Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az-Zumar: Tafsir Ayat Ke-68 hingga Ke-70

Tafsir Surah Az-Zumar: Tafsir Ayat Ke-68 hingga Ke-70

529
0
Iklan

Tafsir Ayat Ke-68

Allah SWT menceritakan keadaan di akhirat kelak dengan diberikan juga Takhwif Ukhrawi.

وَنُفِخَ فِي الصّورِ فَصَعِقَ مَن فِي السَّمٰوٰتِ وَمَن فِي الأَرضِ إِلّا مَن شاءَ اللَهُ ۖ ثُمَّ نُفِخَ فيهِ أُخرىٰ فَإِذا هُم قِيامٌ يَنظُرونَ

Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah (terkemudian matinya); kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, maka dengan serta merta mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing).

وَنُفِخَ فِي الصُّورِ

Dan apabila ditiup pada sangkakala

Ini adalah tiupan Sangkakala yang pertama. Israfil akan tiup sangkakala apabila diarahkan oleh Allah SWT apabila sampai masanya. Kenapa Allah SWT gunakan tiupan sangkakala dan bagaimanakah keadannya? Kita tidak tahu dengan tepat kerana ini adalah termasuk perkara ghaib.

Tetapi kalau kita cuba apa yang kita boleh bayangkan, tiupan sangkakala itu adalah satu tiupan yang kuat, yang akan menyebabkan kita terpinga-pinga dan tertanya-tanya apakah ia. Begitu juga sekarang ini pun, kalau ada bunyi hon yang kuat, kita akan terperanjat dan tertanya-tanya apakah sebabnya bunyi itu. Begitulah nanti Allah SWT akan memberikan satu bunyi yang kuat yang akan menyebabkan kita terkejut.

فَصَعِقَ مَن فِي السَّمٰوٰتِ وَمَن فِي الْأَرْضِ

apa sahaja makhluk yang berada di bumi dan langit akan mati semuanya,

Tiupan Sangkakala yang pertama itu akan mematikan seluruh makhluk di alam ini. Tidak kira sama ada mereka berada di langit atau di bumi. Namun, Allah sebut ‘langit’ dahulu kerana permulaan kiamat itu dari langit. Langit yang akan dapat kesannya dahulu.

Kalimah صَعِقَ bermaksud jatuh pengsan dulu dan kemudian mati dan waktu itu tentulah sudah ramai yang mati. Maka mereka yang sudah mati, roh mereka pun akan pengsan dan mati juga.

Pada hari kiamat itu berlaku, manusia yang hidup waktu itu semuanya kafir belaka. Maka tidak ada orang mukmin yang akan merasai kesusahan pada Hari Kiamat itu kerana ia amat teruk sekali.

إِلَّا مَن شَاءَ اللهُ

melainkan sesesiapa yang dikehendaki Allah.

Ayat ini menunjukkan kepada kita bahawa ada juga makhluk yang tidak dimatikan dengan tiupan sangkakala. Siapakah mereka itu ada diceritakan dalam hadith.

Mereka terdiri daripada lapan malaikat yang menongkat Arash, dan empat malaikat besar: Jibrail, Mikail, Malaikat Maut dan Israfil. Jadi, ada 12 malaikat yang tidak mati dengan tiupan sangkala. Mereka akan dimatikan satu-satu dengan perintah Allah. Allahu a’lam.

Maksudnya, tiupan Sangkakala itu tidak mematikan mereka, tidaklah bermaksud mereka tidak mati langsung. Mereka akan tetap mati juga akhirnya, tetapi dengan cara yang lain, bukan dengan tiupan Sangkakala itu. Semua makhluk akan mati, kerana hanya Allah SWT sahaja yang akan terus hidup.

نُفِخَ فِيهِ أُخْرَىٰ

Kemudian ditiupkan sangkala kedua,

Tiupan sangkakala kedua ini adalah untuk menghidupkan semua makhluk. Selepas ditiupkan pada Sangkala pertama dan kemudian setelah dimatikan semua makhluk yang tidak mati semasa tiupan Sangkakala pertama itu, hanya Allah SWT sahaja yang tinggal. Dalam riwayat, ada disebut tinggal Israfil dan Allah SWT sahaja maka Allah SWT mematikan Israfil dengan perintah-Nya.

Kemudian Allah SWT mula-mula menghidupkan Israfil dan beliau diarahkan untuk meniupkan tiupan kedua untuk menghidupkan kembali semua makhluk.

فَإِذَا هُمْ قِيَامٌ يَنظُرُونَ

maka mereka semua tiba-tiba bangkit berdiri dari kubur, hadir menunggu.

Kita semua akan bangkit dalam keadaan gelap gelita. Dibangkitkan untuk dibicarakan. Dan waktu dihidupkan itu tidaklah macam kita lahir ke dunia dulu kerana dulu kita lahir daripada perut emak kita dan kita waktu itu bayi dan lama kelamaan membesar jadi dewasa.

