Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az-Zumar: Tafsir Ayat Ke-54

Tafsir Surah Az-Zumar: Tafsir Ayat Ke-54

822
0
Iklan

Tafsir Ayat Ke-54

Ini adalah syarat-syarat untuk mendapat pengampunan. Bukan hanya setakat minta ampun sahaja, tetapi kita kenalah perbaiki diri kita. Kembalilah melakukan amal kebaikan.

وَأَنيبوا إِلىٰ رَبِّكُم وَأَسلِموا لَهُ مِن قَبلِ أَن يَأتِيَكُمُ العَذابُ ثُمَّ لا تُنصَرونَ

“Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepada-Nya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan.

وَأَنِيبُوا إِلَىٰ رَبِّكُمْ

Dan kembalilah kepada Tuhan kamu,

Apabila sudah bertaubat, hendaklah kita kembali kepada Allah ‎ﷻ dengan mentaati segala hukum-Nya. Solat jangan ditinggalkan lagi. Jangan berbuat jahat lagi. Itulah yang dipanggil ‘kembali kepada Allah ‎ﷻ’.

Dosa yang telah dibuat, berhentilah dari membuatnya. Kalau dahulu berzina, berhenti dari berzina. Kalau dahulu minum arak, berhenti dari minum arak. Kalau dahulu tidak berpuasa, mula balik berpuasa.

Antara tanda kembali itu termasuklah belajar agama. Belajar untuk mengetahui manakah perbuatan kita yang salah.

Ayat ini juga bermaksud, apabila kita berbuat dosa, sebenarnya kita telah meninggalkan Allah ‎ﷻ. Kita tidak mengendahkan Allah ‎ﷻ dan segala peraturan yang telah ditetapkan.

Maka, sebab itu lah Allah ‎ﷻ suruh kita kembali kepada-Nya. Kalau kita tidak endahkan kawan kita, keluarga kita, ada kemungkinan mereka akan meninggalkan kita. Tetapi tidak begitu dengan Allah ‎ﷻ. Pintu rahmat Allah ‎ﷻ sentiasa terbuka untuk kita.

Dan yang paling penting, kena kembali kepada tauhid setelah mengetahui yang selama ini perbuatan kita adalah perbuatan syirik. Kena belajar apakah tauhid dan apakah syirik.

Tinggalkan perbuatan syirik yang pernah dilakukan dahulu kerana mungkin dahulu kita buat disebabkan oleh kejahilan agama. Sekarang sudah tahu, kenalah tinggalkan.

وَأَسْلِمُوا لَهُ

dan serah diri kepadaNya

‘Islam’ bermaksud serah diri bulat-bulat kepada Allah ‎ﷻ. Dalam akidah dan dalam amal. Kita hendaklah menyerahkan diri bulat-bulat kepada Allah ‎ﷻ. Terima semua yang terkandung dalam al-Qur’an dan hadis.

Terima bulat-bulat tanpa soal. Jangan kita gunakan akal lagi, jangan gunakan hujah yang batil lagi untuk menolak suruhan-suruhan Allah ‎ﷻ. Apa yang Allah ‎ﷻ suruh kita buat, lakukan sahaja.

Malangnya, banyak ustaz-ustaz yang mengajar di merata-rata tempat, tidak belajar pun lagi tafsir Qur’an dan hadith Nabi ﷺ. Mereka sendiri pun tidak tahu apakah yang Allah ‎ﷻ hendak manusia buat. Tetapi mereka sudah mengajar manusia. Maka, apa yang mereka ajar itu tidak benar atau tidak lengkap.

Oleh itu kita yang mahu belajar agama, hendaklah memastikan bahawa guru yang mengajar itu telah belajar dari dua sumber agama yang utama: al-Qur’an dan Hadith.

Contoh tidak menggunakan akal dalam menafsir hukum Allah ‎ﷻ: ada orang yang berkata kalau makan babi boleh menyebabkan penyakit. Semua agama lain makan babi, tidak ada yang jadi gila pun. Alasan ulama’ yang memberikan sebab-sebab itu tidak betul.

Ada yang berkata kerana dalam tubuh babi itu ada ulat yang tidak boleh dibunuh, kerana babi makan tahinya sendiri, kerana babi itu suka sondol binatang lain dan sebagainya.

Itu bukanlah jawapan yang tepat. Kita kenalah jawab begini: kita tidak makan kerana perintah Allah ‎ﷻ. Sebab kalau kita kata kita tidak boleh makan babi kerana ada ulat itu, katakanlah kalau ada cara untuk membunuh ulat itu dengan cara moden, adakah kita boleh memakan babi pula? Tentu tidak. Kita kena terima semua sekali perintah Allah ‎ﷻ, jangan takwil-takwil.

Kerana kalau kita menggunakan akal kita untuk mencari sebab pengharaman sesuatu perkara, itu maknanya kita mempersoalkan hukum Allah ‎ﷻ. Jadi ada orang yang kata arak tidak haram, kalau minum tidak memabukkan. Babi pun boleh dimakan kerana zaman sekarang babi itu sudah bersih dan sebagainya. Itulah bahayanya. Allah ‎ﷻ tidak perlu menjelaskan sebab apa sesuatu perkara itu diharamkan. Kita mesti taat bulat-bulat kepada Dia sahaja.

Namun dalam masa yang sama, kalau kita cuba mencari hikmah pengharaman itu, tidaklah salah. Kalau niat kita untuk memahami lagi hukum Allah ‎ﷻ, itu bolehlah.

Tetapi berhati-hati jangan sampai kita mengubah hukum Allah ‎ﷻ pula. Kerana segala hujah atau kajian yang kita lakukan itu, mungkin benar dan mungkin salah.

مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَكُمُ الْعَذَابُ

sebelum datang azab akhirat kepada kamu.

Sebab kalau sudah berada di alam akhirat, kamu tidak dapat diselamatkan lagi. Waktu itu sudah terlambat untuk memohon keampunan.

Oleh itu, kita kena taubat segera, jangan tunggu-tunggu lagi. Tidak perlu tunggu ‘Solat Taubat’ pun kerana taubat itu boleh dilakukan di mana-mana.

ثُمَّ لَا تُنْصَرُونَ

kemudian kamu tidak diberi pertolongan

Apabila berada di Mahsyar, tidak ada peluang untuk mendapat pertolongan dari sesiapa pun, dari mana-mana arah pun. Pada waktu itu, tidak ada sesiapapun yang boleh menolong kita lagi.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan