Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir surah Az-Zumar: Tafsir Ayat Ke-62 hingga Ke-64

Tafsir surah Az-Zumar: Tafsir Ayat Ke-62 hingga Ke-64

648
0
Iklan

Tafsir Surah Az-Zumar

Tafsir Ayat Ke-62

Dalil Aqli. Ayat ini adalah dalil kenapa kita perlu bertaqwa kepada Allah SWT dan beribadat kepada Dia sahaja.

Apabila Allah SWT beritahu berkenaan azab yang akan dikenakan kepada mereka yang engkar, Dia akan bawa dalil. Selalunya dalil yang diberikan oleh Allah SWT adalah dalil dalam penciptaan.

اللَهُ خٰلِقُ كُلِّ شَيءٍ ۖ وَهُوَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ وَكيلٌ

Allah Yang Menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dia lah Yang Mentadbirkan serta menguasai segala-galanya.

اللَهُ خٰلِقُ كُلِّ شَيْءٍ ۖ

Allahlah yang menciptakan segala sesuatu.

Alam ini dan segala apa yang ada di dalamnya adalah ciptaan Allah SWT. Allah SWT sahaja yang jadikan semua makhluk. Apabila Allah SWT yang menciptakan segala sesuatu, maka kepada-Nya sahajalah kita sembah dan puja.

Kenapa hendak sembah dan puja ilah yang lain pula? Sedangkan mereka semua itu tidak dapat mencipta satu apa pun.

Termasuklah juga jangan puja Nabi Muhammad ﷺ. Jangan kita anggap Nabi Muhammad ﷺ itu lebih dari seorang Nabi dan Rasul. Dia adalah manusia biasa, cuma dia ada kelebihan diberikan dengan wahyu.

وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ وَكِيلٌ

dan Dialah yang atas segala sesuatu itu Maha Menjaga.

Selepas Allah SWT mencipta dan menjadikan alam ini semua sekali, Allah SWT jugalah yang menjaga perjalanan seluruh alam ini. Maknanya, Allah SWT adalah pentadbir alam ini. Tidaklah Allah mewakilkan kepada sesiapa pun untuk menjaganya.

Janganlah kita tertipu dengan ajaran-ajaran karut yang ada dalam masyarakat kita yang mengatakan ada wali-wali yang jaga alam ini. Mereka kata ada 313 wali yang memerintah malaikat untuk menjaga alam.

Mereka berikan pangkat kepada wali-wali itu. Sebagai contoh di Kelantan, ada yang kata Tok Kenali sekarang berada di salah satu bucu Kaabah. Inilah ajaran karut. Apa dia buat di situ pun kita tidak tahu.

Ada madrasah hafal al-Qur’an di Kelantan yang mengajar anak muridnya untuk solat hajat dan minta kepada Tok Kenali supaya beri berkat supaya mereka mudah hafal al-Qur’an. Sampai begitu sekali ajaran sesat yang diamalkan oleh umat Islam.

Itu orang yang hafal al-Qur’an, apatah lagi kalau mereka yang jauh dari al-Qur’an? Bukanlah kalau seseorang itu hafal al-Qur’an, bermakna dia telah terselamat kerana ada yang al-hafal al-Qur’an, tetapi mereka tidak faham pun apa yang mereka hafalkan itu.

Mereka tidak tahu pun ajaran yang ada dalam al-Qur’an itu. Mereka belajar hafal al-Qur’an itu supaya mereka boleh ambil upah jadi imam solat Hajat, imam solat Terawih, meratib dan baca al-Qur’an di kubur.

Maknanya, tujuan mereka adalah untuk mendapatkan duit dengan menggunakan agama. Mereka sendiri tidak sedar mereka menjual agama untuk mendapatkan neraka.

Kita perlu jaga ibadat kita dan kena tahu sama ada ibadat kita itu adalah ibadat yang kufur atau soleh. Sesiapa yang buat ibadat ikut cara Nabi ajar, ibadat itu dipanggil ‘amal soleh’. Orang yang buat ibadat sebegitu, dipanggil ‘orang soleh’.

Bukanlah orang yang soleh itu orang yang bawa tasbih dan berzikir sentiasa.

Kita kalau pandang sahaja orang bawa tasbih, kita dah kata dia orang soleh tetapi itu tidak semestinya. Kalau dia bawa tasbih, belum tentu dia seorang yang soleh.

Bukan itu kayu ukurannya. Orang soleh ini adalah sesiapa yang mengamalkan amal yang soleh.

Tafsir Ayat Ke-63

Ini adalah Dalil Aqli lagi kenapa kita kena sembah Allah sahaja.

لَّهُ مَقاليدُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۗ وَالَّذينَ كَفَروا بِئآيٰتِ اللهِ أُولٰئِكَ هُمُ الخٰسِرونَ

Dia sahajalah yang menguasai urusan dan perbendaharaan langit dan bumi; (orang-orang yang percayakan yang demikian beruntunglah) dan orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah yang jelas nyata itu, mereka itulah orang-orang yang paling rugi.

لَّهُ مَقَالِيدُ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ ۗ

Milik Dialah kunci segala khazanah-khazanah langit dan bumi.

Khazanah itu adalah gudang harta langit dan bumi ada dengan Allah SWT. Ia termasuk perkara dunia dan perkara akhirat sekali.

Sesiapa yang hendakkan harta langit dan bumi itu, maka kena minta dengan Allah SWT sahaja, jangan minta kepada selain Dia. Bukan harta sahaja, apa-apa sahaja kita kena minta dengan Allah SWT kerana Allah SWTlah yang mempunyai segala-galanya.

Kalau mahu hal dunia, minta kepada Allah SWT; dan kalau hendak kebaikan di akhirat, minta kepada Allah SWTlah juga. Kenapa hendak minta kepada para Nabi, para wali dan selain daripada Allah SWT?

Yang meminta-minta kepada selain daripada Allah SWT itu adalah perbuatan yang kufur dan syirik. Ada yang minta kepada cincin. Mereka beli cincin hikmat, keris hikmat yang dibalut kain kuning dan macam-macam lain – mereka iktikad bahawa dengan cincin keramat dan keris keramat itu, rezeki mereka akan bertambah.

Macam orang Cina pula, mereka amalkan Feng Shui dan mereka kata kalau letak pada kedudukan tertentu, benda itu di tempat ini dan itu, rezeki akan semakin banyak. Itu juga adalah syirik kepada Allah SWT.

Ini penting untuk ketahui kerana ada juga masyarakat Islam yang percaya juga dengan benda-benda karut yang sebegitu. Amat malang sekali jika begitu.

Perkataan lain bagi kunci adalah مفته miftah. Tetapi perkataan مَقَالِيدُ digunakan dalam ayat ini kerana ia bukan kunci yang biasa. Ia bermaksud kunci kepada khazanah-khazanah, harta yang banyak.

Ada juga yang kata مَقَالِيدُ itu bermaksud khazanah itu sendiri, bukan kunci. Allahu a’lam.

وَالَّذِينَ كَفَرُوا بِئآيٰتِ اللهِ

Dan orang-orang yang kufur dengan ayat-ayat Allah,

Iaitu mereka yang menutup kebenaran dengan ingkar kepada ajaran daripada Allah yang telah ada dalam al-Qur’an. Tidak pakai nasihat daripada Allah SWT. Bila diberi dalil dan hujah dari wahyu, dia tidak mahu dengar sebab hati dia engkar.

Dia engkar untuk terima tauhid. Dia sendiri sudah tahu bahawa ia adalah kebenaran tetapi tidak mahu ikut.

Dia tahu al-Qur’an itu betul, tetapi tidak mahu juga belajar tafsir supaya dia benar-benar faham. Dengan itu, mereka telah menolak ayat-ayat Allah SWT. Sama ada tolak semua ataupun tolak satu sahaja ayat sudah dikira engkar dah. Oleh itu, mereka sudah dikira kufur.

Oleh kerana mereka kufur dengan ayat al-Qur’an, mereka telah melakukan perkara yang syirik dan kufur. Antaranya, dalam hal berdoa, mereka akan minta tok imam atau ustaz, syeikh untuk doakan untuk mereka. Itu sama sahaja macam agama lain yang meminta paderi dan sami mereka untuk mendoakan mereka.

أُولَٰئِكَ هُمُ الْخٰسِرُونَ

merekalah orang yang rugi yang sebenar-benar rugi.