Di akhirat nanti, apabila dibangkitkan, terus dalam keadaan dewasa. Cuma ahli syurga akan dibangkitkan sebagai ahli syurga dan ahli neraka akan dibangkitkan sebagai ahli neraka mengikut amal masing-masing.

Waktu itu, kita semua tidak tahu hendak pergi mana. Kemudian kita semua akan dihalau untuk pergi ke Mahsyar. Tidak dapat dibayangkan keadaan pada hari itu kerana semua sekali akan dihidupkan dari mula kehidupan sehingga Hari Kiamat. Semuanya nanti akan dihidupkan semula serentak. Semua dapat melihat makhluk yang lain. Tidak dapat dibayangkan berapa ramai makhluk akan ada pada hari itu.

Tafsir Ayat Ke-69

Satu lagi ayat mutashabihah.

وَأَشرَقَتِ الأَرضُ بِنورِ رَبِّها وَوُضِعَ الكِتٰبُ وَجِيءَ بِالنَّبِيّينَ وَالشُّهَداءِ وَقُضِيَ بَينَهُم بِالحَقِّ وَهُم لا يُظلَمونَ

Dan akan bersinar terang-benderanglah bumi (hari akhirat) dengan cahaya Tuhannya; dan akan diberikan Kitab suratan amal (untuk dibicarakan); dan akan dibawa Nabi-nabi serta saksi-saksi; dan akan dihakimi di antara mereka dengan adil, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun.

وَأَشْرَقَتِ الْأَرْضُ بِنُورِ رَبِّهَا

Maka akan terang benderang bumi Mahsyar dengan cahaya Tuhannya.

Cerah macam mana? Kita tidak tahu keadaannya macam mana. Tidak boleh digambarkan. Tidak perlu untuk kita fikirkan dan bayangkan.

Tidak perlu kita hendak takwil. Tidak pernah diberitahu oleh Nabi, jadi tidak perlu kita susah payah mahu cari maksudnya. Dari lafaz ayat ini, memberi isyarat bahawa Allah SWT menampakkan Diri-Nya. Namun, tidaklah dalam bentuk-Nya yang sebenar.

وَوُضِعَ الْكِتٰبُ

dan akan dibawakan kitab suratan amal.

Setiap kita akan diberikan dengan kitab amalan kita sendiri. Amalan kita sehari akan diletakkan dalam satu scroll. Apabila dibentangkan, ia adalah sejauh mata memandang. Kita sendiri akan baca amalan harian satu persatu. Yang jadi saksi adalah Malaikat Raqid Atid kerana merekalah yang menulis amalan kita.

Ada kisah bagaimana Allah SWT akan arahkan malaikat untuk campakkan amalan mereka. Maka, malaikat pencatit akan kata bahawa mereka menyaksikan bahawa manusia itu ada buat amalan itu. Tetapi Allah SWT akan tanya balik sama ada malaikat tahu apakah yang ada dalam hati manusia itu?

Ini bermakna, malaikat tidak tahu isi hati kita. Kalau malaikat pun tidak tahu, bagaimana ada yang kata manusia boleh tahu pula? Ada kalangan orang kita yang takut bila hendak bertemu dengan guru mereka kerana mereka sangka guru mereka tahu apakah dalam hati mereka.

Ini adalah satu kepercayaan yang karut sama sekali. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu isi hati kita. Janganlah kita percaya kepada perkara-perkara seperti itu. Teruk sangat kepercayaan masyarakat kita kerana telah dimomok-momokkan oleh guru-guru yang mengajar ajaran sesat.

Ada yang dapat kitab amal dari tangan kanan. Mereka yang banyak amal akan rasa bangga semasa membaca amalan mereka dan mereka yang jahat akan rasa malu sangat-sangat malu sambil membaca kitab amalan mereka.

Tafsiran kedua potongan ayat ini: dibawakan Kitab Wahyu umat masing-masing sebagai bukti sama ada mereka ikut atau tidak kitab wahyu mereka.

وَجِيءَ بِالنَّبِيِّينَ وَالشُّهَدَاءِ

Dan dibawa datang semua Nabi-Nabi dan segala saksi-saksi.

Apabila mahkamah Allah dimulakan, para Nabi akan menjadi saksi ke atas umat-umat mereka. Termasuklah Nabi Muhammad SAW akan menjadi saksi ke atas kita, umatnya. Ini telah disebut dalam [ an-Nisa: 41 ].

Dalam ayat-ayat lain ada disebut bagaimana para Nabi akan ditanya tentang penerimaan umat mereka terhadap dakwah mereka. Maka berlakulah perbicaraan antara umat dan Nabi mereka. Ini kita akan belajar dalam surah-surah yang lain.

Siapakah pula saksi-saksi itu? Mereka yang melakukan tabligh (dakwah) untuk sebar agama. Yang menyebarkan ajaran tauhid. Yang pertama sekali adalah tentunya para Nabi kerana mereka yang mula menyampaikan dakwah kepada umat mereka. Kemudian pengikut para Nabi seperti yang disebut dalam [ alHajj: 78 ].

Kemudian akan diteruskan oleh pendakwah yang meneruskan tugas para Nabi dan Rasul itu. Mereka akan beritahu siapakah orang-orang yang mereka telah dakwahkan tetapi tidak mahu terima. Mereka akan beritahu siapakah yang telah menghalang mereka dari mengajar dalam masjid, dalam surau dan sebagainya. Mereka akan bentangkan siapakah guru-guru, ustaz-ustaz yang cuba menyekat guru-guru ajaran sunnah dari dapat mengajar kepada masyarakat.

Mereka yang mengamalkan bid’ah dan syirik akan cuba untuk halang kerana kalau dibenarkan guru ajaran tauhid dan sunnah mengajar, maka akan pecahlah tembelang mereka yang tidak tahu tentang agama. Mereka itu tidak tahu tentang agama kerana mereka tidak pernah lagi belajar tafsir al-Qur’an dan Hadith Nabi.

Tetapi masalahnya merekalah yang dipandang tinggi oleh masyarakat sekarang. Sampai mereka boleh masuk suratkhabar, tv, radio dan sebagainya. Merekalah yang buat duit dengan mengambil upah daripada masyarakat yang jahil untuk jadi pembaca talqin, imam solat Hajat dan sebagainya.

Para malaikat juga akan menjadi saksi seperti yang disebut dalam [ Qaf: 21]. Selain dari itu, tubuh badan kita juga akan menjadi saksi seperti yang disebut dalam [ Yaasin: 65 ]

وَقُضِيَ بَيْنَهُم بِالْحَقِّ

dan akan dihakimi di antara mereka dengan adil,

Akan dijalankan pengadilan. Allah telah tahu apakah yang makhluk telah buat. Namun, Allah jadikan majlis perbicaraan untuk menunjukkan keadilan-Nya. Semua makhluk akan mengadap Allah SWT dalam duduk berlutut dalam keadaan telanjang. Semuanya akan mengadap Allah ada yang semasa berkumpulan dan ada yang semasa berseorangan, tidak ada yang bersama kita.

Waktu itu, kita tidak mampu hendak menolak atau memberi alasan lagi diatas perbuatan kita. Kita terpaksa mengaku semuanya sekali.

وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

dan mereka tidak dizalimi sedikit pun.

Satu dosa akan dibalas satu atau boleh jadi, lagi kurang dari itu dan dimaafkan langsung. Satu pahala pula dibalas sekurang-kurangnya sepuluh atau lebih lagi berganda-ganda. Bermakna, tidak akan ada sesiapa pun yang akan dizalimi oleh Allah SWT.

Mana boleh kita hendak kata Allah SWT berlaku zalim, sedangkan Allah SWT hanya membalas kejahatan dengan keburukan atau dimaafkan, tetapi yang melakukan kebaikan, Allah SWT akan balas lebih lagi dari apa yang mereka buat.

Tafsir Ayat Ke-70:

وَوُفِّيَت كُلُّ نَفسٍ مّا عَمِلَت وَهُوَ أَعلَمُ بِما يَفعَلونَ

Dan akan disempurnakan bagi tiap-tiap seorang – balasan apa yang telah dikerjakannya, dan Allah lebih mengetahui akan apa yang mereka telah lakukan.

وَوُفِّيَتْ كُلُّ نَفْسٍ

Dan akan diberikan balasan setiap jiwa

Allah SWT dengan segala keadilan-Nya akan beri balasan yang setimpal. Dengan cukup. Tidak akan ada makhluk yang akan mempersoalkan keadilan Allah SWT pada waktu itu.

مَّا عَمِلَتْ

daripada apa yang telah mereka lakukan

Amalan baik akan dibalas baik. Amalan jahat dan zalim akan dibalas dengan keburukan. Tidaklah mereka akan dihukum atas perbuatan yang mereka tidak lakukan; kalau di dunia, ada kemungkinan manusia dihukum atas kesalahan yang mereka tidak lakukan; dan tidak ada amalan kebaikan yang tidak dibalas dengan kebaikan kerana Allah tahu belaka apa yang kita telah lakukan. Tidak akan tertinggal satu pun kebaikan pun melainkan akan dibalas.

Allah Maha Adil dan tidak pernah dan tidak akan zalim. Bukanlah Allah hendak menyeksa hamba-Nya, tetapi segala azab yang akan dikenakan kepada mereka itu adalah kerana kesalahan manusia sendiri.

وَهُوَ أَعْلَمُ بِمَا يَفْعَلُونَ

tetapi Allah sudah sedia tahu apa yang mereka amalkan.

Allah SWT lebih tahu apa yang telah mereka lakukan dulu semasa di dunia. Bukanlah dibentangkan amalan itu sebab Allah SWT tidak tahu. Allah SWT memang telah tahu. Namun Allah SWT hendak menunjukkan keadilan-Nya. Allah SWT tahu segala-galanya. Kadang-kadang kita sendiri sudah lupa apa yang kita lakukan, tetapi Allah SWT tahu.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan