Tafsir Surah Az-Zumar
Tafsir Ayat ke-43
Ayat Zajrun berkenaan syafaat. Ini adalah ayat ancaman. Berkenaan kesalahan mereka yang selalu meminta syafaat kepada selain daripada Allah ﷻ. Ini adalah satu masalah yang besar dalam negara kita iaitu tentang syafaat dan ini adalah kerana salah faham tentang syafaat.
أَمِ اتَّخَذوا مِن دونِ اللهِ شُفَعاءَ ۚ قُل أَوَلَو كانوا لا يَملِكونَ شَيئًا وَلا يَعقِلونَ
Patutkah mereka mengambil yang lain dari Allah menjadi pemberi syafaat? Bertanyalah (kepada mereka): “Dapatkah yang lain dari Allah memberi syafaat padahal semuanya tidak mempunyai apa-apa, dan tidak pula mengerti (sebarang apa pun)?”
أَمِ اتَّخَذُوا مِنْ دُونِ اللهِ شُفَعَاءَ
Patutkah mereka mengambil selain dari Allah sebagai pemberi syafaat?
Musyrikin Mekah telah ditegur kerana mereka puja roh-roh yang tidak ada kuasa, tidak dapat membantu apa-apa dan tidak boleh beri mudharat. Maka bila ditegur begitu, mereka pun menukar cerita. Musyrikin Mekah berkata mereka bukan puja selain Allah ﷻ sebagai tuhan. Mereka cuma ambil mereka sebagai pemberi syafaat sahaja.
Mereka berkata mereka tahu yang roh-roh Nabi, wali dan malaikat itu tidak ada kuasa, jadi mereka sebagai pemberi syafaat sahaja. Itu adalah dalihan mereka.
Kebanyakan orang sekarang pun seperti itu juga. Ramai manusia yang rasa selamat kerana mereka berasa akan diselamatkan oleh pemberi-pemberi syafaat. Mereka sangka sembahan-sembahan itu akan datang pada Hari Kiamat dan membantu ketika berurusan dengan Tuhan bagi pihak mereka.
Salah satu di antaranya, orang Buddha sangka Gautama Buddha itu sendiri akan datang menolong mereka dan berhujah dengan Allah ﷻ bagi pihak mereka. Begitu juga dengan agama-agama yang lain tetapi bagaimana pula dengan masyarakat Islam kita?
Masyarat kita pula, sangka yang Nabi Muhammad ﷺ akan memberi syafaat kepada mereka kerana mereka selalu bertawassul dengan baginda, mereka selalu selawat kepada baginda beribu kali dalam sehari, termasuklah mereka telah ‘memuja’ Nabi Muhammad ﷺ tanpa sedar (mereka sangka mereka memuji, tetapi apabila ia sudah berlebihan, itu sudah sampai kepada tahap ‘memuja’).
Mereka sangka mereka buat perkara yang baik, namun sebaliknya ia adalah perkara yang buruk sekali. Mereka sangka, apabila mereka membaca selawat yang direka oleh manusia (seperti Selawat Syifa’, Selawat Tafrijiyyah) itu, mereka akan selamat. Mereka sangka, dengan mereka sambut Maulidur Rasul setiap tahun itu akan menyebabkan mereka selamat kerana mereka sangka yang Nabi Muhammad ﷺ akan suka dengan perbuatan mereka itu dan sebagai balasan, memberi syafaat kepada mereka.
Malangnya, semua perbuatan itu adalah sia-sia belaka kerana perbuatan mereka itu adalah perbuatan bid’ah. Malah lebih malang lagi, Selawat Syifa’ dan Selawat Tafrijiyyah itu mengandungi elemen syirik di dalamnya.
.
قُلْ أَوَلَوْ كَانُوا لَا يَمْلِكُونَ شَيْئًا وَلَا يَعْقِلُونَ
Katakan kepada mereka: padahal mereka tidak memiliki kekuasaan apapun dan tidak faham apa-apapun?
Mereka yang meminta syafaat kepada selain Allah ﷻ itu menyangka yang ilah yang mereka puja dan sembah itu mempunyai kuasa untuk menolong mereka. Contohnya Hindu yang menyembah berhala. Mereka sangkakan berhala itu boleh memberikan syafaat (pertolongan) kepada mereka.
Ini adalah pemahaman yang bahaya kerana dengan salah faham ini, mereka yang melakukan syirik dan dosa itu berani berbuat dosa. Mereka merasakan ada yang akan memberikan syafaat kepada mereka dan menyelamatkan mereka.
Ini sebenarnya menanam fahaman yang boleh menjuruskan kepada derhaka. Mereka seolah-olah tidak takut dan mengambil mudah sahaja dengan hukum Allah ﷻ. Contoh seperti orang kaya yang berani bawa kereta dengan laju, kerana mereka tahu yang mereka ada wang untuk membayar saman, atau ada orang yang mereka kenal di balai polis atau mahkamah yang akan menyelamatkan mereka dari memasuki lokap atau dikenakan saman naik mahkamah.
Selain dari jenis berhala, orang-orang musyrik itu juga meminta syafaat dari entiti yang hidup. Namun, patutkah kita melakukan sedemikian, padahal roh-roh itu tidak memiliki kuasa apa pun dan tidak memahami apa-apa melainkan apa yang diberitahu oleh Allah ﷻ. Contohnya, Nabi Muhammad ﷺ sendiri. Semasa Nabi ﷺ hidup, adakah Nabi ﷺ mempunyai kuasa sendiri? Adakah Nabi ﷺ tahu selain dari apa yang diajar oleh Allah ﷻ?
Kalau semasa mereka hidup pun, usaha mereka terhad kerana keterbatasan yang ada pada mereka, apatah lagi kalau mereka sudah mati? Tentu mereka lebih lagi tidak dapat memberikan pertolongan, kerana mereka bukan lagi di alam ini.
Allah ﷻ memberitahu kepada kita dalam ayat ini, selain daripada Allah ﷻ, tiada sesiapa pun yang mempunyai kuasa untuk memberikan syafaat kerana mereka yang diminta itu pun tidak ada kuasa. Mereka tidak tahu menahu pun yang kita ada meminta syafaat kepada mereka kerana mereka di alam yang lain. Mereka yang sibuk meminta syafaat itu hanyalah membuang masa sahaja kerana mereka seumpama bertepuk sebelah tangan sahaja.
Kita kena faham apakah tugas pemberi syafaat itu. Mari kita buat perbandingan tentang Malaikat Maut. Kita tahu bahawa dialah yang ditugaskan oleh Allah ﷻ untuk mengambil nyawa tetapi adakah kita bermohon untuk dipanjangkan umur dengan Malaikat Maut?
Tentu tidak, sebab kita tahu bahawa dia bukanlah bertanggungjawab menentukan siapakah yang panjang umur ataupun tidak; begitu juga, kita tahu bahawa Malaikat Mikail ditugaskan menurunkan rezeki tetapi adakah kita memohon rezeki kepadanya? Tentu tidak kerana kita tahu Allah ﷻlah yang menentukan rezeki.
Maka begitu juga dengan Nabi Muhammad ﷺ. Baginda ditugaskan untuk memberi syafaat tetapi bukanlah baginda yang menentukan siapakah yang layak menerima syafaat ataupun tidak. Baginda hanya menyampaikan syafaat kepada mereka yang telah ditentukan layak menerima syafaat. Baginda diberikan tugas menyampaikan syafaat sebagai penghormatan kepada baginda.
Sebagai contoh, katakanlah Pejabat Tanah sesebuah daerah memberikan tanah kepada penduduk satu kampung. Ketika dalam majlis pemberian geran tanah itu, Pejabat Tanah menjemput DO (District Officer — Pegawai Daerah) untuk memberikan geran tanah itu. Namun, adakah tuan DO itu yang menentukan siapa yang mendapat geran tanah itu?
