang hendak mengamalkan sunnah pula dituduh golongan Wahabi. Nampak tidak persamaan itu?

Maka, sebab itulah Allah ‎ﷻ menyebut sebenarnya mereka mestilah takut dengan Allah ‎ﷻ, bukan dengan orang lain. Biarlah orang kata apa pun, yang penting kena ikut ajaran yang asli. Jangan takut dengan manusia, tetapi takutlah dengan Allah ‎ﷻ.

Samalah juga dengan keadaan kita sekarang. Amalan masyarakat kita banyak yang bid’ah, bukan dari ajaran asal Islam. Namun, ia amat berleluasa sekali, sampaikan mereka yang hendak mengamalkan sunnah, kembali kepada ajaran al-Qur’an dan sunnah pula yang susah untuk mengamalkannya.

Orang-orang yang mengamalkan bid’ah itu pula yang memandang serong terhadap mereka yang hendak mengamalkan sunnah, manakala amalan sunnah pula yang nampak pelik sebab jarang diamalkan dalam masyarakat. Ramai dalam kalangan orang yang sudah mula berjinak dengan sunnah, mengamalkan sunnah dalam keadaan bersembunyi.

Namun begitu, Allah ‎ﷻ mengingatkan jangan takut kepada mereka yang mengamalkan amalan salah. Malangnya ramai daripad golongan yang sudah belajar sunnah pula takut untuk menegur orang-orang yang mengamalkan bid’ah, kerana takut dipandang serong dan dikutuk dan macam-macam lagi. Mereka takut disisih daripada keluarga dan masyarakat mereka.

Kepada mereka, kita ingatkan seperti dalam ayat ini, supaya jangan takut dengan apa yang orang lain kata, tetapi takut kepada Allah ‎ﷻ. Apa yang hendak ditakuti? Amalan Sunnah ada dalam al-Qur’an dan Hadith. Amalan bid’ah pula dari mana? Itu semua amalan rekaan belaka. Maka kita yang lebih hebat daripada mereka. Mereka yang patutnya malu untuk mengamalkan bid’ah kerana dalil tidak ada, tetapi ambil daripada kata-kata rekaan manusia sahaja?

Mereka yang sepatutnya membuat amalan mereka sembunyi-sembunyi. Macam kebanyakan amalan tarekat sekarang. Memang amalan mereka rahsia belaka. Mereka amalkan pun sembunyi-sembunyi sebab memang amalan karut dan kalau orang tengok pun pelik. Mereka pun malu.

Mereka bukan terus dapat amalan itu. Hanya apabila sudah lama belajar baru diberi amalan-amalan karut yang tidak masuk akal. Kalau mula-mula masuk, mereka diberikan amalan biasa-biasa sahaja. Tetapi kalau sudah lama, guru pun nampak pelajarnya cukup bodoh (semua cerita dia percaya sahaja… ) maka barulah diberi amalan rahsia.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan