Utama Bilik (001) Fiqh Asasi Pemula Thaharah: Wudhu’ – Permasalahan dalam Wudhu’

Thaharah: Wudhu’ – Permasalahan dalam Wudhu’

1429
0
Iklan

Sekarang kita hendak membincangkan isu-isu yang timbul dalam bab wudhu’ ini. Diharapkan dengan mengetahui perkara ini, akan memberikan lebih pemahaman tentang wudhu’.

1. Berkumur-kumur dengan tangan kanan.

Gunakan tangan kanan semasa berwudhu’.

✍🏻Dalilnya, bahawa Rasulullah ﷺ berkumur-kumur dan menghirup air ke hidung dari satu telapak tangan (kanan), dan beliau lakukan tiga kali.
(HR Bukhari Muslim)

2 . Mengeluarkan air dari hidung dengan tangan kiri.

Semasa memasukkan air ke dalam hidung menggunakan tangan kanan tetapi apabila mengeluarkan air dari hidung, disunatkan untuk menggunakan tangan kiri. Ini kerana air yang keluar itu adalah air kotor.

✍🏻Dalilnya:

عن علي: أَنَّهُ دَعَا بِوَضُوْءٍ فَتَمَضْمَضَ وَ اسْتَنْشَقَ وَ نَثَرَ بِيَدِهِ اْليُسْرَى فَفَعَلَ هَذَا ثَلاَثًا ثُمَّ قَالَ: هَذَا طَهُوْرُ نَبِيِّ اللهِ صلى الله عليه وسلم

Dari Ali radiallahu anhu bahawasanya ia menyuruh mengambil air wudhu’ lalu ia berkumur-kumur dan istinsyaq serta menyemburkan (air tersebut) dengan tangannya yang kiri. Ia melakukan hal tersebut tiga kali kemudian berkata, “Beginilah cara bersucinya Nabi.”
[ An-Nasa’i: I/ 67. Berkata Syaikh Al-Albani: Sahih isnadnya ]

3. Berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung dengan satu cedukan.

Kalau mampu, gunakan satu cedukan sahaja untuk berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung.

✍🏻Dalilnya hadith dari ‘Abdullah bin Zaid

فَمَضْمَضَ وَاسْتَنْشَقَ مِنْ كَفٍّ وَاحِدَةٍ فَفَعَلَ ذَلِكَ ثَلاَثًا

“Kemudian dia berkumur-kumur dan memasukkan air dalam hidung melalui satu telapak tangan dan hal demikian dilakukan sebanyak tiga kali.” ‘Abdullah bin Zaid mengatakan itulah cara wudhu’ Rasulullah ﷺ
[ Muslim, no. 235 ]

Mungkin ini memerlukan praktis dahulu baru menjadi. Maka kena cari orang yang tahu. Takut lemas pula nanti.

4. Bersungguh-sungguh berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung, kecuali ketika puasa.

Maka, memasukkan air ke dalam hidung ini bukan perkara kecil. Memang Rasulullah ﷺ suruh bersungguh-sungguh. Cuma bulan puasa sahaja jangan tarik kuat sangat. Takut air tersedut banyak sangat sampai masuk ke dalam tekak.

✍🏻Dalam hadith telah diperintahkan,

وَبَالِغْ فِي الِاسْتِنْشَاقِ إلَّا أَنْ تَكُونَ صَائِمًا

“Seriuslah dalam memasukkan air dalam hidung (istinsyaq) kecuali dalam keadaan berpuasa.”
[ Abu Daud, no. 142, Ibnu Majah, no. 448; An-Nasa’i, no. 114. Al-Hafizh Abu Thahir mengatakan bahawa hadith ini sahih ]

Maknanya, pada hari selain dari berpuasa memang disuruh bersungguh-sungguh dalam menyedut air ke dalam hidung.

5. Menyela-yela janggut.

Hal ini kita telah bincangkan dalam bab kewajiban dalam wudhu’.

✍🏻Kita telah bawakan hadith:

عن أنس –يعني ابن مالك-: أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه و سلم كَانَ إِذَا تَوَضَّأَ أَخَذَ كَفًّا مِنْ مَاءٍ فَأَدْخَلَهُ تَحْتَ حَنَكِهِ فَخَلَّلَ بِهِ
لِحْيَتَهُ وَ قَالَ هَكَذَا أَمَرَنيِ رَبيِّ عز و جل

Daripada Anas bin Malik رضي الله عنه bahawasanya Rasulullah ﷺ apabila berwudhu’ mengambil satu telapak tangan air lalu memasukkannya ke bawah dagunya lalu menyela-nyela janggutnya dengannya dan baginda bersabda, “Demikianlah Rabb Azza wa Jalla telah memerintahku”.
[ Abu Dawud no. 145, Berkata Syaikh Al-Albani, hadith ini sahih ]

6. Wajib mengusap seluruh kepala.

Ini mungkin maklumat baru bagi kebanyakan dari masyarakat kita kerana selalunya yang dibasah oleh orang kita adalah tiga helai rambut sahaja, bukan? Ini adalah kerana pada mazhab Syafi’iy, tiga helai sahaja sudah memadai.

Memang hal ini menjadi khilaf di kalangan ulama’ mazhab. Ringkasnya:

📍Mazhab Maliki dan Hanbali : Wajib menyapu seluruh kepala.

📍Mazhab Hanafi : Wajib menyapu seperempat bahagian kepala.

📍Mazhab Syafi’iy : Cukup dengan menyapu kurang dari seperempat. Jadi, andai kata seseorang menyapu kepala hanya pada sebahagian kecil kepala, maka hal ini adalah sah.

📌Jadi, kita akan bincangkan dahulu perkara ini dan para pelajar boleh pilih manakah yang hendak dipakai.

✍🏻Pertama, dalil dari Al-Quran, [ Maidah: 6 ]

وَامسَحوا بِرُءوسِكُم

“…dan sapulah kepalamu”

✍🏻Pendapat yang paling rajih cara menyapu air di kepala ialah menyapu sehingga ke seluruh bahagian kepala iaitu berdasarkan penjelasan Ibnu Qudamah rahimahullah bahawa [Lihat: Al-Mughni (di bawah perbahasan wudhu’)]:

“Terdapat sebahagian orang yang berpegang dengan pendapat bahawa: Menyapu kepala hanya sebahagian sudah memadai. Mereka berpendapat bahawa huruf (ب) dalam Al-Quran (بِرُؤُوْسِكُمْ) bermakna sebahagian (التبعيض). Mereka menafsirkan ayat tersebut: Sapulah air pada sebahagian kepalamu. Walau bagaimanapun pendapat kami bahawa huruf (ب) bermakna: Seluruh kepala (الاِلصاق) sebagaimana firman Allah:

فَامْسَحُوْا بِرُؤُوْسِكُمْ

“Dan sapulah kepalamu (bermaksud: keseluruhan kepalamu)”.

Pendapat ini dikuatkan lagi dengan hadith-hadith dari amalan Nabi ﷺ dan para sahabat.

✍🏻Daripada Abdullah Bin Zaid, bahawa :

Maksudnya : “Rasulullah ﷺ menyapu kepala dengan kedua-dua tangannya. Beliau menyapukan kedua-dua tangannya yang telah dilekatkan ke kepala iaitu bermula dari bahagian hadapan kepalanya, lalu menarik kedua-dua tangannya hingga ke tengkuk, kemudian menarik semula hingga ke tempat di mana memulakannya.”
[ Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, An-Nasa’i, At-Tirmizi, Ibnu Majah ]

✍🏻Dalam hadith yang lain:

“Daripada Abdullah bin Zaid رضي الله عنه, bahawasanya Nabi ﷺ menyapu (mengusap) kepala baginda ﷺ dengan kedua tangannya maka ditemukan kedua tangannya, digerakkan ke belakang. Dimulakan dari bahagian hadapan kepalanya kemudian terus menyapu dengan kedua tangannya sehingga ke tengkuknya, kemudian dikembalikan semula kedua tangannya kebahagian di mana baginda ﷺbermula”.
[ Bukhari 1/251 ]

✍🏻Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah رحمه الله memilih pendapat yang mengatakan wajib mengusap keseluruhan kepala dalam wudhu’.

✍🏻Ibnu Musayyab berkata: “Kaum wanita sama dengan kaum lelaki, mereka juga harus mengusap keseluruhan kepalanya.”

📍Oleh kerana kuatnya hujah dan dalil yang memberi isyarat kepada sapuan keseluruhan kepala, maka kita berpendapat yang itulah pendapat yang rajih.

7. Bagaimana cara mengusap kepala?

Sejujurnya, jarang sangat saya melihat masyarakat kita menyapu keseluruhan kepala mereka. Jadi saya rasa ramai yang tidak tahu bagaimana caranya. Maka kita bincangkan di sini.

Mengusap kepala dilakukan dengan dua tangan, ke belakang dan ke depan. Dimulai dari depan kepala dan sampai ke tengkuk.

✍🏻Ini berdasarkan hadith Abdullah bin Zaid yang telah diberikan sebelum ini:

“Daripada Abdullah bin Zaid رضي الله عنه, bahawasanya Nabi ﷺ menyapu (mengusap) kepala baginda ﷺ dengan kedua tangannya maka ditemukan kedua tangannya, digerakkan ke belakang. Dimulakan dari bahagian hadapan kepalanya kemudian terus menyapu dengan kedua tangannya sehingga ke tengkuknya, kemudian dikembalikan semula kedua tangannya kebahagian di mana baginda ﷺ bermula”.
[ Bukhari 1/251 ]

8. Mengusap seluruh kepala satu kali sahaja.

Para pakar fiqah sepakat bahawasanya wajibnya membasuh anggota wudhu’ hanya satu kali. Begitu juga dengan sapuan pada kepala, yang wajibnya hanya sekali sahaja. Bagi basuhan yang kedua dan ketiga dianggap sunnah.

Pendapat ini berdasarkan perintah berwudhu’ dalam Al-Quran yang hanya menyebut sekali basuhan. Begitu pun, ada ulama yang mengatakan sapuan kepala hanya sekali sahaja, bukan dua atau tiga.

✍🏻Pendapat yang mengatakan mengusap kepala hanya sekali sahaja berdasarkan hadith berikut ini.

عن حمران مولى عثمان بن عفان أنه رأى عثمان بن عفان دعا بوضوء فأفرغ على يديه من إنائه فغسلهما ثلاث مرات ثم أدخل يمينه في الوضوء ثم تمضمض واستنشق واستنثر ثم غسل وجهه ثلاثا ويديه إلى المرفقين ثلاثا ثم مسح برأسه ثم غسل كل رجل ثلاثا ثم قال رأيت النبي صلى الله عليه وسلم يتوضأ نحو وضوئي هذا وقال من توضأ نحو وضوئي هذا ثم صلى ركعتين لا يحدث فيهما نفسه غفر الله له ما تقدم من ذنبه

Humran pembantu Utsman menceritakan bahawa Utsman bin Affan رضي الله عنه pernah meminta air wudhu’ untuk digunakan berwudhu’. Maka dituangkan air wudhu’ itu di atas kedua tangannya lalu dibasuhnya 3 kali, kemudian memasukkan tangan kanannya ke dalam air lalu berkumur-kumur diiringi memasukkan air ke hidung dan mengeluarkannya dari hidung, membasuh mukanya 3 kali lalu membasuh kedua tangannya sampai siku 3 kali, mengusap kepala, membasuh kaki kanan dan kiri sampai mata kaki 3 kali. Lantas Utsman رضي الله عنه berkata “Aku melihat Rasulullah ﷺ pernah berwudhu’ seperti wudhu’ku ini, kemudian baginda ﷺ bersabda, “Barang siapa berwudhu’ seperti wudhu’ku ini kemudian dia salat dua rakaat dengan khusyuk (tidak memikirkan urusan dunia dan yang tidak punya kaitan dengan salat), maka Allah ﷻ akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu”.
[HR Bukhari dan Muslim]

Syarah:
Kalau diperhatikan, pada semua bahagian lain disebut tiga kali basuhan, tetapi apabila sampai pada bahagian kepala, tidak disebut tiga kali.

9. Mengusap seluruh kepala dua kali.

Ada juga pendapat yang mengatakan boleh sapu kepala lebih dari sekali. Oleh itu boleh sapu kepala dua kali.

✍🏻Ini berdasarkan hadith Ar-Rubayyi’ binti Mu’awwidz daripada Nabi ﷺ di dalamnya disebutkan: “…. dan baginda ﷺ mengusap seluruh kepalanya dua kali…”
[Abu Dawud, no. 117]

Maknanya, ada juga dalil Nabi Muhammad ﷺ mengusap kepalanya dua kali.

10. Mengusap seluruh kepala tiga kali.

Boleh kalau mahu untuk menyapu kepala tiga kali.

✍🏻Imam Asy-Syafi’iy berpendapat disunnahkan mengusapnya tiga kali, dan beliau berhujjah dengan zahir riwayat Imam Muslim bahawa Nabi ﷺ berwudhu’ tiga kali-tiga kali.

Ini disamakan dengan basuhan anggota wuduk yang lain yang disunatkan tiga kali. Maka pada beliau, tidak ada perbezaan antara mencuci dengan mengusap. Oleh itu, kalau basuh boleh tiga kali, maka mengusap kepala tiga kali juga.

✍🏻Ada dalil dalam hadith:
Dari Syaqiq bin Salamah ia berkata: ”Aku melihat Utsman bin ‘Affan mencuci kedua tangannya tiga kali – tiga kali, dan mengusap kepalanya tiga kali, kemudian berkata,” Aku melihat Rasulullah ﷺ melakukan ini”.
[Abu Dawud no 110]

Kesimpulan:
Dibolehkan sekiranya mengusap kepala sekali, dua kali atau tiga kali.

11. Mengusap imamah (serban).

Kalau memakai serban, maka selalunya susah untuk dibuka dan memakainya semula. Maka, dibenarkan untuk menyapu sahaja atas serban.

✍🏻Ini berdasarkan hadith:
Daripada Al-Mughirah bin Syubah bahawa Rasulullah ﷺ berwudhu’, lalu baginda ﷺ mengusap ubun-ubunnya beserta imamahnya, dan mengusap kedua khufnya.”
[Bukhari, no. 182, dan Muslim, no. 274]

Syarah:
Dari hadith ini, kita boleh melihat bahawa baginda ﷺ menyapu pada ubun-ubun baginda ﷺ dahulu dan selebihnya menyapu pada keseluruhan serban baginda ﷺ.

Jika memakai topi, maka itu tidak susah untuk dibuka maka tidaklah digalakkan walaupun ada juga yang membenarkan. Topi atau kopiah yang senang dibuka, maka bukalah sekejap dan sapu tangan yang basah pada rambut.

Bagi wanita yang memakai tudung, perlu dilihat keadaan. Kalau sukar hendak membuka dan memakai tudung semula, maka dibenarkan untuk menyapu sahaja di atas tudung. Ini tentunya memudahkan wanita terutama mereka yang pakai tudung sampai 23 lilitan, atau mereka yang terpaksa mengambil wudhu’ di tempat yang ada kemungkinan orang lelaki boleh nampak.

✍🏻Syaikh Muhammad bin Shalih Al-‘Uthaimin رحمه الله berkata,”Jika terdapat kesulitan, misalnya kerana cuaca yang sangat dingin, atau ada kesulitan jika harus menanggalkan dan memakai kerudung kembali, maka mengusap semacam ini (iaitu mengusap kerudung), tidaklah mengapa. Jika tidak (ada kesulitan semacam itu), maka yang lebih utama adalah tidak mengusap kerudung, sehingga tidak bertentangan dengan hadith-hadith sahih dalam masalah ini (iaitu kewajiban mengusap seluruh bahagian kepala secara langsung).”
[Lihat Syarhul Mumti’, 1/239]

12. Mengusap bahagian dalam dan luar telinga.

✍🏻Jumhur (majoriti) ahli ilmu berpendapat bahawa mengusap kedua telinga dalam wudhu’ adalah sunat, bukan wajib. Sementara Mazhab Hanbali dan sebahagian Malikiyah berpendapat wajib.

Maka janganlah kita tinggalkan, kerana tidak susah untuk lakukan. Bagaimanakah caranya? Mungkin ada yang tidak tahu. Caranya dengan mengusap bahagian dalam telinga dengan jari telunjuk dan luarnya dengan ibu jari. Senang sahaja, jangan disusahkan.

✍🏻Ibnu Uthaimin رحمه الله mengatakan, “Mengusap kedua telinga, caranya seseorang memasukkan jari telunjuk ke dalam lubang telinga. Tanpa menekannya sampai sakit, cukup dimasukkan ke lubang telinga. Sementara ibu jarinya mengusap luar telinga.”

✍🏻Telah diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi, no. 36 dan Nasa’i, no. 102 dan daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما, dia berkata,

تَوَضَّأَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ مَسَحَ بِرَأْسِهِ وَأُذُنَيْهِ بَاطِنِهِمَا بِالسَّبَّاحَتَيْنِ وَظَاهِرِهِمَا بِإِبْهَامَيْهِ
(وصححه الألباني في صحيح النسائي)

“Rasulullah ﷺ berwudhu’ kemudian membasuh kepalanya dan kedua telinganya, bahagian dalamnya dengan kedua jari telunjuk dan bagian luarnya dengan kedua ibu jarinya.”
(Dinyatakan sahih oleh Syaikh Al-Albany dalam Sahih An-Nasa’i)

Telinga kanan dan telinga kiri dibasuh bersama-sama. Namun, saya selalu nampak orang basuh telinga kanan dan kemudian telinga kiri pula. Saya tidak pasti sama ada ini yang diajar di sekolah tetapi yang sebenarnya, dibasuh sekaligus.

13. Mengusap kedua telinga dengan menggunakan air yang digunakan untuk mengusap kepala dan bolehnya mengambil air yang baru untuk mengusap dua telinga jika diperlukan.

Kebiasaan yang kita lihat, orang akan ambil air yang baharu untuk basahkan telinga setelah diusap kepalanya. Ini memang boleh kerana ada hadith yang Nabi Muhammad ‎ﷺ mengambil air yang baharu untuk mencuci telinga.

✍🏻Dalam Bulughul Maram pada hadith no. 42 tentang tata cara wudhu’ disebutkan hadith berikut,

وَعَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ زَيْدٍ { رَأَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْخُذُ لِأُذُنَيْهِ مَاءً غَيْرَ الْمَاءِ الَّذِي أَخَذَهُ لِرَأْسِهِ } .أَخْرَجَهُ الْبَيْهَقِيُّ ، وَهُوَ عِنْدَ مُسْلِمٍ مِنْ هَذَا الْوَجْهِ بِلَفْظِ : { وَمَسَحَ بِرَأْسِهِ بِمَاءٍ غَيْرِ فَضْلِ يَدَيْهِ } ، وَهُوَ الْمَحْفُوظُ

Daripada ‘Abdullah bin Zaid, dia melihat Nabi ﷺ mengambil air untuk kedua telingannya dengan air yang berbeza dengan yang diusap pada kepalanya.
Diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi.

✍🏻Dalam riwayat Muslim disebutkan dengan lafaz, “Nabi ﷺ mengusap kepalanya dengan air yang bukan sisa dari tangannya.” Inilah hadith yang mahfuzh.

Namun, kalau hanya digunakan basahan air selepas sapuan kepala boleh juga. Maknanya, selepas sapu kepala terus sahaja sapu telinga seperti yang ditunjuk di dalam video. Ini adalah kerana telinga dikira sebagai sebahagian dari kepala, maka tidak perlu hendak mengambil air yang baharu.

✍🏻Dalilnya adalah hadith Abu Umamah –walau diperselisihkan ini adalah perkataan Abu Umamah atau langsung sabda Rasulullah ﷺ

الأُذُنَانِ مِنَ الرَّأْسِ

“Dua telinga adalah bahagian dari kepala.”
[ Abu Daud no. 134, Tirmizi no. 37 dan Ibnu Majah no. 444. Al-Hafizh Abu Thahir mengatakan bahawa sanad hadith ini hasan ].

Syarah:
Apabila ia sudah dikira sebahagian dari kepala, maka sapu sekali harung sahaja.

14. Tiada dalil mengusap leher.

✍🏻Ibn Taimiyyah mengatakan tidak ada hadith yang sahih mengatakan Nabi Muhammad ﷺ mengusap lehernya.

✍🏻Ada pun jumhur/kebanyakan ulama’ berpendapat bahawa mengusap leher dalam wudhu’ bukan merupakan sunnah dalam wudhu’, dan ini merupakan PENDAPAT YANG SAHIH. Bahkan sebahagian ulama’ mazhab Hanafiah menganggap bahawa mengusap leher ini adalah bid’ah.
(Lihat: Syarh Fath Al-Qadir: 1/36).

✍🏻Namun mazhab Malikiah hanya menganggapnya sebagai amalan makruh.
(Lihat: Hasyiah Al-Dasuqi: 1/103, dan Hasyiah Al-Shawi 1/128).

Ada pun yang berpendapat sunatnya mengusap leher, maka mereka berdalil dengan beberapa dalil, antaranya:

✍🏻HR Ahmad dalam Musnadnya (3/418):

قال الإمام أحمد: حدثنا عبدالصمد بن عبدالوارث، قال: حدثني أبي قال: حدثنا ليث، عن طلحة، عن أبيه، عن جده، أنه رأى رسول الله صلى الله عليه وسلم يمسح رأسه حتى بلغ القذال وما يليه من مقدم العنق بمرة.[/arabic-font]

Ertinya: “Imam Ahmad berkata: Abdul-Shamad bin Abdul-Waarits memberitahukan kepada kami, dia berkata: Ayahku memberitahukan padaku, dia berkata: Laits memberitahukan kami, dari Thalhah, dari ayahnya, dari datuknya, bahawa dia melihat Rasulullah ﷺ mengusap kepalanya hingga sampai kebawah lehernya dan bahagian setelahnya, beliau ﷺmemulainya dari atas lehernya sebanyak satu kali usapan”.

Syarah:
Namun hadith ini lemah sanadnya, tidak boleh dijadikan dalil, kerana di dalam sanadnya terdapat rawi bernama Al-Laits bin Abi Sulaim.

Satu lagi hujah yang digunakan oleh mereka yang mengatakan sunat menyapu leher:

✍🏻HR Abu Nu’aim di dalam Tarikh Ashbahan sebagaimana dinukil Ibnu Hajar dalam Talkhis Habir (1/93) dengan sanadnya, dari Ibnu Umar رضي الله عنهما bahawa dia berwudhu’ dan mengusap lehernya, sambil berkata: Rasulullah ﷺ bersabda:

من توضأ ومسح عنقه، لم يغل بالأغلال يوم القيام

Ertinya: “Barang siapa yang berwudhu’ dan mengusap lehernya, maka dia tidak akan dibelenggu dengan rantai (neraka) dihari kiamat kelak”.

Dalam kitab “Al-Badr Al-Munir (1/38) Ibnu Al-Mulaqqin berkata: bahawa hadith ini “gharib (dhoif), dan saya tidak mengetahuinya kecuali dari ucapan Musa bin Thalhah, sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Ubaid dalam kitab Gharibnya”.

Ertinya sanad hadith ini salah, yang benar adalah hanya ucapan sebahagian salaf, dan bukan hadith. Bahkan dia juga berkata: “Hadith ini tidak diketahui secara marfu’, namun ia hanyalah ucapan sebahagian salaf, bahkan Imam Nawawi berkata di dalam Syarah Muhadzab dan kitab lainnya: “hadith ini palsu”.

✍🏻Ibnul-Qayim juga berkata: “Tidak ada hadith sahih satu pun dari Nabi ﷺ tentang pengusapan leher ketika wudhu’”. Zaad Al-Ma’aad (1/195).

Kesimpulan:
Tidak ada sapuan pada leher.

15. Membasuh kedua kaki sampai ke mata kaki.

Ramai yang tidak menjaga bab membasuh kaki ini kerana mungkin ia jauh di bawah, maka mereka tidak pastikan yang air sampai ke mata kaki mereka.

✍🏻Basuh sampai ke mata kaki itu jelas disebut di dalam Al-Quran:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلاةِ فاغْسِلُواْ وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُواْ بِرُؤُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَينِ

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kalian hendak mengerjakan salat, basuhlah wajah-wajah kalian dan tangan-tangan kalian sampai siku. Usaplah kepala-kepala kalian dan cucilah kaki-kaki kalian sampai mata kaki….”
[ Al-Maidah: 6 ]

✍🏻Adapun dalil dari As-Sunnah antara lain dalam hadith Humran, maula (bekas hamba) ‘Utsman bin ‘Affan رضي الله عنهما yang melihat bagaimana cara ‘Utsman mencontohkan wudhu Nabi ﷺ:

ثُمَّ غَسَلَ رِجْلَهُ الْيُمْنَى إِلىَ الْكَعْبَيْنِ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ ثُمَّ غَسَلَ الْيُسْرَى مِثْلَ ذَلِكَ

“Kemudian ia (‘Utsman) mencuci kakinya yang kanan beserta mata kaki sebanyak tiga kali, lalu mencuci yang kiri dengan cara yang semisalnya.”
(Sahih Bukhari no. 164 dan Muslim no. 226. Lafaz hadith ini menurut lafaz Muslim)

📌Tahukah ‘mata kaki’ itu apa? Sila lihat gambar di bawah

16. Mencuci kedua kaki tanpa batas jumlah cucian.

Secara umum, tidak boleh mencuci anggota wudhu’ lebih dari tiga kali. Ini kerana terdapat larangan dalam syarak.

✍🏻Dari Abdullah bin Amr bin ‘Ash رضي الله عنهما, beliau menceritakan,

جَاءَ أَعْرَابِيٌّ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْأَلُهُ عَنِ الْوُضُوءِ، فَأَرَاهُ الْوُضُوءَ ثَلَاثًا ثَلَاثًا

Ada orang badui datang menghadap Nabiﷺ bertanya tentang cara wudhu’. Kemudian baginda ﷺ mengajarkan berwudhu’ 3 kali-3 kali.

✍🏻Lalu Nabi ﷺ bersabda,

هَكَذَا الْوُضُوءُ، فَمَنْ زَادَ عَلَى هَذَا فَقَدْ أَسَاءَ وَتَعَدَّى وَظَلَمَ

Seperti ini cara wudhu’ yang benar. Siapa yang melebihi 3 kali bererti dia melakukan kesalahan, melampaui batas, dan bertindak zalim.
[ Abu Daud no. 135, Nasai’ no. 140 dan disahihkan Syaikh Syuaib Al-Arnauth ].

✍🏻Imam An-Nawawi رحمه الله‎ mengatakan,

وقد أجمع العلماء على كراهة الزيادة على الثلاث والمراد بالثلاث المستوعبة للعضو وأما إذا لم تستوعب العضو إلا بغرفتين فهي غسلة واحدة

Ulama’ sepakat dibencinya mencuci anggota wudhu’ lebih dari 3 kali. Yang dimaksud mencuci 3 kali adalah siraman yang mengenai semua permukaan kulit anggota wudhu’. Namun jika tidak menutupi kecuali dengan 2 kali cedukan tangan maka dihitung sekali cucian.
(Syarh Sahih Muslim, 3/109).

Syarah:
Maknanya, kalau cucur air sekali pada kaki tetapi tidak habis mengenai satu kaki dan dia cucur lagi air lain, itu baru kira sekali sahaja. Kalau terlebih basuh tiga kali, ianya makruh, tetapi tidaklah membatalkan wudhu’ itu.

✍🏻Imam An-Nawawi رحمه الله ‎mengatakan,

إذا زاد علي الثلاث فقد ارتكب المكروه ولا يبطل وضوءه هذا مذهبنا ومذهب العلماء كافة

Jika lebih dari 3 kali, dia telah melanggar yang makruh, namun wudhu’nya tidak batal. Ini adalah mazhab kami, dan mazhab para ulama’ seluruhnya.
[ Al-Majmu Syarh Muhadzab, 1/440 ]

Maka, maksima membasuh anggota wudhu’ hanya tiga kali sahaja kecuali pada bahagian kaki.

✍🏻Ini kerana ada riwayat yang menyebut ada sahabat yang melakukannya:

حَدَّثَنَا مُؤَمَّلُ بْنُ الْفَضْلِ الْحَرَّانِيُّ حَدَّثَنَا الْوَلِيدُ بْنُ مُسْلِمٍ حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ الْعَلَاءِ حَدَّثَنَا أَبُو الْأَزْهَرِ الْمُغِيرَةُ بْنُ فَرْوَةَ وَيَزِيدُ بْنُ أَبِ مَالِكٍ
أَنَّ مُعَاوِيَةَ تَوَضَّأَ لِلنَّاسِ كَمَا رَأَى رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَوَضَّأُ فَلَمَّا بَلَغَ رَأْسَهُ غَرَفَ غَرْفَةً مِنْ مَاءٍ فَتَلَقَّاهَا بِشِمَالِهِ حَتَّى وَضَعَهَا عَلَى وَسَطِ رَأْسِهِ حَتَّى قَطَرَ الْمَاءُ أَوْ كَادَ يَقْطُرُ ثُمَّ مَسَحَ مِنْ مُقَدَّمِهِ إِلَى مُؤَخَّرِهِ وَمِنْ مُؤَخَّرِهِ إِلَى مُقَدَّمِهِ
حَدَّثَنَا مَحْمُودُ بْنُ خَالِدٍ حَدَّثَنَا الْوَلِيدُ بِهَذَا الْإِسْنَادِ قَالَ فَتَوَضَّأَ ثَلَاثًا ثَلَاثًا وَغَسَلَ رِجْلَيْهِ بِغَيْرِ عَدَدٍ

Telah menceritakan kepada kami Mu`ammal bin Al-Fadl Al Harrani telah menceritakan kepada kami Al-Walid bin Muslim telah menceritakan kepada kami Abdullah bin Al-‘Ala telah menceritakan kepada kami Abu Al-Azhar Al-Mughirah bin Farwah dan Yazid bin Abu Malik bahawasanya Mu’awiyah pernah berwudhu’ di depan orang-orang sebagaimana dia melihat Rasulullah ﷺ berwudhu’. Tatkala dia sampai pada gerakan mengusap kepala, dia mengambil seceduk air, lalu mengambilnya dengan tangan kirinya hingga menyiramkannya pada bahagian tengah kepalanya, sampai air itu mengalir atau hampir saja mengalir. Kemudian dia mengusap kepala dari bahagian depannya sampai bahagian belakangnya, dan dari bahagian belakangnya sampai bahagian depannya. Telah menceritakan kepada kami Mahmud bin Khalid telah menceritakan kepada kami Al-Walid dengan sanad ini, dia berkata; Dia berwudhu’ tiga kali- tiga kali, dan membasuh kakinya tanpa hitungan.
[ Riwayat Abu Daud, No 124. Sahih ]

17. Menyela-nyela jari kaki

✍🏻Disunnahkan untuk menyela-nyela jari-jemari ketika mencuci berdasarkan sabda Nabi ﷺ:

عن لقيط بن صبرة قَالَ: فَقُلْتُ يَا رَسُوْلَ اللهِ أَخْبِرْنيِ عَنِ اْلوُضُوْءِ! قَالَ: أَسْبِغِ اْلوُضُوْءَ وَ خَلِّلْ بَيْنَ اْلأَصَابِعِ وَ بَالِغْ فىِ اْلاِسْتِنْشَاقِ إِلاَّ أَنْ تَكُوْنَ صَائِمًا

Dari Luqaith bin Shabrah رضي الله عنه berkata, aku bertanya, “Wahai Rasulullah ﷺ khabarkan kepadaku tentang wudhu!”. Beliau ﷺ menjawab, “Sempurnakan wudhu’, sela-selalah jari jemarimu dan bersungguh-sungguhlah di dalam istinsyaq kecuali jika kamu sedang berpuasa”.
[ An-Nasa’iy: I/ 66, Abu Dawud no. 142, Ibnu Majah no. 407, Ibnu Khuzaimah no.150, 168, Al-Hakim: 537 dan Ahmad: IV/ 33. Berkata Syaikh Al-Albani: Sahih ]

✍🏻Malah ada perincian lagi cara untuk menyela jari-jari kaki itu:

عن المستورد بن شداد الفهري قَالَ: رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه و سلم إِذَا تَوَضَّأَ دَلَكَ أَصَابِعَ رِجْلَيْهِ بِخِنْصِرِهِ

Daripada Al-Mustaurid bin Syaddad Al-Fahriy berkata, “Aku pernah melihat Nabi ﷺ apabila berwudhu’ Beliau menggosok-gosok jari jemari kakinya dengan jari kelingkingnya”.
[ At-Turmudzi no. 40, Ibnu Majah no. 446 dan Abu Dawud no. 148. Berkata Syaikh Al-Albani: Sahih ].

📍Dianjurkan kita menyela-nyela jari kaki kerana jari kaki kita rapat-rapat, jadi kalau tidak disela-sela, maka ada kemungkinan air tidak sampai ke celah-celah jari. Maka, kenalah buat dan jangan ditinggalkan.

Malangnya, saya jarang tengok masyarakat Melayu melakukan perkara ini. Tidak pasti sama ada dia malas atau tidak mampu melakukannya, atau mungkin tidak tahu anjuran melakukannya.

Bagi yang kesulitan di dalamnya, misalnya kerana sudah tua, badan gemuk sehingga agak susah membongkok atau perempuan yang sedang hamil atau selainnya maka hendaklah dia tetap berusaha dengan sungguh-sungguh untuk melakukannya. Namun, jika ternyata ia tetap kesulitan di dalam melakukannya maka:

✍🏻Allah ﷻ telah berfirman,
لَا يُكَلِّفُ اللهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”
[Al-Baqarah: 286].

18. Ancaman terhadap orang yang tidak sempurna mencuci kedua kakinya.

Ada juga yang saya lihat meringankan bab membasuh kaki sampaikan tidak kena keseluruhan kakinya. Antaranya tumit tidak kena. Mungkin kerana ia di belakang dan orang tidak nampak sama ada kena air atau tidak. Ini tidak patut dan Rasulullah ﷺ amat menekankan perkara ini.

✍🏻Ibnu ‘Umar رضي الله عنهما berkata,
“Rasulullah ﷺ tertinggal daripada kami dalam sebuah safar (perjalanan). Kemudian beliau dapat menyusul kami dan ketika itu kami berada di akhir waktu salat Asar. Maka kami pun bersegera untuk berwudhu’ dan mengusap kaki-kaki kami. Melihat hal tersebut beliau ﷺ bersabda dengan suara yang keras:

وَيْلٌ لِلْأَعْقَابِ مِنَ النَّارِ

“Celakalah tumit-tumit itu dari api neraka.” Beliau mengulangi ucapan ini dua atau tiga kali.
[ Sahih, Bukhari no. 60, 96, 163, dan Muslim no. 241 ]

Syarah:
Riwayat menyebut baginda menjerit sebenarnya dengan muka yang merah dan diulang sampai tiga kali. Itu isyarat ia berat sangat.

✍🏻Dalam hadith yang menerangkan orang yang wudhu’nya kurang sempurna disebutkan,

عَنْ جَابِرٍ أَخْبَرَنِى عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ أَنَّ رَجُلاً تَوَضَّأَ فَتَرَكَ مَوْضِعَ ظُفُرٍ عَلَى قَدَمِهِ فَأَبْصَرَهُ النَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم- فَقَالَ « ارْجِعْ فَأَحْسِنْ وُضُوءَكَ ». فَرَجَعَ ثُمَّ صَلَّى

Daripafa Jabir, ‘Umar bin Al Khattab mengkhabarkan bahawa ada seseorang yang berwudhu’ dan ada bahagian kuku kakinya tidak terbasuh, kemudian Nabi ﷺ melihatnya dan berkata, “Ulangilah, perbaguslah wudhu’mu.” Lantas dia pun mengulangi dan kembali solat.
[ Muslim no. 243 ].

Jangan kita jadi Syi’ah pula. Kewajiban Syi’ah ketika berwudhu’, mereka hanya boleh mengusap kaki, tidak boleh dicuci. Mengusap bererti tangan cukup dibasahi lalu mengusap anggota wudhu’ yang ada seperti saat mengusap kepala. Sedangkan mencuci bererti dengan mengalirkan air.

Inilah salah satu penyimpangan kaum Rafidhah (baca: Syi’ah). Jadi kalau hendak kenal Syi’ah, tengok cara mereka mengambil wudhu’ semasa membasuh kaki.

19. Memercikkan air setelah berwudhu’

Sunnah Nabi Muhammad ﷺ setelah berwudhu’ adalah memercikkan air pada bahagian kemaluan baginda ﷺ(jubah, seluar atau kain pelikat).

✍🏻Dalilnya:

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ كَثِيرٍ، حَدَّثَنَا سُفْيَانُ، – هُوَ الثَّوْرِيُّ – عَنْ مَنْصُورٍ، عَنْ مُجَاهِدٍ، عَنْ سُفْيَانَ بْنِ الْحَكَمِ الثَّقَفِيِّ، أَوِ الْحَكَمِ بْنِ سُفْيَانَ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِذَا بَالَ يَتَوَضَّأُ وَيَنْتَضِحُ ‏.‏ قَالَ أَبُو دَاوُدَ وَافَقَ سُفْيَانَ جَمَاعَةٌ عَلَى هَذَا الإِسْنَادِ وَقَالَ بَعْضُهُمُ الْحَكَمُ أَوِ ابْنُ الْحَكَمِ ‏.‏

Melalui sanad-nya dari Suryan bin Al-Hakam Ats-Tsaqafi atau Al-Hakam bin Sufyan dia berkata, “Bahawasanya Nabi ﷺ jika buang air kecil baginda ﷺ berwudhu’ dan memercikkan air”.
[Abu Dawud no. 166, disahihkan oleh Syaikh Al-Albani dalam Sunan Abu Dawud].

Ini sebenarnya adalah terapi dari Rasulullah ﷺ untuk menghilangkan was-was. Ini kerana orang yang ada penyakit was-was, dia akan selalu memeriksa bahagian kemaluan dia, takut ada air kencing yang meleleh keluar. Walhal tidak ada pun, cuma perasaan dia sahaja. Maka dianjurkan oleh Nabi ﷺ untuk memercikkan air ke bahagian kemaluan.

✍🏻Syaikh Abu Muhammad Al-Maqdisi dalam kitabnya Dzammul Was-Was, berkata, “Dianjurkan bagi setiap orang agar memercikkan air pada kelamin dan celananya ketika dia kencing. Hal itu untuk menghindarkan was-was daripadanya, sehingga ketika dia nampak tempat basah (dari kainnya) dia akan berkata, ‘Ini dari air yang aku percikkan tadi.”

20. Wajibnya membasuh seluruh bahagian anggota wudhu’ secara merata.

Kita kena pastikan air sampai ke seluruh anggota wudhu’ itu. Sekali lagi diulangi di dalam hadith yang menerangkan orang yang wudhu’nya kurang sempurna disebutkan.

✍🏻Dalilnya:

عَنْ جَابِرٍ أَخْبَرَنِى عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ أَنَّ رَجُلاً تَوَضَّأَ فَتَرَكَ مَوْضِعَ ظُفُرٍ عَلَى قَدَمِهِ فَأَبْصَرَهُ النَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم- فَقَالَ « ارْجِعْ فَأَحْسِنْ وُضُوءَكَ ». فَرَجَعَ ثُمَّ صَلَّى

Dari Jabir, ‘Umar bin Al Khattab mengabarkan bahawa ada seseorang yang berwudhu’ dan ada bahagian kuku kakinya tidak terbasuh, kemudian Nabi ﷺ melihatnya dan berkata, “Ulangilah, perbaguslah wudhu’mu.” Lantas dia pun mengulangi dan kembali solat.
[Muslim no. 243].

Maka kerana itu dianjurkan supaya kita jamah anggota wudhu’ kita di dalam berwudhu’ untuk memastikan air sampai ke semua bahagian tubuh. Tambahan pula kalau kita jamah dan gosok-gosok bahagian angota wudhu’ itu akan terasa kalau ada benda-benda yang menghalang air dari sampai ke anggota wudhu’.

Sebagai contoh, entah terpijak nasi di atas lantai dan melekat di kaki. Maka kalau kita jamah dan gosok, maka kita akan dapat rasa. Kalau kita cucur sahaja air, mungkin kita tidak perasan.

22. Memulai dari sebelah kanan dalam wudhu’.

Tidaklah ada dalil khusus wudhu’ Nabi ﷺ menyuruh dimulakan dengan bahagian kanan. Namun dari dalil umum yang ada di mana Nabi ﷺ sentiasa memulakan semua perkara yang baik dari sebelah kanan.

✍🏻Kalau diperhatikan cara wudhu’ Rasulullah ﷺ, baginda memulakan dari sebelah kanan:

Ibnu ‘Abbas رضي الله عنهما menceritakan; “Rasulullahﷺ mengambil wudhu’ di mana bagindaﷺ mencebuk satu cebukan dengan tangan lalu berkumur dan berstinsyaq (yakni membasuh hidung), kemudian baginda ﷺ mencebuk satu cebukan lagi lalu membasuh muka, kemudian mencebuk satu cebukan lagi lalu membasuh tangan kanannya (hingga ke siku), kemudian mencebuk satu cebukan lagi lalu membasuh tangan kirinya (hingga ke siku), kemudian bagindaﷺ menyapu kepalanya dan dua telinganya; telinga dalam dengan kedua jari telunjuknya dan telinga luar dengan dua ibu jarinya, kemudian baginda ﷺ mencebuk satu cebukan lagi lalu membasuh kaki kanannya, kemudian mencebuk satu cebukan lagi lalu membasuh kaki kirinya”.
[ Riwayat Imam An-Nasai dan At-Tirmizi. Menurut Imam At-Tirmizi; hadith ini hasan sahih ]

Maka mulakanlah semua perkara yang baik dari kanan.

✍🏻Dari Aisyah رضي الله عنها menceritakan; “Rasulullah ﷺ menyukai bermula dengan sebelah kanan dalam semua urusannya; ketika memakai dua kasut atau sepatu, menyisir rambut dan bersuci”.
[ Riwayat Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad ].

Malah dalam memandikan jenazah, dimulakan membasuh dari bahagian kanan.

✍🏻Diriwayatkan hadith dari Hafsah bt Sirin hadith dari Ummi ‘Atiyah رضي الله عنها berkata telah bersabda Rasulullah ﷺ di dalam urusan memandikan jenazah anak perempuannya, (dimulakan) dari sebelah kanan jenazah, dan menyapu air ke anggota wudhu’nya.
[Hadith Bukhari, Kitab Jenazah].

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan