Utama Bilik (001) Fiqh Asasi Pemula Thaharah: Pembatal Wudhu’

Thaharah: Pembatal Wudhu’

395
0
Iklan

PEMBATAL-PEMBATAL WUDHU’

Sekarang kita masuk ke bahagian perbincangan yang amat p📚enting, iaitu apakah yang membatalkan wudhu’? Persoalan ini selalu ditanya dan merisaukan pelajar-pelajar. Ini kerana ada banyak maklumat yang berlegar-legar di sekeliling hinggakan tidak pasti: wudhu’ aku ini batal atau tidak? Maka, mari kita masuk ke topik yang amat penting ini.

1. Segala yang keluar dari dua jalan (qubul dan dubur) seperti air kencing, mani, mazi, tahi atau angin.

✍🏻Dalil bahawa kencing dan buang air besar merupakan pembatal wudhu’ dapat dilihat kepada firman Allah ﷻ,

أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنَ الْغَائِطِ

“Atau kembali dari tempat buang air”. [ Al-Maidah: 6 ]

Maksud الْغَائِطِ adalah kata kiasan bagi tempat buang air, iaitu berak atau kencing.

✍🏻Dalil keluar mani membatalkan wudhu’:

Ibn Abbas a berkata: Berhubung dengan air mani, wajib mandi junub. Mengenai air mazi dan wadi, dia hendaklah membasuh kemaluannya serta berwudhu’
(Hadis Riwayat Abdul Razzaq dalam Musannaf, jil. 1, ms. 159 dengan sanad Sahih)

✍🏻Sedangkan dalil bahawa kentut (sama ada dengan mengeluarkan suara atau pun tidak) membatalkan wudhu’ adalah hadith dari Abu Hurairah رضي الله عنه bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,

سَمِعَ أَبَا هُرَيْرَةَ يَقُولُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – « لاَ تُقْبَلُ صَلاَةُ مَنْ أَحْدَثَ حَتَّى يَتَوَضَّأَ » . قَالَ رَجُلٌ مِنْ حَضْرَمَوْتَ مَا الْحَدَثُ يَا أَبَا هُرَيْرَةَ قَالَ فُسَاءٌ أَوْ ضُرَاطٌ

“Salat seseorang yang berhadas tidak akan diterima sampai dia berwudhu’.” Lalu ada orang dari Hadhramaut mengatakan, “Apa yang dimaksud hadas, wahai Abu Hurairah?” Abu Hurairah pun menjawab,

فُسَاءٌ أَوْ ضُرَاطٌ

“Di antaranya adalah kentut tanpa suara atau kentut dengan suara.”
[ Bukhari no. 135 ]

✍🏻Mazi boleh membatalkan wudhu’ berdasarkan hadith tentang cerita ‘Ali bin Abi Thalib رضي الله عنه. ‘Ali mengatakan,

كُنْتُ رَجُلاً مَذَّاءً وَكُنْتُ أَسْتَحْيِى أَنْ أَسْأَلَ النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- لِمَكَانِ ابْنَتِهِ فَأَمَرْتُ الْمِقْدَادَ بْنَ الأَسْوَدِ فَسَأَلَهُ فَقَالَ « يَغْسِلُ ذَكَرَهُ وَيَتَوَضَّأُ ».

“Aku termasuk orang yang sering keluar mazi. Namun aku malu menanyakan hal ini kepada Nabi ﷺ dikeranakan kedudukan anaknya (Fatimah رضي الله عنها‎ ) di sisiku. Lalu aku pun memerintahkan pada Al-Miqdad bin Al-Aswad untuk bertanya kepada Nabi ﷺ. Lantas beliau ﷺ memberikan jawaban pada Al-Miqdad, “Cucilah kemaluannya kemudian suruh ia berwudhu’”
[ Bukhari no. 269 dan Muslim no. 303 ]

2. Hilang akal

Para ulama’ sepakat bahawa pengsan termasuk pembatal wudhu’, walau pun sebentar. Sesiapa yang mengalami pengsan hingga hilang kesedarannya, walau sebentar, maka wudhu’nya batal.

Hilang akal kerana gila dan pengsan atau mabuk atau semacamnya, misalnya pengaruh ubat yang menghilangkan kesedaran, termasuk perkara yang membatalkan wudhu’, baik sebentar atau lama, berdasarkan ijma’.

Ini kerana orang seperti itu, kesedarannya jauh lebih hilang daripada orang yang tidur, dengan bukti bahawa mereka tidak akan bangun jika diperingatkan. Diwajibkan berwudhu’ bagi orang yang tertidur adalah pertanda bahawa wudhu’ tersebut diwajibkan kepada yang lebih berat dari tidur.

📍Jadi pendapat ini berdasarkan ijma’ (kesepakatan ulama) dan kita pun tahu bahawa ijma’ adalah salah satu dari sumber hukum bagi ahli sunnah.

3. Menyentuh kemaluan dengan syahwat.

Ini juga selalu diperbincangkan kerana ada khilaf di kalangan ulama’ mazhab. Imam Syafie, Imam Malik dan Imam Ahmad رحمكم الله mengatakan menyentuh kemaluan membatalkan wudhu’.

✍🏻Di antara dalil dari pendapat ini adalah hadith daripada Burah binti Shafwan,

مَنْ مَسَّ ذَكَرَهُ فَلْيَتَوَضَّأْ

“Barang siapa yang menyentuh kemaluannya, hendaklah dia berwudhu’.”
(Abu Daud no. 181, An Nasa’i no. 447, dan At-Tirmizi no. 82. Syaikh Al-Albani mengatakan bahawa hadith ini sahih)

Syarah:
Nampaknya hadith ini seolah sudah jelas mengatakan bahawa kalau menyentuh kemaluan sahaja, maka wudhu’ turut batal.

✍🏻Akan tetapi ada juga hadith daripada Thalq bin ‘Ali رضي الله عنه di mana ada seseorang yang mendatangi Rasulullah ﷺ lalu bertanya,

مَسِسْتُ ذَكَرِى أَوِ الرَّجُلُ يَمَسُّ ذَكَرَهُ فِى الصَّلاَةِ عَلَيْهِ الْوُضُوءُ قَالَ « لاَ إِنَّمَا هُوَ مِنْكَ

“Aku pernah menyentuh kemaluanku atau seseorang ada pula yang menyentuh kemaluannya ketika salat, apakah ia diharuskan untuk wudhu’?” Rasulullah ﷺ menjawab, “Kemaluanmu itu adalah bahagian darimu.”
(Ahmad 4/23. Syaikh Syu’aib Al-Arnauth mengatakan bahawa hadith ini hasan)

✍🏻Dalam riwayat lain disebutkan bahawa ada seseorang yang mendatangi Rasulullah ﷺ, lantas dia bertanya,

يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا تَرَى فِى رَجُلٍ مَسَّ ذَكَرَهُ فِى الصَّلاَةِ قَالَ « وَهَلْ هُوَ إِلاَّ مُضْغَةٌ مِنْكَ أَوْ بَضْعَةٌ مِنْكَ ».

“Wahai Rasulullah ﷺ, apa pendapatmu mengenai seseorang yang menyentuh kemaluannya ketika salat?” baginda ﷺ bersabda, “Bukankah kemaluan tersebut hanya sekerat daging darimu atau bahagian daging darimu?”
(An Nasai’ no. 165)

Syaikh Al-Albani رحمه الله‎ mengatakan bahawa hadith ini sahih dan juga Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah رحمه الله‎ berhujah dengan hadith ini, maka itu petanda beliau mensahihkannya.

Syarah:
Ini bermaksud, kemaluan itu sama sahaja dengan tubuh badan yang lain, seperti tangan dan kepala. Jadi, sekiranya menyentuh tangan dan kepala tidak membatalkan wudhu’, masa samalah juga dengan menyentuh kemaluan.

Syarah keseluruhan:
Sepertinya ada hadith yang bertentangan di dalam hal ini. Satu dalil mengatakan batal wudhu’ sekiranya menyentuh kemaluan dan satu lagi dalil mengatakan tidak membatalkan wudhu’.

📍Oleh itu ada ulama’ seperti Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah رحمه الله‎ yang menggabungkan dua hadith ini dan mengatakan: Menyentuh kemaluan membatalkan wudhu’ sekiranya ada syahwat. Maka kalau sentuhan biasa, sebagai contoh hendak membersihkan kemaluan semasa mandi junub, tidaklah membatalkan wudhu’.

4. Memakan daging unta

✍🏻Dalilnya adalah hadith dari Jabir bin Samuroh,

أَنَّ رَجُلاً سَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- أَأَتَوَضَّأُ مِنْ لُحُومِ الْغَنَمِ قَالَ « إِنْ شِئْتَ فَتَوَضَّأْ وَإِنْ شِئْتَ فَلاَ تَوَضَّأْ ». قَالَ أَتَوَضَّأُ مِنْ لُحُومِ الإِبِلِ قَالَ « نَعَمْ فَتَوَضَّأْ مِنْ لُحُومِ الإِبِلِ ».

“Ada seseorang yang bertanya pada Rasulullah ﷺ, “Apakah aku mesti berwudhu’ setelah memakan daging kambing?” Beliau bersabda, “Jika engkau mahu, berwudhu’lah. Namun jika enggan, maka tidak mengapa engkau tidak berwudhu’.” Orang tadi bertanya lagi, “ Apakah seseorang mesti berwudhu’ setelah memakan daging unta?” Beliau bersabda, “ya, engkau harus berwudhu’ setelah memakan daging unta.”
(Muslim no. 360)

Mungkin soalan yang biasa ditanya: Kenapa memakan daging kambing tidak membatalkan wudhu’, tetapi memakan daging unta membatalkan wudhu’ pula? Hati kita selalunya beginilah, hendak juga tahu kenapa dan mengapa. Sedangkan dalil sudah jelas tetapi kita masih juga hendak tahu.

✍🏻Imam Ibnu Taimiyah (Mazhab Hanbali) menjelaskan:

Pertama:
Kita wajib mengikuti apapun yang disampaikan Allah ﷻ dan Rasul-Nya tanpa banyak bertanya, sesuai dengan firman Allah ﷻ:

وقال تعالى: (وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللهُ وَرَسُولُهُ أَمْراً أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَنْ يَعْصِ اللهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ [ضَلَّ ضَلالاً مُبِيناً) [الأحزاب:36]

“Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barang siapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguh dia telah berbuat sesat, dengan kesesatan yang nyata.”
[ Al-Ahzab: 36 ]

Kedua:
Ada juga ulama’ cuba mencari-cari hikmahnya. Tidaklah salah, tetapi tidak pasti kebenarannya. Ini cuma ijtihad dari para ulama’ sahaja.

Kemungkinan hikmahnya adalah kerana memakan daging unta menyebabkan adrenalin naik, badan menjadi panas, darah mengalir lebih cepat, dan kerananya orang menjadi cepat marah.

✍🏻Rasulullah ﷺ mengatakan, انها جن خلقت من جن (sebab unta sejenis jin, ia tercipta dari jin). Oleh kerana itulah, dalam riwayat Abu Daud dikatakan:

الغضب من الشيطان وإن الشيطان من النار وإنما تطفأ النار بالماء فإذا غضب أحدكم فليتوضأ

Marah dari syaitan, dan syaitan dari api. Dan sesungguhnya api dapat dipadamkan dengan air. Maka, jika ada di antara kalian yang marah, hendaklah dia berwudhu’.

Sekali lagi disebut, ini adalah percubaan ulama’ mencari hikmahnya sahaja. Belum pasti tepat.

▪️Mazhab Maliki dan Hanbali mengatakan bahawa memakan daging unta otomatik membatalkan wudhu’ berdasarkan hadith di atas.

▪️Sedangkan Mazhab Hanafi dan Syafi’iy (qaul jadid), memakan daging unta tidak serta merta membatalkan wudhu’.

Oleh kerana kita jarang dapat peluang makan daging unta, maka jaranglah kita kena mengambil wudhu’ semula kerana memakan daging unta.

5. Tidur Lelap (Dalam Keadaan Tidak Sedar)

Seperti biasa, dalam perkara ini ada khilaf dikalangan ulama’. Inilah keluasan fiqah yang kita selalu sebutkan. Maka, kita akan bentangkan secara ringkas apakah dalil dan hujah bagi pegangan- pegangan itu dan kemudian kita akan buat konklusi yang manakah pilihan kita.

1️⃣ Ada ulama’ yang mengatakan tidaklah tidur membatalkan wudhu’ secara mutlak. Maksudnya: tidaklah asal tidur sahaja terus batal. Ia hanya berkemungkinan sahaja menjadi batal.

✍🏻Mereka berdalilkan kepada hadith daripada Anas bin Malik,

أُقِيمَتِ الصَّلاَةُ وَالنَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم- يُنَاجِى رَجُلاً فَلَمْ يَزَلْ يُنَاجِيهِ حَتَّى نَامَ أَصْحَابُهُ ثُمَّ جَاءَ فَصَلَّى بِهِمْ.

“Ketika salat hendak ditegakkan, Nabi ﷺ berbisik-bisik dengan seseorang. Baginda ﷺ terus berbisik-bisik dengannya hingga para sahabat tertidur. Lalu Nabi ﷺ pun datang dan salat bersama mereka.”
[ HR. Muslim no. 376 ]

Syarah:
Kalau mengikut hadith ini, nampaknya sahabat walaupun mereka tertidur, bila mereka terjaga tidaklah mereka ambil wudhu’ pula sebelum memulakan salat.

2️⃣ Ada pendapat yang mengatakan kalau tidur berbaring itu baru batal. Kalau tidur dalam keadaan duduk, itu tidak batal.

Ini kerana apabila duduk, kentut tertahan sebab lubang angin tertutup. Ini juga pendapat Imam Syafie رحمه الله‌‎, sebab itu banyak pemahaman dalam masyarakat kita, kalau tidur duduk atas punggung, tidak batal.

3️⃣ Ada pula pendapat yang mengatakan asal tidur sahaja membatalkan wudhu’, tidak kira sama ada sesaat atau lama. Antara yang berpegang dengan pendapat ini adalah Abu Hurairah, Hasan Al-Basri, Ibnul Musayyab, Az-Zuhri dan Syaikh Al-Albani.

✍🏻Pendapat ini berdasarkan hadith berikut daripada Shafwan bin ‘Assal tentang mengusap khuf.

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُنَا إِذَا كُنَّا مُسَافِرِينَ أَنْ نَمْسَحَ عَلَى خِفَافِنَا وَلَا نَنْزِعَهَا ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ مِنْ غَائِطٍ وَبَوْلٍ وَنَوْمٍ إِلَّا مِنْ جَنَابَةٍ

“Rasulullah ﷺ memerintahkan kepada kami, jika kami bersafar, maka cukup kami mengusap sepatu kami, tanpa perlu melepasnya selama tiga hari. Tidak perlu melepasnya ketika wudhu’ batal kerana membuang air besar, kencing atau tertidur kecuali jika dalam keadaan junub.”
(An Nasai’ no. 127. Syaikh Al-Albani رحمه الله‎mengatakan bahawa hadith ini hasan)

4️⃣ Ada pula pendapat yang mengatakan tidur yang lama akan membatalkan wudhu’. Kalau tidur sesaat sahaja tidak membatalkan wudhu’. Ini jenis orang terlelap sekejap. Kalau mahu kentut pun tidak sempat.

✍🏻Pendapat ini juga menggunakan hadith di atas tadi, daripada Anas bin Malik,

أُقِيمَتِ الصَّلاَةُ وَالنَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم- يُنَاجِى رَجُلاً فَلَمْ يَزَلْ يُنَاجِيهِ حَتَّى نَامَ أَصْحَابُهُ ثُمَّ جَاءَ فَصَلَّى بِهِمْ.

“Ketika salat hendak ditegakkan, Nabi ﷺ berbisik-bisik dengan seseorang. Baginda ﷺ terus berbisik-bisik dengannya hingga para sahabat tertidur. Lalu Nabi ﷺ pun datang dan salat bersama mereka.”

5️⃣Pendapat yang kita pilih, tidur yang lelap yang membatalkan wuduk. Jenis tidur yang tidak sedar langsung apa yang berlaku. Tidak dengar lagi suara luar, kalau barang dari tangan terjatuh pun sudah tidak sedar, air liur meleleh pun sudah tidak perasan lagi.

Ini kerana tidur sebegini berkemungkinan ada hadas iaitu kentut, sebab kalau kencing atau berak, tentu boleh perasan. Namun, kalau kentut, tidak ada kesan. Jadi kalau tidur sesaat, mengantuk, mamai-mamai, tetapi masih boleh mendengar lagi suara orang bersembang, maka tidur sebegini tidak membatalkan wudhu’.

✍🏻Seorang ulama’ bernama Abu Ubaid Al-Qasim memberikan kisah yang menarik. Dia berkata: “Dahulu, aku berfatwa bahawa orang yang tidur duduk tidak wajib berwudhu’. Hingga suatu hari, seorang lelaki duduk di sampingku pada hari Jumaat, kemudian dia tertidur. Tidak lama kemudian, ia buang angin, maka aku berkata kepadanya: “bangun dan berwudhu’ah”. Dia berkata: “Aku belum tidur”. Aku berkata: “sudah, tadi kamu buang angin sehingga batallah wudhu’mu”. Kemudian orang itu bersumpah yang dia tidak membuang angin. Sejak itu, aku tidak menyakini lagi masalah tidur dengan duduk seperti sebelumnya. Aku pun menetapkan lelapnya tidur dan tidurnya hati sebagai pembatal wudhu’.

Maksudnya, kalau tidak lelap, kita akan tahu sama ada kita kentut atau tidak, bukan? Kalau sudah lelap, kita pun tidak pasti sama ada kita kentut atau tidur. Mungkin kita duduk di atas lubang punggung kita, tetapi bagaimana kalau waktu tidur itu kita senget sedikit dan menyebabkan angin boleh keluar?

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan