Utama UiTO: Soal-Jawab agama bersama ustaz Abu Basyer Kelebihan Puasa 6 Syawal

Kelebihan Puasa 6 Syawal

1176
0
Iklan

Lima Kelebihan Puasa 6 Syawal

KITA masih berada di bulan Syawal. Amalan terbaik di bulan Syawal adalah puasa sunat 6 hari dipanggil puasa Syawal. Apakah fadilat dan ganjaran jika seseorang melaksanakan puasa tersebut? Terdapat 5 kebaikan puasa enam hari di bulan Syawal. Kebaikan tersebut adalah seperti berikut :

Pertama: Puasa 6 Syawal Akan Menggenapkan Ganjaran Berpuasa Setahun Penuh

Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ “Barangsiapa yang berpuasa Ramadan kemudian berpuasa enam hari di bulan Syawal, maka dia berpuasa seperti setahun penuh.” (HR. Muslim no. 1164, dari Abu Ayyub al Ansori).

Para ulama mengatakan bahawa berpuasa seperti setahun penuh. Jadi, seolah-olah jika seseorang melaksanakan puasa Syawal dan sebelumnya berpuasa sebulan di bulan Ramadan maka seolah- olah dia telah berpuasa selama setahun.

Puasanya dilakukan selama enam hari. Lebih utama dilaksanakan sehari setelah Aidil Fitri, tetapi jika hendak dilaksanakan secara berselang seli dibolehkan dengan syarat masih berada dibulan Syawal.

Kedua: Puasa Syawal seperti solat sunat Rawatib yang dapat menutup kekurangan dan menyempurnakan ibadah wajib.

Apa yang dimaksudkan di sini bahawa puasa Syawal akan menyempurnakan kekurangan-kekurangan yang ada pada puasa wajib di bulan Ramadan sebagaimana solat sunat rawatib yang menyempurnakan ibadah wajib. Amalan sunat seperti puasa Syawal nantinya akan menyempurnakan puasa Ramadan yang seringkali ada kekurangan di sana-sini. Inilah yang dialami setiap orang dalam puasa Ramadan, pasti ada kekurangan yang mesti disempurnakan dengan amalan sunat (Lihat Latho-if Al Ma’arif, Ibnu Rajab Al Hambali, hal. 394, Daar Ibnu Katsir, cetakan kelima, 1420 H) [Tahqiq: Yasin Muhammad As Sawaas]

Ketiga : Melakukan Puasa 6 Syawal merupakan tanda diterimanya amalan puasa Ramadan.

Jika Allah Subhanahu Wa Ta’ala menerima amalan seorang hamba, maka Dia akan menunjuki pada amalan soleh selanjutnya. Jika Allah menerima amalan puasa Ramadan, maka Dia akan tunjuki untuk melakukan amalan soleh lainnya, di antaranya puasa enam hari di bulan Syawal. Hal ini diambil dari perkataan sebahagian salaf, مِنْ ثَوَابِ الحَسَنَةِ الحَسَنَةُ بَعْدَهَا، وَمِنْ جَزَاءِ السَّيِّئَةِ السَّيِّئَةُ بَعْدَهَا “Di antara balasan kebaikan adalah kebaikan selanjutnya dan di antara balasan keburukan adalah keburukan selanjutnya.” (Tafsir Al Qur’an Al ‘Azhim, Ibnu Katsir, 8/417, Daar Thoyyibah, cetakan kedua, 1420 H [Tafsir Surat Al Lail)

Ibnu Rajab menjelaskan hal di atas dengan perkataan salaf lainnya, “Balasan dari amalan kebaikan adalah amalan kebaikan selanjutnya. Barangsiapa melaksanakan kebaikan lalu dia melanjutkan dengan kebaikan lainnya, maka itu adalah tanda diterimanya amalan yang pertama. Begitu pula barangsiapa yang melaksanakan kebaikan lalu malah dilanjutkan dengan amalan keburukan, maka ini adalah tanda tertolaknya atau tidak diterimanya amalan kebaikan yang telah dilakukan.” (Latho-if Al Ma’arif, hal. 394.) Renungkanlah! Bagaimana lagi jika seseorang hanya rajin solat di bulan Ramadan (rajin solat bermusim), namun setelah Ramadan solat lima waktu tidak dibuat dengan sempurna Adakah amalan orang tersebut di bulan Ramadan diterima?! Al Lajnah Ad Da-imah Lil Buhuts ’Ilmiyyah wal Ifta’ (Majlis Fatwa Saudi Arabia) mengatakan, “Adapun orang yang melakukan puasa Ramadan dan mengerjakan solat hanya di bulan Ramadan saja, maka orang seperti ini bererti telah mempermainkan agama Allah. Sebahagian salaf ada mengatakan : “Seburuk- buruk kaum adalah yang mengenal Allah (rajin ibadah,) hanya pada bulan Ramadhan saja.” Oleh itu, tidak sah puasa seseorang yang tidak melaksanakan solat di luar bulan Ramadan.

Keempat: Melaksanakan Puasa Syawal adalah sebagai tanda syukur kepada Allah

Nikmat apakah yang perlu disyukuri? Iaitu nikmat ampunan dosa yang begitu banyak di bulan Ramadan. Bukankah kita telah ketahui bahawa melalui amalan puasa dan solat malam selama sebulan penuh adalah sebab datangnya ampunan Allah SWT ? Begitu pula dengan amalan menghidupkan malam Lailatul Qadar di akhir-akhir bulan Ramadan : Ibnu Rajab mengatakan, ”Tidak ada nikmat yang lebih besar dari pengampunan dosa yang Allah anugerahkan.” (Latho-if Al Ma’arif, hal. 394.) Nabi Shallallahu ’Alaihi Wasallam pun yang telah diampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan akan datang banyak melakukan solat malam. Ini semua baginda lakukan dalam rangka bersyukur atas nikmat pengampunan dosa yang Allah SWT berikan. Ketika Nabi Shallallahu ’Alaihi Wasallam ditanya oleh isteri tercinta baginda iaitu ’Aisyah radhiyallahu ’anha mengenai solat malam yang banyak baginda lakukan, baginda pun mengatakan, أَفَلاَ أُحِبُّ أَنْ أَكُونَ عَبْدًا شَكُورًا ”Tidakkah aku senang menjadi hamba yang bersyukur?” (HR. Bukhari no. 4837 dan Muslim no. 2820.) Begitu pula di antara bentuk syukur kerana banyaknya ampunan di bulan Ramadan, di penghujung Ramadan (di hari Aidil Fitri), kita dianjurkan untuk banyak berzikir dengan mengangungkan Allah melalu bacaan takbir ”Allahu Akbar”. Ini juga di antara bentuk syukur sebagaimana Allah Ta’ala berfirman, وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu bertakwa pada Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” (Surah Al Baqarah ayat 185) Begitu pula para salaf seringkali melakukan puasa di siang hari setelah di waktu malam mereka diberi taufik oleh Allah untuk melaksanakan solat tahajud. Ingatlah bahawa rasa syukur haruslah diwujudkan setiap saat dan ketika

Kelima: Melaksanakan Puasa Syawal menandakan bahawa ibadahnya berterusan dan bukan bermusim sahaja

Amalan yang seseorang lakukan di bulan Ramadan tidaklah berhenti setelah Ramadan itu berakhir. Amalan tersebut seharusnya berlangsung terus selama seorang hamba masih menarik nafas kehidupan. Sebahagian manusia begitu bergembira dengan berakhirnya bulan Ramadan kerana mereka merasa berat ketika berpuasa dan merasa bosan ketika menjalaninya. Siapa yang memiliki perasaan semacam ini, maka dia terlihat tidak akan bersegera melaksanakan puasa lagi setelah Ramadan kerana keletihan yang ia alami. Jadi, apabila seseorang segera melaksanakan puasa setelah hari raya Aidil Fitri maka itu merupakan tanda bahawa ia begitu semangat untuk melaksanakan puasa, tidak merasa berat dan tidak ada rasa benci. Ada sebahagian orang yang hanya rajin ibadah dan solat malam di bulan Ramadan saja, lantas dikatakan kepada mereka, بئس القوم لا يعرفون لله حقا إلا في شهر رمضان إن الصالح الذي يتعبد و يجتهد السنة كلها “Seburuk- buruk orang adalah yang hanya rajin ibadah di bulan Ramadan saja. Sesungguhnya orang yang soleh adalah orang yang rajin ibadah dan rajin solat malam sepanjang tahun”. Ibadah bukan hanya di bulan Ramadan, Rajab atau Sya’ban saja. ’Alqomah pernah bertanya pada Ummul Mukminin ’Aisyah mengenai amalan Rasulullah shallallahu ’alaihi wa sallam, ”Apakah baginda mengkhususkan hari-hari tertentu untuk beramal?” ’Aisyah menjawab, لاَ. كَانَ عَمَلُهُ دِيمَةً ”Baginda tidak mengkhususkan waktu tertentu untuk beramal. Amalan baginda adalah amalan yang berterusan .” (HR. Bukhari no. 1987 dan Muslim no. 783)

Wassalam

🥦 Makmum Sundari

#MS#AB #PuasaEnamSyawal

#uito.org

Komen dan Soalan