Utama Bilik (001) Fiqh Asasi Pemula Asas Feqah: Pengenalan & Perbezaan Pandangan Mazhab

Asas Feqah: Pengenalan & Perbezaan Pandangan Mazhab

2971
0
Iklan

Ilmu agama Islam adalah amat luas tetapi ia boleh dibahagikan kepada 3 pecahan yang besar:

1. Tauhid (akidah)
2. Feqah (ibadat)
3. Ihsan (akhlak)

Semua ilmu ini penting dan perlu dipelajari oleh seorang mukmin dan dimulai dengan ilmu akidah tauhid. Ini kerana jikalau akidah kita tidak betul/benar maka segala amal ibadah kita tidak diterima lagi oleh Allah.

Maka, alangkah ruginya jikalau beramal tetapi masih ada masalah dengan akidah. Jika hendak belajar akidah, maka mestilah belajar tafsir Al-Quran.

Selepas kita sudah mengenal Allah SWT dan beriman kepada-Nya maka hendaklah kita melakukan ibadat kepada-Nya sebagai bukti keimanan kita kepada-Nya. Tidak patut sama sekali jikalau kita mengatakan sudah beriman, tetapi kita masih tidak melakukan ibadah dengan betul.

Maka cara untuk melakukan ibadah itu mestilah dengan cara seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT dan disampaikan kepada kita melalui Rasul-Nya.

Maka, inilah tujuan kelas ini diadakan iaitu untuk mengajar bagaimanakah cara untuk melakukan ibadat dengan benar dan betul.

Konsep asas yang kita perlu tahu daripada awal adalah kita patut tegaskan ilmu akidah dan luaskan ilmu feqah.

Malangnya di negara ini, kelihatan seperti masyarakat kita ‘meluaskan bab akidah’ tetapi ‘menyempitkan bab feqah’. Maknanya konsep yang terbalik pula. Oleh sebab itulah, ramai yang hanya berpegang dengan pendapat mazhab Syafi’iy sahaja tetapi dalam bab akidah mereka luaskan sehingga tidak rasa bersalah berjumpa bomoh dan sebagainya. Di dalam bab feqah pula, seolah-olah hanya mazhab Syafi’iy sahaja yang ada. Tetapi malangnya di dalam bab aqidah, mereka tidak pula hendak mengguna pakai akidah Imam Syafi’iy.

Oleh kerana itu kita tidak hanya tertakluk kepada pendapat fiqh mazhab Syafi’iy sahaja di dalam kelas ini, malah kita luaskan kepada pemahaman yang kita panggil Fiqh Sunnah. Maksudnya ajaran yang kita sampaikan ini berdasarkan kepada dalil daripada As-Sunnah.

Maka, mungkin hukum-hukum Feqah di dalam kelas kita ini agak berlainan daripada apa yang sedia difahami oleh pengikut mazhab Syafi’iy seperti yang biasa diamalkan oleh masyarakat kita.

Di dalam kita mengamalkan amalan feqah maka hendaklah kita melihat kepada dalil-dalil yang ada dan mencari manakah dalil yang lebih rapat kepada sunnah Nabi SAW.

Tetapi, di dalam masa yang sama tidaklah kita merendahkan pendapat imam-imam mazhab yang lain. Hanya sahaja kita hendak mencari manakah pendapat yang lebih rapat dengan As-Sunnah.

Oleh kerana kelas ini adalah kelas asas maka kita tidak akan membincangkan semua pendapat feqah yang ada dan kita hanya tumpukan kepada sesuatu pendapat yang kemas untuk kita boleh mengamalkannya.

Yang penting kita tahu apakah amalan-amalan yang diterima oleh sunnah dan boleh diterima pakai oleh kita.

Untuk menjimatkan masa dan ruang, maka kita akan ringkaskan pengajaran feqah di dalam kelas ini. Maka saya akan memberikan maklumat ringkas yang saya kira mudah untuk difahami tetapi jikalau ianya memerlukan penjelasan lebih lanjut maka silalah bertanya.

Oleh kerana ini adalah kelas asas, maka tidaklah ada perbincangan panjang tentang pendapat semua mazhab pula. Kalau anda sudah tahu ada pendapat mazhab lain, itu bermakna pengetahuan anda bukanlah di peringkat asas lagi. Kalau anda yakin kekuatan hujah pada satu-satu pendapat, itulah pegangan anda dan anda boleh terus mengamalkannya.

Kalau ada perbezaan pendapat yang besar, maka kita akan meneruskannya sahaja. Seperti yang telah saya katakan, bab di dalam bidang feqah ini memang luas dan mempunyai banyak pendapat.

Mana satu yang lebih rapat dengan sunnah memerlukan pembelajaran berterusan dengan menilai dalil-dalil dan hujah-hujah ulama yang ada. Sekurang-kurangnya kita akan tahu satu pendapat dahulu di sini.

Al-Quran mencela berpecah-belah. Ada salah faham yang mengatakan semua perbezaan pendapat adalah tidak dibolehkan. Sedangkan Al-Quran bukan mencela perbezaan pandangan. Tetapi yang dicela adalah perpecahan kerana perbezaan pendapat itu.

Jadi ada perbezaan di situ. Banyak kisah perbezaan pendapat antara para Nabi pun. Sebagai contoh, antara Nabi Musa a.s dan Nabi Harun a.s di dalam Surah Taha.

Yang dilarang perbezaan pendapat adalah di dalam bab usul akidah. Kalau bab tauhid, mesti sama sahaja pandangan. Kalau ada yang berbeza pandangan tentang akidah, kita tidak boleh meraikan perbezaan pendapat itu kerana dalam Al-Quran kita disuruh berpegang pada ‘tali Allah’. Dan maksud ‘tali Allah’ itu adalah tauhid. Kita mesti mempertahankan akidah yang benar.

Nabi Muhammad SAW pun berbuat begitu sehingga berpecah belah dengan Musyrikin Mekah. Memang dituntut perpecahan sebegitu pun.

Sebenarnya Allah memberikan ruang untuk kita berbeza pendapat. Di dalam Al-Quran dan dalam hadith, banyak perkataan yang boleh ditafsir lebih dari satu makna. Itulah sebabnya susah untuk mendapatkan ijma’ (kesepakatan pendapat) ulama’.

Ayat-ayat itu dipanggil dzanni dholalah. Sehinggakan boleh berbeza pendapat di dalam perkara furu’ akidah. Seperti sama ada Nabi SAW nampak Allah SWT semasa Isra’ dan Mi’raj atau tidak.

Sebenarnya amat terhad sekali hal yang ulama’ sepakat. Sebagai contoh, semua setuju bahawa solat itu wajib tetapi cara untuk mengerjakan solat itu terdapat banyak sekali pendapat.

Jadi kita haruslah menghormati khilaf di antara ahli agama dan janganlah mencela dan mengutuk orang yang berlainan pendapat. Janganlah panggil mereka yang berlainan pendapat dengan kita sebagai ‘wahabi’ dan apa-apa kata cacian lagi.

Kenapakah Allah SWT membenarkan ada khilaf pendapat? Kenapa tidak diberikan sahaja lafaz-lafaz yang mudah untuk difahami sehinggakan tidak ada langsung khilaf?

Allah SWT berbuat begitu supaya adalah kerja ahli agama untuk menggunakan ijtihad, iaitu menggunakan akal fikiran untuk melakukan kajian bagi mencapai satu keputusan agama dan memberikan peluang kepada mereka untuk mendapat pahala.

Ini adalah peluang untuk mereka mendapat pahala kerana jikalau ijtihad (usaha mereka untuk mencapai sesuatu keputusan) mereka betul, maka mereka akan mendapat dua pahala.

Jika salah, mereka tetap mendapat satu pahala kerana mereka telah berusaha. Lihatlah begitu indah sekali Islam ini jika betul-betul kita fahami.

Kalau ada ilmu, maka akan senang untuk menghormati pandangan orang lain. Maka jangan takut dengan perbahasan ilmu. Dan jangan sekat manusia dari bercakap tentang ilmu. Jangan halang orang bijak untuk berbincang.

Jangan menghalang orang lain dari berbincang untuk mendapatkan pemahaman kerana ada juga orang awam yang pandai dan boleh memahami ajaran dan dalil dari agama, antaranya peguam, pensyarah dan sebagainya. Mereka bijak pandai cuma tiada kesempatan untuk mengkaji dan kerana itu mereka mendapatkan maklumat dari ahli agama kerana itu bidang mereka.

Pada zaman Nabi SAW juga sudah ada perbezaan pendapat.

Contohnya hadith apabila baginda hendak menyerang Yahudi Bani Quraizah. Nabi SAW telah memberitahu kepada sahabat untuk terus pergi ke sana dan jangan menunggu untuk solat Asar. Solat Asar di sana sahaja.

Akan tetapi, ada sahabat yang solat di pertengahan jalan semasa dalam perjalanan ke kawasan Bani Quraizah. Ini kerana mereka beranggapan, yang dimaksudkan Nabi adalah jangan terlambat, sebab itu Nabi menyuruh agar solat di sana sahaja. Apabila disampaikan kepada Nabi tentang perkara ini, Nabi tidak memarahi mereka yang solat semasa dalam perjalanan.

Khilaf yang terjadi di kalangan ulama’ sememangnya banyak. Ini adalah perkara biasa.

Ada beberapa sebab:

1. Perbezaan pendapat ini kerana keupayaan mereka berbeza dalam menilai hadith. Ada yang menerima sesuatu hadith dan ada yang tidak. Ini kerana mereka berijtihad. Apabila penilaian hadith berbeza, maka hukum yang dikeluarkan juga akan berbeza.

2. Ada antara mereka yang tidak tahu akan kewujudan hadith. Ini terjadi kerana pada zaman mereka hadith tidak dikumpulkan lagi dan ada juga sahabat yang tidak tahu kesemua hadith.

Contohnya:
Saidina Umar r.a pun ada hadith yang dia tidak tahu langsung.

Jadi, sekiranya kita memilih dan menggunakan hadith yang lebih sahih, itu bukanlah satu kesalahan kerana kita bukan mengikuti mana-mana Imam mazhab atau tokoh tetapi yang kita ikuti adalah Nabi Muhammad SAW.
Tidaklah salah sekiranya kita memilih pendapat yang kita rasa lebih kuat dan di mana kita boleh membuat perbandingan antara dua ulama yang berbeza pendapat.

Ada juga yang berkata: “siapalah kita untuk menilai pandangan ulama’ ada yang lemah, terima sahaja lah”.
Ini tidak menjadi masalah kerana kita semua ada akal fikiran yang diberikan oleh Allah SWT dan kita boleh menilai pandangan mana satu yang lebih kuat walaupun kita bukan ulama’.

Perbezaan pendapat di dalam memahami dalil.
Ada banyak dalil akan tetapi berbeza pandangan dari segi memahaminya.

Sebagai contoh:
Di dalam Al-Quran digunakan lafaz quru’ untuk mengira iddah wanita yang diceraikan. Fahaman lafaz quru’ antara Imam Hanifah dan Imam Syafi’iy berbeza. Imam Syafi’iy berpendapat quru’ itu ‘suci’ dan Imam Hanifah berpendapat quru’ itu ‘haidh’.

Ada juga yang tidak tahu bahawa adanya hukum yang telah dibatalkan daripada hukum yang asal.

Sebagai contoh:
Muaz bin Jabal r.a telah dihantar ke Yaman. Jadi ada hadith yang dia tidak tahu telah dibatalkan.

Maka tidak salah untuk berbeza pendapat tetapi harus mempunyai adab serta bersangka baik terhadap ulama’ yang telah melakukan ijtihad itu.

Memang ada yang telah melakukan kesilapan dan kita harus menerima perkara ini kerana mereka bukannya Nabi. Semoga Allah SWT mengampunkan kesilapan mereka itu. Dan ini biasa sahaja kerana kita pun ada berbuat salah juga.

Oleh itu, tidaklah kita harus menerima sahaja semua pendapat ulama’ itu sampai tidak boleh hendak menilai langsung. Yang salah tetap kita katakan salah. Cuma janganlah sampai katakan ulama’ itu sesat pula.

Mereka itu ulama’ dan kerana itu kita harus menghormati mereka. Kalau tidak setuju tidak mengapa kerana bukan semua kita tidak bersetuju, ada juga isu yang kita setuju.

Itu semua dikira sebagai ‘Khilaf Muktabar’ kerana dalilnya ada, cuma berbeza fahaman tentang dalil itu. Bukanlah seperti khilaf masyarakat kita sekarang.

Satu pihak ada dalil dan satu pihak lagi tidak ada dalil, cuma ada ‘pendapat’ sahaja. Ini bukanlah khilaf yang diraikan.

Jadi, janganlah asyik hendak berkata: “Ini perkara khilaf, Syeikh”, kalau tidak ada dalil untuk menyokongnya. Kalau begitu, maka rosaklah agama kalau berbuat benda bid’ah dan mengatakan itu ‘khilaf’. Apa-apa pun, kita mesti melihat akan dalil yang ada. Kalau tidak ada dalil barulah kita menggunakan qiyas dan ijmak ulama’.

Oleh itu, tidak boleh bantah membantah dalam khilaf muktabar. Seperti khilaf sama ada mesti membaca Al-Fatihah atau tidak apabila menjadi makmum.

Semua yang memberikan pendapat ada dalil masing-masing. Jadi kalau ada yang tidak membaca Al-Fatihah di belakang imam, jangan kita katakan dia sesat pula kerana ada pandangan dan dalil yang dia gunakan.

Ubat kepada masalah ini: Perlu belajar banyak ilmu. Belajar lagi dan lagi, supaya jangan taksub kepada satu-satu pendapat sahaja dan menyalahkan orang lain.

Harus beritahu khilaf kepada masyarakat supaya jangan kalut kalau nampak orang lain membuat amalan yang lain daripada apa yang kita amalkan.

Jangan salahkan dan menuduh tanpa usul periksa. Jangan tafsir benda yang orang tidak cakap. Sebagai contoh, kalau ada orang yang tidak menggunakan pendapat Imam Syafi’iy dalam sesuatu masalah, jangan kata dia menghina Imam Syafi’iy pula.

SESI SOAL JAWAB
=======================

📍Selain daripada empat Mazhab Sunnah yang terkenal ini, adakah lagi Mazhab Sunnah lain yang masih wujud tetapi tidak begitu dikenali?

🔵 Mazhab Sunnah ada berbelas tetapi banyak yang tidak diamalkan kerana pengikut tidak ramai. Empat mazhab ini terkenal kerana ramai pengikutnya.

Satu lagi yang mungkin ramai tidak tahu, Imam Bukhari ada mazhabnya sendiri. Memang mazhab-mazhab mengaku beliau mazhab mereka (mazhab Syafi’iy kata Imam Bukhari mazhab Syafi’iy dan mazhab Hanafi kata beliau mazhab Hanafi).

Namun kalau lihat fiqh yang beliau bawa, ia tidak mengikut hanya satu-satu mazhab. Kadangkala sama dengan salah satu dari empat mazhab itu dan kadangkala keluar terus dari pendapat-pendapat mazhab yang empat.

📍Adakah pendapat keempat-empat mazhab ini boleh digunakan pada bila-bila masa di dalam semua ibadah?

🔵 Ya. Secara ringkasnya kaedah keempat-empat mazhab ini boleh digunapakai di dalam feqah kita. Ini kerana mereka ini bergelar ‘Imam’, yang membawa maksud menjadi ikutan kita (seperti imam di hadapan makmum). Mereka juga adalah ulama’ besar dan layak untuk berijtihad.

Satu perkara yang selalu disebut adalah talfiq mazhab iaitu tukar-tukar mazhab. Kejap pakai pendapat mazhab ini dan sekejap pendapat mazhab itu. Sebenarnya tidak ada larangan untuk pilih pendapat-pendapat yang ada kerana mereka beri pendapat berdasarkan dalil dan hujah bernas.

Lagi satu yang menjadi tuduhan adalah kita tasahhul (bermudah-mudah) dalam mengambil hukum. Pilih mana yang senang sahaja. Ini tidaklah boleh. Kita pilih pendapat yang lain daripada kebiasaan jikalau pendapat itu berdasarkan dalil yang kita rasa lebih kuat.

📍Dalam mazhab ada ramai ulama seperti Imam Nawawi, Al Razi contohnya tetapi ada juga yang kata “Qil”. Adakah boleh pilih pendapat “Qil” ini?

🔵 Boleh. Mereka juga ulama yang diiktiraf. Apa yang kita perlu lakukan adalah dengan meneliti apakah hujah-hujah dan dalil mereka. Ini kerana kita bukan ikut ‘mereka sebagai individu’ tetapi kita ikut dalil yang mereka bawakan. Kalau ianya pendapat mereka sahaja, kita masih boleh tolak. Tidaklah semestinya kita ikut. Kita akan mendapat pahala dari usaha kita belajar ini. Sepertimana ulama’ mendapat pahala kerana mengeluarkan ijtihad mereka, maka kita yang belajar ini juga mendapat pahala.

📍 Adakah wajib orang awam ikut mazhab?

🔵 Tidak wajib. Kalau wajib, dahulu sebelum mazhab ada, golongan salaf pakai mazhab apa?

📍Adakah boleh kalau kita pegang pada satu mazhab sahaja? Ini kerana orang awam seperti saya ini masih dalam proses menuntut ilmu jadi tidak tahu menilai pandangan mazhab yang lain yang lebih dekat dengan sunnah.

🔵 Ya boleh, tidak salah tetapi janganlah pula hendak marah kalau orang lain mahu pakai pendapat lain. Sekarang ini kalau nampak orang buat lain sikit, terus cemuh, perlu bertenang (relaks) dia mungkin orang yang belajar bab mazhab ini. Mungkin dia tahu pendapat lain dan awak pula tahu satu pendapat sahaja. Sudah nampak bukan keluasannya?

📍Kalau dalam satu isu itu ada dua orang agamawan yang bagi pandangan yang berbeza-beza, apa yang perlu saya buat sebagai orang awam?
Apakah terdapat adab-adab tertentu bagi orang awam untuk berinteraksi dengan perbezaan pandangan antara agamawan?

🔵 Kita belajar apakah hujah dan dalil yang mereka gunakan. Kemudian kita pilih satu dan tidak menghina yang satu lagi. ‘Orang Awam’ juga boleh faham dalil. Cuba tengok pilihanraya yang lepas semua sibuk bincang politik macam ahli politik saja.

📍Contohnya berbeza dari sudut hukum bila Ustaz A kata boleh manakala Ustaz B kata tidak boleh.

🔵Tengoklah dalil yang diberikan.

📍Adakah perbezaan fahaman aqidah yang 3 itu boleh diterima iaitu Rububiah,Uluhiyah dan Asma wa Sifat?
Ada yang kata “Allah SWT memang duduk dengan Zat-Nya di Kursi-Nya” itu tetapi duduk yang selayaknya bagi Allah SWT berbanding dengan yang tafsir kata duduk itu tanda kebesaran sahaja

🔵 Ini bab akidah tetapi furu’ akidah dan bukan usul akidah. Kalau furu’ masih boleh lagi kita layan. Tidaklah kita boleh kafirkan dia. Pendapat dia mungkin salah, tetapi kita tidak boleh kafirkan dia. Ini perlu kena tahu yang mana usul dan mana furu’.

📍Apakah perbezaan khilaf dengan ikhtilaf ?

🔵 Beza hanya pada bahasa seperti:
1. Berbeza / perbezaan
2. Raja / kerajaan
3. Suka / kesukaan.

📍Kita kena hormati pegangan pendapat mazhab lain. Kalau menurut pendapat Ustaz sendiri kalau orang sembahyang nampak kaki ikut mazhab lain di Malaysia, macam mana?

🔵 Boleh nampak kaki adalah mazhab Hanafi. Kalau nampak, bolehlah ajak dia berbincang. Memang mazhab Hanafi ringan bab kaki (dan rambut juga) dalam solat tetapi mereka solat dalam bilik. Jauh dari pandangan manusia. Kalau solat di luar, tidak sesuai.

📍 Setakat manakah campur-campur mazhab itu dibenarkan?
Adakah dibenarkan sehingga di dalam sebuah solat atau bagaimana?
Mohon ustaz jelaskan dengan ringkas tetapi padat berserta contoh.

🔵 Mazhab ini datang kemudian, bukan zaman Nabi SAW dan bukan zaman sahabat. Ia amat membantu memudahkan umat Islam untuk membuat keputusan hukum. Ulama’ sudah kupaskan dalil-dalil yang ada untuk kita terus praktik.
Namun, tetap kita sebagai umat Islam menilai kembali pandangan-pandangan yang ada. Ini kerana kita hendak serapat mungkin dengan dalil dan mencari pandangan yang lebih rajih. Imam mazhab bukanlah nabi maka tentu ada kesilapan dan kekurangan mereka.

Tidak mengapa kalau campur pandangan mazhab walaupun dalam satu solat. Tidaklah kesemua solat hendak kena pakai satu mazhab sahaja. Kalau hendak puasa kena kesemua pakai satu mazhab lain pula.

Tiada penetapan sebegini. Sebagai contoh, apabila ditanya kepada Saidina Ali tentang perkara yang membatalkan wuduk, tidaklah dia tanya: “bab ambil wuduk engkau ambil dengan siapa? Nak pakai pandangan batal aku, kena ambil cara wuduk dengan aku juga lah.” Tidaklah begitu, bukan?

Kita ubah dengan perkataan lain lebih senang. Bila kata ‘campur-campur mazhab’ bunyi negatif.
Kita kata: “Kita pilih pandangan yang lebih rajin”.

📍Boleh ustaz lampirkan pernyataan kepada kata-kata imam mazhab yang menyuruh kita semua tetap berpandukan kepada hadith-hadith Nabi berbanding kata-kata mereka? Sumber di petik dari sekian- kitab karangan mereka atau anak murid mereka. Ini bagi menjelaskan kepada semua akan larangan bertaklid secara semberono kepada mahzab tanpa mengetahui kekuatan dalilnya.

🔵 Perkataan para Imam tentang Taklid

Para imam juga menegaskan kepada para pengikutnya untuk mengikuti dalil, dan tidak bertakliq. Berikut perkataan mereka:

Pertama: Imam Abu Hanifah rahimahullah
Beliau mengatakan,

لا يحل لأحد أن يأخذ بقولنا ما لم يعلم من أين أخذناه

“Tidak boleh bagi seorangpun berpendapat dengan pendapat kami hingga dia mengetahui dalil bagi pendapat tersebut.”(Ibnu Abdil Barr dalam al-Intiqaa dalam Fadhaail ats-Tsalatsah al-Aimmah al-Fuqahaa (hlm. 145))

Diriwayatkan juga bahwa beliau mengatakan,

حرام على من لم يعرف دليلي أن يفتي بكلامي

“Haram bagi seorang berfatwa dengan pendapatku sedang dia tidak mengetahui dalilnya.”

Kedua: Imam Malik bin Anas rahimahullah
Beliau mengatakan,

إنما أنا بشر أخطئ وأصيب فانظروا في رأيي فكل ما وافق الكتاب والسنة فخذوه وكل ما لم يوافق الكتاب والسنة فاتركوه

“Aku hanyalah seorang manusia, terkadang benar dan salah. Maka, telitilah pendapatku. Setiap pendapat yang sesuai dengan Al-Quran dan sunnah nabi, maka ambillah. Dan jika tidak sesuai dengan keduanya, maka tinggalkanlah.” (Jami’ Bayan al-‘Ilmi wa Fadhlih 2/32).

Beliau juga mengatakan,

ليس أحد بعد النبي صلى الله عليه وسلم إلا ويؤخذ من قوله ويترك إلا النبي صلى الله عليه وسلم

“Setiap orang sesudah nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam dapat diambil dan ditinggalkan perkataannya, kecuali perkataan nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam.” (Jami’ Bayan al-‘Ilmi wa Fadhlih 2/91).

Ketiga: Imam Asy-Syafi’i rahimahullah
Beliau mengatakan,

إذا وجدتم في كتابي خلاف سنة رسول الله صلى الله عليه وسلم فقولوا بسنة رسول الله صلى الله عليه وسلم ودعوا ما قلت

“Apabila kalian menemukan pendapat di dalam kitabku yang berseberangan dengan sunnah rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam, maka ambillah sunnah tersebut dan tinggalkan pendapatku.” (Al-Majmu’ 1/63).

Keempat: Imam Ahmad bin Hambal rahimahullah
Beliau mengatakan,

لا تقلدني ولا تقلد مالكا ولا الثوري ولا الأوزاعي وخذ من حيث أخذوا

“Janganlah kalian taklid kepadaku, jangan pula bertaklid kepada Malik, ats-Tsauri, al-Auza’i, tapi ikutilah dalil.” (I’lam al-Muwaqqi’in 2/201;Asy-Syamilah,).

📍Mohon pencerahan apa yang harus dibuat jika ilmu tidak banyak, tidak tahu beza mana yang lebih rajin?

🔵 Di kelas ini, kita hendak tahu sekurang-kurangnya satu pendapat sahaja supaya sudah boleh buat ibadat. Jika hendak banding mana yang lebih rajih itu sudah ‘advance’.

📍Pernah nampak ahli keluarga sendiri rasmi rumah baru dengan panggil ustaz lepas itu azan beberapa penjuru rumah. Adakah perkara ini dianjurkan di dalam Islam?

🔵 Tidak. Tentu Nabi SAW dan sahabat pun ada masuk rumah baru. Adakah mereka buat amalan itu? Adakah mereka tidak tahu azan? Tidaklah begitu bukan?
Maka azan di penjuru rumah adalah bid’ah idhofiyah. Maksudnya Azan tidak bid’ah, tetapi digunakan untuk rasmi rumah, itu bid’ah sebab Nabi SAW dan sahabat tidak buat.

📍Apa maksud idhofiyah?

🔵 Maksud idhofiyah: Tambahan. Menambah cara-cara amal yang Nabi SAW dan sahabat tidak buat dan tidak ajar.
Azan – memang ada tetapi azan untuk rasmi rumah memang tidak ada.

📍Kalau cara yang bertepatan dengan sunnah yang dianjurkan, berkenaan pendirian rumah baru macam mana ustaz?

🔵 Bina rumah, duduk rumah adalah perkara muamalah, (perkara kehidupan) sebagai manusia biasa. Semua orang bina rumah dan ada rumah. Orang kafir juga ada rumah. Jadi ini bukan perkara ‘ibadat khusus’. Oleh itu duduk macam biasa sahaja. Binalah rumah, duduklah dalam rumah itu.

Perkara yang paling penting, jaga rumah itu dan hidupkan suasana Islam di dalam rumah. Tidak perlu rasmi dan buat majlis pun tidak mengapa, kerana tidak ada anjuran dalam Islam buat majlis sebegitu.

Ini mungkin kerana banyak baca buku Tamar Jalis. Dulu bina rumah hari sekian sekian, mengadap sekian-sekian… hendak masuk kena tunggu bulan purnama. Itu petua orang melayu lama yang tidak ada dalam Islam, petua sahaja.

Apa yang penting hidupkan suasana Islam di dalam rumah itu. Bukan hendak kira hari pertama masuk, setiap hari ada perkara yang kita kena buat. Sebagai contoh, masuk kena sebut nama Allah SWT, kena selalu baca Al-Quran, selalu solat sunat dan sebagainya.

Jauhkan dari buat dosa, perkara maksiat. Cara masuk rumah diajar dalam Al-Quran, cara anak-anak hendak masuk dalam bilik juga diajar dalam al-Quran. Malah cara hendak bagi salam diajar dalam hadith, cara duduk di luar pintu turut ada diajar.

📍 Cara duduk di luar pintu? Bagaimana itu ustaz?

🔵 Boleh praktik terus lepas ini sebab hendak beraya, kan?
Bila kita ketuk rumah orang, jangan duduk betul-betul depan pintu, duduk tepi sikit supaya bila dia buka pintu, tidak ternampak bahagian dalam rumah takut-takut anak dan isteri dia tidak pakai tutup aurat, Nabi SAW ajar begini.

📍 Jika hendak buat majlis seperti majlis makan-makan?

🔵 Ajak orang makan memang bagus. Bagi makan percuma tetapi jangan paksa mereka doa untuk kita pula. Doa selamat itu paksa orang doa dengan bagi makan.

📍Adakah setiap perbuatan kita mesti dimulakan dengan “bismillah” atau “bismillahir rahmanir rahim”? Sebab ada dengar kuliah di Youtube hanya “bismillah” untuk doa makan, adakah ini termasuk dalam semua perkara?

🔵 Jika penuh, namanya basmalah. Kalau yang pendek, namanya tasmiyah.
Kalau makan, tasmiyah sahaja kerana memang ada hadis Nabi sebut baca bismillah sahaja. Secara umum, waktu-waktu lain, boleh sahaja dua-dua. Tidak ada pengkhususan.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan