Utama Bilik (09) Ulum Al-Quran 06.09 Turunnya Sesuatu Ayat Dahulu Sebelum Hukumnya

06.09 Turunnya Sesuatu Ayat Dahulu Sebelum Hukumnya

275
0
Iklan

Panel: BroSyarief
#130818 Bilik (09) Ulum al-Quran – Bab Sebab-sebab Penurunan al-Quran (أَسْبَابُ النُّزُول)

06.09 Turunnya Sesuatu Ayat Dahulu Sebelum Hukumnya – تَقَدُّمُ نُزُولِ الْآيَةِ عَلَى الْحُكْمِ

az-Zarkasyi (w.794H) menyebutkan satu jenis perbincangan yang berkait dengan sebab-sebab penurunan ayat, yang dinamakan dengan istilah – تَقَدُّمُ نُزُولِ الْآيَةِ عَلَى الْحُكْمِ -, yang bermaksud: Didahulukan Penurunan Ayat Sebelum (Ditetapkan) Hukumnya.

Adapun merujuk kepada contoh yang beliau sebutkan di bawah topik ini sebenarnya tidaklah menunjukkan bahawa terdapatnya ayat yang turun mengenai hukum tertentu lalu mereka tidak mengamalkannya kecuali selepas tempoh waktu tertentu, di mana ianya lewat.

Malah ia sebenarnya menunjukkan bahawa ayat tersebut turun dalam lafaz yang luas konteksnya, membawa kemungkinan lebih dari sekadar satu makna; sehingga kemudiannya ditafsirkan mengikut salah satu makna tersebut, menjadikan penilaian hukumnya datang kemudian.

az-Zarkasyi menyebutkan,

واعلم أنه قد يكون النزول سابقا على الحكم وهذا كقوله تعالى {قد أفلح من تزكى}

‘Ketahuilah bahawa ada penurunan yang berlaku mendahului hukumnya. Contohnya pada ayat berikut,

قَدْ أَفْلَحَ مَن تَزَكَّىٰ

“Orang yang menyucikan (diri dan hartanya) pasti akan berjaya!”

[al-A’la(87):14]

فإنه يستدل بها على زكاة الفطر روى البيهقي بسنده إلى ابن عمر

Ayat ini menjadi dalil bagi zakat fitrah, sebagaimana diriwayatkan oleh al-Bayhaqi dengan sanadnya bersambung kepada Ibn ‘Umar

أنها نزلت في زكاة رمضان ثم أسند مرفوعا نحوه

Di mana ayat itu diturunkan untuk menyentuh hal zakat Ramadhan, kemudian ianya disandarkan secara marfu’ (kepada Nabi – sallalLaahu ‘alaihi wa sallam -) melalui Ibn ‘Umar.

وقال بعضهم لا أدري ما وجه هذا التأويل لأن هذه السورة مكية ولم يكن بمكة عيد ولا زكاة

Sebahagian ulama menyebutkan: Aku tak jelas bagaimana penafsiran ayat ini, kerana surah ini adalah surah Makki, sedangkan (di zaman sebelum hijrah) di Mekah belum disyariatkan hari raya, apatah lagi zakat.”

[al-Burhan fi ‘Ulum al-Quran, (1/32-33)]

Imam al-Baghawi (w.516H) menjawab persoalan yang ditimbul oleh sebahagian ulama sebagaimana dinukilkan oleh az-Zarkasyi di atas dengan penurunan ayat mendahului (praktik perlaksanaan) hukum (pengajaran)nya.

Sebagaimana firman Allah ‘azza wa jalla,

لَا أُقْسِمُ بِهَذَا الْبَلَدِ وَأَنْتَ حِلٌّ بِهَذَا الْبَلَدِ

“Tidak! Aku bersumpah dengan negeri ini! Engkau sekarang bebas (untuk memerintah) di negeri ini!”

[al-Balad(90):1-2]

al-Baghawi kemudiannya menyebutkan bahawa surah ini Makki, dan terbukti jelas realisasi makna ayat tersebut berlaku ketika pembukaan Mekah (yang berlaku jauh selepas peristiwa Hijrah).

[Tafsir al-Baghawi, (8/402)]

walLaahu a’lam

Ruj: Mabahits fi ‘Ulum al-Quran, karangan Ust Manna’ Khalil al-Qattan, Cet. ke-7, m/s 89.
__

#صحح_لي_إن_كنت_مخطئاً
#BroSyariefShares

Komen dan Soalan