Utama Bilik (001) Fiqh Asasi Pemula Thaharah: Bab Wudhu’ – Mengusap Khuf

Thaharah: Bab Wudhu’ – Mengusap Khuf

2153
0
Iklan

Kitab : Thaharah
Bab: Wudhu’
Bahagian: Wudhu’
Tajuk: Mengusap Khuf

Khuf adalah seperti kasut atau stokin (sebenarnya kasut tidak, stokin juga tidak). Khuf ini selalunya diperbuat daripada kulit dan ia menutup buku lali sekali.

Ia selalunya dipakai di Tanah Arab pada musim sejuk. Bila kaki sejuk mereka akan pakai terus sepanjang masa. Ketika di rumah mereka juga pakai termasuk sewaktu salat. Jadi apabila sudah memakai khuf, yang jadi masalah pula sekiranya mahu mengambil wudhu’.

Ini kerana apabila kaki sejuk, dikhuatiri akan menyebabkan demam. Selain itu ia menyulitkan pula selepas membasuh kaki kerana hendak lap air wudhu’ sebelum dipakai khuf semula. Maka, ada kemudahan yang diberikan dalam Islam tentang hal ini.

Akan tetapi, kita tidak memakai khuf di sini bukan? Jadi kenapa kita perlu belajar bab khuf? Ini kerana ada manfaat juga yang kita boleh ambil dari hukum ini. Contohnya, kalau askar pakai boot di dalam hutan dan dia hendak salat, tidaklah perlu dia menanggalkan boot.

Kita juga sebagai orang awam, ada keadaan susah untuk kita menanggalkan kasut dan mengambil wudhu’ di tempat orang ramai atau tempat yang susah mahu mengambil wudhu’, maka boleh manfaatkan juga hukum ini.

1. Kebenaran Mengusap Khuf.

Terdapat dalil yang banyak tentang amalan ini dan di antara hadith-hadith yang menyebutkan tentang mengusap khuf adalah sebagai berikut:

✍🏻Al-Mughirah bin Syu’bah رضي الله عنه berkata:

كُنْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ فِي سَفَرٍ، فَأَهْوَيْتُ لِأَنْزِعَ خُفَّيْهِ. فَقَالَ : ((دَعْهُمَا، فَإِنِّي أَدْخَلْتُهُمَا طَاهِرَتَيْنِ)) فَمَسَحَ عَلَيْهِمَا.

Aku pernah menyertai Nabi ﷺ dalam satu safar, (tatkala baginda ﷺ berwudhu’) aku pun menjulurkan tanganku untuk melepas dua khuf yang sedang baginda ﷺ kenakan. Namun baginda berkata: “Biarkan dua khuf ini (jangan dilepas) kerana aku memasukkan keduanya (yakni kedua kaki Rasulullah ﷺ) dalam keadaan suci.” Baginda ﷺ pun mengusap di atas kedua khuf tersebut.”
[ Bukhari no. 206 dan Muslim no. 274 ]

Satu lagi hadith:

✍🏻Hudzaifah ibnul Yaman رضي الله عنه menuturkan pengalamannya bersama Nabi ﷺ:

كُنْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ، فَانْتَهَى إِلَى سُبَاطَةِ قَوْمٍ، فَبَالَ قَائِمًا، فَتَنَحَيْتُ، فَقَالَ : ((اُدْنُه)) فَدَنَوْتُ حَتَّى قُمْتُ عِنْدَ عَقْبَيْهِ، فَتَوَضَّأَ، فَمَسَحَ عَلَى خُفَّيْهِ.

Aku pernah berjalan menyertai Nabi ﷺ, lalu baginda ﷺ berhenti di tempat pembuangan sampah suatu kaum dan kencing di situ dalam keadaan berdiri. Maka aku pun menyingkir dari baginda ﷺ, namun baginda ﷺ berkata: “Mendekatlah.” Aku pun mendekat hingga aku berdiri di sisi kedua tumit baginda. Kemudian beliau ﷺ berwudhu’ dan mengusap di atas dua khufnya.”
[ Muslim no. 273 ]

Catatan:
Juga terdapat dengan lafaz yang hampir sama di dalam Sahih Ibnu Hibban no. 1428. Jadi, ulama’ sepakat dibolehkan menyapu khuf dalam wudhu’ apabila kena syaratnya. Manakala yang menolaknya pula adalah golongan Khawarij dan Syiah sahaja.

✍🏻Ibnul Mundzir berkata:
“Para ulama’ berselisih pendapat tentang manakah yang lebih afdhal, mengusap khuf atau pun melepaskan keduanya dan mencuci kaki?” Dia berkata: “pendapat yang dipilihnya, mengusap khuf lebih afdhal, kerana hal ini termasuk hal yang diingkari oleh ahlul bid’ah dari kaum Khawarij dan Syiah Rafidhah.” Dia berkata: “menghidupkan sunnah-sunnah Nabi ﷺ yang diingkari oleh orang-orang yang menyelisihinya lebih baik dari meninggalkannya.”

