Utama Bilik (001) Fiqh Asasi Pemula Thaharah: Tayammum – Pengertian, Syariat dan Kaifiat

Thaharah: Tayammum – Pengertian, Syariat dan Kaifiat

4676
0
Iklan

Thaharah: Tayammum

A. Pengertian Tayamum

Dari segi bahasa, Tayammum bermaksud ‘keinginan’ seperti disebut dalam [ al-Baqarah: 267 ]

وَلَا تَيَمَّمُوا الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنفِقُونَ

Dan janganlah kamu menginginkan yang buruk daripadanya

Dari segi syarak, menggunakan debu tanah untuk mengusap muka dan tangan kerana ingin mengangkat hadas dengan tujuan melakukan ibadat dan selainnya.

B. Syariat Tayammum

1. Dalil dari al-Qur’an, sunnah dan Ijmak

Ayat pertama

✍🏻Dalil al-Qur’an tentang Tayammum adalah [ an-Nisa’: 43 ]

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا وَإِن كُنتُم مَّرْضَىٰ أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِّنكُم مِّنَ الْغَائِطِ أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَفُوًّا غَفُورًا

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan Junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci. Dan jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah – debu, yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.

Ayat kedua

وَإِنْ كُنْتُمْ مَرْضَى أَوْ عَلَى سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنَ الْغَائِطِ أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُمْ مِنْهُ

Dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan atau kembali dari tempat buang air atau berhubungan badan dengan perempuan, lalu kamu tidak memperoleh air, maka bertayammumlah dengan permukaan bumi yang baik (bersih); sapulah mukamu dan tanganmu dengan tanah itu”.
[ al-Maidah: 6 ]

✍🏻Adapun dalil dari As Sunnah adalah sabda Rasulullah صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَعَلٰى آلِهِ وَسَلَّمَ daripada sahabat Hudzaifah Ibnul Yaman rodhiyallahu ‘anhu,

« وَجُعِلَتْ تُرْبَتُهَا لَنَا طَهُورًا إِذَا لَمْ نَجِدِ الْمَاءَ »

“Dijadikan bagi kami (ummat Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi was sallam ) permukaan bumi sebagai thohur (sesuatu yang digunakan untuk bersuci (tayammum)) jika kami tidak menjumpai air”.
[ Riwayat Muslim no 522 ]

2. Kelebihan kepada umat Nabi Muhammad صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَعَلٰى آلِهِ وَسَلَّمَ

Kelebihan boleh menggunakan Tayammum ini tidak diberikan kepada umat lain selain umat Nabi Muhammad صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَعَلٰى آلِهِ وَسَلَّمَ . Maknanya umat terdahulu kena cari air juga untuk mengangkat hadas mereka.

✍🏻Adapun keistimewaan- keistimewaan tersebut dijelaskan dalam hadith Rasulullah صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَعَلٰى آلِهِ وَسَلَّمَ.

Daripada Jabir bin Abdillah ra, dia berkata, Rasulullah saw bersabda : “Aku diberi lima perkara yang tidak diberikan kepada seorang nabi pun sebelumku, iaitu aku ditolong dengan ketakutan (yang menimpa musuh) yang berlangsung selama satu bulan, semua belahan bumi telah dijadikan untukku masjid dan suci, sehingga siapa saja dari umatku yang datang kepadanya waktu salat, maka dapat langsung menunaikannya, dihalalkan kepada bagiku sejumlah binatang ternak yang tidak dihalalkan kepada seorang nabi sebelumku, aku dianugerahi syafaat, dan seorang nabi di masa lalu diutus kepada suatu kaum tertentu, sementara aku diutus kepada seluruh umat manusia.”
[ HR. Muttafaq ‘alaih ]

3. Sebab pensyariatan Tayammum

✍🏻Bilakah Tayammum mula disyariatkan?

322 – حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يُوسُفَ قَالَ أَخْبَرَنَا مَالِكٌ عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ الْقَاسِمِ عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَائِشَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَتْ خَرَجْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي بَعْضِ أَسْفَارِهِ حَتَّى إِذَا كُنَّا بِالْبَيْدَاءِ أَوْ بِذَاتِ الْجَيْشِ انْقَطَعَ عِقْدٌ لِي فَأَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى الْتِمَاسِهِ وَأَقَامَ النَّاسُ مَعَهُ وَلَيْسُوا عَلَى مَاءٍ فَأَتَى النَّاسُ إِلَى أَبِي بَكْرٍ الصِّدِّيقِ فَقَالُوا أَلَا تَرَى مَا صَنَعَتْ عَائِشَةُ أَقَامَتْ بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالنَّاسِ وَلَيْسُوا عَلَى مَاءٍ وَلَيْسَ مَعَهُمْ مَاءٌ فَجَاءَ أَبُو بَكْرٍ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَاضِعٌ رَأْسَهُ عَلَى فَخِذِي قَدْ نَامَ فَقَالَ حَبَسْتِ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالنَّاسَ وَلَيْسُوا عَلَى مَاءٍ وَلَيْسَ مَعَهُمْ مَاءٌ فَقَالَتْ عَائِشَةُ فَعَاتَبَنِي أَبُو بَكْرٍ وَقَالَ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ يَقُولَ وَجَعَلَ يَطْعُنُنِي بِيَدِهِ فِي خَاصِرَتِي فَلَا يَمْنَعُنِي مِنْ التَّحَرُّكِ إِلَّا مَكَانُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى فَخِذِي فَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ أَصْبَحَ عَلَى غَيْرِ مَاءٍ فَأَنْزَلَ اللَّهُ آيَةَ التَّيَمُّمِ فَتَيَمَّمُوا فَقَالَ أُسَيْدُ بْنُ الْحُضَيْرِ مَا هِيَ بِأَوَّلِ بَرَكَتِكُمْ يَا آلَ أَبِي بَكْرٍ قَالَتْ فَبَعَثْنَا الْبَعِيرَ الَّذِي كُنْتُ عَلَيْهِ فَأَصَبْنَا الْعِقْدَ تَحْتَهُ

322. Telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Yusuf berkata, telah mengkhabarkan kepada kami Malik daripada ‘Abdurrahman bin Al Qasim daripada bapaknya dari ‘Aisyah isteri Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, ia berkata, “Kami keluar bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam salah satu perjalanan yang dilakukannya. Hingga ketika kami sampai di Baida’, atau tempat peristirahatan pasukan, aku kehilangan kalungku. Maka Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam berhenti untuk mencarinya. Orang-orang lain juga berhenti untuk mencarinya. Mereka berhenti di tempat yang tiada air. Sahabat-sahabat lalu bertemu dengan Abu Bakar Ash Shidiq seraya berkata, ‘Nah lihat apa yang telah diperbuat oleh ‘Aisyah? Dia telah membuatkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan orang-orang berhenti di tempat yang tiada air dan mereka juga tidak memiliki bekalan air! ‘ Lalu Abu Bakar datang kepadaku sedangkan saat itu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sedang tidur dengan meletakkan kepalanya di pahaku. Kata Abu Bakar: “Engkau telah membuatkan Rasulullah tertahan di sini dengan orang-orang lain. Mereka berhenti di tempat yang tiada air. Mereka juga tidak mempunyai air. Kata Aisyah: Abu Bakar mengataiku macam-macam sungutan terhadapku. Dia juga telah menusuk pinggangku dengan tangannya, dan tidak ada yang menghalangiku untuk bergerak (karena rasa sakit) kecuali kerana keberadaan kepala Rasulullah yang di pahaku.” Kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bangun di waktu subuh dalam keadaan tidak ada air. Allah Ta’ala menurunkan ayat tayammum, maka orang-orang pun bertayammum.” Usaid bin Al Hudlair lalu berkata, “Ini bukan keberkatanmu yang pertama wahai keluarga Abu Bakar!” ‘Aisyah berkata, “Kemudian unta yang aku tunggangi berdiri yang ternyata kami temukan kalungku berada dibawahnya.”__

C. Kaifiat Tayammum

Tatacara Tayammum

a. Niat

Seperti perbincangan dalam wudhu’ dan mandi junub.

b. Baca Basmalah

Seperti perbincangan dalam wudhu’ dan mandi junub. Boleh rujuk nota-nota lepas kerana perbahasan yang sama sahaja.

D. Bilakah Seseorang Dibolehkan Bertayammum

1. Jika tidak jumpa air
2. Jika khuatir mudharat kalau pakai air

Mungkin di kalangan orang kita tidak biasa kerana sentiasa ada air. Selalunya kalau sakit, orang kita pilih untuk qadha sahaja. Padahal itu adalah salah.

Ramai yang bila masuk wad sahaja, seolah-olah dapat ‘lesen’ tidak solat. Tidak tahu siapa yang beri. Allah SWT dan Nabi SAW tidak pernah beri. Mereka kata: “nantilah aku dah sihat nanti aku gantilah… “ tetapi ada yang tidak sempat sihat sudah meninggal. Hendak ganti bagaimana?

Ini adalah kerana kejahilan solat dalam keadaan sakit dan cara untuk mengangkat hadas selain dari menggunakan air. Maka diharap pelajaran kita ini dapat dipanjangkan kepada orang ramai kerana ramai yang tidak tahu perkara ini.

c. Pukul tapak tangan pada tanah yang suci kemudian tiup pada tangan itu.

Selepas niat dan baca basmalah, maka cari tanah yang bersih (pada pandangan mata kita) dan pukul/tekap pada tanah itu. Kemudian tiup debu/tanah yang melekat pada tangan itu atau tepuk-tepuk tangan itu kerana kita bukan perlukan debu tanah itu sebenarnya. Kemudian usap tapak tangan itu pada wajah dan kedua-dua tangan.

✍🏻Dalil:

326 – حَدَّثَنَا آدَمُ قَالَ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ حَدَّثَنَا الْحَكَمُ عَنْ ذَرٍّ عَنْ سَعِيدِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبْزَى عَنْ أَبِيهِ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ فَقَالَ إِنِّي أَجْنَبْتُ فَلَمْ أُصِبْ الْمَاءَ فَقَالَ عَمَّارُ بْنُ يَاسِرٍ لِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ أَمَا تَذْكُرُ أَنَّا كُنَّا فِي سَفَرٍ أَنَا وَأَنْتَ فَأَمَّا أَنْتَ فَلَمْ تُصَلِّ وَأَمَّا أَنَا فَتَمَعَّكْتُ فَصَلَّيْتُ فَذَكَرْتُ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيكَ هَكَذَا فَضَرَبَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَفَّيْهِ الْأَرْضَ وَنَفَخَ فِيهِمَا ثُمَّ مَسَحَ بِهِمَا وَجْهَهُ وَكَفَّيْهِ

326. Telah menceritakan kepada kami Adam ia berkata; telah menceritakan kepada kami Syu’bah berkata, telah menceritakan kepada kami Al Hakam daripada Dzar daripada Sa’id bin ‘Abdurrahman bin Abza daripada Bapaknya berkata, “Seorang laki-laki datang kepada Umar Ibnul Khaththab dan berkata, “bagaimana kalau aku mengalami junub tapi tidak mendapatkan air?” Maka berkatalah ‘Ammar bin Yasir kepada ‘Umar bin Al Khaththab, “Masih ingatkah engkau ketika kita dalam suatu perjalanan? Ketika itu aku dan engkau sedang berjunub. Adapun engkau tidak bersolat. Sedangkan aku bergulingan di atas tanah lalu solat? Kemudian hal itu aku sampaikan kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, dan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sebenarnya cukup kamu melakukan begini.” Baginda lalu menepuk telapak tangannya ke tanah dan meniupnya, lalu mengusapkannya ke muka dan kedua telapak tangannya di bahagian belakangnya hingga ke pergelangan.”
[ Sahih Bukhari hadis 326 ]

Syarah:

Kaifiat tayammum disebut dalam hadith ini. Kalau kita ringkaskan:

1. Tepuk tanah sekali sahaja.
2. Tiup tapak tangan atau ketuk-ketuk tangan itu supaya jatuh debu tanah
3. Sapu muka
4. Tanpa ambil tanah baru, sapu tangan pula
5. Sapu tangan setakat pergelangan tangan sahaja. Tidak perlu sampai ke siku.

d. Cukup dengan sekali pukul sahaja

Kadangkala ada yang mengajar Tayammum dengan mengatakan: sekali tepuk untuk muka dan sekali lagi untuk wajah.Namun, ini tidak ada dalam dalil yang sahih. Malah, yang disebut adalah sekali tepuk sahaja.

✍🏻Dalilnya:

عَنْ عَمَّارِ بْنِ يَاسِرٍ رضي الله عنهما قَالَ : بَعَثَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي حَاجَةٍ ، فَأَجْنَبْتُ فَلَمْ أَجِد الْمَاءَ ، فَتَمَرَّغْتُ فِي الصَّعِيدِ كَمَا تَمَرَّغُ الدَّابَّةُ ، فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقَالَ : ” إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيكَ أَنْ تَصْنَعَ هَكَذَا ، فَضَرَبَ بِكَفِّهِ ضَرْبَةً عَلَى الْأَرْضِ ، ثُمَّ نَفَضَهَا ، ثُمَّ مَسَحَ بِها ظَهْرَ كَفِّهِ بِشِمَالِهِ أَوْ ظَهْرَ شِمَالِهِ بِكَفِّهِ ، ثُمَّ مَسَحَ بِهِمَا وَجْهَهُ

Daripada ‘Ammar bin Yasir radiallahu’anhu bahawa dia berkata; Rasulullah sallallahu ‘alaihi sassalam mengutusku untuk sesuatu urusan lalu aku mengalami junub dan ketika itu aku tidak menemui air. Oleh kerana itu aku pun berguling-guling di tanah (untuk bersuci) sebagaimana haiwan berguling-guling. Aku menceritakan kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam. Hal tersebut Nabi bersabda” Sebenarnya sudah cukup bagimu bersuci dengan cara seperti ini. Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam memukulkan kedua tapak tangannya di atas tanah dengan sekali pukulan. Kemudian baginda meniupnya, kemudian baginda sallallahu ‘alaihi wasallam menyapu belakang tapak tangan kanan dengan tapak tangan kirinya, dan menyapu belakang tapak tangan kiri dengan tapak tangan kanannya, kemudian baginda sallallahu ‘alaihi wasallam menyapu wajahnya’
[Sahih al-Bukhari, Kitab at-Tayammum, hadith no: 337]

Selesai cara untuk tayammum. Kalau dilihat, cara ini senang sahaja dan tidak susah dan kerana itu jangan kita susahkan.

2. Hal-hal yang membatalkan tayammum.

Sebagaimana wudhu’ boleh batal, maka tayammum pun boleh batal juga. Mari kita lihat apakah yang membatalkan tayammum. Ada dua perkara yang perlu dilihat.

a. Setiap yang membatalkan wudhu’ juga membatalkan tayammum

Oleh kerana tayammum adalah pengganti kepada wudhu’, maka apa sahaja yang membatalkan wudhu’ akan membatalkan tayammum juga seperti kentut, buang air dan sebagainya. Ulama’ bersepakat tentang hal ini.

b. Bila ada air

Tayammum tidak dibolehkan lagi apa bila telah ditemukan air bagi orang yang bertayammum kerana ketiadaan air. Ini kerana bila sudah ada air, maka tayammum tidak dibenarkan lagi. Bila ada air sahaja, maka tayammum yang telah diambil automatik batal.

Kepada mereka yang tayammum kerana tidak boleh guna air kerana sakit contohnya, maka apabila telah adanya kemampuan menggunakan air atau tidak sakit lagi, maka tayammum itu batal. Hanya yang menjadi khilaf adalah bagaimana kalau sedang solat, diketahui air telah ada.

Kalau kita ringkaskan pembatal tayammum:

1- Sepakat ulama’ – semua pembatal wudhu’ akan membatalkan tayammum [Sahih Fiqh as-Sunnah]

2- Sepakat ulama jika menemui air sebelum menunaikan solat, batal tayammum. [Sahih Fiqh as-Sunnah]

3- Jika air ada ketika solat sedang didirikan, ulama’ berbeza pendapat:

✍🏻Berhenti solat, mengambil wudhu’ dan mengulangi solat: Ini mazhab Abu Hanifah, Ahmad

✍🏻Teruskan solat: Imam Malik, al-Syafie, satu riwayat Ahmad, Abu Tsaur, Daud dan Ibn al-Munzir [Sahih Fiqh as-Sunnah]

Ini pembatal yang kedua.

3. Benda-benda yang biasa digunakan sebagai alat tayammum dan tidak disyaratkan mesti dengan tanah

Adakah kita boleh guna tanah sahaja sebagai bahan tayammum? Sebenarnya, bahan yang boleh digunakan untuk Tayammum juga khilaf yang besar di kalangan ulama’.

Kalau kita ringkas khilaf pendapat itu, ia terbahagi kepada dua bahagian utama:

1️⃣ Pertama: Permukaan bumi secara mutlak, tidak kira pasir, gunung, batu, ataupun tanah. Ini pendapat Abu Hanifah, Abu Yusuf, Malik dan Ibn Taimiyyah.

2️⃣ Kedua: Tanah sahaja. Ini pendapat mazhab Syafie, Hanbali, Abu Tsaur dan Ibn al-Munzir. [Sahih Fiqh as-Sunnah]

Hanya yang menjadi khilaf di kalangan ulama adalah kalimat فَتَيَمَّموا صَعيدًا طَيِّبًا di dalam ayat [ al-Maidah:6 ] dan an-Nisa’:43 ]. Maka apakah tafsiran bagi صَعيدًا طَيِّبًا (tanah yang baik) itu? Ada yang kata mesti tanah yang berdebu dan ada yang kata yang kata tanah yang boleh menumbuhkan tanaman.

Maka, kerana itu pada pendapat mereka hanya ‘tanah’ sahaja yang boleh digunakan. Kalau pasir di padang pasir sahaja sudah tidak boleh kerana pasir tidak boleh tumbuh tanaman.

Pendapat itu ditolak oleh ramai ulama’ termasuklah Imam Bukhari. Pada mereka, صَعيدًا itu bermaksud ‘muka bumi’ dan طَيِّبًا itu bermaksud ‘suci’ iaitu bersih dari kotoran. Jadi boleh digunakan permukaan muka bumi dan boleh jadi apa-apa sahaja.

Jadi, jikalau ia boleh jadi apa sahaja, asalkan muka bumi maka, di sini kita boleh kata salji pun boleh juga. Atau jikalau ia adalah batu licin, langsung tiada tanah di atas batu itu. Ini kerana batu itu pun boleh juga dikatakan sebagai ‘muka bumi’ juga.

Itu termasuklah juga pokok dan rumput tetapi kenalah pokok yang belum terputus dari bumi. Apabila kita dapat faham yang Allah SWT bukan hendak menyusahkan kita dalam beramal ibadat, maka senanglah kita hendak faham dan terima perkara ini.

Kena faham perkara ini kerana ayat al-Qur’an di mana Allah SWT bercakap tentang tayammum juga Allah sudah berfirman yang Dia bukan hendak menyusahkan kita.

✍🏻Ini disebut dalam ayat yang menyebut Tayammum juga iaitu [ al-Maidah: 6 ]

ما يُريدُ اللَّهُ لِيَجعَلَ عَلَيكُم مِن حَرَجٍ

Allah tidak hendak menyulitkan kamu

Maka, kalau kena cari tanah yang sesuai dengan syarat ia mesti ada debu, mesti boleh menumbuhkan tanaman, maka tidakkah itu menyusahkan?

Dan daripada perbuatan Nabi dan para sahabat , mereka tidak menetapkan perkara ini. Mereka selalu bermusafir di padang pasir dan tentu tanah padang pasir itu tidak boleh menumbuhkan tanaman. Maka tidaklah ada disebut para sahabat bawa bekal tanah pula untuk bertayammum. Mereka gunakan sahaja pasir yang mereka jumpa di perjalanan.

D. Bilakah seseorang boleh tayammum?

Tayammum boleh digunakan oleh mereka yang berhadas kecil atau besar. Juga sama ada mereka itu dalam musafir atau bermukim. Asalkan ada salah satu dari dua syarat ini:

1. Jika tidak jumpa air

✍🏻Ini seperti yang disebut dalam [ an-Nisa’: 43 ]

فَلَم تَجِدوا ماءً فَتَيَمَّموا

kemudian kamu tidak mendapat air, maka bertayammumlah kamu

✍🏻Ada juga telah disebut dalam hadith yang banyak. Antaranya:

فَلَمَّا انْفَتَلَ مِنْ صَلَاتِهِ إِذَا هُوَ بِرَجُلٍ مُعْتَزِلٍ لَمْ يُصَلِّ مَعَ الْقَوْمِ قَالَ مَا مَنَعَكَ يَا فُلَانُ أَنْ تُصَلِّيَ مَعَ الْقَوْمِ قَالَ أَصَابَتْنِي جَنَابَةٌ وَلَا مَاءَ قَالَ عَلَيْكَ بِالصَّعِيدِ فَإِنَّهُ يَكْفِيكَ

Setelah baginda selesai melaksanakan solatnya, didapatinya ada seorang yang memisahkan diri tidak ikut solat bersama orang banyak. Maka Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya: “Wahai Fulan, apa yang menghalangimu untuk solat bersama orang banyak?” Orang itu menjawab, “Aku mengalami junub, sementara air tidak ada.” Baginda lantas menjelaskan: “Gunakanlah muka bumi (untuk bertayamum) kerana ia sudah memadai.”
[ Sahih Bukhari no. 331 ]

Juga ada hadith lain:

✍🏻Rasulullah SAW bersabda, “Tanah adalah wudhu’ seorang muslim jika tidak mendapatkan air walaupun selama sepuluh tahun.”
[ HR An-Nasai dan Ibnu Hibban ]

Termasuk tidak ada air itu adalah jikalau air untuk didapati jauh sangat atau ada air dalam telaga, tetapi dalam sangat dan timba tidak ada. Atau air ada, tetapi ada harimau di kawasan itu. Atau kawasan air itu dijaga oleh musuh.

Atau bagi wanita tidak boleh keluar kerana ada jantan-jantan yang tidak dipercayai ada di luar. Atau air ada tetapi ia amat sedikit. Air yang sikit itulah untuk minum dan untuk masak. Atau air di bilik air itu ada, tetapi orang yang sakit tidak larat hendak ke bilik air dan tidak ada orang yang boleh bawakan air untuk dia.

2. Jika khuatir mudharat kalau pakai air

Ini adalah kalau seseorang itu sakit atau luka; atau keadaan sejuk sangat yang dia rasa kalau dia wudhu’ dan mandi pakai air juga, akan memudharatkan dia.

✍🏻Dalilnya adalah [ an-Nisa’:29 ]

وَلا تَقتُلوا أَنفُسَكُم
Dan janganlah kamu membunuh dirimu

✍🏻Ayat ini pernah digunakan sebagai hujah oleh seorang sahabat:

عَنْ عَمْرٍو بْنِ الْعَاصِ قَالَ احْتَلَمْتُ فِيْ لَيْلَةٍ بَارِدَةٍ فِيْ غَزْوَةِ ذَاتِ السَّلاَسِلِ فَأَشْفَقْتُ إِنِ اغْتَسَلْتُ أَنْ أَهْلِكَ فَتَيَمَّمْتُ ثُمَّ صَلَّيْتُ بِأَصْحَابِيْ الصُّبْحَ فَذَكَرُوْا ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ فَقَالَ يَا عَمْرُو صَلَّيْتَ بِأَصْحَابِكَ وَأَنْتَ جُنُبٌ فَأَخْبَرْتُهُ بِالَّذِيْ مَنَعَنِيْ مِنَ الْاِغْتِسَالِ وَقُلْتُ إِنِّي سَمِعْتُ اللهَ يَقُوْلُ وَلاَ تَقْتُلُوْا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيْمًا فَضَحِكَ رَسُوْلُ اللهِ وَلَمْ يَقُلْ شَيْئًا

Daripada ‘Amr bin ‘Ash berkata “Aku pernah mimpi basah pada suatu malam yang sangat dingin sekali dalam perang Dzat Salasil, saya khawatir bila saya mandi, saya akan mati karenanya. Maka saya tayammum dan salat Subuh bersama para sahabat, tatkala kami datang kepada Rasulullah, para sahabat menceritakan kejadianku. Nabi bersabda: Wahai ‘Amr, benarkah engkau salat bersama para sahabatmu padahal engkau junub? Maka saya khabarkan kepada beliau suatu yang menghalangiku untuk mandi. Dan saya berkata: Aku mendengar firman Allah: “Janganlah engkau membunuh diri kalian, sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepada kalian” Sebab itulah saya tayammum kemudian salat. Rasulullah tertawa dan tidak mengatakan sedikitpun”.
(HR. Abu Daud (334) Ahmad (4/203) Daruqutni dalam Sunan-nya (1/178) Ibnu Hibban (202) Al-Hakim dalam Al-Mustadrok (647) Bukhori dalam Sahihnya secara mu’allaq dan dikuatkan Al-Hafidz dalam Fathul Bari 1/603 dan Al-Albani dalam Irwaul Gholil no.154)

✍🏻Ada lagi hadith yang menjelaskan bagaimana bahaya kalau gunakan air juga kalau dalam keadaan luka:

عَنْ جَابِرٍ قَالَ خَرَجْنَا فِى سَفَرٍ فَأَصَابَ رَجُلاً مِنَّا حَجَرٌ فَشَجَّهُ فِى رَأْسِهِ ثُمَّ احْتَلَمَ فَسَأَلَ أَصْحَابَهُ فَقَالَ هَلْ تَجِدُونَ لِى رُخْصَةً فِى التَّيَمُّمِ فَقَالُوا مَا نَجِدُ لَكَ رُخْصَةً وَأَنْتَ تَقْدِرُ عَلَى الْمَاءِ فَاغْتَسَلَ فَمَاتَ فَلَمَّا قَدِمْنَا عَلَى النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- أُخْبِرَ بِذَلِكَ فَقَالَ « قَتَلُوهُ قَتَلَهُمُ اللَّهُ أَلاَّ سَأَلُوا إِذْ لَمْ يَعْلَمُوا فَإِنَّمَا شِفَاءُ الْعِىِّ السُّؤَالُ إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيهِ أَنْ يَتَيَمَّمَ وَيَعْصِرَ »

Daripada Jabir, ia berkata, “Kami pernah keluar pada saat safar, lalu seseorang di antara kami ada yang terkena batu dan kepalanya terluka. Kemudian ia mimpi basah dan bertanya pada temannya, “Apakah aku mendapati keringanan untuk bertayammum?” Mereka menjawab, “Kami tidak mendapati padamu adanya keringanan, padahal engkau mampu menggunakan air.” Orang tersebut kemudian mandi (junub), lalu meninggal dunia. Ketika tiba dan menghadap ﷺ, kami menceritakan kejadian orang yang mati tadi. Beliau ﷺ lantas bersabda:
“Mereka telah membunuhnya. Semoga Allah membinasakan mereka. Hendaklah mereka bertanya jika tidak punya ilmu, karena ubat dari kebodohan adalah bertanya. Cukup baginya bertayammum dan mengusap lukanya.”
[HR. Abu Daud no. 336, Ibnu Majah no. 572 dan Ahmad 1: 330. Syaikh Al Albani mengatakan bahwa hadis ini Hasan selain perkataan ‘cukup baginya bertayamum’]

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan