Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir surah Az-Zumar: Tafsir Ayat Ke-49 hingga Ke-52

Tafsir surah Az-Zumar: Tafsir Ayat Ke-49 hingga Ke-52

972
0
Iklan

Tafsir Ayat Ke-49
Ayat Zajrun

فَإِذا مَسَّ الإِنسٰنَ ضُرٌّ دَعانا ثُمَّ إِذا خَوَّلنٰهُ نِعمَةً مِّنّا قالَ إِنَّما أوتيتُهُ عَلىٰ عِلمٍ ۚ بَل هِيَ فِتنَةٌ وَلٰكِنَّ أَكثَرَهُم لا يَعلَمونَ

Maka apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, ia segera berdoa kepada Kami; kemudian apabila Kami memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) dari Kami, berkatalah ia (dengan sombongnya): “Aku diberikan nikmat ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku”. (Tidaklah benar apa yang dikatakannya itu) bahkan pemberian nikmat yang tersebut adalah ujian (adakah ia bersyukur atau sebaliknya), akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu).

فَإِذَا مَسَّ الْإِنْسٰنَ ضُرٌّ دَعَانَا

Apabila ditimpa kepada manusia (yang kufur itu) musibah, mereka akan berdoa terus kepada Kami,

Apabila manusia dikenakan dengan musibah yang besar, mereka sudah tidak menggunakan perantaraan dalam doa lagi. Mereka akan terus berdoa kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Ini seperti Musyrikin Mekah yang selalunya akan berdoa terus kepada Allah ‎ﷻ kalau mereka ada masalah besar.

Mereka kenal Allah ‎ﷻ kerana mereka masih ada tinggalan ajaran dari Nabi Ibrahim عليه السلام lagi. Mereka akan terus mengangkat tangan dan berdoa kepada Allah ‎ﷻ. Mereka akan berdoa bersungguh-sungguh dengan Allah ‎ﷻ.

Begitulah kalau orang kita sekarang pun. Kalau sudah terkena musibah, ramai akan berdoa sungguh-sungguh kepada Allah ‎ﷻ. Mereka akan menjadi orang baik, solat pun tidak tinggal, pakai kopiah, kalau doa pula panjang-panjang doa mereka.

ثُمَّ إِذَا خَوَّلْنٰهُ نِعْمَةً مِّنَّا

kemudian apabila diberikan kepadanya nikmat dari Kami,

Setelah sekian lama, Allah ‎ﷻ akan tukar bala itu kepada nikmat. Mereka yang dulunya dikenakan dengan musibah, sekarang ‘diselimuti’ dengan nikmat. Kalau dahulu perniagaan mereka jatuh, sekarang sudah semakin pulih. Kalau dahulu mereka jatuh sakit, kesihatan mereka sudah semakin baik.

Sebelum ini mereka berdoa dan minta Allah ‎ﷻ menyelesaikan masalah mereka. Tetapi apa kata mereka apabila masalah mereka selesai?

قَالَ إِنَّمَا أُوتِيتُهُ عَلَىٰ عِلْمٍ

mereka berkata: ini semua diberi hasil dari ilmu yang aku ada.

Bukan mereka fikir bahawa Tuhan yang selesaikan masalah mereka itu. Tetapi mereka sangka kebaikan yang mereka dapat itu adalah dari hasil usaha dan kepandaian mereka menangani masalah yang pernah dihadapi itu.

Mereka berkata mereka dapat menyelesaikan masalah itu kerana mereka belajar, mereka mendapatkan nasihat dari orang lain, mereka berusaha bersungguh-sungguh dan apabila mereka berjaya, mereka sangka sebab itulah mereka berjaya.

Mereka lupa yang dahulu semasa mereka terkena bala itu, mereka telah berdoa terus kepada Allah ‎ﷻ supaya mengangkat bala mereka itu. Mereka telah menafikan Allah ‎ﷻ yang telah menolong mereka.

بَلْ هِيَ فِتْنَةٌ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

Bahkan sebenarnya bala yang diberi itu adalah sebagai fitnah (suatu ujian besar), tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

1. ‘Fitnah’ dalam ayat ini bukanlah bermaksud fitnah seperti yang kita fahami itu. Fitnah dalam bahasa Arab sebenarnya bermaksud ‘ujian besar’. Sepatutnya perkataan yang digunakan adalah ‘tohmahan’.

Memang dunia ini adalah tempat ujian dan kerana itu Allah ‎ﷻ akan memberikan ujian kepada kita untuk melihat bagaimanakah kita akan menghadapinya. Allah ‎ﷻ hendak melihat adakah kita menangani masalah itu dengan melakukan dosa atau kita menyelesaikannya mengikut lunas-lunas yang telah diajar dalam Islam?

2. Penyelesaian masalah itu pun adalah ujian juga daripada Allah ‎ﷻ. Ia adalah ujian daripada Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ tidak zahirkan yang Dialah yang telah menyelesaikan masalah mereka itu. Pada zahirnya, mereka nampak usaha mereka yang menyelesaikan masalah itu, tetapi mereka tidak sedar yang cara-cara yang mereka lakukan itu sebenarnya didatangkan oleh Allah ‎ﷻ. Mereka tidak nampak ‘tangan ghaib’ Allah ‎ﷻ yang telah menyelesaikan masalah mereka.

Apabila mereka tidak nampak taqdir Allah ‎ﷻ yang menyebabkan masalah mereka selesai, maka tidaklah mereka bersyukur kepada Allah ‎ﷻ.

Mereka juga tidak tahu bahawa ujian bala yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ itu adalah untuk mengembalikan mereka ke jalan Allah ‎ﷻ kerana apabila kita telah jatuh, kita akan lebih mudah untuk mengingati Allah ‎ﷻ. Semakin mudah untuk mengharap kepada Allah ‎ﷻ.

Jika kita dalam kenikmatan, selalunya kita akan sombong dan lupakan Allah ‎ﷻ. Kita memang tidak cakap dengan mulut kita, tetapi dalam hati kita, kita rasa kita sudah selamat. Jadi Allah ‎ﷻ akan bagi kita jatuh sedikit supaya kita mula balik untuk ingat kepada-Nya.

3. Apabila mereka diberikan nikmat setelah musibah itu juga adalah merupakan ujian kerana kesenangan hidup yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita juga adalah ujian sebenarnya. Orang selalu berasa yang ujian itu adalah kesusahan seperti kemiskinan.

Namun, sebenarnya ujian yang lebih berat adalah ujian kesenangan. Ini kerana Allah ‎ﷻ hendak melihat sama ada orang itu bersyukur dengan kesenangan itu atau tidak, sama ada dia menggunakan kesenangannya itu untuk kebaikan atau tidak.

Tafsir Ayat Ke-50

Takhwif Duniawi.
قَد قالَهَا الَّذينَ مِن قَبلِهِم فَما أَغنىٰ عَنهُ مّا كانوا يَكسِبونَ

Sebenarnya orang-orang yang terdahulu daripada mereka telah juga mengatakan yang demikian maka segala yang mereka usahakan itu tidak dapat menyelamatkan mereka (dari azab Allah).

قَدْ قَالَهَا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ

Telah berkata dulu orang-orang sebelum mereka

Manusia yang engkar sangka masalah mereka selesai kerana kepandaian mereka. Allah ‎ﷻ beritahu yang orang-orang dahulu pun berkata seperti itu juga. Bukan orang Mekah sahaja yang mula-mula kata begitu. Orang-orang dahulu pun sudah banyak yang dikenakan bala juga dan mereka juga kata mereka dapat menyelesaikan masalah disebabkan oleh kepandaian mereka.

Mereka tidak berkata Allah ‎ﷻ yang telah menyelamatkan mereka. Mereka tidak berterima kasih pun kepada Allah ‎ﷻ apabila masalah mereka telah selesai.

فَمَا أَغْنَىٰ عَنْهُمْ مَّا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Maka tidak ada lagi yang boleh menyelamatkan mereka terhadap apa yang dulu mereka lakukan.

Tidak berguna lagi segala perbuatan yang mereka lakukan. Segala apa yang mereka telah lakukan tidak boleh menyelamatkan mereka langsung. Ini kerana kalau mereka melakukan amalan syirik, maka segala amal ibadat yang mereka lakukan dahulu semasa di dunia tidak akan dikira. Tidak akan menyelamatkan mereka dari hukuman Allah ‎ﷻ.

Tafsir Ayat Ke-51

فَأَصابَهُم سَيِّئَاتُ ما كَسَبوا ۚ وَالَّذينَ ظَلَموا مِن هٰؤُلاءِ سَيُصيبُهُم سَيِّئَاتُ ما كَسَبوا وَما هُم بِمُعجِزينَ

Lalu mereka ditimpa keburukan padah perbuatan-perbuatan jahat yang mereka lakukan; dan orang-orang yang zalim di antara golongan (yang musyrik) ini akan ditimpa juga akibat buruk perbuatan-perbuatan buruk perbuatan jahat yang mereka lakukan, dan mereka tidak akan dapat melepaskan diri.

فَأَصَابَهُمْ سَيِّئَاتُ مَا كَسَبُوا

Maka menimpa ke atas mereka dosa-dosa yang mereka telah lakukan

Dosa-dosa yang mereka lakukan di dunia itu telah menjadi azab kepada mereka. Mereka sendiri yang berusaha untuk berbuat dosa itu, bukan orang lain. Sebagai contoh, dosa-dosa mereka tinggalkan solat dan sebagainya lagi. Itu semua mereka akan tanggung, kalau dosa itu tidak diampunkan.

Kita boleh menolong mereka yang telah mati dengan berdoa kepada Allah ‎ﷻ supaya dosa mereka diampunkan. Itulah cara yang sebetulnya. Bukanlah dengan mengadakan Majlis Tahlil dan niat untuk sedekah pahala kepada si-mati.

Amalan itu tidak pernah dibuat oleh Nabi ﷺ dan juga para sahabat. Adakah kita rasa dengan kita sedekah pahala itu akan cukup untuk mengimbangi dosa yang telah dilakukan oleh si mati? Itu semua adalah angan-angan sahaja.

وَالَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْ هَٰؤُلَاءِ سَيُصِيبُهُمْ سَيِّئَاتُ مَا كَسَبُوا

Dan orang-orang zalim mereka ini juga akan ditimpa akibat kejahatan dosa yang mereka telah lakukan.

Kalau dahulu ayat ini ditujukan kepada Musyrikin Mekah yang berbuat syirik. Tetapi kalau kita juga ada berbuat syirik kepada Allah ﷺ, maka kita juga termasuk dalam golongan mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini.

Jangan kita baca ayat ini dan fikir ia hanya ditujukan kepada orang-orang terdahulu sahaja. Ramai orang sangka ayat-ayat al-Qur’an tidak berkata tentang mereka dan mereka tidak terkena dengan apa yang ditegur oleh Allah ﷺ. Itu adalah kesalahan dan kesilapan yang amat besar sekali.

وَمَا هُمْ بِمُعْجِزِينَ

Dan mereka tidak mampu melepaskan diri daripada Allah waktu itu.

Sudah terlambat apabila sudah memasuki neraka. Tidak akan dapat keluar. Banyak ayat-ayat dalam al-Qur’an yang menceritakan bagaimana ahli-ahli neraka akan cuba untuk memohon supaya mereka dikembalikan ke dunia supaya mereka boleh beramal baik, tetapi mereka tidak akan diberikan peluang itu.

Perkataan عجزِ bermaksud menyelamatkan diri dari serangan. Bayangkan serangan bom “missile”, dan kita ada “anti-aircraft-missile” untuk menyelamatkan diri dari missile itu. Tetapi, dengan azab Allah ﷺ, kita tidak boleh melepaskan diri. Orang-orang yang ada kedudukan, mereka sangka mereka boleh gunakan kedudukan mereka untuk menghilangkan masalah mereka. Tetapi tidak boleh.

TafsirAyat Ke-52

Dalil Aqli. Allah ﷺ gunakan pembahagian rezeki kepada makhluk-Nya sebagai dalil untuk kita berfikir.

أَوَلَم يَعلَموا أَنَّ اللَّهَ يَبسُطُ الرِّزقَ لِمَن يَشاءُ وَيَقدِرُ ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّقَومٍ يُؤمِنونَ

Tidakkah mereka mengetahui bahawa sesungguhnya Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Dia juga yang menyempitkannya? Sesungguhnya yang demikian mengandungi keterangan-keterangan yang jelas bagi orang-orang yang percayakan (ilmu dan kebijaksanaan Allah).

أَوَلَمْ يَعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَنْ يَشَاءُ وَيَقْدِرُ

Apakah tidak mereka mengetahui bahawa Allahlah yang melapangkan rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki, atau menyempitkan.

Ada orang yang Allah ‎ﷻ beri banyak rezeki, ada yang dapat sedikit sahaja – ada yang kaya dan ada yang miskin. Ada orang yang berusaha susah payah, tetapi rezeki mereka kurang. Ada yang kerja tidak banyak, tetapi mereka dilimpah rezeki oleh Allah ‎ﷻ.

Itu adalah kerana rezeki sesiapa sahaja diberikan oleh Allah ‎ﷻ, bukan dari hasil usaha manusia semata-mata. Semua rezeki ditentukan oleh Allah ‎ﷻ. Bukan dalam kawalan kita, bukan? Itu semua sebagai ujian dari Allah ‎ﷻ.

Rezeki banyak adalah ujian, sempit rezeki juga adalah ujian. Kerana mereka yang kaya dan miskin itu yang masih tetap di dunia dan selagi masih hidup dalam dunia, mereka tertakluk kepada ujian. Maka orang yang banyak harta, tidak boleh berlagak, kerana semua yang dia ada itu Allah ‎ﷻ yang beri.

Dan orang yang mendapat harta kurang pun tidak boleh marah, kerana Allah ‎ﷻ yang tetapkan dia begitu dan dia tidak boleh marah kepada Allah ‎ﷻ.

إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Sesungguhnya pada demikian itu berbagai-bagai bukti bagi kaum mukminin.

Kaya dan miskin adalah ujian dari Allah ‎ﷻ belaka, untuk uji manusia dalam keadaan yang berbeza. Allah ‎ﷻ berkuasa dan ada qudrat untuk berbuat begitu kepada sesiapa sahaja.

Pengetahuan ini diberi kepada semua orang, tetapi yang dapat faham dan terima adalah orang-orang mukmin sahaja. Iaitu orang-orang yang mahu beriman.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan