Siri Pengenalan NLP oleh Azlizan Nueq.
Presuposisi Yang Keempat:
4. There is No failure, There is Only Feedback .
“Tiada kegagalan, Yang Ada hanyalah Maklumbalas”.
Presuposisi ini mengajar kita untuk mengubah minda kita. Jangan kita terus melihat sesuatu yang tidak menjadi itu sebagai ‘kegagalan’, tetapi ubahlah kepada pemikiran yang lebih positif .
Lihatlah perkara yang tidak terjadi itu sebagai ‘Maklumbalas‘.
Kalau kita telah berusaha dan tidak menjadi seperti yang kita kehendaki, ketahuilah yang cara kita sebelum itu tidak berjaya.
Maka kenalah ubah kepada cara yang lain untuk mendapatkan seperti yang kita kehendaki.
Sebagai contoh, kita cuba menasihati anak kita tetapi dia tidak dengar dan tidak endahkan nasihat kita. Maka kita sudah dapat maklumbalas: “Oh, tidak jadi cara begini, kena guna cara lain….”.
Maka apabila kita ubah minda kita begitu, maka tidaklah kita tertekan sangat, tidaklah kita lemas, tidaklah kita kecoh sangat.
Memang ada satu konsep yang bagus untuk diamalkan: “Insanity is going the same over and over again and expecting a different results”. (Ketidakwarasan adalah mengulangi cara yang sama tetapi mengharapkan hasil yang berbeza).
Konsep ini mengajar kita, kalau satu cara tidak menjadi maka kenalah ubah cara itu. Kalau tidak mengubah cara tersebut, maka gila lah jika ingin mengharapkan kejayaan.
Mungkin ramai ingat bagaimana Thomas Edison mencipta lampu. Dia cuba membuat lampu beribu kali dan tidak berjaya. Tetapi tidaklah dia berkata dia ‘gagal’ membuat lampu, tetapi dia berkata dia sudah tahu ‘cara yang salah’ untuk membuat lampu.
Jadi dia tidaklah menggunakan cara yang salah itu lagi. Dia mencuba cara yang lain pula. Maka dia berusaha dan usaha lagi sehinggalah dia menjumpai cara yang berjaya.
Malangnya kita sebagai manusia selalu melabelkan usaha yang tidak berjaya sebagai ‘Kegagalan’.
Cuba bayangkan yang mana lebih positif: Melabelkan kejadian itu sebagai ‘kegagalan’ atau ‘maklumbalas’ yang berharga’?; Ini adalah ‘masalah’ atau ini adalah ‘cabaran’?; Kita ‘gagal’ atau kita ‘belum berjaya?
Nampak bukan bagaimana kita ubah sedikit sahaja perkataan yang digunakan, ia mampu memberikan kesan yang berbeza? Maknanya, bahasa yang kita gunakan untuk melabelkan sesuatu kejadian atau perkara memainkan peranan kepada emosi kita.
Maka selepas ini gunakan perkataan yang memberi semangat, bukannya yang memutuskan harapan.
Kita sebenarnya sudah biasa dengan konsep ini. Sebagai contoh, kita tidak berkata ‘kanak-kanak cacat’ tetapi kita berkata ‘anak-anak istimewa’; kita tidak berkata orang itu gemuk, tetapi kita berkata dia ‘semangat’.
Dalam kita menuju tujuan hidup kita, kita mengharapkan maklumbalas dari masa ke semasa.
Sebagai contoh, kalau kita menjual produk-produk kesihatan, kalau ada orang makan produk kita yang jatuh sakit, maka kenalah kita mencari puncanya. Bukannya kita terus tutup kedai.
Kalau anak kita tidak suka makan sesuatu makanan, maka kita cari makanan lain yang dia suka.
Kalau kita belajar bahasa Arab dan tidak faham-faham, maka kena cari metodologi yang sesuai untuk kita fahami, bukannya berhenti belajar.
Cuba anda ingat kembali masa belajar naik basikal. Kalau sekali jatuh sudah tidak mahu lagi naik basikal, tentu sampai sekarang anda tidak tahu naik basikal, bukan?
Kita kena berani untuk gagal. Jangan takut untuk gagal dalam kehidupan ini.
“There are no secrets to success. It is the result of preparation, hard work, and learning from failure”.
– Colin Powell
(Tidak ada rahsia untuk kejayaan. Ia adalah hasil daripada persiapan, kerja keras dan belajar daripada kegagalan).
Maklumbalas kadangkala diberikan oleh orang yang melihat apa yang kita lakukan. Amat baik kalau kita mempunyai kawan yang berani menegur kita. Kita kenalah terbuka hati untuk menerima maklumbalas daripada mereka.
Maka janganlah kita mudah sangat untuk berputus asa. Ini adalah sifat orang kafir. Allah ﷻ tidak suka kita berputus asa sebagaimana firman-Nya dalam [Fussilat: 49],
لّا يَسئمُ الإِنسٰنُ مِن دُعاءِ الخَيرِ وَإِن مَّسَّهُ الشَّرُّ فَيَئوسٌ قَنوطٌ
Manusia tidak jemu-jemu memohon kebaikan. Dan kalau dia ditimpa kesusahan maka menjadilah dia seorang yang sangat berputus asa, lagi sangat nyata kesan putus harapnya.
Ini adalah sifat insan yang Allah ﷻ tegur. Allah ﷻ suruh kita berubah kalau ada sifat ini. Maka semoga kita dapat mengambil pengajaran daripada ayat ini.