1. Jika bagi wanita, mereka akan menanggalkan stokin apabila memasuki tandas untuk menunaikan hajat, maka dengan cara mengambil wudhu’ dahulu sebelum memakai stokin, kemudian apabila hendak solat hanya perlu menyapu di atas stokin sahaja. Adakah ini dibolehkan?
🔵 Ya, boleh.
2. Adakah perlu menggunakan air yang banyak untuk mengusap khuf sebagaimana membasuh kaki?
🔵 Tidak, mengusap khuf bersamaan dengan mengusap kepala. Hanya perlu basahkan tangan sahaja.
3. Adakah hanya perlu mengusap bahagian atas khuf sahaja dan meninggalkan bahagian tapak khuf?
🔵 Ya.
4. Adakah perlu mengusap sehingga tiga kali sapuan?
🔵 Cukup sekadar sekali usapan sahaja.
5. Adakah kita boleh menggunakan hukum memakai khuf jika bukan di dalam keadaan cuaca yang sejuk?
🔵 Ya, musyaqqah (kepayahan) itu bukan sahaja bermaksud ‘sejuk’ tetapi juga membawa maksud kepayahan kita untuk membuka dan memakai kembali kasut.
6. Bagaimanakah caranya mengusap khuf ini?
🔵 Hanya perlu menyapu bahagian atas sahaja. Tidak perlu menyapu bahagian belakang khuf.
Perbuatan ini bersifat ta’abbudi sahaja (taat kepada arahan). Bukannya sehingga perlu dicuci.
7. Situasinya adalah kita khuatir kehilangan boot berjenama kepunyaan kita semasa hendak solat di masjid, adakah boleh mengqiyaskan boot tersebut sebagai khuf dan membawanya bersama ketika solat?
🔵
a. Ya, boleh solat dengan boot tersebut.
b. Walaupun begitu, tidak boleh memakai boot ke dalam masjid yang ada permaidani. Perlu bersesuaian dengan keadaan.
8. Adakah benar fahaman saya iaitu apabila memasuki tandas tanpa memakai stokin, kemudian berwudhu’ tetapi tidak membasuh kaki kerana berniat untuk mengusap stokin kelak. Selepas itu hanya perlu mengusap stokin sahaja sebelum menunaikan solat?
🔵 Jika tiada kepayahan untuk membuka dan memakai stokin apabila hendak ke tandas, maka gugurlah rukhsah untuk menggunakan hukum mengusap khuf.
9. Bagaimanakah kaedah jika telah berwudhu’ dan berniat untuk mengusap stokin apabila terbatalnya wudhu’, tetapi ketiadaan air pada waktu itu?
🔵 Jika tiada air, maka boleh tayammum.
10. Jika kita memakai stokin dan kasut, adakah perlu menyapu pada kaki stokin hingga ke hujung kasut?
🔵 Tidak, hanya perlu mengusap pada atas kasut.
11. Adakah benar kaedah mengusap khuf adalah dengan menggunakan tiga jari? Bolehkah dilakukan dengan selain tiga jari?
🔵 Ya, kerana itu adalah salah satu pendapat yang menyatakan tiga jari sudah cukup. Tiada dalil khusus yang menetapkan bilangan jari.
12. Adakah mengambil wudhu’ dengan menggunakan spray dan air yang seminima satu gelas boleh diterima di dalam Mazhab Asy-Syafi’iy?
🔵 Tiada masalah bagi Mazhab Asy-Syafi’iy kerana cara ini melebihi dari keperluan minima mazhab Asy-Syafi’iy.
Contohnya di dalam mazhab Asy-Syafi’iy tidak perlu menyapu seluruh kepala dan juga tidak perlu menjamah anggota wudhu’ untuk pastikan air wudhu’ sampai kepada anggota wudhu’.
13. Bagaimanakah cara untuk duduk tasyahud dengan memakai boot?
🔵 Boleh gunakan cara duduk iq’a. Seperti di dalam gambar.
https://t.me/soaljawabfiqh/6932
Kita akan bincangkan dengan lebih tuntas di dalam bab solat kelak.
14. Adakah jika telah habis batas waktu, terus membatalkan wudhu’ itu?
Rukhsah menyapu khuf dibenarkan selama tiga hari tiga malam bagi orang yang bermusafir dan sehari semalam bagi orang yang bermukim. Lalu bagaimana kalau masa itu telah tamat? Adakah wudhu’ terbatal secara automatik?
Ini juga ada khilaf:
a. Perlu mengambil wudhu’ semula kerana wudhu’ telah batal.
b. Hanya basuh kaki sahaja.
c. Tidak batal wudhu’ dan tidak perlu buat apa-apa.
✅Pendapat ketiga inilah yang dipilih oleh Syaikh Al-Albani dan Ibnu Taimiyah رحمكم الله Wudhu’ masih sah selagi tidak berhadas. Kalau sudah berhadas, barulah batal wudhu’ dan perlu di ambil wudhu’ semula untuk salat.
15. Haruskan khuf dilepaskan jika junub?
Khuf perlu dilepaskan kerana junub. Maknanya, menyapu khuf hanya boleh dipakai untuk hadas kecil sahaja.
✍🏻Hal ini dinyatakan dari hadith Shafwan bin ‘Assal رضي الله عنهما, dia berkata:
كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرْنَا إِذَا كَانَ سَفْرًا أَلاَّ تَنْزِعَ خِفَافَنَا ثَلاَثَةَ أَيَّامٍ وَلَيَالِيهِنَّ إِلاَّ مِنْ جَنَابَةٍ وَلَكِنْ مِنْ غَائِطٍ وَنَوْمٍ
“Rasulullah ﷺ memerintahkan kami, apabila kami sedang safar agar tidak melepaskan khuf-khuf kami selama tiga hari tiga malam kecuali bila ditimpa janabah. Akan tetapi apabila hanya buang air besar, kencing, dan tidur (tidak perlu melepaskannya).”
[ At-Tirmidzi no. 96. Dihasankan oleh Asy-Syaikh Muqbil dalam Al-Jami’us Sahih, 1/538]
16. Memakai khuf ketika suci adalah syarat.
Ini syarat yang perlu diperhatikan. Kena memakai khuf, boot atau stokin semasa suci. Jadi, ambil wudhu’ dahulu baharulah pakai khuf. Ini jelas dalam hadith yang telah diberikan sebelum ini:
✍🏻Al-Mughirah bin Syu’bah رضي الله عنهماberkata:
كُنْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ فِي سَفَرٍ، فَأَهْوَيْتُ لِأَنْزِعَ خُفَّيْهِ. فَقَالَ : ((دَعْهُمَا، فَإِنِّي أَدْخَلْتُهُمَا طَاهِرَتَيْنِ)) فَمَسَحَ عَلَيْهِمَا.
Aku pernah menyertai Nabi ﷺ dalam satu safar, (tatkala baginda ﷺ berwudhu’) aku pun menjulurkan tanganku untuk melepas dua khuf yang sedang baginda ﷺ kenakan. Namun baginda berkata: “Biarkan dua khuf ini (jangan dilepas) kerana aku memasukkan keduanya (yakni kedua kaki Rasulullah ﷺ) dalam keadaan suci.” Baginda ﷺ pun mengusap di atas kedua khuf tersebut.”
[Bukhari no. 206 dan Muslim no. 274]
17. Bahagian alas kaki yang diusap.
📍Inilah yang penting : Bagaimana cara hendak mengusap khuf itu?
Jawapan:
Tempat yang diusap adalah bahagian atas kaki itu atau bahagian lain, kecuali bawah. Kita bukan hendak sapu kotoran tanah dari khuf itu.
Boleh lihat video ini: https://youtu.be/yrqY2YnAbhw
Ini menjadi dalil bahawa agama kita ini bukan ikut akal kita. Jikalau ikut logik, mestilah sapu bahagian bawah yang terkena tanah, bukan?
✍🏻Saidina Ali رضي الله عنه pernah berkata; “Jika sekiranya agama itu boleh diputuskan dengan akal, nescaya menyapu di bawah khuf lebih logik dari menyapu di atasnya. Namun aku telah melihat Nabi ﷺ menyapu bahagian atas dua khufnya”.
18. Berapa lama batas waktu boleh menyapu khuf dan bilakah masa itu bermula?
Musafir: 3 hari tiga malam – 72 jam
Orang bermukim: Sehari semalam – 24 jam.
✍🏻Dalilnya adalah hadith riwayat Shafwan bin ‘Assal رضي الله عنهما, dia berkata:
كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرْنَا إِذَا كَانَ سَفْرًا أَلاَّ تَنْزِعَ خِفَافَنَا ثَلاَثَةَ أَيَّامٍ وَلَيَالِيهِنَّ إِلاَّ مِنْ جَنَابَةٍ وَلَكِنْ مِنْ غَائِطٍ وَنَوْمٍ
“Rasulullah ﷺ memerintahkan kami, apabila kami sedang safar agar tidak melepaskan khuf-khuf kami selama tiga hari tiga malam kecuali bila ditimpa janabah. Akan tetapi apabila hanya buang air besar, kencing, dan tidur (tidak perlu melepaskannya).”
[At-Tirmizi no. 96. Dihasankan oleh Asy-Syaikh Muqbil dalam Al-Jami’us Sahih, 1/538]
✍🏻Penetapan tempoh di atas adalah berdasarkan
Hadis dari Saidina ‘Ali رضي الله عنه yang menceritakan; “Nabi ﷺ memberi (kebenaran) tiga hari tiga malam kepada orang musafir (untuk menyapu khuf) dan sehari semalam untuk orang mukim (yakni tidak bermusafir)”.__
📍Persoalan yang mungkin timbul: bilakah bermula masa ini?
Jawapan:
Masa bermula sejak mula sapu khuf. Bukan semasa mula pakai khuf.
Saya bagi senario:
Ambil wudhu’ dan memakai khuf pada pukul 7 pagi. Kemudian pergi kerja. Pada pukul 10 pagi anda membuang air. Wudhu’ batal pukul 10 pagi. Pada pukul 2 petang anda mahu salat Zuhur. Maka, anda ambil wudhu’ dan sapu sahaja pada khuf.
📍Bilakah waktu sehari semalam bermula? Adakah dari pukul 7 pagi, atau pukul 10 pagi, atau pada pukul 2 petang?
Jawapan:
Pada pukul 2 petang baru masa bermula untuk sehari semalam (atau tiga hari tiga malam, bergantung sama ada anda bermukim atau musafir). Ini pandangan yang rajih kalau dibandingkan dengan pendapat-pendapat yang lain.
19. Apakah yang dimaksudkan dengan “melepaskan khuf” selepas tiga hari dan tiga malam? Bagaimanakah caranya jika bermusafir lebih daripada tiga hari dan tiga malam?
🔵 Apabila tamat tempoh khuf, perlu memperbaharui wudhu’ tanpa memakai khuf. Berwudhu’ seperti biasa dan kemudian memakai khuf kembali.
20. Adakah tidak perlu untuk mandi selama tiga hari dan tiga malam?
🔵 Jika di negara sejuk, adalah perkara biasa apabila tidak mandi untuk berhari-hari. Ini juga berlaku di Tanah Arab pada zaman dahulu.
Apabila tiada halangan untuk mandi seperti biasa, maka gugurlah rukhsah berwudhu’ semasa memakai khuf.
21. Saya keliru dengan pernyataan yang menyatakan hanya perlu menyapu khuf apabila berhadas kecil. Mohon mencerahan.
🔵 Jika berhadas kecil, hanya perlu memperbaharui wudhu’ tanpa membasuh kaki. Jika berhadas besar, maka perlu mandi seperti biasa.
22. Adakah boleh membuka khuf apabila khuatir terkena najis apabila menunaikan hajat?
🔵 Jika tiada masalah untuk membuka khuf, maka gugurlah rukhsah berwudhu’ semasa memakai khuf.
23. Adakah boleh tidak mahu menggunakan rukhsah berwudhu’ semasa memakai khuf?
🔵 Rukhsah adalah hadiah yang Allah SWT berikan. Allah SWT suka jika kita menerima hadiahNya.
24. Adakah benar fahaman saya bahawa rukhsah menggunakan khuf apabila ada kesusahan untuk membuka dan memakai kembali khuf, serta kemudaratan yang berlaku apabila khuf dibuka seperti musim terlalu sejuk, tempat yang berbatu tajam dan lain-lain.
🔵 Ya, dalam situasi kita di Malaysia inj, jika ada kepayahan untuk membuka dan memakai kembali sarung kaki (khuf, boot, kasut, stokin dan lain-lain), atau bekerja di tempat yang sukar untuk mengambil wudhu’ (di dalam kapal terbang, kapal selam, kapal angkasa dan lain-lain), mungkin rukhsah berwudhu’ semasa memakai khuf boleh digunapakai.
25. Adalah mereka yang terlantar sakit boleh menggunapakai rukhsah berwudhu’ semasa memakai khuf supaya mudah untuk mengambil wudhu’?
🔵 Ya, boleh selama tempoh sehari dan semalam.
26. Adakah orang sakit tidak boleh memakai khuf selama tempoh tiga hari dan tiga malam?
🔵 Ya, tidak boleh kerana tempoh tiga hari dan tiga malam hanya untuk mereka yang bermusafir.
27. Adakah boleh menyapu pada stokin nipis sebagaimana yang selalu wanita memakainya?
🔵 Kita ambil pendapat yang kata boleh.
28. Adakah boleh bertukar-tukar stokin di dalam tempoh tiga hari dan tiga malam bermusafir?
🔵 Ya, boleh. Caranya dengan terus menggantikan stoking yang baru tanpa melengahkannya.
29. Jika untuk yang bermukim. Adakah tidak boleh menanggalkan stokin di dalam tempoh sehari dan semalam?
🔵 Ya, tidak boleh dilepaskan selama tempoh tersebut.
30. Adakah akan basah tudung apabila kita menyapu air wudhu’ pada tudung?
🔵 Sebenarnya, perbuatan menyapu tudung tidak menyebabkan tudung basah. Kita perlu menyapu kepala, bukannya membasahkan kepala.
31. Adakah hukum menyapu pada penutup kepala seperti tudung dan serban ini boleh diqiyaskan dengan khuf iaitu perlu mengambul wudhu’ sempurna baru boleh pakai menutup kepala? Adakah mempunyai had tempoh juga sebagaimana khuf?
🔵 Sebenarnya tiada dinyatakan hal sedemikian di dalam rukhsah menyapu serban atau tudung.
32. Adakah batal apabila membuka stokin sebentar kerana ingin mengaru kaki yang gatal?
🔵 Tidak batal. Malah, jika kita menyapu khuf tetapi tetap solat di masjid tanpa menggunakan khuf, apabila memakai kembali khuf masih boleh digunakan. Asalkan tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan wudhu’.
33. Adakah mereka yang bermusafir dan memggunakan rukhsah berwudhu’ semasa memakai khuf akan melakukan semua aktiviti dengan memakai khuf seperti tidur, makan, berburu dan lain-lain?
🔵 Ya, melakukannsemua aktiviti dengan memakai khuf.
34. Adakah boleh memakai dua lapis stokin, kemudian keesokannya, menanggalkan satu stokin dan berwudhu’ dengan stokin lain?
🔵 Ya, boleh.
35. Adakah selepas memakai stokin, kemudian menambah stokin lain lagi tanpa perlu perbaharui wudhu’?
🔵 Ya, boleh.
Allahu a’lam.