Utama Bilik (001) Fiqh Asasi Pemula Thaharah: Jenis-Jenis Najis

Thaharah: Jenis-Jenis Najis

2605
0
Iklan

Jenis-Jenis Najis (sambungan)

8. Daging binatang buas

Binatang buas tidak boleh dimakan, jadi dagingnya adalah najis.

✍🏻Nabi ﷺ bersabda,
كُلُّ ذِي نَابٍ مِنْ السِّبَاعِ فَأَكْلُهُ حَرَامٌ

“Setiap binatang buas yang bertaring, maka memakannya adalah haram.”
(HR. Muslim no. 1933)

Rasanya tidak ada masalah di negara ini kerana kita tidak makan binatang buas.

9. Daging keldai

Daging keldai tidak boleh dimakan maka dagingnya najis. Maka ini juga tidak menjadi masalah di negara kita kerana tidak ada yang memakan keldai.

10. Haiwan jallaalah

Haiwan jallaalah adalah haiwan (seperti unta, sapi, kambing atau ikan) yang telah memakan najis.

Para ulama mengatakan bahawa daging atau susu dari haiwan jallaalah tidak boleh dimakan.

✍🏻Dasar larangan hal ini adalah hadith Ibnu ‘Umar,

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- عَنْ أَكْلِ الْجَلاَّلَةِ وَأَلْبَانِهَا.

“Rasulullah ﷺ melarang dari mengkonsumsi haiwan jalaalah dan susu yang dihasilkan darinya.”
(HR. Abu Daud no. 3785 dan At Tirmidzi no. 1824. Syaikh Al Albani mengatakan bahwa hadith ini shahih)

Haiwan jallaalah boleh dimakan apabila bau-bau najisnya hilang setelah diberi makan makanan yang bersih, inilah pendapat yang sahih.

✍🏻Ada riwayat dari para salaf, di antara mereka memberikan jarak waktu haiwan jallaalah tadi diberi makan yang bersih-bersih sehingga kembali halal dimakan. Satu pendapat mengatakan kena dikuarantinkan selama 3 hari sambil diberi makanan yang bersih.

11. Tulang, bulu dan tanduk haiwan-haiwan yang najis.

Semua dikira najis kalau ia datang dari binatang yang najis kerana asalnya dari benda yang najis.

Sisa minuman yang suci

1. Sisa minuman manusia.

Sisa makanan dan minuman manusia tidak najis walaupun mereka itu adalah orang kafir kerana mereka tidak najis.

Cuma yang najis adalah akidah mereka. Ini penting kerana ada salah faham sehingga hendak berjabat tangan dengan orang kafir terasa takut. Ada yang menyangka berjabat tangan dengan orang kafir itu sampai membatalkan wuduk. Tidaklah begitu.

Ini adalah salah penafsiran terhadap ayat [ Tawbah: 28 ]:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلَا يَقْرَبُوا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَٰذَا

Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjid Al-Haraam sesudah tahun ini;

Syarah: Hanya yang najis adalah akidah mereka. Bukannya tubuh badan mereka.

Islam juga tidak menganggap perempuan yang di dalam haidh sebagai najis atau kotor.

✍🏻Rasulullah pernah meminum sisa minuman ‘Aisyah ketika dia sedang haid, bahkan bibir baginda pun diletakkan tepat pada tempat bibir ‘Aisyah sebelumnya.”
(HR. Muslim)

Ini berlawanan dengan agama lain seperti Yahudi, contohnya yang menjauhkan wanita dari orang lain semasa wanita itu di dalam haidh. Sampaikan tidak boleh duduk makan sekali.

Orang kita juga mungkin ada yang tersalah faham kerana apabila seseorang itu sedang haidh, dia berkata: “saya dalam kotor”. Bila mengunakan kalimah ‘kotor’ agaknya mungkin itu punca ada yang salah sangka.

📍Oleh itu, kita perlulah tahu membezakan di antara najis maknawi (figuratif) dan najis haqiqi (memang betul-betul najis). Kalau dikatakan orang kafir itu najis, ia adalah najis maknawi sahaja (dari segi makna), bukan haqiqi (bukanlah mereka benar-benar najis).

2. Sisa minuman haiwan yang boleh dimakan dagingnya

Ini kerana di dalam syarak, binatang yang boleh dimakan, tubuh mereka bukanlah najis. Maka bekas jilatan mereka juga tidak najis. Haiwan seperti kuda, lembu, burung dan lainnya.

Hukum asal semua binatang adalah suci sehinggalah ada dalil yang menjelaskan kenajisannya.

3. Sisa air minuman kucing

Kucing tidak boleh dimakan tetapi sisa minuman mereka bukan najis.

✍️Dalam Riwayat Bukhari ada disebut:

حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْلَمَةَ الْقَعْنَبِيُّ عَنْ مَالِكٍ عَنْ إسحاق بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي طَلْحَةَ عَنْ حُمَيْدَةَ بِنْتِ عُبَيْدِ بْنِ رِفَاعَةَ عَنْ كَبْشَةَ بِنْتِ كَعْبِ بْنِ مَالِكٍ وَكَانَتْ تَحْتَ ابْنِ أَبِي قَتَادَةَ أَنَّ أَبَا قَتَادَةَ دَخَلَ فَسَكَبَتْ لَهُ وَضُوءًا فَجَاءَتْ هِرَّةٌ فَشَرِبَتْ مِنْهُ فَأَصْغَى لَهَا الانَاءَ حَتَّى شَرِبَتْ قَالَتْ كَبْشَةُ فَرَآنِي أَنْظُرُ إِلَيْهِ فَقَالَ أَتَعْجَبِينَ يَا ابْنَةَ أَخِي فَقُلْتُ نَعَمْ فَقَالَ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ إِنَّهَا مِنَ الطَّوَّافِينَ عَلَيْكُمْ وَالطَّوَّافَاتِ

75 – `Abdullah bin Maslamah Al-Qa`nabi meriwayatkan kepada kami daripada Malik daripada Ishak bin `Abdillah bin Abi Thalhah daripada Humaidah binti `Ubaid bin Rifa`ah daripada Kabsyah binti Ka`b bin Malik – beliau ialah isteri kepada anak Abi Qatadah – bahawa Abu Qatadah telah masuk ke rumahnya lalu beliau (Kabsyah) pun menuangkan air wudhu’ kepadanya. Tiba-tiba datang seekor kucing terus sahaja kucing itu meminum air dari bekas itu. Dia pun menyenggengkan bekas tersebut supaya kucing itu dapat minum. Kabsyah berkata: Abu Qatadah pun melihat aku memerhatikan kepadanya maka dia pun berkata: “Adakah engkau berasa hairan wahai anak saudaraku”? Maka aku pun mengiyakannya. Abu Qatadah pun berkata berkata bahawa Rasullullah SAW berkata “Sesungguhnya” kucing itu bukan najis, ia ialah sebahagian (binatang) yang lalu-lalang di antara kamu dalam kalangan lelaki dan perempuan”

SESI SOAL JAWAB
========================

1) Mengapakah daging keldai dianggap najis?

🔵 Daging keldai di anggap najis kerana ia kotor.

Hal ini sebagaimana maksud hadith berikut:

وَعَنْهُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ : لَمَّا كَانَ يَوْمُ خَيْبَرَ أَمَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبَا طَلْحَةَ فَنَادَى إنَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ يَنْهَيَانِكُمْ عَنْ لُحُومِ الْحُمُرِ الْأَهْلِيَّةِ فَإِنَّهَا رِجْسٌ مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ

Dari Anas Ibnu Malik رضي الله عنه, dia berkata: “Ketika hari perang Khaibar Rasulullah ﷺ memerintahkan Abu Thalhah, kemudian menyeru: “Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya melarang engkau sekalian memakan daging keldai negeri (bukan yang liar) kerana ia kotor.” (Muttafaq Alaihi)

2) Adakah status tulang, bulu dan tanduk yang kering tetap najis?

🔵 Jika tulang, tanduk, atau bulu itu kering, ia tidak memindahkan kekotoran.

3) Adakah daging haiwan yang ditunggangi seperti kuda juga tidak boleh dimakan?

🔵 Tidak. Hanya keldai sahaja. Kuda boleh dimakan.

4) Adakah tulang yang dimaksudkan ini adalah dari haiwan buas atau keldai?

🔵 Maksudnya tulang dari binatang yang najis. Keldai dan babi pula dari binatang buas.

5) Benarkah orang kafir tidak boleh menghampiri Masjidil Haram dan bagaimana pula dengan masjid di tempat kita?

🔵 Benar, orang kafir tidak boleh menghampiri Masjidilharam. Namun masjid di tempat kita mereka digalakkan masuk.

6) Adakah benar memakan daging unta membatalkan wudhu’ dan apakah hikmahnya?

🔵 Ya, benar. Namun hikmahnya saya tidak tahu. Bukan semua perkara ulama’ tahu. Hikmah ini pun adalah ijtihad ulama’ sahaja. Yang pasti ada dalil mengatakan bahawa ia membatalkan wudhu’. Tetapi sebabnya tidak dijelaskan. Cuma ulama’ selalunya akan cuba mencari punca mengapa sesuatu perkara itu dilarang. Tetapi kita harus tahu yang ianya adalah ijtihad sahaja.

7) Sisa air minuman kucing bukan najis, adakah arnab juga boleh dikiaskan seperti kucing?

🔵 Arnab adalah haiwan yang boleh dimakan jadi bekas jilatannya tidak najis. Manakala kucing dikhususkan di dalam hadith kerana kucing tidak boleh dimakan namun sisa air minumannya tidak najis.

8) Apakah hikmah kucing disebut di dalam hadith?

🔵 Kerana kucing adalah haiwan yang tinggal bersama kita dan susah untuk di kawal.

9) Adakah perbahasan mengenai jenis-jenis lalat?

🔵 Tiada. Sama hukum untuk semua jenis lalat.

10) Adakah roti yang telah ditebuk tupai masih boleh dimakan?

🔵 Jumhur ulama mengatakan yang tupai halal dimakan maka sisa tupai tidak najis.

2. Perkara yang disangka najis tetapi bukan

1. Sisa air minuman anjing

✍🏻Sabda Rasulullah ﷺ, “Bersihnya bejana kalian jika dijilat anjing adalah dengan mencucinya sebanyak tujuh kali, cucian pertamanya menggunakan tanah.” (Muttafaq ‘alaih)

Maka kalau ternampak bekas minuman anjing maka itu adalah najis. Kalau tidak mahu pakai bekas itu lagi, maka buanglah. Kalau hendak dipakai kembali, maka kena sertu (bukan samak).

Andai melihat najis, kita dipertanggungjawabkan mencuci sekiranya ternampak najis itu atau ternampak kejadian itu. Kalau setakat anjing lalu di hadapan rumah sahaja, tidaklah kita dipertanggungjawabkan untuk membasuh jalan, beranda atau rumah kita.

📍Jadi tidak perlu untuk sertu rumah yang asalnya diduduki oleh bangsa/agama lain, atau takut hendak memberi penganut agama lain menyewa rumah kita, atau takut hendak berkongsi kedai dobi dengan mereka.

2. Sisa air minum keldai

Keldai tidak boleh dimakan kerana dalil:

✍🏻“Ketika Rasulullah ﷺ menaklukkan Khaibar, kami menangkap seekor keldai di luar desa itu, lalu kami memasaknya. Kemudian datang utusan Rasulullah ﷺ , seraya berseru: Ketahuilah, sesungguhnya Allah سبحانه و تعالى dan Rasul-Nya telah melarang kalian memakan keldai, kerana keldai itu najis, dan kerana termasuk perbuatan syaitan. Maka periuk-periuk dengan isinya pun ditumpahkan, periuk dengan semua isinya tertumpah.”
(HR. Muslim dan Bukhari)

Orang Melayu tidak makan keldai jadi tiada masalah di sini. Maka, keldai boleh ditunggangi tetapi tidak boleh dimakan.