Mereka betul-betul rugi. Mereka akan kekal dalam neraka kerana telah buat syirik kepada Allah. Adakah lagi kerugian yang lebih dari itu?

Tafsir Ayat Ke-64

Ini adalah i’adah (ulangan) dakwa surah Zumar ini: iaitu untuk menyembah Allah SWT sahaja. Diulangi sebagai maksud zajrun (teguran) jikalau ada hamba yang masih menolak juga untuk mengamalkan tauhid, kerana degil.

Salah satu jalan yang diambil oleh hamba adalah jalan tolak ansur. Ada kalangan Arab Mekah yang minta Nabi bertolak ansur – ada masa ikut Nabi Muhammad SAW dan ada masa ikut amalan syirik mereka. Mereka hendak tauhid dan syirik duduk sekali, barulah aman, kata mereka.

Namun Allah SWT hendak ajar kita supaya jangan mengalah. Kalau kita tahu wahyu, jangan mengalah dengan mereka. Malangnya ada kalangan orang Islam yang bertolak ansur. Yang sudah ada ilmu, masih tetap mengalah dan tidak tegas dalam hal tauhid.

Maka ramailah yang mengamalkan syirik kerana mereka tidak ditegur. Sedangkan hal akidah ini bukannya susah sangat untuk difahami.

Maka dalam ayat ini, Allah SWT mengajar Nabi Muhammad dan kita.

قُل أَفَغَيرَ اللهِ تَأمُرونّي أَعبُدُ أَيُّهَا الجٰهِلونَ

Katakanlah (wahai Muhammad, kepada orang-orang musyrik itu: “Sesudah jelas dalil-dalil keesaan Allah yang demikian), patutkah kamu menyuruhku menyembah atau memuja yang lain dari Allah, hai orang-orang yang jahil?”

قُلْ أَفَغَيْرَ اللهِ تَأْمُرُونِّي أَعْبُدُ

Katakanlah: apakah selain daripada Allah, kamu suruh aku puja,

Ada kalangan guru-guru agama, ustaz-ustaz dan orang lain yang kononnya ada pengetahuan agama, mengajar dan mengajak manusia untuk memuja dan menyembah kepada selain Allah SWT. Mereka ajar manusia untuk melakukan tawassul dalam amal ibadat mereka.

Ini amat banyak sekali terjadi dalam masyarakat Melayu kita. Kalau ajaran dalam Tarekat itu, boleh dikatakan semuanya ada mengajar tawassul dalam amalan mereka.

Dan bukan hanya dalam tarekat, dalam amalan masyarakat biasa yang tidak belajar tarekat pun perkara itu telah banyak berlaku. Kerana ia adalah amalan yang amat mudah untuk diamalkan, ramai yang amalkan dan ramai yang mengajar.

Hinggakan ia menjadi perkara yang biasa sahaja, sedangkan ia adalah perkara yang syirik. Ia terlalu biasa dilakukan, sampaikan kita yang menegur ini pula yang dikatakan sesat dan jumud dalam agama. Padahal banyak ayat-ayat al-Qur’an yang melarang manusia dari melakukan tawassul.

أَيُّهَا الْجٰهِلُونَ

wahai si Jahil?

Selalu akan ada yang ajak kita buat tawassul, panggil tok guru, seru Nabi-Nabi, seru malaikat-malaikat, dan macam-macam lagi. Antara yang banyak melakukannya adalah mereka yang belajar silat.

Dalam ilmu persilatan ini terlalu banyak amalan-amalan syirik yang dilakukan untuk memperolehi keramat. Antaranya ialah amalan untuk jadi kebal. Walhal Nabi SAW pun sewaktu berperang menegakkan syiar Islam dulu pakai 2 lapis baju besi. Nabi SAW yang berjihad fi sabilillah pun tercedera.

Kenapa Nabi SAW tidak kebal? Kenapa sahabat-sahabat yang bersama baginda tidak kebal? Padahal mereka menegakkan agama Islam? Kalau patut kebal, mereka dulu lagi sudah Allah berikan ilmu kebal kepada mereka.

Sebenarnya ilmu kebal yang diamalkan oleh tok nenek kita dahulu dan diamalkan oleh orang-orang zaman sekarang adalah sihir dan sihir itu adalah syirik kepada Allah SWT.

Kebiasaannya amalan mereka akan dimulai dengan tawassul kepada makhluk-makhluk tertentu – Panglima Hitam dan sebagainya.

Lagi satu adalah amalan yang selalu diamalkan adalah sebelum keluar rumah. Tujuannya untuk bagi orang gerun atau sayang dengan kita, supaya tiada siapa mampu binasakan kita, tiada siapa mampu bantah cakap kita.

Yang menjadi masalah apabila bacaan-bacaan ini turut mempunyai ayat-ayat al-Qur’an, dan yang wajib ada mesti diakhiri “Laa ilahaillallah”.

Ayat-ayat al-Qur’an ini pula ditambah bersama mentera-mentera kononnya untuk mengislamkan petua-petua orang dulu-dulu. Setiap kali masuk gelanggang ada bacaan tertentu. Kononnya untuk menghormati sesama makhluk, supaya tanah dan rumput / daun-daun yang mereka pijak sewaktu bersilat di dalam gelanggang akan turut mendoakan kesejahteraan kita walhal tanah / rumput / daun-daun hanya berzikir kepada Allah SWT. Allah SWT panggil mereka yang mengajak melakukan tawassul-tawassul ini sebagai orang-orang yang jahil.

Banyak lagi amalan-amalan lain yang masyarakat Islam kita buat tetapi ia bukanlah dari Islam. Antaranya yang selalu dibuat adalah amalan tawassul yang merebak ke merata tempat dalam masyarakat kita.

Itulah amalan yang kita selalu dengar: kita akan dengar mereka kata begini: ila hadratin nabiyy…. Berapa ramai ustaz-ustaz di Malaysia ini yang kata boleh buat tawassul? Berapa banyak buku dalam pasaran yang menganjurkan buat tawassul?

Padahal tawassul itu adalah perbuatan kufur. Mereka bertawassul kepada Syeikh Abdul Qadir Jailani, kepada para malaikat, kepada wali-wali lain dan macam-macam lagi.

Ingatlah bahawa kita hanya boleh puji dan puja kepada Allah SWT sahaja. Berhentilah dari memuji-muji Nabi Muhammad berlebih-lebihan sampaikan sama macam kita puja Allah SWT. Termasuk dalam hal ini adalah amalan-amalan maulid Nabi yang dilakukan oleh puak-puak Habib sekarang ini.

Malangnya masyarakat kita memang suka sangat apabila diajak buat benda yang memuja-muja Nabi ini. Padahal, Nabi sendiri dah beri amaran supaya jangan berlebihan berkenaan baginda, kerana ditakuti akan terjadi seperti apa yang terjadi kepada kaum-kaum dahulu.

Mereka sangka apa yang mereka lakukan itu adalah perkara baik dalam agama, tetapi mereka tidak sedar bahawa ia adalah perkara yang amat buruk sekali. Mereka dimurkai oleh Allah SWT kerana memandai-mandai reka amalan dalam agama.

Mereka sangka mereka akan dapat pahala, tetapi sebenarnya mereka akan dapat dosa. Mereka buat begitu adalah kerana mereka jahil. Apabila diajak belajar, mereka tidak mahu, akhirnya jadi jahil dalam agama.

Allah SWT tegur mereka kerana mereka jahil. Dan jahil ini bahaya kerana dalam al-Qur’an disebut yang orang jahil itu adalah ahli neraka kerana mereka tidak ada kelebihan untuk menapis bisikan syaitan.

Maka kita usahalah supaya jangan jadi jahil. Kalau jahil tentang hal dunia, tidak mengapa lagi; tetapi kalau jahil bab agama, terutama tauhid, amat bahaya. Kerana kalau buat syirik, gugur lenyap segala amalan mereka. Jadi kena tahu hendak bezakan mana tauhid dan mana syirik.

Para ulama menyebutkan asbabun nuzul ayat ini berdasarkan apa yang telah diriwayatkan oleh Ibnu Abu Hatim dan lain-lainnya dari Ibnu Abbas, bahawa orang-orang musyrik yang kerana kebodohannya menyeru Rasulullah SAW untuk menyembah tuhan-tuhan mereka dan mereka baru mahu menyembah Tuhannya bila beliau mau menyembah tuhan mereka. Jadi Allah SWT suruh Nabi jawap dengan jawapan dalam ayat ini.

Komen dan Soalan