Tentulah bukan, kerana beliau hanya menyampaikan sahaja geran tanah itu sebagai penghormatan kepada beliau sebagai DO kawasan itu. Begitu jugalah dengan Nabi Muhammad ﷺ – baginda memang menyampaikan syafaat, tetapi pemberian syafaat itu ditentukan oleh Allah ﷻ sendiri, bukan Nabi Muhammad ﷺ. Maka, kenapa minta daripada baginda?
Bukan sahaja roh-roh itu tidak ada kuasa memberikan syafaat, mereka وَلَا يَعْقِلُونَ tidak tahu menahu seruan orang yang menyeru kepada mereka. Ini kerana mereka duduk di alam yang lain: alam barzakh. Mereka yang menyeru itu hanya bertepuk sebelah tangan sahaja.
Tafsir Ayat ke-44
Kalau mereka yang diseru itu tidak ada kuasa memberi syafaat, maka siapa yang ada kuasa untuk memberi syafaat?
قُل ِللهِ الشَّفٰعَةُ جَميعًا ۖ لَّهُ مُلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۖ ثُمَّ إِلَيهِ تُرجَعونَ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Syafaat itu semuanya hak kepunyaan Allah; Dia lah Yang Menguasai segala urusan langit dan bumi; kemudian kamu akan dikembalikan kepadaNya (untuk menerima balasan).”
قُلْ ِللهِ الشَّفٰعَةُ جَمِيعًا
Katakanlah: milik Allahlah segala syafaat semua sekali.
Dengan jelas dalam ayat ini, Allah ﷻ memberitahu kita yang Dia sahaja yang memiliki kesemua syafaat. Nabi Muhammad ﷺ tidak memiliki syafaat yang boleh diberikan kepada sesiapa yang meminta darinya. Baginda hanya diberikan kuasa untuk ‘menyampaikan’ syafaat seperti yang kita telah jelaskan dalam ayat sebelum ini. Namun baginda tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan siapa yang boleh diberikan syafaat itu.
Ia sama seperti juga Malaikat Maut diberikan kuasa untuk mencabut nyawa. Soalan untuk mudah memahami konsep ini: bila ditiup sangkakala, dan semua makhluk sudah mati, adakah malaikat maut yang mencabut nyawa semua makhluk ketika itu? Jawabnya, tidak. Waktu itu, tiupan sangkakala itulah yang mengambil nyawa. Semua makhluk akan mati, termasuk jin dan makhluk-makhluk lain sekali.
Dalam surah Baqarah, Allah ﷻ pernah berkata ‘mati kamu’ kepada sekumpulan manusia. Allah ﷻ katakan kepada 70 orang wakil dari Bani Israil yang hendak lihat Allah ﷻ secara terang-terang. Allah ﷻ berkata ‘mati kamu’ kerana kesalahan mereka meminta sebegitu. Semua sekali mati terus. Jadi, waktu itu bukan Malaikat Maut yang mengambil nyawa mereka.
Namun begitu, kita memang mengharapkan syafaat yang disampaikan oleh Nabi ﷺ itu. Semoga kita semua mendapat syafaat nanti di akhirat kelak. Namun, hendaklah kita ingat bahawa bukan baginda yang mempunyai kuasa beri syafaat itu. Kalaulah Nabi ﷺ boleh memilih siapa yang baginda boleh beri syafaat, tentulah baginda akan memilih untuk berikan syafaat kepada Abu Talib. Ini kerana baginda sangat sayangkan Abu Talib dan Abu Talib telah banyak membantu baginda. Namun, kita semua tahu bahawa Abu Talib mati sebagai orang kafir dan dia akan masuk neraka.
Allah ﷻ yang menentukan siapa yang Nabi ﷺ boleh beri syafaat. Kemudian, Nabi ﷺ boleh turunkan kuasa memberi syafaat itu kepada orang lain pula. Contohnya kepada sahabat, sahabat pula turunkan kepada anak murid mereka dan murid mereka kepada anak murid mereka pula. Akhir sekali kuasa ‘sementara’ memberi syafaat akan diberikan kepada muslim yang menghafal Qur’an. Dia boleh berikan syafaat kepada sepuluh orang (Walaupun begitu, ada masalah dengan hadis berkenaan perkara ini).
Namun, tidak boleh meminta syafaat daripada mereka sekarang kerana mereka belum mendapat kuasa itu lagi. Bagi yang menghafal Qur’an itu sendiri belum tentu boleh memasuki syurga. Ini kerana kalau dia hanya menghafal Qur’an dan tidak mengetahui isi kandungannya, ia tidak menghalang dia dari melakukan dosa atau melakukan perbuatan syirik, maka dia pun belum tentu dapat memasuki syurga. Kalau dia pun tidak masuk syurga, bagaimana pula dia hendak berikan syafaat kepada orang lain?
Jadi untuk mendapat syafaat, kita minta terus dengan Allah ﷻ.
لَهُ مُلْكُ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ
bagiNya kerajaan langit dan bumi.
Allah ﷻ boleh berikan syafaat itu kerana Dia lah memiliki segala kerajaan langit dan bumi. Kuasa penuh hanya ada pada Dia sahaja. Sembahan yang selain dari Dia, tidak ada kuasa-kuasa apa pun. Oleh itu, hanya Dia sahaja boleh memberikan syafaat.
ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ
dan kemudian kepada Dialah tempat dikembalikan (untuk menerima balasan).”
Sama ada kamu taat kepada Allah ﷻ ataupun tidak, kamu akan dikembalikan kepada Allah ﷻ. Tidak ada satu makhluk pun yang akan terselamat. Mereka akan dikembalikan kepada Allah ﷻ dan bukan kepada ‘tuhan-tuhan kecil’ mereka. Mereka sangka sembahan-sembahan itu yang akan menjadi ‘peguam’ untuk mereka nanti.
Mereka sangka mereka tidak terus berjumpa dengan Allah ﷻ tetapi ayat ini menegaskan bahawa mereka akan terus bertemu dan menghadap Allah ﷻ. Maka, bagaimana mungkin ada pemberi syafaat yang dapat menghalang orang itu dari menerima azab Allah ﷻ? Bilakah pula dia hendak berikan syafaat untuk membantu orang itu, kalau benar dia boleh berikan syafaat?
Tafsir Ayat ke-45
Ini adalah alamat yang kita boleh gunakan untuk kenal seseorang, sama ada dia syirik ataupun tauhid. Boleh kenal sebenarnya. Namun, sebenarnya, lebih elok kalau kita gunakan kayu ukur ayat ini untuk memeriksa diri kita sendiri. Ini kerana kita kena tahu bahawa syirik tidak boleh ada walau sedikit pun dalam hati kita. Maka kena keluarkan semua sekali. Ayat ini adalah tanda kalau terdapat fahaman syirik itu ataupun tidak.
Jadi ayat ini adalah tentang orang musyrikin, tidak kira di mana dan bilakah mereka itu. Mereka percaya Allah ﷻ itu Tuhan tetapi mereka ada berbuat syirik kepada Allah ﷻ. Ini adalah kerana mereka berasa ada lagi ilah-lain yang ada kuasa Allah ﷻ. Oleh sebab itulah mereka mensyirikkan Allah ﷻ dalam ibadah dan seruan mereka.
وَإِذا ذُكِرَ اللَهُ وَحدَهُ اشمَأَزَّت قُلوبُ الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِالآخِرَةِ ۖ وَإِذا ذُكِرَ الَّذينَ مِن دونِهِ إِذا هُم يَستَبشِرونَ
Dan apabila disebut nama Allah semata-mata (di dalam doa dan sebagainya), liarlah hati mereka yang tidak beriman kepada hari akhirat; dan apabila disebut nama-nama yang mereka sembah dan puja yang lain dari Allah, mereka dengan serta merta gembira.
وَإِذَا ذُكِرَ اللَهُ وَحْدَهُ
Dan apabila diajak seru/doa/ibadat kepada Allah sahaja,
Iaitu apabila dikatakan: tiada ilah melainkan Allah ﷻ. Inilah yang sepatutnya kita lakukan – kena ibadah dan seru Allah ﷻ sahaja dan kena berzikir semata-mata kepada Allah ﷻ sahaja, tidak boleh seru kepada selain Allah ﷻ. Inilah konsep tauhid yang perlu diamalkan oleh orang Islam.
اشْمَأَزَّتْ قُلُوبُ الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِالْآخِرَةِ
gelisah hati-hati orang-orang yang tidak beriman dengan hari akhirat,
Namun, apabila diajak hanya seru dan ibadah kepada Allah ﷻ sahaja, gelisah hati mereka yang ada fahaman syirik dalam hati mereka. Kita boleh lihat, apabila kita ajak beribadat kepada Allah ﷻ sahaja, berubah airmuka mereka kerana mereka tidak suka. Apabila disebut Allah ﷻ sahaja berkuasa, hanya Dia sahaja sebagai penyempurnaan hajat, mereka akan gelisah. Perasaan mereka itu tidak boleh disorokkan dari wajah mereka.
Kalau kita seperti itu, maka kita juga wajar dipanggil ‘musyrikin’. Cuma dinamakan dengan ‘Musyrikin Malaysia’. Hendak kenal mereka, senang sahaja. Apabila dibacakan ayat Qur’an yang menegur mereka, mereka tidak suka dan tidak senang. Mereka tidak suka mendengar hujjah dari Qur’an. Malah yang mereka suka adalah mendengar hujjah dari guru-guru mereka. Apabila dalam majlis itu hanya memperkatakan tentang Allah ﷻ sahaja, mereka tidak selesa.
Ada orang yang berkata mereka tidak mengamalkan tawassul pun tetapi apabila disebutkan ayat-ayat tauhid kepada mereka, mereka gelisah. Ini kerana dalam hati mereka ada fahaman syirik. Dia tidak mengamalkannya, tetapi dia berasa yang ia tidak salah.
Dalam ayat ini Allah ﷻ sebut mereka sebagai orang yang tidak beriman. Allah ﷻ sebut terang-terangan bahawa mereka tidak beriman. Jadi jangan marah kepada pembawa cerita ini. Bukan kita yang kata mereka tidak beriman, tetapi Allah ﷻ sendiri.
Ketika di dalam majlis, mereka ingin mengadakan benda-benda lain, cerita-cerita, nasyid dan sebagainya. Mereka berasa bosan kalau hanya bercakap tentang Allah ﷻ sahaja. Ayat ini bukan hanya tentang syirik sahaja. Ini adalah tentang segala perjumpaan. Kalau sesuatu perjumpaan itu, yang terbaik adalah memperkatakan tentang Allah ﷻ. Namun, untuk orang-orang yang tidak ada tauhid, mereka tidak selesa kalau percakapan bukan hanya tentang Allah ﷻ sahaja.
وَإِذَا ذُكِرَ الَّذِينَ مِنْ دُونِهِ إِذَا هُمْ يَسْتَبْشِرُونَ
dan apabila diajak mereka seru kepada roh selain dari Allah, tiba-tiba mereka suka.
Apabila diajak kepada menyeru selain Allah ﷻ, mereka akan terus sokong dan suka kerana ia bertepatan dengan fahaman mereka yang syirik. Contohnya, kalau kita kata boleh untuk berdoa/beribadat kepada tok wali, para Nabi, malaikat dan sebagainya, mereka pun suka. Mereka jadi suka kalau kita kata boleh buat begitu.
Mereka itu tahu bahawa Allah ﷻ itu Tuhan, dan Nabi Muhammad ﷺ itu Rasul, tetapi mereka suka pakai hujjah guru-guru mereka. Mereka juga tidak suka bercerita tentang Allah ﷻ dan tentang agama. Kalau dalam perjumpaan itu, mereka bersembang tentang politik, tentang sukan, tentang wayang, tentang perkara lain selain Allah ﷻ barulah mereka suka. Namun, bagi orang yang beriman, mereka akan suka bercakap tentang Allah ﷻ.
Allahu a’lam.