Utama Bilik (001) Fiqh Asasi Pemula Thaharah: Bab Air dan Najis

Thaharah: Bab Air dan Najis

4064
0
Iklan

Bahagian : Air dan pembahagiannya
Topik : Air yang suci lagi menyucikan

🔘Bab Pertama: Air dan Najis

Kita hendak tahu jenis-jenis air dan apakah yang dikira sebagai najis. Ramai yang tidak dapat bezakan.

Kita akan mulakan dengan belajar apakah jenis air yang ‘suci lagi menyucikan’.

🔺Thaharah/Air dan Najis/Jenis Air/Air yang suci lagi menyucikan.

Air yang suci lagi menyucikan bermaksud bukan sahaja ia suci, ia boleh pula menyucikan. Selalu kita panggil ‘air mutlak’. Ia boleh ‘mengangkat’ hadas. Maksudnya ‘menghilangkan‘ hadas.

Maksudnya, menyucikan kita dan membolehkan kita melakukan ibadat yang memerlukan kita suci semasa melakukannya: contohnya Solat dan Tawaf.

Ini berbeza dengan air kopi kerana air kopi itu memang suci (kalau tidak suci, maka tidak boleh minum), tetapi ia ‘tidak menyucikan’. Oleh itu, jangan pula berwudhu’ pakai air kopi.

📌Senarai jenis-jenis air:

a. Air hujan

Bolehlah, jika duduk dalam hutan, tadah air hujan dan gunakan untuk ambil wudhu’.

b. Benda yang asal dari air

Contoh seperti salji dan embun. Boleh cairkan salji sampai jadi air; boleh kutip air embun pada daun-daun di pagi hari dan jadikan sebagai air wudhu’.

c. Air dari mata air atau air telaga

d. Air laut

Kalau duduk di tengah laut atau atas kapal, jangan takut sebab banyak air di sekeliling.

e. Air zam-zam

Pernah Nabi berwudhu’ menggunakan air zam-zam.

f. Air ajin

Ini adalah jenis air yang bercampur dengan benda lain, tetapi tidak mengubah sifatnya sebagai air mutlak kerana sikit sahaja bercampur dengan benda tersebut dan benda tersebut pula suci.

Sebagai contoh, air yang dimasuki oleh daun, sabun, tepung. Masuk itu hanya sedikit, sampai tidaklah menjadikan air itu sebagai ‘air sabun’, ‘air tepung’.

Ia tetap air mutlak lagi (suci lagi menyucikan). Dalilnya Nabi SAW suruh pakai air campuran perahan daun bidara untuk mandikan mayat.

Termasuk jenis air ini adalah yang tersimpan dalam bekas dan air itu ada bau bekas itu. Macam kalau kita letak air dalam baldi, ada bau plastik pada air itu. Tiada masalah untuk memakainya.

g. Air yang bercampur dengan benda najis, tetapi tidak mengubah rasa, warna dan bau.

Ini mungkin orang kita ada masalah sikit. Terutama kepada mereka yang ada penyakit was-was. Mereka takut sangat kalau-kalau ada najis termasuk dalam air tadahan.

🔺Oleh itu, kita kena tanya tiga perkara:
– berubahkah rasa dia?
– berubahkan warna dia?
– berubahkah bau dia?

Kalau salah satu ini ada, maka air itu tidak boleh digunakan untuk mengangkat wudhu’. Kalau tiga-tiga tidak ada, maka air tersebut bolehlah digunakan.

Ini berdasarkan hadith:

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ أَنَّهُ قِيلَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَتَوَضَّأُ مِنْ بِئْرِ بُضَاعَةَ وَهِيَ بِئْرٌ يُطْرَحُ فِيهَا الْحِيَضُ وَلَحْمُ الْكِلَابِ وَالنَّتْنُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَاءُ طَهُورٌ لَا يُنَجِّسُهُ شَيْءٌ

Dari Abu Said Al Khudri r.a , bahawa Rasulullah pernah ditanyakan, “Apakah kita akan berwudhu’ dengan memakai air sumur Budho’ah? Sedangkan sumur tersebut biasa diairi air hujan, yang membawa kain bekas darah haid, daging-daging anjing, dan kotoran manusia? “Maka Rasulullah SAW menjawab, “Sesungguhnya air itu suci dan mensucikan, tidak dinajiskan oleh sesuatu apapun.” [ Shahih,
Riwayat Abu Dawud ]

Sebahagian ulama seperti Abu Hanifah, Asy Syafi’i, Ahmad dan pengikut mereka memegang pendapat bahawa jika air kurang dari dua qullah (orang kita sebut kolah) dan kemasukan najis sedikit ataupun banyak, baik airnya berubah atau tidak, maka air tersebut menjadi najis.

Misalnya air 5 liter, kemasukan satu titik kencing walaupun tidak merubah bau, rasa dan warnanya, maka air tersebut tetap najis kerana air 5 liter masih kurang dari dua qullah. Mari kita bincangkan.

✒️Nota:
Berapa banyak air dua qullah itu? Ringkasnya ukuran air dua qullah adalah ukuran sekitar 200 liter.

Ada pun hadith mengenai air dua qullah adalah sebagai berikut:

‎إِذَا بَلَغَ الْمَاءُ قُلَّتَيْنِ لَمْ يَحْمِلِ الْخَبَثَ

“Jika air telah mencapai dua qullah, maka tidak mungkin dipengaruhi kotoran (najis).”
[ HR. Ad Daruquthni ].

Dalam riwayat lain disebutkan,

‎إِذَا بَلَغَ الْمَاءُ قُلَّتَيْنِ لَمْ يُنَجِّسْهُ شَىْءٌ

“Jika air telah mencapai dua qullah, maka tidak ada sesuatupun yang menajiskannya. ”
[ HR. Ibnu Majah dan Ad Darimi ].

Walaupun hadith-hadith ini ada juga yang mengkritiknya tetapi dihasankan oleh Syaikh Albani dan Ibnu Taimiyyah. Jadi, dari dua hadith ini, ulama’ berhujah jika sedikit najis masuk ke dalam air yang kurang dua qullah maka, air itu tidak suci lagi.

Namun, bagaimana jika air itu lebih dari dua qullah tetapi bila dimasuki najis telah berubah bau, warna atau rasa? Sepakat ulama’ mengatakan tidak suci.

Jadi, perbincangan sekarang adalah bagaimana kalau air kurang dari dua qullah tetapi kemasukan najis tidak mengubah warna, bau atau rasa?

Kita telah sebutkan pendapat pertama yang menjadi pegangan majoriti umat Islam di negara kita. Namun, ulama lainnya seperti Imam Malik, ulama’ Zhohiriyah, Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah, Ibnul Qayyim, menyatakan bahawa air tidaklah menjadi najis dengan hanya sekadar kemasukan najis.

Air tersebut boleh menjadi najis apabila berubah salah satu dari tiga sifat iaitu rasa, warna atau baunya. Alasan pendapat pertama tadi kurang tepat kerana ada sebuah hadith yang menyebutkan,

‎إِنَّ الْمَاءَ طَهُورٌ لاَ يُنَجِّسُهُ شَىْءٌ

Sesungguhnya air itu suci, tidak ada yang dapat menajiskannya.”
HR. Tirmidzi, Abu Daud, An Nasa’i, Ahmad. Hadith ini dikatakan sahih oleh Syaikh Al-Albani dalam Misykatul Mashobih no. 478

Hadith ini menjelaskan, air asalnya adalah suci hingga berubah rasa, bau atau warnanya.

Kalau begitu, bagaimana dengan hadith tentang dua qullah di atas? Nabi hendak memberitahu kebiasaan air jika melebihi hingga dua qullah, maka tidaklah ia senang menjadi najis. Tetapi tidaklah hadith itu meletakkan minima air kena ada dua qullah baru tidak terkesan dengan najis.

🔺Maka yang penting adalah: adakah terdapat pertukaran bau, rasa atau warna?

h. Air musta’mal (air yang telah digunakan)

Mus’tamal ertinya sesuatu yang dipakai. Air mus’tamal adalah air yang telah digunakan untuk bersuci.

Sayyid Sabiq dalam Fiqhus Sunnah mengatakan:

‎وهو المنفصل من أعضاء المتوضئ والمغتسل

Air musta’mal adalah air yang jatuh dari anggota badan orang yang berwudhu,’ atau mandi” (Fiqhus Sunnah, 1/18).

Air musta’mal adalah suci dan boleh digunakan untuk wudhu’, mandi junub. Antara dalil yang membenarkan adalah hadis:

Hadits dari Al Miswar radhiallahu’anhu:

‎وإِذا توضَّأ النّبيّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ –، كادوا يقتتلون على وَضوئه

“Jika Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam berwudhu’, mereka (para sahabat) hampir-hampir saling membunuh (kerana merebutkan) bekas wudhu’ baginda”
[ HR. Al Bukhari 189 ].

Melalui hadith ini, kita boleh perhatikan yang para sahabat bertabarruk dengan air bekas wudhu’ Nabi SAW. Jika air musta’mal itu najis, maka tentu tidak akan diperebutkan oleh para sahabat dan akan dilarang oleh Nabi SAW.

Juga hadith:

‎عن ابن عباس –رضي الله عنهما– قال: اغتسل بعض أزواج النّبيّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – في جفنة ,فجاء النّبيّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – ليتوضَّأ منها –أو يغتسل– فقالت له: يا رسول الله! إِنِّي كنتُ جُنُباً. فقال رسول الله – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ -: إِنَّ الماء لا يُجْنِب

Dari Ibnu Abbas radhiallahu’anhuma, ia berkata: sebahagian isteri Nabi Shallallahu’alaihi Wasallam mandi dalam sebuah bak. Lalu Nabi Shallallahu’alaihi Wasallam datang untuk berwudhu’ atau mandi dari air bak tersebut. Maka di antara isteri Nabi ada yang berkata: “Wahai Rasulullah, saya tadi mandi junub di situ”. Maka Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam bersabda: “sesungguhnya air itu tidak membuat junub”
[ HR. Tirmidzi no. 65, ia berkata: “Hasan Sahih” ].

Hadith di atas ini adalah dalil tegas bahawa air musta’mal boleh digunakan untuk bersuci. Dan banyak lagi sebenarnya dalil-dalil yang diutarakan oleh ulama’ berkenaan perkara ini.

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah mengatakan:
“Semua yang disebut dengan sebutan ‘air’ maka ia suci dan mensucikan. Baik ia musta’mal (telah digunakan) untuk bersuci yang wajib atau bersuci yang sunnah, atau bersuci yang tidak sunnah (mubah)”
[ Majmu’ Al Fatawa 19/236, dinukil dari Fatawa As Sual wal Jawab no. 224255 ].

Jadi, kalau lebih basuhan pada tubuh kita dari wuduk atau dari mandi junub terkena kepada baldi berisi air, maka tidaklah menjadikan air itu sudah tidak boleh digunakan.

Ada kalangan orang kita sampai tidak boleh menitik langsung. Ada juga yang tidak berani hendak cedok dalam bekas tadahan kerana takut air dalam tadahan itu jadi air musta’mal.

🔺Dari dalil-dalil yang diberikan, maka dapatlah kita tahu bahawa air musta’mal boleh digunakan dalam wuduk dan dalam mandi hadas. Jadi sudah tidak perlu risau.

i. Air yang telah dihangatkan atau dipanaskan

Ada satu fahaman dalam masyarakat kita yang air musyammas (air yang terdedah kepada matahari) tidak boleh digunakan untuk berwudhu’.

Ini tidak benar kerana hadith: “Janganlah kalian mandi dengan air yang dipanasi oleh cahaya kerana itu dapat menyebabkan penyakit kusta”, [ Tidak Sahih ].

Allahu a’lam.

🍀SESI SOAL JAWAB ☘️
==========================

📍Bagaimana dengan air yang disimpan di dalam tempayan tetapi bila masa hendak digunakan berubah warna sedikit seperti kekerohan dan kita yakin tiada najis yang masuk ke dalam. Bolehkah dikira suci?

🔵 Ini air ajin. Boleh pakai tanpa was-was.

📍Bagaimana pula dengan air paip yang sudah di masak dan air paip yang di tapis? Adakah ini air mutlak?

🔵 Ya.

📍Jika air dalam lopak air atau di lubang-lubang jalan adakah boleh dikira air mutlak?

🔵 Ini air kotor. Adakah hendak pakai untuk ambil wudhu’? Ia mungkin tidak najis tetapi kalau kotor, carilah air yang lain.

📍Apakah jenis air untuk kapur barus kerana campuran air tersebut di gunakan semasa mandi jenazah pada kebiasaan orang melayu?

🔵 Termasuk dalam jenis air ajin.

📍 Jadi, perubahan 3 sifat air itu hanya untuk yang kemasukan najis dan bukan benda yang bukan najiskan?

🔵 Kalau dimasukkan kopi banyak sangat yang walaupun ia bukan najis, hingga jadi air kopi, tidak boleh juga untuk buat air wudhu’.

📍Bagaimana kalau air yang termasuk tahi cicak?

🔵 Tahi cicak dikira termasuk dalam umum balwa. Satu konsep dalam fiqh: banyak sangat hingga susah hendak jaga. Maka dimaafkan kecualilah ada dua ribu tahi cicak tentu tidak sanggup hendak gunakan.

📍Jika air itu termasuk air najis tetapi tiada rasa dan bau malah kita tidak tahu, bolehkah digunakan untuk berwudhu’?

🔵 Bila tidak tahu itu yang maksudnya tidak berubah bau rasa dan warna. Mulanya kita tengok air tu ada berubah warna lain tidak? Nampak seperti ok tetapi bila angkat hendak letak ke muka sudah tahu, apa lagi hendak berkumur. Maka, Islam telah ajar tiga cara hendak uji air.

📍Adakah air kapur barus itu sah digunakan untuk berwudhu’ kerana baunya yang kuat?

🔵 Sah. Kalau tidak sah, tidak bolehlah guna basuh jenazah. Cuma dalam keadaan biasa, tidaklah guna kapur masuk air bukan?

📍Apakah kategori air hujan yang mengalir dari atap rumah kita sebab kita tidak tahu apa yang ada atas atap?

🔵 Air ajin. Gunakan tiga cara untuk pastikan (check) warna, bau dan rasa.

📍 Bagaimana pula dengan air banjir yang banyak dan pekat?

🔵 Kalau keruh sangat, ia sudah jadi air lain: air becak, air banjir, air hampas.Tidak termasuk air mutlak lagi. Kalau masih nampak ok, ia cuma air ajin. Tiga cara tentukan warna,bau dan rasa.

📍Ini berkenaaan kisah kanak-kanak apabila mandi dalam satu bekas dan terkencing di dalam bekas tersebut, apakah kategori air itu? Bolehkah orang lain gunakan air itu?

🔵Pertama, jangan kencing bersepah dan ini semua tahu.
Kedua, kalau sudah tahu, basuhlah dulu sebab berlaku depan mata, tentu tidak mahu guna.
Ketiga, kalau tidak nampak, kita tidak perlu periksa (check). Kita kena kira sebagai najis kalau kita nampak, atau berubah warna, bau dan rasa.

Daripada segi hukumnya jikalau tidak berubah bau warna dan rasa maka air itu masih dikira air suci. Kita masih lagi boleh guna air itu untuk mengangkat hadas. Tetapi kita kena tahu yang jikalau kita kata air itu masih boleh digunakan tidak lah kita ‘suruh’ guna. Kalau kita sudah tahu ada orang kencing maka, janganlah kita guna kerana kita boleh cari air lain.

📍Bagaimana jika memang tiada air lain? Walaupun ada bau tetapi bau tanah sahaja dan kalau tayyamum juga tidak boleh sebab semuanya di penuhi lumpur.

🔵 Air suci lagi. Kencing tu sikit sangat sedangkan air kolah banyak kerana yang banyak akan melarutkan yang sikit. Gunakan kaedah warna, bau, rasa untuk pastikan.

📍Apakah maksud sabda Rasulullah SAW “sesungguhnya air itu tidak membuat junub”

🔵 Air itu tidak ikut jadi junub sekali. Tetap suci.

📍Bolehkah kalau ambil wuduk dalam baldi?

🔵 Boleh. Nabi dan sahabat biasa buat. Basuhan tangan pertama sahaja dekat luar. Lepas itu boleh cedok guna tangan.
Maksud basuhan pertama ialah jangan terus cedok sebab tangan itu mungkin kotor.

📍Jika orang yang pegang pendapat air musta’mal itu tidak boleh digunakan bersuci, kita perlu hormat, adakah kedua-dua pendapat ini sama kuat?

🔵 Ya, kita hormati kalau dia guna juga pendapat itu. Namun, yang kuatnya air musta’mal suci tetapi kalau ada hendak guna juga, terpulanglah kepadanya.

📍Maksudnya boleh guna juga pendapat yang kurang kuat?

🔵 Boleh,kerana ia juga pendapat ulama yang Mujtahid. Mungkin juga pendapat ini yang benar. Nabi sudah tiada untuk dipastikan. Maka, kita hormati pendapatnya. Justeru, kita boleh usaha sahaja hendak nilai berdasarkan hujah dan dalil yang ada. Jadi, setakat ini kita pegang air musta’mal suci. Dia juga kenalah hormati pegangan kita.

📍Adakah najis burung dikira najis dan najisnya sama kedudukannya dengan tahi cicak?

🔵 Ini dikira sebagai umum balwa juga. Susah hendak jaga. Oleh kerana burung boleh dimakan, maka tahi dia tidak najis. Ya, sama kedudukan dengan najis cicak.

📍Ada sebuah masjid di pulau menggunakan air hujan dan air pam dari lubang yang dibuat. Bila air hujan sudah habis dari tangki simpanan, mereka gunakan pula air pam dari perigi tersebut. Adakala satu masa air terasa masin sewaktu berwudhu’. Apa status air tersebut dan apa yang harus dibuat ketika berada pada situasi tersebut?

🔵Ini ialah air ajin. Sikit sahaja rasa masin itu.

📍Bagaimana pula air hujan yang ditadah dalam bekas besar tetapi di dalamnya terdapat lumut (tumbuhan hijau/hitam). Adakah masih guna kaedah 3 cara (rasa/warna/bau)?

🔵Termasuk dalam kategori air ajin. Bau tanah sahaja, bukan bau najis. Tanah itu suci (suci dalam debu).

📍Ada sesetengah tempat seperti bendang atau paya sebegini. Bagaimana dengan status airnya? Adakala airnya bersih dan juga keruh. Zaman dahuli ada orang mandi bersama haiwan di tempat ini.

🔵Air ajin dan ini suci dalam debu juga.

📍Bagaimana dengan air dalam tali air dekat sawah padi yang biasanya pada musim panas airnya bertukar warna, ada bau dan itik berenang di situ.

🔵Air ajin. Tanah dan itik suci.

📍Ini boleh bermaksud tidak mengubah warna air?

🔵Air itu mungkin berubah warna kerana bercampur tanah tetapi kerana ia suci, tidak mengapa kalau berubah warna. Mungkin juga berlumut, tetapi lumut itu tidak najis maka tidak mengapa.

📍Apakah air sumur budho’ah? Kalau di tempat saya sumur itu bermaksud perigi.

🔵Nama sumur itu macam Telaga Hang Tuah,Telaga Mahsuri dan di Arab juga ada nama telaga.

📍Air musta’mal adalah suci dan boleh digunakan untuk wudhu’, mandi junub.
Jadi, selama ini anak saya dan saya salah dalam menilai air musta’mal. Kalau belajar di sekolah dalam buku agama , air musta’mal suci tetapi tidak boleh buat bersuci.

🔵 Buku sekolah pakai mazhab Syafi’iy. Memang lah tidak boleh guna untuk bersuci tetapi kita sudah jelaskan bahawa pendapat lebih kuat, air musta’mal suci dan menyucikan.

📍Jika kebiasaan apabila mandi tadah air dalam tong, air percikan yang kita mandi masuk dalam tong. Jadi, air itu juga diguna untuk mandi jubub masih suci bolehkan, sebab ia jadi air ajin, selagi tidak merubah rasa, bau dan warna.Benarkah pemahaman saya ini?

🔵 Bukan air ajin tetapi air musta’mal. Kita sudah jelaskan bahawa ia suci dan menyucikan.

📍Bagaimana pula pemanas air (water heater), apakah hukumnya jika musim hujan digunakan untuk mandi wajib dan wudhu’ adakalanya gunakan water heater?

🔵 Air jenis itu boleh digunakan. Ada sahabat biasa sahaja guna air yang dipanaskan. Negara mereka ada musim sejuk yang kalau pakai air untuk mandi boleh jadi sakit sebab sejuk sangat.

📍Adakah terdapat larangan mandi junub tidak dibenarkan menggunakan air berlebihan, contoh mandi junub guna shower/air pancuran?

🔵 Nabi pernah tegur sahabat yang guna air yang banyak untuk ambil wudhu’. Cuma, mungkin orang mandi junub sekali dengan mandi biasa. Maka dibolehkan.

📍Kaedah warna, bau dan rasa, maksudnya jika warna gunakan penglihatan dan bau kita gunakan hidung. Bagaimana pula dengan rasa? Rasa ini dalam deria sentuhan, lidah atau kedua-dunya?

🔵 Kalau ambil wudhu’ bukankah kita berkumur? Itulah rasa yang dimaksudkan.

📍Apabila kita sertu atau samak hendaklah menggunakan air yang ‘dicampur’ dengan tanah dan tidak boleh menggunakan air yang telah ‘bercampur’ dengan tanah (air lumpur). Benarkah begini?

🔵 Kalau air lumpur itu sudah boleh digunakan (ready-made) untuk sertu.

📍Sebelum ini ada melakukan begitu, adakah sah solat atau perlu qadha?

🔵Perkara sudah lepas tidak perlu qadha sebab berapa banyak yang hendak diqadha? Banyak kesalahan yang dilakukan oleh sahabat, Nabi ada tegur tetapi baginda tidak suruh qadha.

📍Bukankah air itu telah menjadi air musta’mal, maka bolehlah berwudhu’ dan sah solat?

🔵Ini bab kebersihan. Tangan itu entah apa yang dilakukan sebelum itu, pegang apa-apa, maka jangan basuh dalam cebok/bejana/baldi.

📍Ustaz, air musta’mal tu sehingga berapa kali ia bersifat menyucikan? Contoh macam bekas lebihan isteri diguna untuk suami lepas itu diguna oleh yang lain sehingga seterusnya, sampai bila ustaz, tambahan pula kalau keadaan air sangat sikit ketika itu.

🔵Air musta’mal ini apabila bercampur air yang telah diangkat hadas, menitik kembali atau celup tangan dalamnya. Tetapi tidaklah para sahabat guna air berkali-kali. Tidaklah ditadah air itu dan kemudian guna balik. Bukan tadah kemudian guna balik tetapi kalau air dalam baldi dicelup untuk wudhu’ kemudian orang lain guna dan seterusnya, masih lagi boleh diguna cuma tidaklah tadah dekat bawah.

📍Adakah air ajin mempunyai peringkat? Jika air paya (tali air) yang tidak mengalir dan airnya coklat pekat dan nampak berminyak adakah masih boleh digunakan?

🔵 Boleh agak sendiri sama ada ia bersih atau tidak. Kita di Malaysia ini banyak air. Selalu tidak ada masalah sebegini.

📍 Air tadahan baldi lebihan wudhu’ (yang diambil dari paip) kategori apa?

🔵Air musta’mal.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan