Utama Bilik Motivasi Presuposisi 5: People are Not Broken, They Work Perfectly

Presuposisi 5: People are Not Broken, They Work Perfectly

197
0
Iklan

Siri Pengenalan NLP Oleh Azlizan Nueq.

Presuposisi Yang Kelima:

5. People are not broken, they work perfectly.

Manusia tidak rosak, mereka berfungsi dengan sempurna”.


Apakah maksud ‘berfungsi dengan sempurna‘? Saya berikan satu contoh, seseorang yang ada fobia dengan ular. Setiap kali dia nampak ular, atau hanya gambar ular, atau orang sebut sahaja ular, dia terus menjerit ketakutan.

Kalau fobia sebegini, tentu ramai yang kata ini tidak bagus, malah ramai yang berjumpa pengamal NLP untuk menghilangkan fobia sebegini. Jadi bagaimana pula boleh kita katakan yang ia berfungsi dengan sempurna?

Kita tidak nilaikan sama ada sesuatu itu ‘bagus’ atau ‘buruk‘, tetapi kita lihat bagaimana fobia itu sendiri berfungsi dengan sempurna. Bayangkan, setiap kali terpandang ular atau nampak gambar ular, terus geli geleman dan menjerit, bukan?

Jadi bukankah ‘sistem fobia’ itu berfungsi dengan sempurna? Setiap kali ia akan berfungsi dan kerana itu kita katakan yang ia berfungsi dengan sempurna.

Cuma persoalannya sama ada kita mahukan sistem itu ataupun tidak sahaja. Kalau kita tidak mahu, maka kita boleh mengubahnya.

Satu contoh lagi: Seorang yang pandai mencuri. Senang sahaja dia memasuki rumah orang untuk mencuri barang di dalam rumah itu dan habis licin barang dicurinya tidak sampai sejam pun.

Contoh ini juga mempunyai elemen ‘sempurna’, bukan? Dia hebat dalam mencuri. Orang lain tidak dapat menandinginya dalam kemahiran mencuri.

Kita hendak mencuri pun tidak tahu di mana untuk mula, tetapi dia mampu melakukannya sekejap sahaja dengan cekap tanpa tertangkap.

Jadi, kita boleh katakan di dalam bab mencuri, memang dia hebat. Kita tidak nilaikan lagi sama ada mencuri itu bagus ataupun tidak buat masa ini; kita cuma lihat kepada perbuatan itu terlebih dahulu.

Kadangkala manusia tidak ada pilihan lain selain daripada apa yang mereka lakukan. Bagi pencuri itu, mungkin dia tidak tahu apa lagi yang dia boleh buat selain daripada mencuri.

Mungkin dia sudah dipenjarakan dan dia sudah bertaubat tetapi apabila orang tahu dia adalah bekas banduan, dia tidak diberikan sebarang pekerjaan. Maka akhirnya dia tidak ada pilihan lain selain daripada mencuri untuk kelangsungan hidupnya.

Memang dia ada masalah dan ‘Peta minda’nya perlu diperbaiki kerana dia tidak nampak akan pilihan-pilihan lain. Tugas pengamal NLP bukanlah untuk menjatuhkannya dengan mengatakan dia ‘rosak teruk’, tetapi dengan menaikkan semangatnya.

Sebaliknya kita kena katakan yang dia ada kelebihan dan dia boleh menggunakan ‘kelebihannya’ atau kepakarannya itu untuk membuat perkara lain yang lebih berfaedah.

Antaranya, dia mungkin boleh menjalankan perniagaan membuka pintu rumah orang yang kehilangan kunci. Saya pernah kerosakan kunci dan apabila dipanggil tukang kunci untuk membuka kunci, saya dikenakan bayaran sebanyak RM300!

Kalau kita memandang seseorang itu sebagai ‘rosak’, maka susah untuk membuka peluang bagi memperbaiki orang itu. Ini kerana dia akan berasa negatif dan tidak ada semangat untuk membaiki dirinya.

Maka kita haruslah memandang semua yang datang kepada kita dengan ‘pandangan rahmah‘. Jangan kita menghukumnya terus tanpa melihat punca apa yang menyebabkannya melakukan perkara tersebut.

Jangan kita terus jatuhkan semangatnya. Kita kena tahu kenapa dia buat apa yang dia buat dan berikan alternatif yang lebih sihat.

Kalau seseorang itu dilabelkan sebagai rosak, maka sesi seterusnya adalah mencari ‘kenapa’ dia ‘rosak’. Ini akan mengambil masa sedangkan yang kita perlukan adalah mencari solusi, bukannya menjadi sebab.

Jadi yang perlu diubah adalah pemahaman mereka terhadap ‘Peta’ mereka. Kita harus meneliti apakah peta minda mereka supaya mereka boleh mengemaskinikan peta minda mereka. Sebagai contoh, dalam minda pencuri itu, mungkin dia rasa tidak salah dia mencuri.

Maka kita akan mengemaskini peta mindanya supaya dia boleh mengubah dirinya kalau peta mindanya itu tidak sesuai.

Maka selepas ini, apa kata kita ubah pandangan kita? Jangan kita terus melabel orang lain dengan kata: “Pelik lah dia ni, mesti ada masalah dia ni,” dan kata-kata yang sebegitu.

Masalahnya, selalunya kita mudah sahaja melabel orang lain, bukan? Kita merasakan kita sahaja yang bagus dan orang lain yang ada masalah.

Saya minta ada ubah fikiran anda. Ingat firman Allah ‎ﷻ dalam [at-Tin: 4];


لَقَد خَلَقنَا الإِنسانَ في أَحسَنِ تَقويمٍ

sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.

Memang Allah ‎ﷻ telah menciptakan manusia dalam kesempurnaan. Cuma kadangkala manusia telah membuat salah pilihan dan kemudian jatuh ke lembah kehinaan.

ثُمَّ رَدَدناهُ أَسفَلَ سافِلينَ

Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya.

Jadi tugas kita adalah dengan menaikkannya kembali ke kedudukan yang tinggi. Bukannya dengan menjatuhkannya terus. Kita harus ingatkan dia yang dia adalah insan ciptaan Allah ‎ﷻ yang sempurna.

Apabila kita melihat semua orang sebagai sempurna, kita akan saling menghormati di antara satu sama lain, maka dunia akan menjadi lebih aman.

Tidaklah kita terlalu mudah untuk mengutuk orang lain, merendahkan orang lain, “troll” orang lain.

Semoga kita menjadi pemangkin kepada sifat ini ke dalam diri orang lain.

Komen dan Soalan