Tafsir Ayat Ke-65
Dalil Wahyi. Allah SWT hendak beritahu, kalau amalkan syirik, gugur segala amalan kebaikan, tidak kira siapa, termasuklah kalau Nabi Muhammad SAW sendiri pun.
وَلَقَد أوحِيَ إِلَيكَ وَإِلَى الَّذينَ مِن قَبلِكَ لَئِن أَشرَكتَ لَيَحبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكونَنَّ مِنَ الخٰسِرينَ
Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: “Demi sesungguhnya! jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi daripada orang-orang yang rugi.
وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ
Sesungguhnya kami telah mewahyukan kepada kamu (Muhammad)
Allah SWT ingatkan kepada Nabi Muhammad, juga kepada kita, umat baginda. Allah SWT beri amaran kepada semua.
وَإِلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكَ
dan kepada Nabi-Nabi sebelum kamu
Maknanya, sama sahaja apa yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad dan Nabi-nabi sebelumnya. Bukan Nabi Muhammad dan kita sahaja yang kena berpegang dengan tauhid ini tetapi umat-umat terdahulu pun.
Oleh kerana kita yang belajar wahyu ini, maka ayat ini pun tertuju kepada kita. Kita pun kena ambil perhatian dengan ayat ini.
لَئِنْ أَشْرَكْتَ
sekiranya kamu melakukan syirik,
Ini amarannya: kalau Nabi Muhammad SAW melakukan syirik (takkan Nabi Muhammad melakukannya); amaran ini termasuk juga kepada guru-guru, ustaz-ustaz dan kita sendiri.
Maka, kalau kita melakukan syirik, kita pun termasuk juga dalam amaran yang Allah berikan ini.
لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ
nescaya gugur semua amal ibadat-ibadat kamu
Segala solat kita, puasa, haji, sedekah dan segala amal-amal baik kita akan batal. Pahala yang kita sudah kumpul itu akan jadi kosong. Tidak kira berapa tahun kita telah beramal, sekali kita buat syirik, semuanya sekali akan dihapuskan.
Bayangkan seperti kita meniup belon yang semakin membesar dan membesar – tetapi apabila ada satu jarum sahaja dicucuk kepada belon itu, belon itu akan pecah.
Angin yang ada dalam belon itu adalah ibarat pahala-pahala daripada amalan kita dan satu jarum itu adalah satu amalan syirik yang kita buat. Dengan satu syirik sahaja akan menghilangkan segala pahala amalan kita yang telah lama kita kumpulkan.
Agaknya dah berapa banyak kesyirikan yang kita sudah buat tanpa kita ketahui? Sama ada kita tahu atau tidak, ia tetap satu perbuatan syirik dan tidak akan dimaafkan.
Jadi, amat rugi sekali segala amalan kita. Apa yang kita perlu lakukan adalah kita kena belajar apakah maksud tauhid dan apakah maksud syirik. Belajar dan terus belajar supaya kita dapat bezakan manakah amalan yang soleh dan manakah amalan yang syirik.
Segala pahala kita akan hilang dan kena kumpul balik dari mula. Tidakkah itu rugi?
وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخٰسِرِينَ
dan kamu pasti kamu akan menjadi orang yang rugi.
Rugi yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah, semua yang buat syirik akan dimasukkan dalam neraka tidak keluar-keluar sampai bila-bila. Padahal, segala amal telah banyak dilakukan, tetapi semuanya tidak dikira.
Amat rugi juga kerana kita telah laburkan entah berapa banyak masa dan tenaga untuk buat amal-amal itu, tetapi kerana kita ada buat syirik, ia hilang begitu sahaja. Macam kita dapat untung perniagaan yang kita telah kumpul sekian banyak, tetapi hilang begitu sahaja. Apa perasaan kita waktu itu?
Kalau Nabi-Nabi pun Allah SWT akan masukkan ke dalam neraka kalau buat syirik, apatah lagi kita?
Oleh itu, jangan bertolak ansur dengan amalan syirik. Jangan kita terima amalan syirik yang diamalkan oleh masyarakat. Jangan ikut amalan masyarakat yang syirik.
Tafsir Ayat Ke-66
Sebaliknya apa yang kita kena amalkan?
بَلِ اللَهَ فَاعبُد وَكُن مِّنَ الشّٰكِرينَ
“(Janganlah menyembah yang lain dari Allah) bahkan (apabila beribadat) maka hendaklah engkau menyembah Allah semata-mata, dan hendaklah engkau menjadi dari orang-orang yang bersyukur”.
بَلِ اللَهَ فَاعْبُدْ
Bahkan! Allah jualah hendaknya yang kamu sembah;
Jangan sembah dan seru kepada yang selain daripada Allah. Namun, berapa banyak kesalahan yang masyarakat kita telah buat?
Jangan kita jadi seperti orang Kristian: mereka terima Nabi Isa, Injil sebagai kitab dari Tuhan, tetapi mereka puja Nabi Isa melebihi dari yang sepatutnya. Jangan kita terima Islam sebagai agama kita, Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul kita dan al-Qur’an sebagai kalam Allah, tetapi kita puja Nabi Muhammad SAW.
Ramai dalam kalangan masyarakat kita yang puja Nabi-nabi, wali-wali dan malaikat-malaikat. Itu semua adalah kerana mereka salah faham tentang apakah maksud sembah dan puja. Mereka ingat dengan perbuatan mereka itu mereka tidak sembah dan puja Nabi, wali dan malaikat itu tetapi sebenarnya, mereka menyembah entiti-entiti itu.
Bila kita kata kenapa kamu pergi ke kuburan itu dan cium nesan-nesan itu? Mereka kata: kami tidak sembah, sebab kami tidak sujud pun. Jawapan mereka itu adalah pemahaman sempit mereka tentang maksud ‘sembah’ dan ‘puja’.
Kalau sudah cium batu nesan, pasang lampu di kuburan yang dikatakan orang alim, letak gambar, buat amal ibadah di kawasan kuburan itu, itulah amalan pemujaan dan penyembahan.
وَكُنْ مِّنَ الشّٰكِرِينَ
dan hendaklah kamu menjadi orang yang bersyukur.
Bagaimana cara untuk bersyukur? Dengan taat kepada Allah SWT. Lafaz yang kita selalu sebut adalah: ‘Alhamdulillah’. Tetapi sebelum itu, kenalah taat kepada-Nya. Maknanya, bukan setakat kita menyebutkan zikir Alhamdulillah, Alhamdulillah sahaja berulang-ulang tetapi kita tidak taat kepada suruhan-Nya.
Kenalah perbuatan kita juga menunjukkan kita taat kepadanya. Jadi, perbuatan kita menjaga solat, menjaga puasa, berzikir, baca al-Qur’an dan sebagainya adalah dikira sebagai tanda kesyukuran juga. Walaupun waktu itu kita tidak kata ‘syukur’ kepada Allah SWTpun.
Oleh itu, bersyukurlah kepada Allah SWT dengan menyembah dan memuja-Nya sahaja kerana Dialah yang telah menjadikan kita dan selayaknya Dia sahaja yang disembah dan diseru. Kita dapat segala nikmat dari Allah SWT, bukan?
Tafsir Ayat Ke-67
Ini adalah Zajrun – ayat teguran daripada Allah.
وَما قَدَرُوا اللَهَ حَقَّ قَدرِهِ وَالأَرضُ جَميعًا قَبضَتُهُ يَومَ القِيٰمَةِ وَالسَّمٰوٰتُ مَطوِيّاتٌ بِيَمينِهِ ۚ سُبحٰنَهُ وَتَعالىٰ عَمّا يُشرِكونَ
Dan mereka (yang musyrik) tidak menghormati Allah dengan penghormatan yang sewajibnya diberikan kepada-Nya, sedang bumi seluruhnya – pada hari kiamat – dalam genggaman-Nya, dan langit tergulung dengan tangan kanan-Nya. Maha Sucilah Ia dan Tertinggi keadaan-Nya daripada apa yang mereka sekutukan.
وَمَا قَدَرُوا اللَهَ حَقَّ قَدْرِهِ
Dan tidaklah mereka menghargai kedudukan Allah sebagaimana yang sepatutnya mereka hargai Allah.
Allah SWT menegur perbuatan golongan musyrik yang tidak menghargai Allah SWT seperti yang sepatutnya. Mereka sepatutnya menghargai Allah SWT dengan mengagungkan-agungkan-Nya.
Namun, sebaliknya mereka agungkan tok wali, guru mereka, Nabi-nabi, malaikat-malaikat dan sebagainya. Macam Kristian, mereka mengagungkan Nabi Isa, sahabat Nabi Isa a.s., malaikat dan sebagainya.
Masyarakat kita pun macam itu juga, cuma tidak buat berhala untuk selain daripada Allah SWT. Belum sampai kepada tahap itu lagi. Tetapi sebenarnya sudah pun sembah dan puja.
Sebagai contoh, ada doa orang bersilat yang kata: Jibrail di depan, Mikail di kanan… dan sebagainya. Itu adalah doa syirik. Mereka puja Allah SWT, tetapi mereka puja juga sembahan lain.
Kita sepatutnya membesarkan Allah SWT dan mengecilkan yang selain daripada-Nya. Tetapi yang sebaliknya dilakukan. Dengan Allah SWT mereka buat tidak endah, tetapi mereka sibuk dengan pemujaan kepada selain daripada Allah SWT.
Musyrikin Mekah dan mereka yang ada sifat syirik dalam diri mereka juga tidak menghargai Allah SWT dengan sepatutnya apabila mereka mengatakan yang Allah SWT memerlukan tawassul (perantara) dalam ibadah dan juga dalam doa.
Dalam masyarakat kita pun ramai yang berbuat begini. Itu semua adalah diajar oleh guru-guru yang tidak belajar isi kandung al-Qur’an. Mereka sebenarnya hendak mengambil wang daripada anak murid mereka.
Sebab mereka akan ambil upah untuk baca doa, untuk mengajar ilmu salah, untuk jadi tekong Majlis Tahlil, baca talqin, imam solat Hajat dan sebagainya. Mereka bukan orang jahat, tetapi mereka tipu juga kepada anak murid mereka.
Ingatlah bahawa tidak boleh minta upah dalam hal ibadat termasuk mengajar agama. Tanyalah kepada ustaz-ustaz yang terkenal sekarang. Tanyalah berapa banyak kadar bayaran mereka yang kena dibayar untuk mereka datang mengajar di sesuatu tempat.
Mereka itu seperti pendita Yahudi juga. Ini kita tahu melalui pembelajaran kita dari surah al-Baqarah kerana banyak diberikan persamaan antara guru agama kita sekarang dan pendita Yahudi.
وَالْأَرْضُ جَمِيعًا قَبْضَتُهُ يَوْمَ الْقِيٰمَةِ
dan bumi semua sekali di dalam genggaman-Nya pada hari kiamat.
Allah SWT beri dalil kenapa kita kena sembah dan puja Allah SWT sahaja kerana seluruh bumi ini dalam genggaman-Nya pada Hari Kiamat.
Ini adalah salah satu dari ayat-ayat yang dipanggil sebagai ayat ‘mutashabihah’. Iaitu ayat-ayat yang mempunyai maksud-maksud yang tersirat yang kita tidak tahu dengan tepat. Kita tidak tahu bagaimana cara Allah SWT genggam bumi ini.
Puak Jahmiah kata ayat ini dan juga ayat-ayat seperti ini, macam ayat yang mengatakan Allah SWT ‘bersemayam’ atas Arash, dan mereka kata syirik sesiapa yang kata Allah SWT ada tangan dan bersemayam di Arash.
Oleh kerana mereka tidak mahu terima teks asal al-Qur’an, maka mereka menakwil ayat-ayat mustashabihah ini. Mereka memberi makna lain kepada ayat-ayat Allah SWT. Mereka kata bukan ‘genggaman’ yang dimaksudkan di dalam ayat ini, tetapi ‘kekuasaan’ dan sebagainya.
Mereka cakap macam ini kerana mereka kata tidaklah Allah SWT ada tangan. Sebab Allah SWT tidak sama dengan manusia. Jadi sebab manusia ada tangan, tidaklah Allah pun ada tangan. Itulah pendapat mereka.
Bagaimana mahu jawap?
Ayat-ayat seperti ini pada zahirnya kita faham, tetapi maksudnya tidak jelas. Ketahuilah bahawa Tuhan tidak menyerupai makhluk. Seperti mana kita berjalan, ayam lembu juga berjalan, ikan berenang, burung terbang, ular merayap. Itu pun dikira ‘berjalan’ juga. Walaupun tidak menggunakan kaki.
Berjalan binatang-binatang itu tidak sama dengan cara berjalan manusia. Ular, contohnya, berjalan dengan perut. Maka, kerana Allah SWT mengatakan tangan-Nya, maka kita terima bahawa Allah SWT ada tangan. Namun mestilah kita yakin bahawa tangan Allah SWT tidaklah seperti tangan kita.
Contoh lain: Kita juga menggunakan kiasan dalam perkataan seperti ‘rumah’ untuk menerangkan sesuatu. Contohnya ‘muka rumah’. Muka rumah macam mana? Tidak sama ‘muka rumah’ itu dengan muka kita.
Ia adalah satu perkataan yang kita faham tetapi tidak boleh cerita balik. Muka ‘muka sungai’, adalah satu lagi contoh. Mana muka dia? Tidak boleh cerita. Allah SWT tidak serupa makhluk. Ramai yang tafsir ayat diatas bermaksud dalam ‘kuasa’ Allah SWT.
Tetapi tidak begitu tepat sebenarnya. Bahasa Arab kekal mengatakan ia adalah ‘tangan’, maka kita tidak boleh suka-suka tukar kepada maksud yang lain. Tetapi bukanlah genggaman Allah SWT seperti genggaman manusia.
Maka, janganlah kita cuba takwil ayat-ayat sebegini. Tuhan sahaja yang tahu makna sebenarnya. Allah SWR sahaja yang boleh tafsir. Seperti yang telah difirmankan Allah SWT di dalam surah [ Ali Imran: 7] Dalam ayat itu, Allah SWT memberitahu bahawa orang yang condong kepada kesesatan akan ambil ayat mutashabihat ini sebagai fitnah.
[ Ali-Imran: 7 ]
هُوَ الَّذِي أَنْزَلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ
Dialah Dzat yang menurunkan kepada kamu (Muhammad) satu kitab
مِنْهُ آيَاتٌ مُحْكَمَاتٌ
dalamnya ada ayat-ayat yang jelas maknanya
هُنَّ أُمُّ الْكِتَابِ
Itulah sebenarnya induk isi kandung ummul kitab
وَأُخَرُ مُتَشَابِهَاتٌ
Dan yang selainnya adalah ayat yang samar maknanya.
Ayatnya kita faham, tetapi maksudnya tidak jelas. Selain dari ayat sebegini, ada ayat yang kita langsung tidak faham. Contohnya kita tidak tahu langsung apa sebenarnya makna perkataan ‘alif lam mim‘.
Kita ambil contoh ayat ‘Allah bersemayam di atas Arash’. Kita tidak tahu Allah SWT duduk macam mana. Tetapi dalam ayat ini Allah SWT kata Dia ‘duduk’. ‘Duduk’ dengan cara Dia. Tidak sama dengan cara duduk manusia.
فَأَمَّا الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ زَيْغٌ
Adapun orang-orang yang hati mereka condong kepada sesat
فَيَتَّبِعُونَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ
Mereka mengikuti/mengutamakan apa yang samar-samar pada ayat itu.
Mereka yang ekstrem kata siapa yang kata Tuhan duduk atas Arash itu adalah kafir. Alasan mereka adalah: kita menyamakan Tuhan dengan makhluk. Padahal, kita tidak pernah kata macam itu pun.
Ketahuilah bahawa Arash itu melitupi semua sekali langit ke-7. Jadi Dia duduk macam mana, kita tidak tahu. Bukannya duduk macam kita. Allah SWT tidak menyerupai makhluk. Itu sahaja penjelasan yang diberikan oleh Allah.
ابْتِغَاءَ الْفِتْنَةِ
Untuk mencari fitnah.
Mereka mencari-cari makna yang tersembunyi itu sebab mahu menuduh orang lain kafir.
وَابْتِغَاءَ تَأْوِيلِهِ
Dan mencari maksud-maksud yang salah dari apa yang dia tafsir.
Mereka akan cuba tafsir, tapi apa yang mereka tafsirkan adalah salah. Kerana mereka akan tafsir dan takwil guna akal sendiri, dan akal manusia tidak akan sampai ke tahap untuk faham apakah maksudnya yang sebenarnya.
وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُ إِلَّا الله
Dan tidak mengetahui maksud takwil ayat itu melainkan Allah sahaja.
Allah sahaja yang tahu, kita tidak akan tahu.
وَالرَّاسِخُونَ فِي الْعِلْمِ
Dan mereka-mereka yang mendalam ilmu ugamanya
يَقُولُونَ آمَنَّا بِهِ
mereka berkata: kami beriman kepada ayat itu.
Mereka terima bulat-bulat seperti apa yang telah disebut itu. Tidak takwil-takwil lagi.
كُلٌّ مِنْ عِنْدِ رَبِّنَا
Semua sekali dari sisi Tuhan kami.
وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ
Dan tidak mengikuti nasihat ini, melainkan orang-orang yang mempunyai otak cerdik sahaja.
Maknanya orang yang cuba hendak takwil ayat-ayat mustashabih itu adalah orang yang otak senget. Mencari perkara yang tidak payah dicari. Mereka tidak belajar pun tafsir al-Qur’an dan hadith Nabi.
Mereka yang seperti ini dipanggil golongan Jahmiah, tidak dikira sebagai ahli sunnah wal jamiah. Semua imam hadis mengatakan Tuhan duduk di atas Arash. Mereka tidak takwil-takwil lagi.
Begitu pun, kita tidaklah mengatakan mereka yang takwil ayat-ayat mutashabihat itu sebagai sesat pula, kafir dan sebagainya.
Mereka masih lagi dalam kelompok ahli sunnah wal jamaah. Cuma pada kita, mereka tidak tepat dengan menakwil ayat-ayat itu. Kita lebih selesa untuk terima sahaja apa yang Allah telah sebut tanpa takwil.
وَالسَّمٰوٰتُ مَطْوِيَّاتٌ بِيَمِينِهِ
dan tujuh langit itu akan digulung dengan tangan kananNya.
Lagi satu ayat mutashabihah. Kita tidak tahu bagaimana keadaan ‘tangan’ Allah SWT. Dia cuma kata dalam ayat ini bahawa Dia akan menggulung langit dengan tangan kanan-Nya. Itu sahaja yang kita tahu. Jadi, sekarang kita tahu Allah SWT ada tangan kanan. Adakah Allah SWT ada tangan kiri pula kalau Dia ada tangan kanan?
Kita tidak perlu jawap. Tidak perlu kita hendak membayangkan bagaimana rupanya. Kita tidak disuruh memikirkan tentang Dzat Allah SWT tetapi kita disuruh memikirkan tentang sifat-sifat Allah SWT. Kita tidak akan dapat memahami tentang Dzat Allah SWT, jadi jangan buang masa. Banyak lagi perkara lain yang kita kena fikirkan dan luangkan masa.
Yang penting, kita kena ingat yang Allah SWT tidak menyerupai makhluk. Dan para sahabat pun faham bahasa kiasan begini dan kerana itu tidak ada soalan dari mereka tentang perkara ini.
Cuma tiga kurun selepas Nabi barulah dibahaskan perkara ini sedangkan orang sebelum itu tidak bahas pun kerana mereka faham Allah SWT tidak serupa makhluk. Maka bahayalah apabila bahaskan perkara yang tidak perlu dibahaskan.
سُبْحٰنَهُ وَتَعَالَىٰ عَمَّا يُشْرِكُونَ
Maha suci Allah. Maha tinggi Dia, daripada apa yang mereka sekutukan-Nya.
Maha suci Allah SWT dari apa-apa yang mereka katakan. Mereka kata Allah SWT begini, begitu, tanpa bawa dalil dari al-Qur’an dan Hadith, maka mereka sebenarnya menipu. Allah SWT suci dari sifat-sifat Allah yang mereka katakan.
Allah SWT lebih tinggi dari apa yang mereka katakan. Maka, janganlah kita memperkatakan tentang Allah SWT dari sumber yang entah dari mana.
Maka janganlah kita mengamalkan syirik dan ada fahaman syirik sama sekali.
Allahu a’lam.