Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az-Zumar – Tafsir Ayat Ke-34 hingga Ke-36

Tafsir Surah Az-Zumar – Tafsir Ayat Ke-34 hingga Ke-36

326
0
Iklan

Tafsir Surah Az-Zumar

Tafsir Ayat ke-34

Natijah kepada taqwa; balasan yang akan didapati jika bertaqwa.

لَهُم مّا يَشاءونَ عِندَ رَبِّهِم ۚ ذٰلِكَ جَزاءُ المُحسِنينَ

Untuk mereka apa sahaja yang mereka mahu, di sisi Tuhan mereka; demikianlah balasan orang-orang yang berusaha memperbaiki amal perbuatannya.

لَهُمْ مَّا يَشَاءُونَ عِنْدَ رَبِّهِمْ

Bagi mereka apa sahaja yang mereka mahu dari sisi Tuhan mereka.

Mereka akan dapat apa sahaja yang mereka mahu di akhirat kelak. Tidak kisah apa sahaja yang mereka inginkan di syurga nanti, mereka akan dapat. Ada benda yang manusia tidak mampu untuk mendapatkannya ketika di dunia ini. Pelbagai hajat yang manusia mahukan, tetapi mereka tidak boleh mendapatkannya mungkin kerana tidak mempunyai wang, benda itu memang tidak ada atau sebagainya.

Namun di akhirat kelak, mereka akan dapat apa sahaja yang mereka inginkan. Jadi, apabila ada perkara yang kita tidak dapat di dunia ini, maka kenalah bersabar, kerana memang dunia ini tempat ujian, dan bukanlah tempat untuk menikmati segala nikmat. Saat di syurga nantilah tempat untuk menikmati nikmat. Maka kenalah berusaha untuk mendapatkan syurga.

ذَٰلِكَ جَزَاءُ الْمُحْسِنِينَ

Demikianlah balasan bagi orang yang telah melakukan yang terbaik.

Ini adalah satu pemberian yang amat besar sekali. Allah ‎ﷻ tahu apa yang kita inginkan. Allah ‎ﷻ berikan semua sekali kehendak dan kemahuan kita.

Perkataan الْمُحْسِنِينَ bermaksud mereka telah memperbaiki amalan mereka sebaik mungkin. Mereka juga membuat amalan-amalan yang soleh sahaja. Iaitu amalan ibadat yang telah disampaikan dari nas yang sahih. Bukan amalan-amalan bid’ah yang dimulakan selepas kewafatan Nabi Muhammad ﷺ.

Amalan bid’ah bukanlah amalan untuk masuk ke dalam syurga. Ia adalah amalan yang sia-sia sahaja, maka tinggalkanlah segala amalan itu. Mereka yang ada ihsan dalam diri mereka, akan melakukan amalan terbaik mengikut kehendak Allah ‎ﷻ.

Tafsir Ayat ke-35

Apa lagi yang mereka akan dapat.

لِيُكَفِّرَ اللَهُ عَنهُم أَسوَأَ الَّذي عَمِلوا وَيَجزِيَهُم أَجرَهُم بِأَحسَنِ الَّذي كانوا يَعمَلونَ

(Limpah kurnia yang demikian, diberikan kepada orang-orang yang bertaqwa) kerana Allah hendak menghapuskan dari mereka (kalaulah ada) seburuk-buruk amal perbuatan yang mereka telah lakukan, serta membalas mereka, akan pahala mereka, dengan balasan yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.

لِيُكَفِّرَ اللَهُ عَنْهُمْ أَسْوَأَ الَّذِي عَمِلُوا

Supaya ditutup oleh Allah segala kejahatan-kejahatan dosa yang paling teruk yang pernah mereka buat.

Apabila Allah ‎ﷻ kata akan menutup dosa mereka, bermaksud Allah ‎ﷻ akan mengampuni dosa mereka seluruhnya. Allah ‎ﷻ akan menutup dosa-dosa mereka sampai tidak akan ada sesiapa pun yang tahu mereka telah melakukan dosa itu. Ini kerana kalau dosa itu dibentangkan di Mahsyar, tentunya ia akan memalukan kita. Namun, apabila Allah ‎ﷻ sudah menutupinya, tidak akan sesiapa pun yang akan tahu.

Kita adalah makhluk yang banyak dosa. Tidak kira sama ada kita orang mukmin ataupun tidak kerana orang yang mukmin pun ada berbuat dosa juga. Kita amat memerlukan Allah ‎ﷻ untuk mengampunkan dosa kita. Maka, hendaklah kita meminta ampun di atas segala dosa kita – semuanya sekali, tidak kira dosa yang terdahulu, yang kita tahu dan yang kita tidak tahu. Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui apakah yang kita telah lakukan. Kita minta supaya hilang semua dosa itu, dan kita tidak ingin untuk melihatnya lagi. Sebagai satu peringatan, semasa kita hendak tidur malam hari, mintalah keampunan dari Allah ‎ﷻ di atas segala dosa kita.

وَيَجْزِيَهُمْ أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ الَّذِي كَانُوا يَعْمَلُونَ

Dan Allah akan balas dengan balasan yang lebih baik dari amal yang mereka perbuat dahulu.

Untuk satu amalan yang baik, Allah ‎ﷻ akan membalasnya sepuluh, seratus atau berkali-kali ganda dari amalan yang mereka berbuat dahulu. Asalkan amalan mereka itu adalah amalan yang soleh dan berdasarkan dari sumber dalil yang sahih. Maka akan diberikan kepada mereka tempat tinggal dalam Syurga.

Oleh itu, bila kita berdoa dan minta dimasukkan ke dalam syurga, mintalah syurga Firdaus, jangan minta yang kurang – jangan rasa yang kita tidak layak. Terus sahaja minta syurga Firdaus, iaitu syurga yang paling tinggi sekali. Ini berdasarkan kepada hadith Nabi ﷺ yang menyuruh sahabat meminta sebegitu. Malangnya, dalam kalangan masyarakat kita, ada yang segan untuk meminta syurga Firdaus, kerana mereka berasa mereka tidak layak untuk memasuki syurga Firdaus. Itu sudah berlawanan dengan hadis Nabi ﷺ.

Bagaimanakah Allah ‎ﷻ akan membalas perbuatan baik kita? Allah ‎ﷻ akan berikan yang lebih baik lagi dari amalan yang kita buat itu. Ini kerana kita beramal sedikit sahaja sebenarnya; tetapi Allah ‎ﷻ akan membalas dengan syurga yang penuh dengan kenikmatan dan kekal di dalam syurga selama-lamanya.

Tafsir kedua:
Allah ‎ﷻ akan balas mengikut amalan kita yang ‘paling baik’. Sebagai contoh, katakanlah kita ada buat sepuluh kebaikan. Salat contohnya. Dalam banyak-banyak kali kita solat itu, ada yang baik dan ada yang kurang baik – kurang khusyuk contohnya. Ada markah tinggi dan ada markah yang kurang. Allah ‎ﷻ akan balas mengikut markah yang paling tinggi dalam sepuluh solat itu.

Jadi, walaupun dalam sepuluh solat itu ada yang markah kurang dan lebih, tetapi Allah ‎ﷻ akan membalas semuanya mengikut markah solat kita yang paling baik. Ma shaa Allah, alangkah pemurahnya Allah ‎ﷻ!

Tafsir Ayat ke-36

Peringatan kepada kuffar.

أَلَيسَ اللَهُ بِكافٍ عَبدَهُ ۖ وَيُخَوِّفونَكَ بِالَّذينَ مِن دونِهِ ۚ وَمَن يُضلِلِ اللَهُ فَما لَهُ مِن هادٍ

Bukankah Allah cukup untuk mengawal dan melindungi hamba-Nya (yang bertaqwa)? Dan mereka menakutkanmu (wahai Muhammad) dengan yang mereka sembah yang lain daripadaAllah. Dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.

أَلَيْسَ اللَهُ بِكَافٍ عَبْدَهُ

Tidakkah Allah mencukupi bagi hamba-Nya?

Tidakkah cukup Allah ‎ﷻ sebagai tempat kita bertawakal? Tidakkah Allah ‎ﷻ cukup sebagai wali tempat bergantung dan berlindung? Ataukah kamu hendak bertawakal pada yang lain? Tidak cukupkah kalau hanya berharap dengan Allah ‎ﷻ sahaja? Kenapa perlu untuk mencari ilah-ilah yang lain? Kenapa kita ingin berharap kepada selain daripada Allah ‎ﷻ? Kenapa ada yang meminta kepada Nabi, kepada tok wali dan kepada malaikat dalam doa-doa mereka?

Selain itu, apabila ada yang diganggu dan dirasuk oleh jin, ditarik kakinya pada malam-malam hari oleh jin yang nakal, kenapa mereka hendak pergi berjumpa bomoh, jumpa ustaz, jumpa pawang, jumpa Darul Syifa’ dan sebagainya? Kenapa mereka tidak memohon sahaja kepada Allah ‎ﷻ dan bertawakal kepada Allah ‎ﷻ?

Ada satu hadith dalam Sunan Tirmidhi yang menyebut: “Barangsiapa yang membakar kulit dengan besi panas atau meminta diruqyah, maka sesungguhnya dia telah lepas dari tawakal”.

وَيُخَوِّفُونَكَ بِالَّذِينَ مِنْ دُونِهِ

Dan mereka menakut-nakutkan kamu dengan selain daripada Allah.

Musyrikin Mekah hendak menakutkan Nabi ﷺ dengan berhala dan pujaan mereka. Mereka berkata yang Nabi ﷺ dan para sahabat akan dikenakan bala kalau cakap perbuatan mereka salah. Seperti kita takut untuk lalu berdekatan kuil, takut terkena bala dan sebagainya. Nabi ﷺ pun mereka hendak takutkan. Mereka berkata kalau Nabi ﷺ menentang berhala-berhala itu, Nabi ﷺ akan dikenakan sumpahan. Nabi Ibrahim عليه السلام pun pernah dikenakan ancaman sebegitu juga.

Maka Allah ‎ﷻ jawab: tidakkah cukup dengan Allah ‎ﷻ sahaja kamu jadikan tempat berlindung? Segala sembahan dan pujaan mereka itu tidak dapat melakukan apa-apa pun.

Kalau di zaman sekarang, mereka berkata kalau kita mengatakan perkara yang tidak baik tentang tuhan mereka, tuhan mereka itu akan menurunkan bala ke atas kita. Sebagai contoh, kita boleh baca tentang kisah Nabi Ibrahim عليه السلام dan bagaimana baginda telah ditakutkan dengan bala yang akan diberikan oleh tuhan-tuhan berhala kaumnya. Zaman sekarang pun ada lagi seperti itu.

Ayat ini tidak hanya menyatakan ‘berhala’ sahaja tetapi apa sahaja yang dipuja oleh mereka itu. Termasuklah roh yang sudah mati. Ada yang berkata kalau kita mengatakan tidak baik tentang wali-wali yang sudah mati itu, kita akan mendapat bala. Itu adalah fahaman yang khurafat.

Begitulah, kadang-kadang ada yang mengugut orang yang hendak menghancurkan kubur wali sembahan, mereka berkata kalau buat juga, nanti akan terkena bala. Kadang-kadang memang terjadi sesuatu seperti sakit perut dan sebagainya. Itu adalah ujian dari Allah ‎ﷻ sahaja. Bukanlah itu tanda yang sembahan dan pujaan selain Allah ‎ﷻ itu benar.

Ayat ini boleh juga ditafsirkan dalam bentuk umum. Ia boleh terpakai dalam segenap kehidupan kita. Kadangkala kita hendak taat kepada hukum Allah ‎ﷻ tetapi ada yang mahukan kita melanggar hukum Allah ‎ﷻ itu. Mereka juga menakutkan kita dengan pelbagai ancaman.

Sebagai contoh, mungkin kita disuruh untuk melakukan rasuah oleh ketua kita dalam pejabat. Dia kata kalau tidak ikut, maka kita akan dibuang kerja. Ini adalah ancaman menggunakan sesuatu yang selain daripada Allah ‎ﷻ. Maka kenalah ingat ayat ini sentiasa. Kita haruslah takut dengan Allah ‎ﷻ dan tidak takut dengan ancaman dunia. Biarlah mereka hendak kata dan ancam kita dengan apa pun, hendaklah kita ingat yang Allah ‎ﷻ sentiasa akan memelihara kita.

وَمَنْ يُضْلِلِ اللَهُ فَمَا لَهُ مِنْ هَادٍ

Dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, tidak ada lagi baginya, satu kuasa yang boleh beri hidayat kepadanya

Maksud yang disesatkan oleh Allah ‎ﷻ itu ialah mereka yang telah sampai peringkat keempat kesesatan mereka – Khatmul Qalbi. Orang-orang sebegini, kerana terlalu banyak sangat menentang wahyu, maka Allah ‎ﷻ mengunci mati hati mereka dari menerima hidayah. Walaupun mereka tinggal di Mekah, atau mereka duduk dengan guru yang paling pandai sekali pun, mereka tidak akan mendapat hidayah.

Ingatlah bagaimana Musyrikin Mekah itu didakwah oleh Nabi ﷺ ‎sendiri dan mereka tinggal di Mekah berdekatan Kaabah. Namun mereka langsung tidak dapat menerima kebenaran kerana hati mereka tidak mahukan kebenaran.

Bayangkan, Abu Jahal tentu lebih faham bahasa Arab dari kita, tetapi dia tidak mendapat hidayah juga dan tidak menerima Al-Quran yang dibacakan oleh Nabi ﷺ. Begitu juga dengan orang-orang Munafik di Madinah. Mereka duduk dan berinteraksi dengan Nabi ﷺ tetapi mereka masih tidak beriman.

Kita berharap semoga kita tidak termasuk dalam golongan mereka itu. Ini kerana setiap zaman akan ada sahaja mereka yang sebegini.

Allahu a’lam

Komen dan Soalan