2. Mengusap stokin

Bagaimana pula dengan stokin? Orang kita jangan kata ada khuf, mengenai khuf juga mereka tidak tahu. Jadi, adakah mereka akan ketinggalan kemudahan yang Allah ﷻ berikan ini?

Para fuqaha’ bersepakat bahawa harus bagi seorang muslim untuk menyapu stokin mereka sewaktu berwudhu’ menggantikan basuhan kaki jika stokin tersebut diperbuat daripada kulit dan menutupi buku lali.

Walau bagaimanapun mereka berselisih pendapat tentang stokin biasa yang diperbuat daripada bulu ataupun kapas. Dalam isu ini mereka terbahagi kepada dua pendapat.

1. Pendapat yang menentang: Mereka mengatakan stokin bukan dijadikan dari kulit maka tidak sama dengan khuf.

2. Pendapat ini dikritik kerana memang ada hadith Nabi ﷺ menyapu stokin. Maka ini adalah pendapat yang kedua.

✍🏻Hadith riwayat Al-Mughirah bin Syu’bah, katanya: Rasulullah ﷺ telah berwudhu’ dan baginda ﷺ menyapu khuf dan juga stokinnya.
[ At-Tarmizi, Ibnu Majah, Abu Daud, Ahmad. Imam At-Tarmizi mengkategorikan sebagai hadith hassan sahih ]

✍🏻Juga hadith Bilal: “Aku telah melihat Rasulullah ﷺ menyapu kedua stokinnya dan juga serbannya”.
[ Ahmad, At-Tirmizi dan At-Tabrani. Hadith ini dikategorikan sebagai hassan sahih oleh Imam At-Tirmizi]

✍🏻Terdapat sembilan orang sahabat yang mengharuskan perbuatan menyapu stokin yang tidak diperbuat daripada kulit, seperti Ali, Ammar bin Yasir, Ibnu Mas’ud, Anas, Ibn Umar, al-Barra, Bilal, Ibnu Abi Aufa dan Sahl bin Sa’ad.

✍🏻Ia juga turut diamalkan oleh kebanyakan para tabi’in yang terkemuka seperti Ata’, Hassan al-Basri, Sa’id bin Musayyab, Ibnu Jubair, al-Nakha’i dan al-Thawri. [pengamalan para sahabat dan tabi’in ini telah menjadikan perbuatan menyapu di atas stokin sesuatu yang dapat diterima]

✍🏻Dari Al-Azraq bin Qais, dia berkata: “Aku pernah melihat Anas bin Malik berhadas. Maka, ia membasuh mukanya, dua tangan dan mengusap dua stokin kakinya yang terbuat dari bulu”. Aku bertanya,” Engkau mengusapnya?” Dia menjawab,”Keduanya adalah khuf, hanya saja terbuat dari bulu”.
Disahihkan Ahmad Syakir; Ad-Dulabi (1/179).

Kesimpulannya
Hujah membolehkan menyapu stokin ini juga amat kuat.

3. Mengusap alas kaki (sandal)

Kita telah sentuh tentang menyapu khuf yang menutup mata kaki dan juga stokin yang juga menutup mata kaki. Lalu bagaimana pula dengan kasut atau sandal yang tidak menutup mata kaki? Ini menjadi perbincangan ulama’.

✍🏻Ada dalil Rasulullah pernah sapu sandal (capal) baginda. Ini berdasarkan hadith Al-Mughirah bin Syu’bah:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَوَضَّأَ وَمَسَحَ عَلَى الْجَوْرَبَيْنِ وَالنَّعْلَيْنِ

Rasulullah ﷺ berwudhu` dan mengusap dua stokin kaki dan sandalnya.
[ Disahihkan oleh Syaikh Al-Albani; Abu Dawud (159), At-Tirmizi (99), Ahmad (4/252 ]

Syarah:
Hadith ini memberi isyarat bahawa Rasulullah ﷺ berwudhu` dan mengusap stokin dan sandalnya. Hadith ini, dengan merujuk ulama’ yang mensahihkannya, mengandungi dua hal:

1. Rasulullah ﷺ memakai sandal dan juga stokin dan mengusapnya, sehingga hukumnya menjadi satu seperti pada pemakaian dua pasang stokin atau memakai dua pasang khuf sekaligus.

2. Al-Mughirah melihat Nabi ﷺ sedang mengusap satu usapan pada stokin dan usapan lainnya pada sandal. Sehingga hadith ini menjadi dalil bolehnya mengusap sandal, meski pun kaki tidak dibaluti dengan stokin.

Kesimpulan ini, walau agak jauh, tetapi didukung dalam hadith ini.

✍🏻Hadith Abu Zhubyan, bahawa ‘Ali bin Abi Thalib berwudhu’` dan mengusap sandalnya, dan kemudian dia memasuki masjid dengan melepaskan dua sandalnya. Setelah itu dia mengerjakan salat.
[Sanadnya sahih, diriwayatkan oleh Al-Baihaqi 1/288, ath Thahawi 1/58 lihat Tamamul Minnah hlm. 15] dan tidak ada penyebutan kata stokin dalam hadith ini.

Akan tetapi, ulama’ juga meletakkan syarat, ini jenis sandal yang susah hendak dibuka (memerlukan dua tangan waktu hendak dibuka). Ini kerana ada sandal yang ikat juga. Bukannya jenis selipar jepun yang mudah dilepaskan begitu sahaja.

4. Mengusap khuf atau stokin yang koyak.

Bagaimana pula kalau khuf atau stokin itu koyak pula? Ada ulama’ yang mengatakan sudah tidak boleh lagi diamalkan sapu khuf kerana ia sudah tidak sempurna sifat khuf itu iaitu menutup kaki. Tetapi pendapat ini dikritik. Maka, boleh menyapu khuf walaupun ada koyak sedikit atau banyak.

Antara hujah:

1️⃣ Hukum asal boleh menyapu khuf dan stokin dan tidak ada tambahan yang mengatakan jika khuf koyak, tidak boleh disapu.

2️⃣ Sahabat zaman dahulu juga tentu ada mengalami khuf dan stokin yang koyak rabak kerana mereka miskin. Namun, tidak disebut pengkhususan yang mengatakan kalau koyak sudah tidak boleh.

3️⃣ Kalau tidak boleh sapu khuf kerana koyak, tentu Nabi ﷺ sudah tegur. Namun, tidak ada riwayat sebegini.

4️⃣ Koyak atau tidak, selagi khuf dan stokin boleh dipakai, maka ia tetap dikira sebagai khuf dan stokin.

5️⃣ Tujuan dibenarkan menyapu khuf adalah untuk kemudahan. Kalau sudah ditetapkan syarat yang ketat, hilanglah tujuan asal untuk beri kemudahan itu.

5. Mengusap pembalut

Rukhsah mengusap khuf ini dipanjangkan pula untuk perbuatan menyapu atas kain pembalut luka. Ini menjawab persoalan ramai orang: ‘bagaimana kalau anggota wudhu’ berbalut?’

Jadi, salah satu cara yang dianjurkan oleh ulama’ adalah dengan menyapu tangan yang basah di atas pembalut itu dan tidak perlu dibuka. Termasuk juga tidak perlu hendak tayyamum lagi. Wudhu’ itu sudah sah.

6. Perbincangan tambahan berkenaan sapu khuf.

a. Adakah jika membuka khuf membatalkan wudhu’?

Saya cuba terangkan dengan memberi satu senario: Katakanlah kita memakai khuf, boot atau stokin pada pagi hari. Waktu zuhur, wudhu’ kita batal dan kita ambil wudhu’ dan pada kasut kita sapu sahaja. Kemudian kita buka (mungkin kerana masuk masjid), adakah ia membatalkan wudhu’ itu?

Adakah boleh dipakai lagi wudhu’ itu pada waktu Asar nanti? Ulama’ berbeza pendapat tentang perkara ini:

1. Wudhu’ masih tetap sah. Tidak ada apa-apa yang perlu dilakukan.

2. Perlu membasuh kaki sahaja.

3. Mengulang wudhu’.

Pendapat pertama adalah yang lebih rajih (tepat), bersesuaian dengan rukhsah (kemudahan) yang Allah ﷻ berikan. Bila Allah ﷻ dah beri kemudahan, jangan kita sempitkan.

Hujah lain:

1. Saidina Ali memakai sandal dan beliau menyapu pada sandalnya itu dan kemudian beliau lepaskan dan salat.

2. Ikut logik. Katakanlah seorang menyapu kepala dan kemudian dia botakkan kepalanya. Adakah dia kena ambil wudhu’ semula kerana rambut yang disapu tadi sudah tiada?

3. Ini juga pendapat Syaikh Al-Albani, Ibnu Taimiyah, Hasan Basri, Ibnu Hazm dan Ibnul Munzir.

Kesimpulan:
Kalau seseorang menyapu khuf, stokin atau kasut dan dia membuka khuf itu, tidaklah membatalkan wudhu’nya. Dia boleh pakai kembali khuf itu dan wudhu’ tetap kekal. Asalkan tidak berhadas semasa buka khuf.

Allahu a’lam

Komen dan Soalan