Utama Bilik (001) Fiqh Asasi Pemula Wudhu’: Kewajipan Wudhu’

Wudhu’: Kewajipan Wudhu’

1433
0
Iklan

Bab : Wudhu’
Bahagian : Wudhu’
Tajuk : Kewajipan-Kewajipan Wudhu’

Rasanya semua faham apakah maksud wudhu’ ini. Jadi tidak perlu kita panjangkan di sini. Kata hafiz ibn Hajar kalimah wudhu’ ini diambil dari al-wadha’ah yang bermaksud ‘bercahaya’. Ini kerana orang yang mengerjakan wudhu’ menjadi bercahaya.

Kita hendaklah menjaga cara-cara mengambil wudhu’ kita kerana terdapat kepentingan dalam wudhu’.

✍🏻Daripada Saidina Umar r.a. : “Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda : “Sesiapa yang berwudhu’ dengan sebaik-baik wudhu’, maka akan keluar dosa-dosanya dari tubuhnya sehingga ia keluar dari celah-celah kukunya.”
[ Hadith Imam Muslim ].

Syarah: maka hendaklah kita belajar bagaimana berwudhu’ dengan baik.

✍🏻Rasulullah SAw bersabda “Beristiqamahlah, namun kamu tidak akan dapat menghitung nilai istiqamah. Ketahuilah, bahawa amalan kamu yang terbaik adalah salat (sembahyang). Yang dapat memelihara wudhu’ hanyalah mukmin (orang yang beriman)”.
[ HR Ahmad dan Ibnu Majah ]

Syarah: wudhu’ adalah syarat untuk solat. Maka hendaklah kita berwudhu’ dengan betul supaya solat kita akan diterima.

✍🏻Sabda Rasululullah s.a.w. “Apabila seseorang hamba muslim atau mukmin berwudhu’, lalu ia mencuci wajahnya, maka akan keluar/gugur dari wajahnya setiap dosa yang ia lihat (yang haram) bersamaan dengan air atau bersama-sama dengan titisan air yang terakhir, apabila ia mencuci kedua tangannya, maka keluar/gugurlah dosa-dosa yang dilakukan kedua tangannya bersamaan dengan air atau bersama-sama dengan titisan air yang terakhir, dan ketika ia membasuh kaki, maka semua dosa yang diperbuat oleh kakinya gugur bersama air dan bersama dengan titisan air yang terakhir, sehinggalah seseorang hamba itu keluar dalam keadaan bersih dari dosa”
[ Riwayat Muslim ] .

Syarah: wudhu’ yang sempurna dapat membersihkan dosa

1. Niat

Amal ibadat tidak sah jika tiada niat. Ini berdasarkan hadith yang mahsyur:

✍🏻Dari Amirul Mu’minin, Abi Hafs Umar bin Al Khattab radhiallahuanhu, dia berkata, “Saya mendengar Rasulullah shallahu`alaihi wa sallam bersabda: Sesungguhnya setiap perbuatan tergantung niatnya.”

Maksudnya niat ini tidak perlu disebut-sebut seperti yang banyak dilakukan oleh masyarakat Islam kita sekarang. Kalau sekarang diajar di sekolah-sekolah adalah dengan menyebut:

“Nawaitu Raf-‘Al Ĥadathil-‘Aşġari Li-LLâhi Ta-‘âlâ“
Maksudnya: Sahaja aku mengangkat hadas kecil kerana ALLâh Ta‘âlâ

📍Ketahuilah bahawa ini adalah tambahan dalam agama dan tidak pernah diajar oleh Nabi dan tidak pernah diamalkan oleh para sahabat dan golongan salaf. Ia sesuatu yang baru dan bid’ah. Ini bukannya bid’ah hasanah

✍🏻Imam Syafie sendiri tidak ajar lafaz niat:
Imam Asy-Syafi’i rhm berkata,

الوسوسة في النية الصلاة و الطهارة من جهل بالشرع أو خبل بالعقل

“Was-was dalam niat solat dan taharah itu adalah kebodohan terhadap syariat atau kekurangan warasan dalam akal”
(Al Amru Bil Ittiba’ Wan Nahyu ‘Anil Ibtida’, 28

Kasihan anak-anak di sekolah kena hafal dan amalkan lafaz niat ini. Kemudian diajar pula ada masa tertentu hendak baca niat. Ada kata masa hendak buka pili air, masa mula cebok air, ada kata masa basuh tangan, ada pula kata masa air kena di muka. Saya juga tidak tahu yang mana satu diajar di sekolah sekarang.

Ajaran inilah yang dipakai oleh kebanyakan orang sampailah dia tua. Padahal ini tidak ada dalam agama! Ia menyusahkan umat Islam yang terpaksa hafal, hendak susun niat dalam kepala dan kena jaga bila masa hendak sebut.

📍Cubalah cari lafaz niat ini dalam hadis, memang tidak akan jumpa. Ia adalah salah faham dari hadis riwayat Umar yang disebut di atas.

Ramai yang menggunakan hadis itu sebagai dalil lafaz niat yang diamalkan sekarang. Namun, kalau belajar hadis itu, memang tidak ada suruh kita melafazkan niat. Memang tidak kena langsung.

📌Niat ini tidak perlu dilafazkan dan tidak perlu disusun dalam kepala. Ia sudah ada kalau kita hendak mengambil wuduk. Maka, tidak perlu sebut sebab ia akan ada. Memang sudah terdetik di dalam hati.

Saya berikan analogi supaya mudah faham. Sebagai contoh kalau kita hendak minum segelas air. Adakah kita sebut: “sengaja aku hendak minum air segelas ini untuk menghilangkan dahaga….” Adakah kita sebut begitu? Tentu tidak ada tetapi adakah anda sudah ada niat hendak minum air?

Kalau tangan anda sudah mencapai dan angkat gelas air itu, tentu anda sudah ada niat, bukan? Maka begitulah juga dengan ibadat. Niat memang kena ada tetapi tidak perlu disebut. Walaupun tidak disebut, ia memang sudah ada.

📍Kenapa disebut kena ada niat dalam syarat wuduk ini? Ini kerana ada kemungkinan kita basuh anggota wuduk tetapi bukan kerana hendak wuduk tetapi kerana sebab-sebab lain.

Terdapat pelbagai kemungkinan antaranya anda basuh muka kerana hendak basuh muka, basuh tangan kerana kepanasan atau basuh kaki kerana ia berdebu. Maka itu bukanlah anda berniat hendak wuduk walaupun bahagian tubuh yang anda basuh itu adalah anggota wuduk.

📍Maka beza antara perbuatan biasa dan perbuatan ibadat adalah dengan niat.

2. Tasmiyah (membaca بسم الله)

Bagaimana hukum membaca بسم الله di awal wudhu’?

Apakah ia wajib atau sunnah? Khilaf ulama’ tentang hal ini. Sebelum itu, mungkin ada yang tidak pernah mendengar istilah ‘tasmiyah’.

Ada dua istilah yang berbeza:

Tasmiyah: membaca بسم الله sahaja.
Basmallah: membaca penuh: بسم الله الرحمن الرحيم

Maknanya, paling kurang dibaca semasa mengambil wudhu’ adalah membaca tasmiyah. Menurut pendapat majoriti ulama’, iaitu ulama’ Hanafiyah, ulama Syafi’iyah, dan salah satu pendapat dari Imam Ahmad, membaca bismillah ketika wudhu’ dihukumi sunat (tidak wajib).

Akan tetapi ada ulama seperti penulis kitab Fiqh Praktis (Syaikh Husain bin ‘Audah al-Awayisyah, anak murid Syeikh Albani) yang kita sedang gunakan ini, Imam Syaukani, Syeikh Albani mengatakan ia wajib berdasarkan hadith yang akan kita berikan sebentar lagi. Oleh kerana itulah tasmiyah dimasukkan di dalam senarai kewajiban dalam berwudhu’.

✍🏻Dalil yang digunakan sebagai sandaran adalah hadith dari Abu Hurairah, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لاَ وُضُوءَ لَهُ وَلاَ وُضُوءَ لِمَنْ لَمْ يَذْكُرِ اسْمَ اللَّهِ تَعَالَى عَلَيْهِ

“Tidak ada solat bagi yang tidak ada wudhu’. Tidak ada wudhu’ bagi yang tidak membaca bismillah di dalamnya.”
(Abu Daud no. 101 dan Ibnu Majah no. 399. Al Hafizh Abu Thohir mengatakan bahawa hadith ini hasan).

Sebahagian ulama’ mendhaifkan hadith ini, namun dari berbagai jalur, hadith ini menjadi kuat. Jadi kerana itu, ada yang mengatakan membaca bismillah adalah wajib. Sekiranya terlupa, perlu mengulang semula wudhu.

📍Kita hendak memberikan pandangan yang lain, iaitu ia sunat. Ini kerana ada juga pendapat yang mengatakan penafian (tidak ada wudhu’ bagi yang tidak membaca bismillah) yang disebutkan dalam hadith adalah menidakkan kesempurnaan. Jadi ia bermaksud adalah tidak sempurna wudhu’nya. Bukanlah tidak sah wudhu’ itu.

Satu lagi hujah yang mengatakan bacaan Tasmiyah tidak wajib adalah berdasarkan pembacaan terhadap hadith-hadith berkenaan wudhu’. Apabila disebut langkah-langkah berwudhu’ itu tidaklah disebut bacaan Tasmiyah di dalamnya.

✍🏻Sebagai contoh, mari kita lihat hadith dari ‘Abdullah bin Zaid,

عَنْ عَمْرٍو عَنْ أَبِيهِ شَهِدْتُ عَمْرَو بْنَ أَبِى حَسَنٍ سَأَلَ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ زَيْدٍ عَنْ وُضُوءِ النَّبِىِّ – صلى الله عليه وسلم – فَدَعَا بِتَوْرٍ مِنْ مَاءٍ ، فَتَوَضَّأَ لَهُمْ وُضُوءَ النَّبِىِّ – صلى الله عليه وسلم – فَأَكْفَأَ عَلَى يَدِهِ مِنَ التَّوْرِ ، فَغَسَلَ يَدَيْهِ ثَلاَثًا ، ثُمَّ أَدْخَلَ يَدَهُ فِى التَّوْرِ ، فَمَضْمَضَ وَاسْتَنْشَقَ وَاسْتَنْثَرَ ثَلاَثَ غَرَفَاتٍ ، ثُمَّ أَدْخَلَ يَدَهُ فَغَسَلَ وَجْهَهُ ثَلاَثًا ، ثُمَّ أَدْخَلَ يَدَهُ فَغَسَلَ يَدَيْهِ مَرَّتَيْنِ إِلَى الْمِرْفَقَيْنِ مَرَّتَيْنِ ، ثُمَّ أَدْخَلَ يَدَهُ فَمَسَحَ رَأْسَهُ ، فَأَقْبَلَ بِهِمَا وَأَدْبَرَ مَرَّةً وَاحِدَةً ، ثُمَّ غَسَلَ رِجْلَيْهِ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Amr bin Yahya Al Mazini menuturkan dari bapanya bahawa dia mengatakan, “Aku menyaksikan Amr bin Abi Hasan bertanya kepada Abdullah bin Zaid tentang tata cara wudhu’ Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam. ‘Abdullah lantas meminta sebekas air, dan memberikan contoh berwudhu kepada orang-orang sesuai yang diamalkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam. Beliau menuangkan air dari bekas tersebut pada kedua telapak tangannya, lalu membasuhnya tiga kali. Beliau lantas mencelupkan kedua tangannya ke dalam bekas lalu berkumur-kumur, memasukkan air ke dalam hidung dan mengeluarkannya tiga kali menggunakan tiga cedokan tangan. Beliau lantas mencelupkan tangannya ke dalam bekas tersebut dan membasuh wajahnya tiga kali. Beliau lalu mencelupkan tangannya ke dalam bekas dan membasuh tangannya itu sampai ke siku sebanyak dua kali. Beliau kemudian mencelupkan tangannya dan menggunakannya untuk mengusap kepala sekali dari belakang ke depan dan kembali dari depan ke belakang. Beliau lalu membasuh kedua kakinya hingga mata kaki.”
(Bukhari no. 185 dan Muslim no. 18).

Syarah:
Dalam hadith ini tidak disebutkan bacaan bismillah, walhal Abdullah bin Zaid sedang mencontohkan cara wudhu’ Nabi SAW.

Kesimpulan:
Bacaan Tasmiyah sebelum berwudhu’ adalah sunnah yang kuat. Maka, janganlah kita tinggalkan dengan sengaja. Cuma sekiranya terlupa, maka tidaklah perlu mengulangi semula wuduk.

Isu:
Mungkin yang menghalang masyarakat kita membaca bismillah sebelum berwdhu’ adalah kerana selalunya kita mengambil wudhu’ di dalam tandas, benarkan? Oleh kerana tidak boleh menyebut nama Allah SWT di dalam tandas, maka ramai yang takut membaca bismillah.

Sebenarnya larangan menyebut nama Allah SWT adalah dalam tandas yang ada najis di dalamnya. Begitulah keadaan tempat membuang air di zaman Nabi Muhammad SAW atau zaman P Ramlee. Zaman sekarang tandas kita tidak semestinya ada najis di dalamnya. Ini kerana semua sudah di flush. Maka, tiada salah sekiranya membaca bismillah dalam tandas di zaman sekarang.

3. Berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung.

✍🏻Dari Laqith bin Shabirah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

إِذَا تَوَضَّأْتَ فَمَضْمِضْ
“Jika engkau ingin berwudhu’, maka berkumur-kumurlah (madh-madha).”
(Abu Daud, no. 144. Al-Hafizh Abu Thahir mengatakan bahawa sanad hadith ini sahih.)

✍🏻Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

إِذَا تَوَضَّأَ أَحَدُكُمْ فَلْيَسْتَنْشِقْ بِمَنْخِرَيْهِ مِنَ الْمَاءِ ثُمَّ لْيَنْتَثِرْ

“Jika salah seorang di antara kalian berwudhu’, maka hendaklah ia menghirup air ke lubang hidungnya (istinsyaq), lalu ia keluarkan (istintsar).” (Muslim, no. 237)

Para ulama’ berbeza pendapat tentang hukum berkumur dan beristinsyaq (memasukkan air ke hidung) dalam wudhu’ dan mandi. Maka, ada pendapat yang mengatakan ia sunat sahaja dan ada yang berpendapat ia wajib.

✍🏻Menurut Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Syafie, hukum berkumur dan memasukkan air ke hidung adalah sunat. Oleh kerana itu kita dapat lihat keadaan di Malaysia, jarang masyarakat memasukkan air ke dalam hidung.

✍🏻Menurut Imam Ahmad hukumnya adalah wajib dan termasuk di dalam salah satu syarat membasuh muka ketika wudhu’. Oleh itu yang kuat di antara pendapat tersebut adalah bahawa keduanya wajib. Maka, tidak sah berwudhu’ dan mandi kecuali dengan melakukan keduanya. Ini kerana keduanya termasuk wajah yang telah diperintahkan oleh Allah dalam ayat Al-Quran yang mulia [ Maidah: 6 ].

✍🏻Syaikh Sholeh Al-Fauzan rahimahullah berkata, “Siapa yang membasuh wajahnya dan meninggalkan berkumur dan istinsyaq atau salah satunya, maka wudhu’nya tidak sah kerana mulut dan hidung termasuk wajah sebagaimana firman Allah ta’ala, فَاغسِلوا وُجوهَكُم “Maka basuhlah wajah-wajah kalian.” [ Maidah: 6 ]

✍🏻Maka, Allah memerintahkan untuk membasuh semua wajahnya. Siapa yang meninggalkan sesuatu, maka dia tidak termasuk orang yang melaksanakan perintah Allah ta’ala. Dan Nabi sallallahu’alaihi wa sallam berkumur dan beristinsyaq.” (Al-Mulakhas Al-Fiqhi, 1/41).

Mungkin ada yang berkata, ayat [ Maidah: 6 ] tidak ada menyebutkan berkumur dan istinsyaq. Benar tetapi hal itu bukan bererti tidak wajib. Ini kerana sunnah dari Nabi Muhammad SAW merupakan penjelasan kepada Al-Quran. Al-Quran menyebut secara ringkas sahaja dan pemahaman kita dapat dari amalan baginda SAW.

Jadi, kita perlu pelajari dan melihat bagaimana cara Nabi SAW berwudhu’, benar, kan? Sunnah menjelaskan baginda SAW berkumur dan istinsyaq. Nabi SAW tidak pernah melalaikan keduanya atau salah satunya dalam berwudhu’. Maka hal ini merupakan penjelasan perintah yang ada di dalam Al-Quran dengan membasuh wajah ketika bersuci.

4. Membasuh wajah satu kali

Batasan wajah (muka) adalah mulai dari tempat tumbuhnya rambut kepala yang normal sampai dagu (janggut), dan dari telinga kanan sampai telinga kiri.

Sekurang-kurangnya wajib dibasuh sekali dan sunat dibasuh dua atau tiga kali.

5. Menyela-nyela janggut

✍🏻Ada hadith dari ‘Utsman bin ‘Affan radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata,

أَنَّ النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- كَانَ يُخَلِّلُ لِحْيَتَهُ

“Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam biasa menyela-nyela janggutnya (ketika berwudhu).”
(Tirmidzi, no. 31 dan Ibnu Majah, no. 430. Al-Hafizh Abu Thahir mengatakan bahawa sanad hadith ini hasan)

Yang penting adalah mahu sampaikan air ke dagu. Jika janggut seseorang itu tipis (hidup segan, mati tidak mahu), dagu dan kulitnya ikut terbasuh ketika berwudhu’. Bagi yang mempunyai janggut yang tebal wajib dicuci kerana janggut tersebut tumbuh di bahagian yang wajib dibasuh (bahagian wajah).

Kita ketahui bahawasanya janggut Nabi SAW tebal dan tentu sulit bagi baginda untuk membasuh janggut yang tebal hingga sampai air ke dagu. Maka baginda SAW ambil air yang khusus untuk membasuh janggut baginda.

✍🏻Hal ini kita ketahui dari hadith yang lain:

عن أنس –يعني ابن مالك-: أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه و سلم كَانَ إِذَا تَوَضَّأَ أَخَذَ كَفًّا مِنْ مَاءٍ فَأَدْخَلَهُ تَحْتَ حَنَكِهِ فَخَلَّلَ بِهِ لِحْيَتَهُ وَ قَالَ هَكَذَا أَمَرَنيِ رَبيِّ عز و جل

Dari Anas bin Malik radliyallahu anhu bahawasanya Rasulullah Shallallahu alaihi wa sallam apabila berwudhu’ mengambil satu telapak tangan air lalu memasukkannya ke bawah dagunya lalu menyela-nyela janggutnya dengannya dan baginda bersabda, “Demikianlah Rabb Azza wa Jalla telah memerintahku”.
[Abu Dawud: 145. Berkata asy-Syaikh al-Albaniy: Sahih].

6. Membasuh dua tangan hingga ke siku

Minima membasuh tangan dalam wudhu’ adalah sekali dan maksima tiga kali. Dan pembasuhan tangan itu hendaklah sampai ke siku. Maka kita lebihkan supaya tidak ada kekurangan. Ini kita akan bincangkan dengan panjang lebar nanti dalam tatacara berwudhu’. Sekarang kita cuma senaraikan sahaja.

Saya pernah melihat orang yang membasuh tangan tetapi tidak menjaga sikunya. Maka, wudhu’nya tidak sah dengan cara begitu.

7. Mengusap kepala satu kali

✍🏻Dalil-dalil tentang pengusapan tersebut adalah sebagai berikut,

قال الله سبحانه و تعالى ((وَ امْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ))

Telah berfirman Allah Subhanahu wa ta’ala ((dan usaplah kepala kalian))

Berbeza dengan bahagian anggota wudhu’ yang lain, bahagian kepala cuma perlu dibasuh sekali sahaja. Ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam tatacara berwudhu’. Nanti akan disebut cara usap kepala.

8. Mengusap kedua telinga satu kali

✍🏻Telinga adalah sebahagian dari kepala sahaja dan terus disapu setelah disapu kepala. Ini berdasarkan hadis:

اْلأُذُنَانِ مِنْ الرَّأْسِ

kedua telinga bahagian dari kepala.
[Abu Daud no. 134, Tirmidzi no. 37 dan Ibnu Majah no. 444. Al-Hafizh Abu Thahir mengatakan bahawa sanad hadith ini hasan]

Syarah:
Disebutkan bahawa kedua telinga adalah bahagian dari kepala. Dan kepala adalah salah satu dari rukun wudhu’. Jadinya, sebagaimana kepala itu diusap, maka telinga pula demikian. Maka kewajiban mengusap telinga memiliki dalil dari Al-Quran.

Maka, tidak ada keperluan untuk menggunakan air lain yang khusus untuk membasuh telinga tetapi terus sahaja disapu telinga setelah disapu kepala. Situasi yang kita lihat sekarang, ramai dari kalangan kita yang membasuh telinga berasingan, tidak disekalikan dengan kepala. Ini tidak ada dalam hadith.

9. Membasuh dua kaki sampai ke mata kaki

✍🏻Ini seperti firman Allah dalam [ Maidah: 6 ]

وَأَرجُلَكُم إِلَى الكَعبَينِ

dan (basuh) kakimu sampai dengan kedua mata kaki,

10. Menyela-nyela jari tangan dan kaki

Yang perlu diperhatikan juga di dalam pembasuhan kedua kaki adalah menyela-nyela jari jemari kaki seperti yang telah diperintahkan pada jari jemari tangan.

Tahukah anda apa yang dimaksudan dengan menyela-nyela? Ia bermaksud memasukkan jari di celah-celah jari tangan dan kaki supaya air sampai ke bahagian celah-celah jari.

✍🏻Ini berdasarkan hadith:

عن لقيط بن صبرة قَالَ: فَقُلْتُ يَا رَسُوْلَ اللهِ أَخْبِرْنيِ عَنِ اْلوُضُوْءِ! قَالَ: أَسْبِغِ اْلوُضُوْءَ وَ خَلِّلْ بَيْنَ اْلأَصَابِعِ وَ بَالِغْ فىِ اْلاِسْتِنْشَاقِ إِلاَّ أَنْ تَكُوْنَ صَائِمًا

Dari Luqaith bin Shabrah radliyallahu anhu berkata, aku bertanya, “Wahai Rasulullah khabarkan kepadaku tentang wudhu’!”. Baginda menjawab, “Sempurnakan wudhu’, sela-selalah jari jemarimu dan bersungguh-sungguhlah di dalam istinsyaq kecuali jika kamu sedang puasa”.
[an-Nasa’iy: I/ 66, Abu Dawud: 142, Ibnu Majah: 407, Ibnu Khuzaimah: 150, 168, al-Hakim: 537 dan Ahmad: IV/ 33. Berkata asy-Syaikh al-Albaniy: Sahih].

Sekiranya jari-jari tangan memang sudah sedia terbuka(renggang), maka senang mahu kenakan air kepada bahagian jari tangan. Sekiranya bahagian kaki lebih tertutup maka kena ada usaha untuk menyela-nyela di celah-celah jari kaki. Ini pun jarang dijaga oleh masyarakat kita.

11. Berturut (sambung menyambung) dalam berwuduk

Ulama’ fiqah berbeza pendapat sama ada wudhu’ perlu mengikut susunan atau tidak. Dimulakan dengan basuh tangan sampaikan kepada basuhan kaki.

Majoriti dari kalangan ulama berpendapat bahawa berurutan (tertib) dalam membasuh anggota wudhu ketika berwudhu hukumnya wajib.

12. Memulai dari sebelah kanan

✍🏻Dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, ia berkata

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ «يُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ، فِي تَنَعُّلِهِ، وَتَرَجُّلِهِ، وَطُهُورِهِ، وَفِي شَأْنِهِ كُلِّهِ

“Dahulu Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam amat menyukai memulai dengan kanan dalam mengenakan sandal, menyisir rambut, bersuci dan dalam urusannya yang penting semuanya” (Muttafaqun ‘alaih).

وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ – رضي الله عنه – قَالَ: قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – – إِذَا تَوَضَّأْتُمْ فَابْدَأُوا بِمَيَامِنِكُمْ – أَخْرَجَهُ اَلْأَرْبَعَةُ, وَصَحَّحَهُ اِبْنُ خُزَيْمَة َ

“Dan dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, ia berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Jika kalian mulai berwudhu’`maka dahulukan anggota sebelah kanan.”

Hadith diriwayatkan oleh Imam yang empat dan dinilai sahih oleh Ibnu Khuzaimah.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan