Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az-Zumar: Tafsir Ayat ke-24 hingga ke-27

Tafsir Surah Az-Zumar: Tafsir Ayat ke-24 hingga ke-27

459
0
Iklan

Tafsir Surah Az-Zumar

Tafsir Ayat ke-24

Ini adalah perbandingan ketiga yang Allah ‎ﷻ sampaikan dalam surah ini. Ia juga adalah ayat Takhwif Ukhrawi.

أَفَمَن يَتَّقي بِوَجهِهِ سوءَ العَذابِ يَومَ القِيٰمَةِ ۚ وَقيلَ لِلظّٰلِمينَ ذوقوا ما كُنتُم تَكسِبونَ

Maka adakah orang yang menahan dengan mukanya akan (selaran) azab yang buruk pada hari kiamat (sama seperti orang yang terselamat)? Dan (pada saat itu) dikatakan kepada orang-orang yang zalim itu: “Rasalah (balasan) apa yang kamu usahakan dahulu”.

أَفَمَنْ يَتَّقِي بِوَجْهِهِ سُوءَ الْعَذَابِ يَوْمَ الْقِيٰمَةِ

Apakah sama, satu orang yang menyanggah azab yang amat buruk dengan mukanya sendiri pada Hari Kiamat?

Ada muqaddar dalam ayat ini: ‘Adakah orang itu sama dengan orang yang terselamat dan masuk syurga?’ Tentulah tidak.

Orang mukmin akan diselamatkan dari neraka dan dari azab. Tentulah tidak sama, dari segi fahaman dan dari segi amalan.

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘menyanggah azab dengan mukanya sendiri?’ Kita kena faham keadaan mereka yang diazab. Bila mereka dimasukkan ke neraka, rantai sepanjang 40 hasta akan diikat di tangan dan leher mereka. Kemudian ditarik kepala dan kaki mereka ke belakang.

Seterusnya mereka akan dipanggang dengan api neraka. Selalunya, kalau ada orang hendak pukul kita, kita akan tahan dengan tangan, bukan? Tetapi ahli neraka telah diikat tangan mereka.

Jadi pada masa itu, bagaimana untuk sanggah kepanasan itu? Hanya dengan muka sahaja yang mampu mereka lakukan. Padahal, muka itulah yang selalunya kita akan pelihara dengan tangan kita.

Namun, kali ini mereka hanya tahan dengan muka sahaja kepanasan api neraka itu. Alangkah menakutkan sekali bayangan neraka ini. Nauzubillah, selamatkanlah kami darinya! Ameen.

وَقِيلَ لِلظّٰلِمِينَ

Dan dikatakan kepada orang yang zalim itu,

Ini adalah dalam bentuk emosi, iaitu mereka diberi dengan penghinaan. Orang-orang yang zalim itu adalah orang-orang berbuat syirik ketika di bumi. Dan yang berkata kepada mereka adalah berkemungkinan malaikat penjaga neraka.

Mereka waktu itu sedang diazab tubuh mereka, tetapi diazab lagi perasaan mereka dengan kata-kata yang menyakitkan jiwa. Ini dinamakan ‘takzib rohani’ – azab jiwa. Kadang-kadang azab jiwa itu lebih menyakitkan dari azab fizikal. Allah ‎ﷻ sengaja menambah azab kepada mereka. Neraka, bukanlah tempat untuk belas kasihan.

ذُوقُوا مَا كُنْتُمْ تَكْسِبُونَ

“rasalah balasan dari apa yang kamu lakukan”.

Rasailah balasan kesyirikan yang kamu lakukan di dunia dahulu. Dulu semasa di dunia, kamu degil untuk terima dakwah tauhid, kamu enggan untuk pergi belajar – ada orang ajak pergi kelas tafsir, kamu tidak mahu ikut.

Ada orang yang nasihat kamu tentang amalan kamu yang salah, kamu tidak mahu dengar. Oleh kerana itu, kamu terus melakukan amalan yang salah, amalan yang syirik, amalan yang bid’ah. Maka, sekarang rasakanlah.

Kalau cikgu sekolah merotan anak muridnya, anak murid itu akan berasa sakit. Namun kesakitan itu akan hilang selepas sehari dua. Namun, kalau semasa merotan itu, guru itu menghina budak itu, mengatakan dia ‘bodoh’, ‘anak tak guna’ dan sebagainya, tentulah ia memberi kesan yang mendalam dan kekal kepada anak murid itu. Sampai pencen budak itu akan ingat kata-kata guru disiplin itu.

Memang kata-kata akan menyebabkan sakit yang berpanjangan. Begitulah kesan kepada orang yang diazab di neraka nanti.

Tafsir Ayat ke-25

Takhwif Ukhrawi

كَذَّبَ الَّذينَ مِن قَبلِهِم فَأَتٰهُمُ العَذابُ مِن حَيثُ لا يَشعُرونَ

(Ingatlah! Bahawa) orang-orang yang terdahulu daripada mereka telah mendustakan (Rasul-rasul yang diutuskan kepada mereka), lalu orang-orang itu didatangi azab dari arah yang mereka tidak menyedarinya.

كَذَّبَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ

Telah mendustakan (kebenaran) oleh orang-orang sebelum mereka.

Ada muqaddar dalam ayat ini: apakah yang mereka dustakan? Itulah kebenaran yang ada dalam wahyu seperti kaum Aad, Tsamud dan banyak lagi.

Allah ‎ﷻ ingin beritahu kepada Nabi ﷺ, sahabat dan pendakwah-pendakwah bahawa bukan sekarang sahaja orang kafir menentang ajakan tauhid yang hendak disampaikan.

Sejak dari dahulu lagi sudah zaman berzaman manusia mendustakan tauhid dan Rasul-Rasul mereka. Jadi jangan hairan kalau ada yang menentang dan tidak mahu terima. Itu adalah sunnah alam, akan ada sahaja yang menentang.

فَأَتٰهُمُ الْعَذَابُ مِنْ حَيْثُ لَا يَشْعُرُونَ

Maka didatangkan azab itu dari arah yang mereka tak sedar.

Ini kerana mereka telah menentang tauhid, maka mereka telah dibalas dengan azab semasa mereka di dunia lagi. Bila azab itu datang, mereka tidak sedar. Tahu-tahu sudah mati dan sedang menerima azab.

Contoh seperti kalau kita kemalangan sampai tidak sedarkan diri, celik-celik mata, tengok kipas berpusing di hospital. Padahal sudah tiga bulan koma. Ia berlaku saat datang azab kepada mereka tanpa persiapan.

Bila kita dalam kubur, tahu-tahu malaikat Munkar Nakir sudah muncul untuk bertanyakan soalan kepada kita. Waktu itu sudah terlambat untuk kita buat apa-apa. Tidak ada pengampunan lagi apabila kita sudah mati.

Hendaklah kita sentiasa ingat kepada mati kerana sama ‎ada kita mahu atau pun tidak, kita akan menemui mati. Bagi orang-orang yang tidak mengamalkan tauhid, mereka akan didatangi oleh kematian yang mengejut. Ini kerana Allah ‎ﷻ telah membuat keputusan yang mereka akan masuk neraka, maka mereka tidak ada peluang untuk bertaubat.

Orang yang amalkan tauhid, tidak begitu, mereka akan diberikan peluang untuk bertaubat dan untuk bersedia kepada kematian.

Tafsir Ayat ke-26

Ayat Takhwif

فَأَذاقَهُمُ اللَهُ الخِزيَ فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا ۖ وَلَعَذابُ الآخِرَةِ أَكبَرُ ۚ لَو كانوا يَعلَمونَ

Maka Allah merasakan mereka kehinaan dalam kehidupan dunia (dengan berbagai bala bencana), dan sesungguhnya azab seksa hari akhirat (yang disediakan untuk mereka) lebih besar lagi. Kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini, tentulah mereka tidak mendustakan Rasul).

فَأَذَاقَهُمُ اللهُ الْخِزْيَ فِي الْحَيَوٰةِ الدُّنْيَا

Dan diazab mereka oleh Allah dengan azab yang menghinakan dalam kehidupan di dunia.

Ketika di dunia lagi mereka telah hidup dalam kehinaan. Mereka hidup dalam kesusahan, walau kaya macam mana sekali pun iaitu mereka ditimpa pelbagai jenis kesusahan. Mereka kaya, tetapi diazab dalam diri mereka.

Kadang-kadang kita hairan lihat orang yang kaya, kita sangkakan kalau mereka sudah kaya, tentulah tidak ada masalah. Namun, rupanya mereka ada masalah yang kadangkala lagi besar dari kita.

Orang-orang mukmin akan diberikan juga azab oleh Allah ‎ﷻ untuk membersihkan mereka dari dosa-dosa mereka. Oleh itu, jangan kita kata orang-orang yang dikenakan azab itu jadi begitu kerana mereka menentang agama.

Ayat yang di atas bukan berkenaan orang mukmin tetapi orang-orang yang melakukan syirik kepada Allah ‎ﷻ.

وَلَعَذَابُ الْآخِرَةِ أَكْبَرُ ۚ

akan tetapi azab di akhirat lebih besar lagi,

Tidak sama azab yang Allah ‎ﷻ kenakan di dunia ini kalau dibandingkan dengan azab yang akan diterima di akhirat kelak. Azab di akhirat akan berganda-ganda lagi teruk dan tidak akan ada penghujungnya. Teruknya azab itu sampaikan kita tidak dapat membayangkannya.

لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ

kalaulah dulu mereka hendak ambil tahu;

Kalaulah manusia tahu apakah azab yang mereka akan hadapi di akhirat kelak, mereka tentunya akan menjadi orang baik, akan belajar agama, akan beriman dengan setulus-tulus iman. Malangnya, kita tidak tahu melainkan apabila kita sudah berada di sana.

Kalau mereka itu hendak ambil tahu, mereka akan belajar tentang agama dan belajar tafsir Al-Quran. Ini kerana tidak akan dapat mengetahui makna ayat-ayat Al-Quran ini melainkan kepada mereka yang belajar sahaja.

Orang-orang yang beriman pun tidak dapat tengok balasan neraka lagi, tetapi mereka telah belajar ayat-ayat Al-Quran dan mereka mempercayainya kerana mereka telah membuka hati mereka kepada kebenaran.

Tafsir Ayat ke- 27

Ayat targhib (galakan) kepada belajar Al-Quran.

وَلَقَد ضَرَبنا لِلنّاسِ في هٰذَا القُرءآنِ مِن كُلِّ مَثَلٍ لَّعَلَّهُم يَتَذَكَّرونَ

Dan demi sesungguhnya Kami telah huraikan daripada Al-Quran ini kepada manusia semua sekali, dari berbagai contoh bandingan mudah-mudahan mereka mengambil peringatan.

Allah ‎ﷻ telah menghuraikan perkara agama terutama sekali perkara tauhid berulang-ulang kali supaya manusia dapat faham. Allah ‎ﷻ akan ulang dengan berbagai-bagai cara supaya manusia semuanya dapat faham – kerana pemahaman manusia tidak sama.

Jadi ada yang dijelaskan dengan cara begini dan dalam ayat lain dijelaskan dengan cara lain pula.

وَلَقَدْ ضَرَبْنَا لِلنَّاسِ فِي هَٰذَا الْقُرْءآنِ

Sesungguhnya telah Kami huraikan kepada kepada semua manusia dalam Al-Quran ini

Penjelasan agama telah dijelaskan dengan sepenuhnya dalam Al-Quran ini iaitu tentang tauhid, tentang feqah, disebut dengan umum dan dijelaskan lagi dalam sunnah daripada Nabi ﷺ.

Jikalau tentang tauhid, memang telah lengkap penjelasannya dalam Al-Quran, sampaikan tidak perlu baca kitab lain pun sudah boleh faham tauhid ini. Namun, kenalah belajar tafsir kerana kalau baca sendiri, berkemungkinan besar, tidak akan nampak penjelasan itu.

مِنْ كُلِّ مَثَلٍ

dengan berbagai-bagai jenis contoh bandingan

Allah ‎ﷻ tidak menjelaskan dengan satu cara sahaja, tetapi dengan berbagai-bagai cara supaya manusia dapat faham. Ini kerana kefahaman manusia berlainan. Ada yang faham dengan cara begini, dan ada yang faham dengan cara lain pula.

Allah ‎ﷻ telah banyak memberikan contoh bandingan kerana pembelajaran berasaskan perbandingan memang akan mudah memberi kefahaman kepada manusia terutama jika mereka dapat kaitkan perbandingan itu dengan diri mereka sendiri.

لَّعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ

mudah-mudahan mereka itu akan dapat peringatan;

Tujuan Allah ‎ﷻ buat begitu adalah supaya manusia dapat faham agama tauhid ini. Allah ‎ﷻ hendak kita faham dengan sebenarnya. Allah ‎ﷻ tidak jadikan ilmu tauhid ini sebagai ilmu rahsia yang hanya boleh difahami oleh mereka yang tertentu sahaja.

Tidaklah macam ilmu mengarut dan khayalan yang diajar dalam pergerakan Tarekat itu. Mereka berkata ilmu mereka adalah ilmu rahsia, sampaikan orang tertentu sahaja dapat faham – sampaikan tidak semua sahabat Nabi ﷺ dapat ilmu itu. Subhanallah, adakah mereka sangka mereka lebih hebat daripada sahabat Nabi ﷺ?

Sesiapa yang belajar tafsir Al-Quran dan mereka berusaha untuk memahaminya, akan tahu manakah perbuatan yang betul dan manakah perbuatan yang salah. Seseorang itu tidak akan tahu tentang Al-Quran itu melainkan orang-orang yang belajar.

📍Sesiapa yang tidak mahu belajar tafsir Al-Quran, akan disediakan syaitan kepada mereka sebagai teman rapat berdasarkan mafhum dari ayat [ Zukhruf: 36 ]:

Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan