Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az-Zumar – Tafsir Ayat Ke-37 hingga Ke-39

Tafsir Surah Az-Zumar – Tafsir Ayat Ke-37 hingga Ke-39

964
0
Iklan

Tafsir Ayat ke-37

وَمَن يَهدِ اللَهُ فَما لَهُ مِن مُّضِلٍّ ۗ أَلَيسَ اللَهُ بِعَزيزٍ ذِي انتِقامٍ

Dan sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan sebab pilihannya yang benar), maka tidak ada sesiapapun yang dapat menyesatkannya. Bukankah Allah Maha Kuasa, lagi berhak membalas dengan azab seksa (kepada golongan yang bersalah)?

وَمَنْ يَهْدِ اللَهُ فَمَا لَهُ مِنْ مُّضِلٍ

Sesiapa yang diberi hidayah oleh Allah, tidak ada baginya sebarang penyesat untuknya.

Bila menerima tauhid ini, orang lain tidak boleh berbuat apa-apa untuk mengganggu gugat agamanya. Tidak akan ada sesiapa yang boleh menyesatkannya lagi. Dia akan tetap di dalam tauhidnya. Tidak akan berubah lagi kepada kesesatan.

Ini kerana hatinya telah teguh atas iman – dipanggil Robtul Qalbi iaitu selepas mereka melepasi ujian-ujian dalam perjalanan imannya.

Mereka itu seperti Pemuda Kahfi yang telah mendapat tahap keimanan yang tinggi, sampai mereka sanggup berdepan dengan Raja mereka untuk menyatakan kebenaran.

أَلَيْسَ اللَهُ بِعَزِيزٍ

Tidakkah Allah Dzat yang Maha Gagah Perkasa.

Allah ‎ﷻ maha berkuasa untuk melakukan apa sahaja. Oleh itu, kita kenalah melakukan ibadah hanya kepada-Nya sahaja dan berdoa pun hanya kepada Dia sahaja kerana tiada selain daripadam Dia yang mempunyai sifat ini.

ذِي انْتِقَامٍ

mempunyai kuasa membalas.

Allah ‎ﷻ mampu untuk memberikan balasan kepada hamba-Nya. Pujaan-pujaan selain Allah ‎ﷻ yang mereka sembah itu, tidak ada kuasa untuk membalas, tidak boleh melakukan apa-apa sahaja tanpa izin Allah ‎ﷻ.

Allah ‎ﷻ mengingatkan kita kalau kita tidak berpegang dengan tauhid dan melakukan syirik, Allah ‎ﷻ boleh membalas perbuatan salah itu dengan azab sengsara di dunia dan juga di akhirat.

Terdapat rahmat dalam surah ini. Allah ‎ﷻ menggelarkan Diri-Nya ‘yang mempunyai kuasa membalas’, bukan ‘Yang Membalas’ – muntaqim. Muntaqim bukanlah salah satu nama Allah ‎ﷻ.

Walaupun Allah ‎ﷻ mempunyai kuasa untuk membalas, namun tidak semestinya Dia akan terus membalas hamba-hamba-Nya yang telah engkar kepada-Nya.

Ada kemungkinan Allah ‎ﷻ akan mengampunkan dosa hamba-hamba-Nya kerana Allah ‎ﷻ juga adalah Maha Pemaaf. Ini adalah satu sifat rahmat Allah ‎ﷻ.

Allah ‎ﷻ tidak terus mengazab hambaNya yang telah berbuat syirik kepada-Nya selagi mereka masih hidup lagi. Allah ‎ﷻ memberikan peluang kepada mereka untuk bertaubat dan memperbetulkan diri mereka. Itu adalah salah satu daripada rahmat Allah ‎ﷻ kepada makhluk-Nya.

Tafsir Ayat ke-38

Ini adalah Dalil Aqli I’tirafi. Ada sebahagian perkara tentang Allah ‎ﷻ yang Arab Mekah sudah terima, sudah iktiraf sebagai benar. Walaupun banyak salah mereka dalam syirik, namun ada juga yang benar.

Mereka menerima Allah ‎ﷻ sebagai Tuhan yang Maha Mencipta kerana mereka memang kenal Allah ‎ﷻ sebagai Tuhan. Allah ‎ﷻ hendak beritahu mereka, kalau ada perkara tentang Allah ‎ﷻ yang mereka sudah terima, sepatutnya tentang tauhid pun mereka kenalah juga terima.

وَلَئِن سَأَلتَهُم مَّن خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ لَيَقولُنَّ اللَهُ ۚ قُل أَفَرَءيتُم مّا تَدعونَ مِن دونِ اللهِ إِن أَرادَنِيَ اللَهُ بِضُرٍّ هَل هُنَّ كٰشِفٰتُ ضُرِّهِ أَو أَرادَني بِرَحمَةٍ هَل هُنَّ مُمسِكٰتُ رَحمَتِهِ ۚ قُل حَسبِيَ اللَهُ ۖ عَلَيهِ يَتَوَكَّلُ المُتَوَكِّلونَ

Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang mencipta langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Katakanlah (kepada mereka): “Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? Jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahaya-Nya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmat-Nya itu?” Katakanlah lagi: “Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepada-Nyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri”.

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَّنْ خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضَ

Sekiranya ditanyakan kepada mereka, siapakah yang menciptakan langit dan bumi,

Allah ‎ﷻ hendak memberitahu fahaman dan akidah orang kafir Mekah. Mereka juga ada fahaman tentang agama kerana mereka itu orang yang bertamadun juga. Mereka tahu siapakah yang menjadikan alam ini.

Begitu juga, ayat ini secara umum, boleh ditanya kepada sesiapa sahaja pada mana-mana zaman pun. Boleh ditanyakan kepada mereka, siapakah yang menjadikan alam ini?

لَيَقُولُنَّ اللهُ

mereka akan menjawab: Allah.

Pasti mereka akan berkata Allah ‎ﷻ. Tidak ragu-ragu lagi mereka akan menjawab begitu. Semua sekali akan menjawab begitu, sama ada orang kafir ataupun orang musyrik.

Mereka bukan tidak kenal Allah ‎ﷻ. Mereka cuma tidak mahu menyembah Allah ‎ﷻ sahaja. Mereka memang sembah Allah ‎ﷻ, namun dalam masa yang sama, mereka hendak juga menyembah tuhan-tuhan yang lain. Ia seumpama tuhan-tuhan yang lain itu adalah tuhan-tuhan ‘mini’.

Ini yang susah difahami oleh ramai orang. Mereka tidak dapat menerima bahawa Musyrikin Mekah kenal Allah ‎ﷻ. Mereka berkata tidak mungkin Musyrikin Mekah itu menyembah Allah ‎ﷻ dan menerima Allah ‎ﷻ sebagai Tuhan… ini kerana mereka tidak tahu kerana tidak belajar.

Padahal perkara ini jelas dalam Al-Quran dan dalam sejarah mereka. Mereka tahu bahawa Allah ‎ﷻ itu adalah Tuhan dan hanya Dia sahaja yang Maha Mencipta. Oleh sebab itu, dalam pengajaran Tauhid Tiga Serangkai, ada disebut bagaimana Musyrikin Mekah itu adalah fahaman Tauhid Rububiyyah.

Begitu juga, ada orang kafir zaman sekarang pun yang menerima adanya Allah ‎ﷻ. Kadang-kadang mereka tidaklah menggunakan nama ‘Allah ‎ﷻ’ tetapi mereka akan menggunakan nama seperti ‘Tuhan yang satu’, ‘God the Father’, dan sebagainya.

Yang pasti, mereka tentunya mengaku dalam diri mereka bahawa ada satu entiti yang menjadikan alam ini. Masalah mereka adalah mereka mensyirikkan Allah ‎ﷻ sahaja.

قُلْ أَفَرَأَيْتُمْ مَّا تَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللهِ

Tanya kepada mereka: apakah pandangan kamu tentang apa yang kamu sembah/seru selain dari Allah itu?

Allah ‎ﷻ mengajar Nabi ﷺ dan kita semua bagaimana berdakwah kepada mereka yang kufur. Sama ada yang mereka sembah dan puja itu adalah Nabi, wali, malaikat, tokong, tuhan-tuhan Hindu itu atau apa-apa sahaja, tanya kepada mereka satu soalan:

Apakah pandangan kamu tentang ilah yang kamu sembah selain Allah ‎ﷻ itu?

Tidakkah kamu melihat betul-betul sembahan kamu itu? Apakah yang kamu sembah dan puja itu ada kuasa?

إِنْ أَرَادَنِيَ اللَهُ بِضُرٍّ هَلْ هُنَّ كٰشِفٰتُ ضُرِّهِ

Sekiranya Allah ingin memberi bahaya kepada aku, adakah mereka boleh melepaskan diri aku daripada bala itu?

Tanya kepada mereka: bolehkah? Tentu tidak boleh walau Nabi Muhammad ﷺ sendiri pun tidak boleh menyekat bala yang Allah ‎ﷻ hendak timpakan kepadanya. Apatah lagi kalau pujaan-pujaan mereka yang lain.

Nabi Muhammad ﷺ adalah Nabi yang dimuliakan Allah ‎ﷻ tetapi baginda telah wafat dan tugas baginda telah tamat. Baginda tentunya tidak boleh menolong kita.

Fahaman yang mengatakan Nabi ﷺ ada datang dan memberikan bantuan itu adalah satu fahaman yang sesat. Contoh seperti puak tarekat ada yang berkata Nabi Khidr عليه السلام lah yang membantu mereka-mereka yang sesat dalam hutan, dalam padang pasir dan sebagainya. Itu semua adalah fahaman khurafat.

Jadi, ini adalah akidah yang kita kena pegang. Selain daripada Allah ‎ﷻ, tidak ada yang boleh menghalang bahaya kepada kita atau menghalang rahmat untuk sampai kepada kita.

Nabi ﷺ disuruh mengingatkan mereka bahawa akidah yang mereka terima apabila Allah ‎ﷻ membuat keputusan, tidak ada siapa yang boleh menghalang. Perbincangan ini telah diadakan tentang akidah Musyrikin Mekah – bukan semua akidah mereka salah. Ada juga yang benar dan bertepatan dengan Al-Quran.

Lihatlah bahasa yang digunakan oleh Nabi Muhammad ﷺ. Dia menggunakan perkataan ‘kepada aku’, bukan ‘kepada kamu’, atau ‘kepada kita’. Maknanya, dia menisbahkan perkara itu kepada dirinya. Begitu juga yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim عليه السلام. Ini menunjukkan yang mereka merendahkan diri mereka.

أَوْ أَرَادَنِي بِرَحْمَةٍ هَلْ هُنَّ مُمْسِكٰتُ رَحْمَتِهِ

Atau sekiranya Tuhanku ingin memberikan rahmat kepada aku, bolehkah mereka menyekat rahmat itu?

Tanya kepada mereka mereka, bolehkah roh-roh seruan mereka itu sekat rahmat itu? Juga tidak boleh. Sembahan-sembahan mereka itu tidak boleh menyekat rahmat daripada Allah ‎ﷻ. Kalau Allah ‎ﷻ hendak memberikan rahmat-Nya kepada kita, kita tentu dan pasti akan mendapat rahmat itu, tidak kira apa.

Tidak ada kuasa apa-apa yang dapat menyekat kehendak Allah ‎ﷻ. Walaupun makhluk satu bumi ini bersatu untuk menghalang rahmat itu dari sampai, mereka pasti tidak dapat menghalangnya.

Katakanlah: cukuplah Allah kepadaku. Kepada-Nyalah orang yang hendak bertawakal, akan bertawakal dan hatinya kena ada zikir حَسْبِيَ الله. Dia kena berasa cukup dengan Allah ‎ﷻ.

Kalau hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang berkuasa penuh, maka natijahnya hendaklah kita semua bertawakal kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Lihat struktur susunan ayat yang digunakan.

Sebelum ini, dalam ayat ke- 36, digunakan perkataan أَلَيْسَ اللَّهُ بِكَافٍ عَبْدَهُ (Tidakkah Allah mencukupi bagi hambaNya?), dan kali ini disebutkan ‘cukuplah Allah ‎ﷻ sebagai pembantu kita’. Kita disuruh cakap begitu.

Perkataan حَسْبِيَ itu bermaksud ‘kita rasa cukup dan tidak memerlukan apa-apa lagi’. Kita harus berasa cukup dengan Allah ‎ﷻ dan tidak memerlukan sesiapa lagi.

Oleh itu, perkataan حَسْبِيَ اللَّهُ bermaksud ‘cukuplah Allah ‎ﷻ untuk kita’. Kita tidak memerlukan sesiapa lagi. Hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja kita letakkan kepercayaan dan pengharapan kita. Kalau kita letakkan kepada selain Allah ‎ﷻ, kita akan kecewa. Kalau kita meletakkan harapan kita kepada yang lain dari Allah ‎ﷻ, kita akan rugi.

Memang kita dibenarkan dalam Islam untuk meminta pertolongan daripada manusia dalam perkara yang mereka boleh tolong (perkara dalam asbab), tetapi tidaklah kita disuruh untuk berharap kepada mereka, kerana mereka kalau hendak tolong kita, mereka hanya usaha sahaja, namun belum tentu mereka berjaya.

Dalam konteks ibadah dan doa kepada Allah ‎ﷻ kita kenalah berasa cukup dengan Allah ‎ﷻ sahaja tempat doa kita. Tidak perlu untuk bertawassul kepada selain Allah ‎ﷻ. Kena ada iktikad bahawa Allah ‎ﷻ tidak memerlukan wakil dalam doa.

Bukan sahaja dia kena berzikir, tetapi dia kena mengiklankan dirinya. Dia kena beritahu orang lain yang dia bertawakal kepada Allah ‎ﷻ. Kita beritahu yang kita berdoa dan ibadah hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja.

Tafsir Ayat ke-39

Ayat Takhwif Ukhrawi. Ini adalah jawapan terakhir kepada orang yang masih degil untuk menerima akidah tauhid dan menolak syirik.

Benda yang senang pun mereka tidak boleh terima, maka cakap beginilah sahaja kepada mereka. Sekiranya mereka masih berdegil, masih tidak mahu hendak mengikut petunjuk dari Allah ‎ﷻ, maka katakan kepada mereka:

قُل يٰقَومِ اعمَلوا عَلىٰ مَكانَتِكُم إِنّي عٰمِلٌ ۖ فَسَوفَ تَعلَمونَ

Katakanlah: “Wahai kaumku (yang masih berdegil dalam kekufurannya)! Buatlah sedaya upaya kamu, sesungguhnya aku juga tetap berusaha dengan bersungguh-sungguh; kemudian kamu akan mengetahui kelak

قُلْ يٰقَوْمِ اعْمَلُوا عَلَىٰ مَكَانَتِكُمْ

Katakanlah kepada mereka: wahai kaumku, buatlah apa sahaja kamu hendak buat atas keadaan kamu.

Buatlah apa sahaja yang kamu hendak buat dari fahaman syirik mereka yang salah itu. Buatlah apa sahaja di atas fahaman kamu itu. Kita sudah tidak mahu campur dengan hal mereka.

Kalau hendak buat juga, buatlah apa yang mereka hendak buat tetapi aku tetap atas fahaman dan amalan tauhid aku. Aku tidak akan mengikut kamu semua yang sesat itu.

Ini adalah ayat ugutan – bukan ayat suruhan. Bukan hendak menyuruh manusia sembah tuhan lain pula. Allah ‎ﷻ mengugut mereka: Kalau hendak sembah berhala, sembah malaikat, jin, Nabi atau wali kamu, atau hendak buat apa sahaja, ikut suka hati kamulah!

Kalau kamu hendak memuja mana-mana Nabi, mana-mana wali, atau mana-mana malaikat, buat apa sahaja yang kamu mahu buat tetapi kamu tidak akan dibiarkan begitu sahaja nanti di akhirat kelak!

Segala amaran telah diberikan, namun kalau kamu hendak buat juga, ikut kamulah. Allah ‎ﷻ telah memberikan kebebasan untuk kamu berbuat apa yang kamu mahu buat tetapi ingatlah, kalau salah pilih perbuatan, kamu akan dikenakan azab.

Buatlah apa-apa yang kamu hendak buat dari kedudukan kamu: kamu mungkin seorang pemimpin, kamu mungkin kaya, kamu mungkin guru yang ada ramai anak murid yang akan menyokong kamu – kamu ada kedudukan. Kamu boleh mengubah undang-undang dunia.

Kamu boleh halang penceramah dari datang ke negeri kamu, kamu boleh halang ustaz sunnah mengajar di surau dan masjid kamu. Kalau kamu tidak takutkan neraka, kamu buatlah. Buatlah apa yang kamu mahu buat mengikut kedudukan kamu itu.

إِنِّي عٰمِلٌ

Sesungguhnya aku pun akan berbuat amalan

Aku pun akan berbuat amalan juga. Aku pun akan bekerja juga tetapi pekerjaan yang aku akan buat itu akan mengikut sunnah yang diajar oleh Nabi ﷺ. Aku tidak akan berbuat amalan-amalan syirik yang macam kamu buat itu.

Aku tidak akan berbuat amalan bid’ah yang kamu suka buat itu. Apa yang kamu buat, aku tidak terkesan dengannya. Aku sudah berikan nasihat kepada kamu, tetapi kamu sahaja yang tidak mahu dengar.

فَسَوْفَ تَعْلَمُونَ

Pasti kamu akan mengetahui kelak.

Namun, berikan juga ancaman kepada mereka: “Kamu akan ketahui juga nanti”. Apakah yang mereka akan ketahui nanti?

Mereka akan tahu bahawa apa yang mereka telah lakukan itu akan menyebabkan kesusahan dan azab sengsara kepada mereka nanti. Waktu itu baru menyesal, namun sudah terlambat.

Ini kerana segala perbuatan kita dalam dunia ini ada kesannya kepada kita. Allah ‎ﷻ tidak akan membiarkan sahaja di akhirat kelak. Mungkin di dunia ini Allah ‎ﷻ biarkan sahaja dahulu.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan