Utama Bilik (001) Fiqh Asasi Pemula Thaharah: Wudhu’ yang disangka Batal

Thaharah: Wudhu’ yang disangka Batal

4739
0
Iklan

Hal-hal yang disangka membatalkan wudhu’ tetapi tidak. Kadang kala ada perkara yang kita sangka membatalkan wudhu’, tetapi sebenarnya tidak. Mari kita bincangkan.

1. Menyentuh kemaluan tanpa syahwat

Kita telah bincangkan perkara ini dalam bab pembatal wudhu’. Kita telah sebut bagaimana kalau sentuh kemaluan dengan syahwat sahaja akan membatalkan wuduk. Maka, kalau sentuh kerana hendak cuci dalam mandi wajib serta sebab-sebab yang lain, maka tidaklah membatalkan wuduk.

2. Menyentuh perempuan tanpa syahwat

Perkara ini menjadi khilaf yang besar di kalangan masyarakat kita kerana rata-rata masyarakat kita berpegang dengan mazhab Syafi’iy yang berpendapat asal bersentuhan sahaja lelaki dan perempuan, itu akan membatalkan wudhu’.

Berkenaan masalah ini, ulama’ umumnya terbahagi kepada 3 kumpulan:

1. Sentuh lelaki perempuan terus batal, termasuk suami isteri. Ini pendapat mazhab Syafi’iy.

2. Sentuh lelaki dan perempuan tidak membatalkan wudhu’, sama ada dengan syahwat atau tidak. Ini pendapat Mazhab Hanafi.

3. Sentuh lelaki dan wanita membatalkan wudhu’ jika ada syahwat. Ini pendapat Mazhab Malik dan Ahmad.

Jadi, ada beberapa pendapat yang perlu dilakukan kajian dan untuk dibuat pilihan manakah yang lebih kuat atau lebih rapat kepada dalil. Mari kita lihat apakah dalil-dalil yang ada.

✍🏻Dalil yang digunakan oleh mazhab Syafi’iy bahawa sentuhan lelaki dan wanita membatalkan wudhu’ adalah dalam [ Maidah: 6 ]:

ِ أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ

Maksudnya: “Atau kamu menyentuh wanita.” – maka kamu perlu mengambil wudhu’.

✍🏻Bagi mazhab Hanafi, pembatalan wudhu’ memerlukan dalil yang kuat. Ayat [ Maidah: 6 ] di atas diterjemahkan sebagai jimak, bukannya sentuhan biasa.

Ini adalah kerana kalimah yang digunakan adalah لامس dan bukan لمس sahaja. Kalau لمس sahaja, ia bermaksud ‘sentuh’ tetapi apabila ada penambahan alif pada perkataan itu menjadi لامس, maka ia bermaksud ‘bersentuh-sentuhan’ yang membawa maksud ‘jimak’ tetapi dalam bahasa yang lembut.

Pendapat ini dikuatkan lagi dengan hadith-hadith yang berkaitan.

✍🏻Daripada ‘Aisyah رضي الله عنها‎:

كُنْتُ أَنَامُ بَيْنَ يَدَيْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرِجْلَايَ فِي قِبْلَتِهِ فَإِذَا سَجَدَ غَمَزَنِي فَقَبَضْتُ رِجْلَيَّ فَإِذَا قَامَ بَسَطْتُهُمَا

Maksudnya: “Aku pernah tidur di hadapan Rasulullah ﷺ dalam keadaan dua kaki-ku di hadapan kiblat baginda ﷺ (dan baginda sedang menunaikan salat), lalu apabila baginda ﷺ hendak sujud, baginda ﷺ memegang kaki-ku, lalu aku pun menarik kaki-ku (untuk membolehkan baginda ﷺ sujud), apabila baginda ﷺ bangun, aku lunjurkan semula dua kaki-ku tadi.”
(HR Al-Bukhari)

✍🏻Satu lagi hadith daripada ‘Aisyah رضي الله عنها‎ juga:

فَقَدْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْلَةً مِنْ الْفِرَاشِ فَالْتَمَسْتُهُ فَوَقَعَتْ يَدِي عَلَى بَطْنِ قَدَمَيْهِ وَهُوَ فِي الْمَسْجِدِ وَهُمَا مَنْصُوبَتَانِ وَهُوَ يَقُولُ : اللَّهُمَّ أَعُوذُ بِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ ، وَبِمُعَافَاتِكَ مِنْ عُقُوبَتِكَ

Maksudnya: “Aku kehilangan Rasulullah ﷺ pada suatu malam di tempat tidur-ku, aku meraba-raba mencari baginda ﷺ, lalu dua tangan ku tersentuh belakang kakinya, dan baginda di dalam masjid (sedang sujud menunaikan salat), kedua-dua kaki baginda ﷺ itu ditegakkan, dan bagindaﷺ membaca: “Ya Allah, aku memohon perlindungan dengan keredhaan-Mu dari kemurkaan-Mu, dan dengan kemaafan-Mu dari kemurkaan-Mu.”
(HR Muslim)

Syarah:
Zahir dari kedua-dua hadith ini jelas menunjukkan Nabi ﷺ pernah menyentuh ‘Aisyah رضي الله عنها‎ ketika baginda ﷺ menunaikan salat. Demikian juga ‘Aisyah رضي الله عنها‎ juga pernah menyentuh Nabi ﷺ ketika baginda ﷺ menunaikan salat.

Jika sentuhan antara lelaki dan wanita itu membatalkan wudhu’ sudah tentu Nabi ﷺ akan membatalkan salatnya disebabkan wudhu’ baginda ﷺ terbatal kerana baginda ﷺ telah disentuh oleh ‘Aisyah رضي الله عنها‎.

Mazhab Malik dan Ahmad menggabungkan dua pendapat ini dengan mengatakan sentuhan itu akan membatalkan jikalau ada syahwat. Tetapi pendapat ini juga dikritik kerana bagaimana hendak tentukan ada syahwat atau tidak?

📍Berdasarkan ini semua, maka pandangan yang lebih kuat dan lebih dalam persoalan ini adalah pandangan mazhab Hanafi yang mengatakan tidak batal wudhu’ dengan bersentuhan antara lelaki dan wanita.

📍Inilah juga pandangan yang dipilih oleh Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah, dan ulama’ semasa seperti Al-Syaikh Abdullah ‘Aziz Abdillah bin Baz, Al-Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Uthaimin, para ulama’ dari Lajnah Fatwa Arab Saudi dan ramai para ulama’ yang lain lagi.

Akan tetapi, secara praktikal, tentulah ini boleh menimbulkan masalah di negara kita yang mengamalkan mazhab Syafi’iy. Maka, pendapat ini boleh dipakai tetapi janganlah ditayang-tayang kepada umum. Ini kerana dikhuatiri akan menimbulkan kekeliruan kepada mereka yang tidak belajar.

3. Keluar darah kerana luka, bekam dan lain-lain

Pertamanya, kena tahu kalau darah haidh yang keluar, itu memang akan membatalkan wudhu’. Perkara yang kita hendak bincangkan ini adalah kalau darah yang keluar selain dari darah haidh.

Seperti biasa, ada khilaf ulama’ dalam hal ini. Ada yang kata keluar darah membatalkan wudhu’ dan ada yang kata tidak. Maka mari kita cuba perincikan dan cuba mencari pandangan yang rajih. Kita lihat apakah dalil dan hujah dua pandangan itu.

✍🏻Imam An-Nawawi menyatakan bahawa ada ulama’ yang berpandangan keluarnya darah itu membatalkan wudhu’ jika keluar dari selain dua jalan. Ulama’ yang berpendapat seperti ini adalah mazhab Abu Hanifah, Ats-Tsauri, Al-Auza’i, Ahmad, dan Ishaq.

✍🏻Imam Al-Khathabi menyatakan bahawa ini adalah pendapat kebanyakan fuqaha’. Ini menjadi pendapat dari ‘Umar bin Al-Khattab, ‘Ali bin Abi Thalib, ‘Atha’, Ibnu Sirin, Ibnu Abi Laila dan Zifr.

Ulama’ lainnya berpandangan bahawa keluar darah itu tidak membatalkan wudhu’ sebagaimana pendapat ulama’ Malikiyah, Syafi’iyah dan sebahagian ulama’ Hanbali untuk darah yang sedikit sahaja.

✍🏻Di antara dalil yang digunakan oleh ulama’ yang menyatakan batalnya wudhu’ kerana keluar darah adalah hadith tentang darah istihadhah.

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ جَاءَتْ فَاطِمَةُ ابْنَةُ أَبِى حُبَيْشٍ إِلَى النَّبِىِّ – صلى الله عليه وسلم – فَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّى امْرَأَةٌ أُسْتَحَاضُ فَلاَ أَطْهُرُ ، أَفَأَدَعُ الصَّلاَةَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – « لاَ ، إِنَّمَا ذَلِكِ عِرْقٌ ، وَلَيْسَ بِحَيْضٍ ، فَإِذَا أَقْبَلَتْ حَيْضَتُكِ فَدَعِى الصَّلاَةَ ، وَإِذَا أَدْبَرَتْ فَاغْسِلِى عَنْكِ الدَّمَ ثُمَّ صَلِّى » . قَالَ وَقَالَ أَبِى « ثُمَّ تَوَضَّئِى لِكُلِّ صَلاَةٍ ، حَتَّى يَجِىءَ ذَلِكَ الْوَقْتُ »

Dari ‘Aisyah رضي الله عنها‎, dia berkata bahwa Fathimah bin Abu Hubaisy mendatangi Nabi ﷺ, ia berkata, “Wahai Rasulullah, aku wanita yang mengalami istihadhah dan belum suci. Apakah aku tetap meninggalkan salat?”

✍🏻Rasulullah ﷺ menyatakan, “Tidak, itu hanyalah darah urat. Itu bukanlah darah haidh. Jika datang waktu kebiasaan haidhmu, maka tinggalkanlah salat. Jika waktu kebiasaan haidhmu telah selesai, maka mandilah, lalu salatlah.” Kemudian Nabi ﷺ bersabda, “(Ketika keluar darah istihadhah), berwudhu’lah setiap kali salat sampai datang waktu tadi (waktu kebiasaan haidh).”
(Bukhari no. 228, Kitab 4: Al-Wudhu’, Bab 63: Mencuci Darah)

Hadith ini dijadikan dalil bahawa keluar darah membatalkan wudhu’ kerana keluar darah istihadhah diperintahkan untuk berwudhu’, sedangkan darah istihadhah adalah darah yang keluar kerana adanya urat yang terluka. Manakala yang dimaksud sesuatu yang keluar dari dua jalan itu seperti kencing, air besar, dan haidh.

✍🏻Adapun ulama’ yang berdalil bahawa keluar darah tidak membatalkan wudhu’ adalah hadith dari Jabir bin ‘Abdullah رضي الله عنه yang menyatakan (ketika perang Dzatu Ar-Riqa’), ada seseorang yang dipanah hingga keluar darah, ia tetap melanjutkan ruku’ dan sujud dalam salatnya.

Hadith yang dimaksudkan telah diriwayatkan oleh Abu Daud, no. 198, dari Jabir رضي الله عنه, dia berkata, “Kami keluar bersama Rasulullah ﷺ dalam perang Dzatu Riqa. Lalu baginda ﷺ singgah di suatu tempat, maka baginda bersabda, “Siapa yang bersedia melindungi kami?” Maka bertugaslah seorang dari kalangan Muhajirin dan seorang dari kalangan Anshar. Lalu baginda ﷺ berkata, “Hendaklah kalian berdua berjalan di hadapan perkampungan.” Setelah mereka berada di hadapan perkampungan, maka seorang dari kalangan Muhajirin berbaring sedang yang seorang dari kalangan Anshar melakukan salat. Kemudian datang seorang dari kalangan musyrik, lalu dia menjunamkan tiga anak panah kepadanya, namun orang itu meneruskan ruku’ dan sujud, lalu temannya menyedari, ketika orang dari kalangan Muhajirin melihat darah yang terdapat pada orang Anshar, dia berkata, “Subhanallah! Mengapa tidak engkau beritahu aku saat pertama kali engkau terkena anak panah?” Dia berkata, “Saya ketika itu sedang membaca surah, kerananya saya tidak ingin memotongnya.”
(Hadith ini dihasankan oleh Syaikh Al-Albany dalam Sahih Abu Daud).

Syarah:
Walaupun sahabat itu berdarah, tetapi dia tidak memberhentikan salatnya. Sudah tentu kisah itu sampai kepada baginda ﷺ dan baginda ﷺ tidak menegur perbuatan sahabat itu.

Jadi, keluar darah tidaklah membatalkan wudhu’. Hadith ini menjadi dalil yang jelas bahawa darah tidak membatalkan wudhu’, walaupun banyak kerana, seandainya hal tersebut membatalkan wudhu’, niscaya dia akan keluar dari salat.

Ada lagi beberapa dalil yang boleh dijadikan hujah:

1️⃣ Ibnu Umar pernah memicit lukanya, lalu keluar darah namun dia tidak berwudhu’.

2️⃣ Ibnu Abi Aufa pernah mengeluarkan ludah bercampur darah, namun dia meneruskan salatnya.

3️⃣ Ibnu Umar dan Hasan berkata kepada orang yang berbekam, “Tidak ada kewajiban baginya kecuali mencuci bahagian yang dibekam,”

4️⃣ Al-Hafiz berkata dalam Al-Fath, (1/281), “Terdapat riwayat sahih bahawa Umar melakukan salat sementara lukanya mengeluarkan darah.”

Ini semua menunjukkan bahawa keluarnya darah dari selain salah satu dua jalan, tidak membatalkan wudhu’. Bagaimana pula dengan hadith tentang darah istihadhah tadi? Imam Nawawi رحمه الله dalam Al-Majmu’ menjelaskan tentang darah istihadhah yang dijadikan dalil keluar darah membatalkan wudhu’, “Makna hadith adalah hanya mengabarkan bahawa darah istihadhah bukanlah darah haidh.

Darah istihadhah jika keluar tetap diwajibkan berwudhu’ kerana darah tersebut keluar dari tempat hadas. Namun hal ini bukan difahami bahawa setiap darah yang keluar dari mana saja membatalkan wudhu’.”

4. Muntah, sama ada banyak atau sedikit

Tiada dalil yang mengatakan muntah membatalkan wudhu’. Memang ada hadith Nabi berwudhu’ selepas muntah.

✍🏻Namun Syaikh Muhammad bin Shalih Al-‘Utsaimin رحمه الله menyatakan, “Tentang hadith yang di mana Nabi ﷺ berwudhu’ ketika muntah, hadithnya didhaifkan oleh kebanyakan ulama’. Itu sekadar perbuatan, asalnya dihukumi tidak wajib kerana tidak ada perintah khusus.

Hal ini bertentangan pula dengan hadith–walaupun dha’if–bahawa Nabi ﷺ berbekam, lalu salat tanpa mengulangi wudhu’nya. Hal ini menunjukkan yang sama untuk muntah bahawa tidak diwajibkan untuk berwudhu’.”
(Majmu’ Fatawa, 11:198)

✍🏻Hadithnya Abu Dardaa’ رضي الله عنه, kata beliau :

ﺃَﻥَّ ﺭَﺳُﻮﻝَ ﺍﻟﻠَّﻪِ – ﺻﻠﻰ ﺍﻟﻠﻪ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ – ﻗَﺎﺀَ ﻓَﺄَﻓْﻄَﺮَ ﻓَﺘَﻮَﺿَّﺄَ . ﻓَﻠَﻘِﻴﺖُ ﺛَﻮْﺑَﺎﻥَ ﻓِﻰ ﻣَﺴْﺠِﺪِ ﺩِﻣَﺸْﻖَ ﻓَﺬَﻛَﺮْﺕُ ﺫَﻟِﻚَ ﻟَﻪُ ﻓَﻘَﺎﻝَ ﺻَﺪَﻕَ ﺃَﻧَﺎ ﺻَﺒَﺒْﺖُ ﻟَﻪُ

“bahawa Rasulullah ﷺ muntah, lalu berbuka puasa, lalu berwudhu’. Kemudian aku bertemu dengan Tsaubaan di masjid Damsyiq, lalu aku menceritakan hal tersebut kepadanya, maka beliau berkata : ‘benar, aku yang membawakan air wudhu’ untuk Beliau’”
(HR. At-Tirmizi dan selainnya, Imam At-Tirmizi berkata : ‘hadith Husain yang paling sahih dalam bab ini’. Disahihkan juga oleh Syaikh Al-Albani).

Syarah:
Ulama’ tidak berpegang dengan hadith ini. Ada dua sebab:

1. Ada yang mendhaifkan hadith ini.

2. Kalau ada yang menerima hadith ini, ia tidak menunjukkan batalnya wudhu’ secara mutlak kerana itu hanya perbuatan Nabi Muhammad ﷺ. Pada prinsipnya, perbuatan baginda ﷺ tidak menunjukkan kepada hukum wajib. Kalau hendak buat pun, ia bermaksud meneladani perbuatan Nabi ﷺ sahaja.

📍Maka, mewajibkan ambil wudhu’ selepas muntah tidak ada dalil khusus.

5. Ragu-ragu, sama ada sedang berhadas atau tidak

Ramai dari kalangan orang kita yang ada penyakit ragu-ragu, atau was-was. Ada juga dipanggil OCD (Obsessive Compulsive Disorder). Maka banyaklah masalah yang timbul dalam hal ini. Ada yang wudhu’ berkali-kali, mandi junub berkali-kali, salat pun berkali-kali. Itu tidak termasuk bab pembersihan lagi, sampaikan ada yang bermalaman mencuci lantai yang dia ‘rasa’ ada najis. Tidak mustahil kalau ada yang sedang membaca ini pun ada masalah ini. Kerana itu saya sentuh di sini.

Ini memberatkan diri berlebihan dari yang sepatutnya dan sangatlah tidak produktif. Membuang masa melakukan perkara yang tidak perlu dilakukan. Dan ia memberi imej negatif terhadap Islam, seolah-olah Islam ini berat sangat sampaikan benda senang pun hendak kena buat berkali-kali.

Masalah ini terjadi kerana kekurangan ilmu tentang apa yang menyebabkan wudhu’ batal. Ada kesalahan belajar di mana-mana, mungkin belajar dengan ustaz yang mengajar kaedah yang berat dalam perkara yang tidak perlu.

Maka ni menyebabkan boleh terganggu fikiran pelajar itu sampai mengganggu kehidupan dia. Ia menganggu kehidupan, hubungan dengan keluarga dan juga pekerjaan. Maka hendaklah berusaha untuk keluar dari permasalahan ini.

📍Mereka yang ada masalah was-was ini akan selalu keliru:
“Ini ada najis atau tidak?”
“Ini batal atau tidak?”
“Aku kentut ke ni?”

Ini terjadi kerana mereka diajar yang kalau kentut, maka batal wudhu’. Memang benar tetapi mereka takut sangat sampai mereka selalu fikir: “kentut batal, kentul batal, kentut batal” sampai dia ‘terasa’ dia kentut. Padahal tidak pun kerana kalau waktu lain okay sahaja, tetapi bila ambil wudhu’ atau salat, mulalah ‘terasa’ pada lubang angin.

Ini adalah kerana syaitan akan ambil kesempatan dari kejahilan orang itu. Syaitan akan bisikkan: “eh kau tadi dah kentut la… dah batal dah wudhu’ kau.. Kena pergi ambil balik”. Bila sudah ambil wudhu’, dia bisikkan lagi… dan lagi … dan lagi. Kalau lagi dilayan bisikan syaitan itu, maka lagi akan dibisikkan lagi, sampailah ke tahap mempersoalkan kewujudan Allah ﷻ.

Ketahuilah agama Islam tidak memberatkan penganutnya. Memang kentut membatalkan wudhu’, tetapi hanya kentut yang PASTI sahaja. Kalau agak-agak, itu tidak dikira. Itu adalah mainanan dan bisikan syaitan sahaja. Ingatlah firman Allah ﷻ:

✍🏻Ini sebagaimana firman Allah ﷻ:
يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

“Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.”

[ Al-Baqarah: 85 ]

📍Seseorang yang yakin bahawa dia telah kentut maka wudhu’nya akan terbatal serta merta sama ada angin tersebut mengeluarkan bunyi atau tidak, berbau ataupun tidak. Bagi orang yang normal, dia sedar dengan yakin yang dia telah kentut.

Namun, sekiranya seseorang ragu-ragu sama ada dia telah kentut ataupun tidak, pada ketika inilah sifat-sifat yang zahir daripada kentut itu perlu diambil kira bagi memastikan kedudukan wudhu’nya.

✍🏻Ini sepertimana yang disebutkan dalam hadith Rasulullah ﷺ yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Zaid :

شكي إلى النبي صلى الرجل يخيل إليه أنه يجد الشيء في الصلاة؟ فقال: لا ينصرف حتى يسمع صوتا أو يجد ريحا

Maksudnya: Seorang lelaki telah mengadu kepada Nabi ﷺ bahawa dia seolah-olah mendapati sesuatu di dalam salatnya (ragu-ragu wudhu’nya terbatal sewaktu sedang salat). Maka (baginda) bersabda: Janganlah dia berhenti (salat) sehingga mendengar bunyi atau mendapati (mencium) bau.
[Muttafaq ‘Alaih, Al-Bukhari no.134, Muslim no.361 dan disyarah dalam Al-Fath (`12/329)]

Syarah:
Hadith di atas juga merupakan salah satu dalil yang menyokong kaedah fiqh اليقين لا يزول بالشك yang bermaksud “ Keyakinan tidak boleh dihilangkan dengan keraguan”. Aplikasi kaedah ini menetapkan sekiranya seseorang telah mencapai tahap yakin, keraguan yang timbul setelah keyakinan tidak boleh dijadikan hujah untuk menolak keyakinan tadi. Maka, ini mengajar kita supaya jangan terkesan dengan bisikan syaitan. Hanya kalau yakin kentut, barulah wudhu’ terbatal. Kalau setakat was-was, maka itu tidak dikira, teruskan salat.

Kesimpulannya:
Kena abaikan bisikan syaitan itu. Kena ada ilmu supaya dapat menolak bisikan-bisikan syaitan itu. Memang di awal peringkat belajar ini, rasa tidak tenang sahaja, tetapi lama-kelamaan akan hilang perasaan itu dan semoga anda akan sembuh dari penyakit was-was ini.

6. Rasa keluar titisan dari kemaluan

Bersinambungan dari perbincangan tentang perasaan keluar angin kentut, begitulah juga dengan perasaan menitis air apa-apa sahaja dari kemaluan. Tidak boleh memberhentikan salat kerana sangkaan ada air keluar dari kemaluan.

✍🏻Dalil yang sama digunakan:

Baginda ﷺ bersabda:
لاَيَنْصَرِفْ حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَرِيحًا

Jangan hentikan salatnya sebelum dia mendengar suara kentut atau mencium baunya”
[ Bukhari no. 134 dan Muslim no. 540 ]

✍🏻Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah pernah ditanya: “Apabila seseorang merasakan keluarnya suatu titisan di dalam salatnya, apakah dia telah batal?” Beliau pun menjawab: “Hanya merasakan tidaklah membatalkan wudhu’”. Oleh kerana itu, dia tidak boleh keluar dari salat yang wajib hanya kerana keraguan.

Sekali lagi diingatkan yang ini adalah kalau was-was keluar air atau tidak. Kalau dia yakin memang ada air keluar, maka batallah wudhu’nya kecuali kalau orang yang ada penyakit salisul baul (kencing tidak lawas, selalu menitik keluar). Orang ini ada penyakit. Maka kalau benar keluar air kencing, maka tidak batal salat itu kerana dimaafkan dan dengan syarat dia telah melakukan apa yang diperintahkan kepadanya.

Kalau ada masalah Salisul Baul ini, maka ulama’ menganjurkan untuk:

a. Melakukan istabrak (mengeluarkan sisa air kencing), antaranya dengan cara berdehem, atau mengurut zakar dengan cara meletakkan jari tengah (hantu) tangan kiri di bawah zakar dan jari ibu di atas zakar dan mengurutnya keluar

b. Selepas setiap kali kencing, basuh air kencing dan renjiskan bahagian seluar dengan air supaya kurang rasa was-was.

c. Dinasihatkan supaya jangan sibuk mahu memeriksa seluar. Syaitan biasa akan ganggu dengan bisikkan. Maka, kena tahan dari pergi membuka seluar dan periksa dalam seluar.

d. Kepada mereka yang ada penyakit ini, maka kena ambil wudhu’ setiap kali hendak salat. Dan di antara dua waktu itu, jangan kisahkan. Orang yang terkena penyakit Salisul Baul hukumnya sama dengan wanita istihadhah.

✍🏻Rasulullahﷺ berkata kepada wanita yang terkena istihadhah:

“Sesungguhnya itu darah yang keluar dari urat, bukan darah haidh. Jika tiba masa haidh, hendaklah dia meninggalkan salat. Jika masa haidh telah selesai, cucilah darahnya darimu lalu salatlah.”
[ Sahih, diriwayatkan oleh Al-Bukhari no. 228, Muslim no. 333 dan selainnya ]

7. Memotong rambut atau kuku, dan melepaskan khuf

Ada kekeliruan yang melakukan salah satu dari tiga perkara ini akan membatalkan wudhu’. Maka ketahuilah tidak ada dalil tentang perkara itu.

Komen dan Soalan