3. Sisa air minuman babi

Sisa minuman babi adalah najis. Namun tidaklah perlu disertu. Hanya kena basuh seperti biasa sahaja dengan air.

4. Sisa air minuman binatang buas

✍🏻“Aku mendengar Rasulullah ﷺ, ketika ditanya tentang air yang ada di tanah lapang dan air yang suka didatangi oleh binatang buas dan haiwan tunggangan. Dia berkata: Rasulullah ﷺ menjawab: “Jika air itu dua qullah maka tidak akan mengandungi kotoran (najis).”
(HR. Tirmidzi, Ahmad dan Abu Dawud)

Maksud Nabi SAW, kalau air sudah dua qullah maka air itu banyak dan tidak mengubah warna, bau dan rasa air itu. Sila rujuk nota dua qullah sebelum ini.

📍Binatang buas dikira sebagai najis kerana ia biasanya memakan bangkai dan benda najis, sehingga mulutnya turut menjadi najis. Tidak ada sesuatupun yang boleh mensucikannya.
Binatang mana ada gosok gigi, kan?

2. Khamr (arak)

Ada yang menyangka arak adalah najis berlandaskan ayat [ Maidah: 90 ]

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا إِنَّمَا الخَمرُ وَالمَيسِرُ وَالأَنصابُ وَالأَزلامُ رِجسٌ مِن عَمَلِ الشَّيطانِ

Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan.

Kalimah رِجسٌ dalam ayat ini menyebabkan ramai yang menyangka arak itu najis. Ini tidak benar. Ia bukanlah najis dalam bentuk fizikal (najis ‘aini) tetapi najis dari segi hukum sahaja (najis hukmi).

Benda yang haram tidak semestinya najis. Kalaulah yang haram itu terus menjadi najis, maka emak, anak perempuan dan wanita lain turut menjadi ‘najis’ lah juga seperti yang disebut dalam [ Nisa: 23 ]

حُرِّمَت عَلَيكُم أُمَّهاتُكُم وَبَناتُكُم وَأَخَواتُكُم وَعَمّاتُكُم…

Diharamkan atas kamu (mengahwini) ibu-ibumu; anak-anakmu yang perempuan; saudara-saudaramu yang perempuan, saudara-saudara bapakmu yang perempuan;

Jadi sekiranya arak terkena pada baju, tidaklah haram dibawa ke dalam solat. Walaupun begitu tidaklah pula kita berkata boleh diminum arak itu. Sama juga dengan air mani sebelum ini: bukanlah bila kita berkata ia tidak najis, bererti boleh diminum pula.

📍Satu konsep yang perlu kita fahami: Hukum asal semua benda adalah suci, dan pengharamannya tidaklah terus menjadikan ia najis.

3. Kotoran dan air kencing haiwan yang halal dimakan dagingnya

Hal ini mungkin pelik bagi sesetengah orang hendak menerimanya tetapi pendapat ini berdasarkan kepada hadith yang sahih:

✍🏻Ada riwayat dari Anas bin Malik رضي الله عنه , beliau bercerita,

قَدِمَ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- قَوْمٌ مِنْ عُكْلٍ أَوْ عُرَيْنَةَ فَاجْتَوَوُا الْمَدِينَةَ فَأَمَرَ لَهُمْ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- بِلِقَاحٍ وَأَمَرَهُمْ أَنْ يَشْرَبُوا مِنْ أَبْوَالِهَا وَأَلْبَانِهَا

Ada sejumlah orang dari suku Ukl dan Uranah yang datang menemui Nabi ﷺ. Namun mereka mengalami sakit kerana tidak sesuai duduk di Madinah. Lalu Rasulullah ﷺ memerintahkan mereka untuk mendatangi kandang unta, dan menyuruh mereka untuk meminum air kencingnya dan susunya
[ HR. Bukhari 1501 dan Muslim 4447 ].

Ulama’ mengambil hukum dari hadith ini: Jikalau kencing atau tahi yang keluar dari binatang yang boleh dimakan, maka dua perkara itu tidaklah najis. Ini kerana kalau ia najis, tentulah Nabi Muhammad ﷺ tidak akan menyuruh mereka meminum air kencing unta itu. Inilah juga pendapat Imam Ibnu Taimiyyah.

Tambahan pula unta, kambing dan lain-lain binatang adalah haiwan yang biasa bersama dengan para sahabat pada zaman Nabi ﷺ.

Tidaklah ada mana-mana dalil yang mengatakan baginda ﷺ mengajar mereka membersihkan diri mereka dari kotoran yang datang dari binatang-binatang tersebut sebelum solat. Maka tidak disebut ia sebagai najis, merupakan dalil kesuciannya.

Satu lagi hujah, Rasulullah ﷺ telah melakukan tawaf dengan menaiki unta. Kita pun tahu bahawa Masjidil Haram itu adalah tempat yang suci dan diutamakan jika dibandingkan dengan tempat-tempat lain di atas muka bumi ini.

Tentu sahaja unta itu ada kemungkinan akan kencing ataupun berak pada waktu itu. Kalaulah kencing dan berak unta itu najis, tentulah Nabi ﷺ tidak akan menaikinya untuk mengerjakan tawaf.

✍🏻Baginda juga membenarkan para sahabat solat di kandang kambing:

Dari Al-Bara’ bin ‘Azib رضي الله عنه , ia berkata,

سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- عَنِ الْوُضُوءِ مِنْ لُحُومِ الإِبِلِ فَقَالَ « تَوَضَّئُوا مِنْهَا ». وَسُئِلَ عَنْ لُحُومِ الْغَنَمِ فَقَالَ « لاَ تَتَوَضَّئُوا مِنْهَا ». وَسُئِلَ عَنِ الصَّلاَةِ فِى مَبَارِكِ الإِبِلِ فَقَالَ « لاَ تُصَلُّوا فِى مَبَارِكِ الإِبِلِ فَإِنَّهَا مِنَ الشَّيَاطِينِ ». وَسُئِلَ عَنِ الصَّلاَةِ فِى مَرَابِضِ الْغَنَمِ فَقَالَ « صَلُّوا فِيهَا فَإِنَّهَا بَرَكَةٌ »

“Rasulullah ﷺ ditanya mengenai wudhu kerana memakan daging unta, beliau menjawab, ‘Berwudhulah kerana memakan daging unta.’ Beliau ditanya mengenai berwudhu karena memakan daging kambing, beliau menjawab, ‘Tidak perlu berwudhu karena memakan daging kambing.’ Beliau ditanya tentang shalat di tempat menderumnya unta, beliau menjawab, ‘Jangan shalat di tempat menderumnya unta karena unta biasa memberikan was-was seperti syaitan.’ Beliau ditanya tentang shalat di kandang kambing, ‘Silakan shalat di kandang kambing, di sana mendatangkan keberkahan (ketenangan).’”
[HR. Abu Daud, no. 184; Tirmidzi, no. 81; Ahmad, 4:288 ]. Al-Hafizh Abu Thahir mengatakan bahwa hadits ini shahih)

Syarah: Kalaulah kotoran dari kambing itu najis, tentulah baginda tidak membenarkan para sahabat solat di situ.

SESI SOAL JAWAB

1) Ikan yang diawet (ikan masi, ikan jeruk dan pekasam) dijual bersama isi perutnya, apakah dikira najis dan haram dimakan?

🔵Apa sahaja yang di dalam perut ikan tidak dikira sebagai najis.

Merujuk nota kelas sebelum ini iaitu bangkai ikan dan belalang dikecualikan dari bangkai yang dikira najis. Ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah ‎ﷺ .

‎أُحِلَّتْ لَكُمْ مَيْتَتَانِ وَدَمَانِ فَأَمَّا الْمَيْتَتَانِ فَالْحُوتُ وَالْجَرَادُ وَأَمَّا الدَّمَانِ فَالْكَبِدُ وَالطِّحَالُ

Dihalalkan bagi kalian dua jenis bangkai dan dua jenis darah. Adapun dua bangkai tersebut adalah ikan dan belalang. Sedangkan dua darah tersebut adalah hati (lever) dan limpa. [ Riwayat Ibnu Majah no. 3314 dan disahihkan oleh Al-Albani dalam Silsilah Al Ahadith Al Sahihah no.1118 ].

Perkara ini juga telah dibincangkan secara tuntas oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan.

Disebutkan dalam keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-107 yang bersidang pada 10 – 11 Februari 2015 membincangkan Hukum Minyak Ikan Yang Diproses Tanpa Dibuang Perut Atau Najisnya. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

i. Setelah meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa kandungan isi perut ikan adalah antara hukum yang tidak disebut secara jelas mengenainya sama ada dalam al-Quran ataupun Sunnah Rasulullah ‎ﷺ. Ibn Hajar, Ziyad, al-Ramli dan lain-lain telah bersepakat bahawa apa-apa yang ada dalam perut ikan yang kecil sama ada darah atau najis adalah suci dan boleh dimakan serta tidak dianggap najis, bahkan al-Ramli berpendapat, hukum tersebut berlaku juga kepada ikan yang besar.

ii. Sekiranya ia dihukum bersih, syarak menetapkan hukum memakannya bergantung pula pada pandangan pakar perubatan yang dipercayai sama ada ia boleh memudaratkan ataupun tidak. Sekiranya mudarat maka tidak boleh dimakan kerana memberi kesan pada kesihatan, begitulah sebaliknya.

iii. Sehubungan itu, berdasarkan masyaqqah yang perlu dihadapi untuk memproses ikan dalam kuantiti yang banyak sehingga terlalu sukar untuk dibuang kandungan isi perut ikan satu persatu, dan realiti semasa industri komersil pemprosesan minyak ikan pada masa ini yang perlu mematuhi standard dan piawaian yang ketat bagi memastikan ianya bersih dan selamat digunakan, serta dengan mengambilkira kepentingan, manfaat dan kegunaan minyak ikan kepada kesihatan manusia, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa minyak ikan yang diproses secara komersial dalam kuantiti yang melibatkan beribu-ribu tan ikan tanpa dibuang perut atau najisnya adalah suci dan halal dimakan.

2) Apakah hukum memakan telur masin yang disalut dengan sekam/selut? Difahamkan telur yang tidak dibasuh dikira sebagai najis

🔵Halal kerana lendir yang terkena pada telur semasa keluar itu tidak dikira sebagai najis.

Jika terkena najis ayam sekali pun, seperti yang telah dibincang dalam kelas, kotoran dari haiwan yang boleh dimakan seperti ayam tidak dikira najis.

3) Apakah pandangan di dalam Mazhab Asy-Syafi’iy berkenaan telur ayam yang terkena najis?

🔵Sebahagian ulama di dalam Mazhab Asy-Syafi’iy berpendapat bahawa kulit telur yang terkena najis wajib dibasuh. Selain itu mereka berpendapat lendiran dari kemaluan haiwan juga adalah najis kerana terbit dari tempat najis.

Walaubagaimanapun, jumhur mazhab menyatakan bahawa telur ayam tidak wajib dibasuh.

4) Adakah pengharaman memakan keldai merangkumi kesemua jenis keldai atau keldai jinak sahaja?

🔵Keldai jinak diharamkan memakannya manakala keldai liar seperti kuda belang, onager dan lain-lain tidak diharamkan.

5) Kawan saya ada menyewa sebuah rumah kepunyaan orang bukan Islam dan ingin menggunakan perkakas di dalam rumah tersebut seperti peti ais dan lain-lain. Adakah cukup dengan hanya membasuh perkakas tersebut dengan air sahaja sebelum menggunakannya?

🔵Ya, memadai dengan hanya membasuh perkakas tersebut dengan air sahaja sebelum menggunakannya.

6) Apakah yang perlu dilakukan jika ada anjing menjilat bekas makanan kucing, kemudian tangan kita terkena bekas jilatan anjing daripada bekas makanan itu ketika hendak membasuhnya?

🔵Jikalau nampak dan pasti bekas jilatan anjing itu, maka perlulah disertu tangan dan bekas makanan tersebut.

7) Adakah boleh menggantikan tanah dengan menggunakan sabun untuk menyertu?

🔵Ada pendapat yang menyatakan boleh menggunakan sabun untuk menyertu tetapi saya lebih bersetuju dengan tanah sahaja kerana hujahnya lebih kuat. Tanah juga mempunyai kelebihan tertentu.

8) Benarkah cara menyertu adalah membasuh kali pertama dengan campuran air dan tanah , kemudian dibilas dengan enam kali air mutlak?

🔵Ya benar. Campuran air tanah itu boleh disiram mahupun dengan cara menggosoknya pada tempat yang terkena najis

9) Adakah benar bahawa memakan daging unta membatalkan wuduk tetapi apabila terkena najis (air kencing dan tahi) unta tidak membatalkan wuduk?

🔵Ya benar. Selain najis unta, najis daripada haiwan lain juga tidak membatalkan wuduk tetapi jika tersentuh najis, maka perlu membasuhnya sebelum solat walaupun najis tersebut tidak membatalkan solat.

Tambahan lagi, jika ianya tidak najis, maka boleh dibawa solat.

Ada bangsa lain selalu berinteraksi dengan najis haiwan, apabila tiba waktu solat terus mereka menunaikannya. Sebagai contoh, ada negara yang menggunakan tahi lembu sebagai bahan bakar dan juga sebagai bahan binaan rumah mereka.

10) Bagaimanakah dengan najis burung gagak? Adakah boleh dibawa solat?

🔵Najis burung dikira sebagai umum balwa. Ia tetap najis tetapi oleh kerana susah dijaga, maka dimaafkan.

11) Adakah terkena najis membatalkan solat?

🔵Terkena najis tidak membatalkan wuduk mahupun solat.

Walaupun sedemikian, sebelum memulakan solat kita hendaklah memastikan tidak ada najis pada badan kita. Jika ada najis, maka perlulah dibasuh najis itu sahaja tanpa perlu mengambil wuduk semula.

Jika najis datang semasa solat, maka najis itu tidak membatalkan solat kerana ia datang kemudian.

12) Adakah masalah keputihan wanita membatalkan wuduk?

🔵Perkara ini mempunyai banyak pendapat dan saya memilih keputihan itu bukan najis.

13) Apakah hukum air kolam ikan dan kuah masakan yang terkena pada pakaian solat?

🔵Air kolam ikan dan kuah masakan tidak dikira sebagai najis dan pakaian tersebut boleh dibawa untuk solat.

Pada zaman sahabat mereka mempunyai satu pakaian sahaja. Kadangkala tidak mempunyai baju dan hanya mempunyai kain sahaja. Maka mereka pakai apa sahaja yang ada untuk dibawa solat

Pada zaman sekarang, kita mempunyai banyak pakaian. Boleh silih berganti pakaian. Sebaiknya adalah memakai baju bersih apabila hendak menghadap Allah.

Kekotoran dan kenajisan adalah perkara yang berbeza. Kita patut tahu membezakan yang mana boleh dibawa solat dan yang mana tidak. Bukan semua kekotoran itu adalah najis.

Apabila sedang memasak, atau memancing, boleh sahaja solat dengan pakaian yang sama apabila sampai waktu solat.

14) Saya sering memberi makan kepada anjing terbiar. Kadang kala, anjing tersebut sering meleset-leset pada saya dan tangan saya juga basah terkena air liur anjing ketika memberinya makan. Walaupun begitu saya hanya membasuh tangan saya dengan air biasa. Adakah tindakan saya ini betul?

🔵Ya betul, basuh dengan air sahaja.

Ada sebuah hadith menceritakan bagaimana seorang pemuda membantu anjing kehausan untuk minum dan tidak diceritakan bahawa perlunya berhati-hati akan kenajisannya semasa hendak memberi anjing itu minum.

Daripada Abu Hurairah ‎رضي الله عنه, bahawa Rasulullah ‎ﷺ bersabda,

بَيْنَمَا رَجُلٌ يَمْشِى بِطَرِيقٍ اشْتَدَّ عَلَيْهِ الْعَطَشُ فَوَجَدَ بِئْرًا فَنَزَلَ فِيهَا فَشَرِبَ ثُمَّ خَرَجَ فَإِذَا كَلْبٌ يَلْهَثُ يَأْكُلُ الثَّرَى مِنَ الْعَطَشِ فَقَالَ الرَّجُلُ لَقَدْ بَلَغَ هَذَا الْكَلْبَ مِنَ الْعَطَشِ مِثْلُ الَّذِى كَانَ بَلَغَ مِنِّى. فَنَزَلَ الْبِئْرَ فَمَلأَ خُفَّهُ مَاءً ثُمَّ أَمْسَكَهُ بِفِيهِ حَتَّى رَقِىَ فَسَقَى الْكَلْبَ فَشَكَرَ اللَّهُ لَهُ فَغَفَرَ لَهُ ». قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَإِنَّ لَنَا فِى هَذِهِ الْبَهَائِمِ لأَجْرًا فَقَالَ فِى كُلِّ كَبِدٍ رَطْبَةٍ أَجْرٌ

“Ketika seorang laki-laki sedang berjalan, dia merasakan kehausan yang sangat, lalu dia turun ke sumur dan minum. Ketika dia keluar, ternyata ada seekor anjing sedang menjulurkan lidahnya menjilati tanah basah karena kehausan. Dia berkata, ‘Anjing ini kehausan seperti diriku.’ Maka dia mengisi sepatunya dan memegangnya dengan mulutnya, kemudian dia naik dan memberi minum anjing itu. Allah berterima kasih kepadanya dan mengampuninya.” Para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, apakah kita bisa meraih pahala dari binatang?” Beliau menjawab, “Setiap memberi minum pada hewan akan mendapatkan ganjaran.” [Riwayat Al-Bukhari no. 2363 dan Muslim no. 2244]

15) Saya pernah tercirit di dalam seluar tetapi sangat sedikit najisnya dan cair . Saya ke tandas dan membasuh seluar itu pada bahagian punggung bagi menghilangkan najis itu. Walaupun kesan najisnya telah hilang tetapi baunya pada pengamatan saya masih ada. Saya telah menggunakan seluar itu untuk solat kerana ketiadaan seluar lain mahupun kain lain di surau R&R tesebut. Adakah sah solat saya?

🔵Solatnya sah kerana itu sahaja yang mampu kita lakukan pada waktu itu.

Nabi Muhammad ‎ﷺ dan para sahabat beristinjak dengan menggunakan batu. Tentu sahaja masih ada bau lagi, bukan? Maka cara itu diterima.

16) Apakah yang perlu dilakukan apabila bersentuhan dengan bulu anjing yang basah ?

🔵Najis akan berpindah, maka perlu dibasuh sahaja tanpa perlu sertu.

17) Bagaimanakah dengan solat orang yang berpenyakit buasir di mana seluarnya senantiasa terkena najis apabila buasirnya terkeluar?

🔵Apabila sudah ada penyakit, maka dimaafkan.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan