Utama UiTO: Soal-Jawab agama bersama ustaz Abu Basyer Baik Buruk Internet terhadap Tiga Golongan Manusia

Baik Buruk Internet terhadap Tiga Golongan Manusia

284
0
Iklan

Baik Buruknya Internet terhadap Tiga Golongan Manusia.

PADA masa kini secara umumnya majoriti rakyat yang telah didedahkan dan berkemahiran untuk menggunakan kemudahan internet dan boleh berinteraksi di facebook, twitter, instagram, telegram dan whatsapp sejajar dengan perkembangan sains dan teknologi. Adanya kemudahan internet di media sosial semua kebaikan dan keburukan berada di hujung jari kita.

Terdapat tiga golongan yang menggunakan kemudahan internet untuk berinteraksi di dalam media sosial.

Pertama : Golongan yang memanfaatkan kemudahan internet untuk menyebarkan, berkongsi atau menimba ilmu dunia dan akhirat, menambahkan pendapatan kewangan, merapatkan ukhuwah sesama insan dan sebagainya. Semua itu boleh dimasukkan ke dalam senarai amal solehnya dan dia mendapat ganjaran untuk kebaikan dunia dan akhiratnya.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Apabila seseorang manusia itu meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu pengetahuan yang dapat diambil manfaat daripadanya dan anak soleh yang mendoakan untuknya”. [ Hadis Riwayat Muslim ]

Hadith dari sahabat Uqbah bin ‘Amr bin Tsa’labah radhiallahu’anhu, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

من دَلَّ على خيرٍ فله مثلُ أجرِ فاعلِه

“Barangsiapa yang menunjuki kepada kebaikan maka dia akan mendapatkan pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya”

[ HR. Muslim no. 1893 ]

Kedua : Golongan yang menghabiskan masa berada depan komputer, laptop atau telefon pintar dengan bermain ‘game’, mendengar lagu, bersembang kosong (chatting) dengan sesiapa sahaja, membuka web site yang kurang bermanfaat seperti membaca kehidupan artis-artis atau ahli-ahli sukan dan sebagainya tanpa tujuan yang jelas. Waktunya dihabiskan berjam-jam tanpa sebarang faedah untuk dirinya.

Sepatutnya, mereka perlu mengisi masa berharga itu dengan amalan yang boleh menghalakan hati untuk memberi sepenuh perhatian dan tumpuan terhadap Allah SWT bukan semata-mata memenuhi hawa nafsu sahaja. Masa inilah kita pergunakan untuk menghadiri pengajian-pengajian ilmu, ceramah-ceramah agama, khidmat masyarakat dan menyediakan serta menghantar nota-nota tazkirah ke facebook , whatsapp dan blog kepada masyarakat.

Allah SWT berfirman,

وَالْعَصْرِ (1) إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ (2) إِلَّا الَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ (3)

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan saling menasihati supaya menaati kebenaran dan saling menasihati supaya menetapi kesabaran”

[ Al ‘Ashr: 1-3 ].

Masa adalah kehidupan. Sesiapa yang mensia-siakannya bermakna dia mensia-siakan kehidupannya.

Ketiga : Golongan yang menggunakan komputer, laptop dan telefon pintar untuk memuat naik dan memuat turun gambar-gambar tidak senonoh, melawati laman-laman lucah, mengumpat, menyebarkan fitnah, melaga-lagakan manusia, menghasut sehingga memutuskan hubungan silaturahim dan memusnahkan rumahtangga, bersembang dengan menggunakan bahasa kesat dan kasar, memuat naik gambar-gambar peribadi yang mendedahkan aurat dan banyak lagi aktiviti-aktiviti di facebook, blog, twitter, telegram dan whatsapp yang mengundang laknat dan murka Allah SWT. Lebih dahsyat lagi jika terlibat dengan aktiviti tidak bermoral membuat fitnah dan menyebarkannya pula dengan menggunakan teknologi ‘super impose’.

Dalam hadith dari Jarir bin Abdillah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah SAW bersabda,

مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً، كَانَ عَلَيْهِ وِزْرُهَا وَوِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ بَعْدِهِ، مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْء

“Siapa yang mempelopori satu kebiasaan yang buruk dalam Islam, maka dia mendapatkan dosa keburukan itu, dan dosa setiap orang yang melakukan keburukan itu kerana ulahnya, tanpa dikurangi sedikitpun dosa mereka.”

[ Hadis Riwayat Muslim ].

Marilah sama-sama bermuhasabah diri kita. Sekarang ini kita berada dalam golongan yang mana?

Jika berada di golongan yang pertama, alhamdulillah semoga kita sentiasa dirahmati Allah. Masa yang kita peruntukkan menghadap komputer , laltop atau telefon pintar dikira sebagai ibadah di sisi Allah S.W.T. Teruskan kerja-kerja yang murni ini.

Sekiranya kita golongan yang kedua, kita adalah golongan yang akan rugi kerana masa kita dipergunakan dengan banyak tanpa berfaedah . Kita akan menyesal di akhirat nanti ketika berdepan dengan hisab amalan satu persatu termasuk masa yang kita habiskan.

Jika termasuk golongan yang ketiga kita akan mendapat kerugian di dunia dan akhirat . Oleh itu hendaklah kita jangan menjadi golongan ketiga ini dan minta dihentikan tabiat buruk itu. Secara sedar atau tidak golongan ketiga ini telah membuat koleksi dosa-dosa sama ada dosa besar atau dosa kecil. Dosa mengumpat dan memfitnah zaman moden ini amat mudah dilakukan. Tidak perlu bersuara atau berkumpul ramai-ramai. Hanya dengan sekali klik dosa mencurah-curah menjadi milik sesiapa yang terlibat dengan perbuatan fitnah tadi. Seseorang akan menjadi golongan muflis di hari akhirat nanti jika tidak bertaubat .

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Tahukah kamu siapakah dia Orang Muflis?”

Sahabat-sahabat baginda menjawab :

“Orang Muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda.”

Nabi SAW. bersabda yang bermaksud :

“Sebenarnya Orang Muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat, sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini, dan menuduh orang itu , memakan harta orang orang ini, menumpah darah orang itu dan juga memukul orang. Maka akan di ambil dari amal kebajikannya serta di beri kepada orang ini dan orang itu, kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis dibayar kesalahan-kesalahan yang di tanggungnya, akan di ambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang di aniayakannya serta ditimpakan keatasnya , kemudian dia dihumbankan ke dalam neraka.”

[ Hadis Riwayat Muslim dan Tirmizi ]

Akhir kata berhati-hatilah menggunakan kemudahan internet untuk berinteraksi di media sosial dengan akhlak yang mulia. Manfaatkan kemudahannya untuk menjana amal soleh dan kebaikan di dunia dan akhirat. Jangan kerananya menyebabkan kita menerima penghinaan dan azab yang pedih bila kembali ke kehidupan yang sebenar nanti.

Makmum Sundari
28. 1.2019

#MS#AB
#SuaraPrihatin

Komen dan Soalan