Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Ahqaf: Tafsir Ayat Ke-32 hingga Ke-35

Tafsir Surah Al-Ahqaf: Tafsir Ayat Ke-32 hingga Ke-35

499
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Ahqaf

Tafsir Ayat ke-32

Ini pula adalah tarhib (anjuran untuk meninggalkan sesuatu)

مَن لّا يُجِب داعِيَ اللهِ فَلَيسَ بِمُعجِزٍ فِي الأَرضِ وَلَيسَ لَهُ مِن دونِهِ أَولِياءُ ۚ أُولٰئِكَ في ضَلٰلٍ مُّبينٍ

“Dan sesiapa tidak menyahut (seruan) Rasul yang mengajaknya ke jalan Allah, maka ia tidak akan dapat melepaskan diri (dari balasan azab walau ke mana sahaja ia melarikan diri) di bumi, dan ia tidak akan beroleh sesiapapun – yang lain dari Allah – sebagai pelindung-pelindung yang membelanya; mereka (yang demikian sifatnya) adalah dalam kesesatan yang nyata”.

مَن لّا يُجِب داعِيَ اللهِ فَلَيسَ بِمُعجِزٍ فِي الأَرضِ

“Dan sesiapa tidak menyahut (seruan) Rasul yang mengajaknya ke jalan Allah, maka dia tidak akan dapat melepaskan diri di bumi,

Jin itu terus berdakwah dengan memberitahu kaum mereka yang kalau mereka tidak mahu beriman dan ikut ajaran dari Nabi Muhammad ﷺ itu, mereka akan binasa.

Mereka tidak akan dapat lari dari azab Allah ﷻ dalam dunia, juga tidak dapat melepaskan diri di akhirat kelak. Mereka akan dapat nasib malang semalangnya.

وَلَيسَ لَهُ مِن دونِهِ أَولِياءُ

dan dia tidak akan beroleh sesiapapun – yang lain daripada Allah – sebagai pelindung-pelindung

Tidak ada sesiapa pun yang dapat melindungi sesiapa daripada Allah ﷻ kalau kita tidak beriman. Ini adalah Dakwa surah ini – mengingatkan kita yang ilah-ilah selain Allah ﷻ itu tidak dapat menolong dan membantu.

Jin-jin juga ada masalah yang sama dengan manusia kerana ramai dalam kalangan mereka yang menyembah dan menyeru kepada ilah-ilah selain Allah ﷻ. Jadi jin yang telah beriman itu mengingatkan kepada kaum mereka supaya jangan buat lagi.

Mereka diajak supaya tinggalkan amalan dan fahaman yang sia-sia itu. Ini kerana nanti kalau di akhirat, pujaan dan seruan mereka selain Allah ﷻ itu tidak akan datang menolong.

أُولٰئِكَ في ضَلٰلٍ مُّبينٍ

mereka (yang demikian sifatnya) adalah dalam kesesatan yang nyata.

Kesesatan yang mereka lakukan itu hanya dapat diketahui dan jelas kalau sudah belajar. Kalau terus jahil, tidak akan tahu. Begitulah kebanyakan dari masyarakat kita sekarang, ramai yang jahil. Ramai yang belajar agama, tetapi bukan ajaran yang sunnah.

Oleh itu, mereka tidak nampak kesalahan yang mereka lakukan. Sedangkan, kalau mereka mahu belajar sunnah, tentu akan nampak dengan jelas sekali yang amalan mereka selama hari ini adalah sesat belaka, buang masa sahaja.

Tafsir Ayat ke-33

Ini adalah Dalil Aqli kepada adanya Hari Kiamat dan kebangkitan semula.

أَوَلَم يَرَوا أَنَّ اللَّهَ الَّذي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ وَلَم يَعيَ بِخَلقِهِنَّ بِقٰدِرٍ عَلىٰ أَن يُحيِيَ المَوتىٰ ۚ بَلىٰ إِنَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Masihkah mereka ingkar dan tidak mahu memikir serta mengetahui bahawa sesungguhnya Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dengan tidak mengalami kesukaran dalam menciptakannya – berkuasa menghidupkan makhluk-makhluk yang telah mati? Sudah tentu berkuasa! Sesungguhnya Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

أَوَلَم يَرَوا أَنَّ اللَّهَ الَّذي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ

Tidakkah mereka melihat bahawa sesungguhnya Allah yang telah menciptakan langit dan bumi

Allah ﷻ memberitahu bahawa Dialah sahaja yang telah mencipta alam ini. Oleh itu sembah dan puja hanya Dia lah sahaja, jangan sembah dan seru selain daripada-Nya. Kalau tidak mahu sembah dan puja Dia sahaja, maka carilah langit dan bumi yang lain.

وَلَم يَعيَ بِخَلقِهِنَّ

dengan tidak kepenatan dalam menciptakannya

Mudah sahaja bagi Allah ﷻ untuk menjadikan alam ini. Tidaklah penciptaan langit dan bumi ini memenatkan Allah ﷻ. Ini hendak menolak ajaran dalam kitab-kitab sebelum ini mengatakan bahawa Allah ﷻ penat selepas mencipta alam ini dan kerana itulah Dia rehat pada hari Sabtu.

Ini adalah salah faham kerana salah terjemah dari kitab-kitab itu. Inilah bahayanya kalau kitab asal tidak disertakan sekali. Ini kerana kalau dilihat kitab yang asal, tentulah tidak ada perkataan sebegini.

Oleh kerana itu, hendaklah Al-Quran ini sentiasa disertakan dengan teks Al-Quran yang asal, kerana terjemahan tidak semestinya benar.

Walaupun tidak sukar dan tidak memenatkan bagi Allah ﷻ untuk menjadikan alam ini, tetapi Allah ﷻ ambil masa untuk menciptanya; ini adalah kerana Allah ﷻ hendak mengajar kita, kalau perkara penting dilakukan, hendaklah mengambil masa, jangan buat dengan kelam-kabut.

بِقٰدِرٍ عَلىٰ أَن يُحيِيَ المَوتىٰ

berkuasa menghidupkan makhluk-makhluk yang telah mati?

Kalau alam yang begini hebat dan besar boleh dijadikan dari tiada kepada ada oleh Allah ﷻ, takkan Dia tidak boleh menghidupkan kembali makhluk yang sudah mati?

Sedangkan Allah ﷻ telah menjadikan makhluk itu dari tiada kepada ada, maka kalau kita ikut logik sekali pun, tentu kalau hendak hidupkan semula, lebih mudah sebenarnya.

Lagi satu logik yang boleh digunakan: kalau benda besar pun Allah ﷻ boleh buat, maka tentu Allah ﷻ boleh buat benda yang sekecil-kecilnya. Sebagai contoh, kalau negara Jepun itu boleh buat kereta, maka tentu mereka juga boleh buat basikal kerana basikal lagi mudah untuk dibina dari kereta.

Maka, ini memberi isyarat kepada kita yang tidak susah bagi Allah ﷻ untuk memusnah dan menjadikan semula alam yang baru kerana semua itu berada dalam Qadar Allah ﷻ kerana Dia yang Maha Berkuasa.

Firman Allah ﷻ dalam ayat lain:

{لَخَلْقُ السَّمَوَاتِ وَالأرْضِ أَكْبَرُ مِنْ خَلْقِ النَّاسِ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ}

Sesungguhnya penciptaan langit dan bumi lebih besar daripada penciptaan manusia, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. [ Al-Mu’min: 57 ].

بَلىٰ إِنَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Sudah tentu berkuasa! Sesungguhnya Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Sudah tentulah Allah ﷻ mampu. Allah ﷻ mampu untuk melakukan segalanya, apa-apa sahaja. Tidak ada kekangan untuk Allah ﷻ dan mudah sahaja bagi Allah ﷻ. Jadi, Hari Kiamat itu pasti akan berlaku.

Tafsir Ayat ke-34

Takhwif Ukhrawi

وَيَومَ يُعرَضُ الَّذينَ كَفَروا عَلَى النّارِ أَلَيسَ هٰذا بِالحَقِّ ۖ قالوا بَلىٰ وَرَبِّنا ۚ قالَ فَذوقُوا العَذابَ بِما كُنتُم تَكفُرونَ

Dan (ingatlah) hari orang-orang yang kafir didedahkan kepada neraka, (lalu dikatakan kepada mereka): “Bukankah (azab) neraka ini benar?” Mereka menjawab: “Ya, benar, demi Tuhan kami!” (Setelah itu) dikatakan lagi (kepada mereka): “Maka sekarang rasalah azab seksa dengan sebab kamu kufur ingkar di dunia dahulu.

وَيَومَ يُعرَضُ الَّذينَ كَفَروا عَلَى النّارِ

Dan (ingatlah) hari orang-orang yang kafir didedahkan kepada neraka,

Orang-orang yang kafir semasa di dunia dulu, akan dimasukkan ke dalam neraka. Antara azab hukuman yang akan dikenakan kepada mereka adalah mereka akan dipanggang dengan api yang sangat panas, lebih panas dari mana-mana api dalam dunia. Bukan itu sahaja azab yang mereka akan terima tetapi banyak lagi.

أَلَيسَ هٰذا بِالحَقِّ

“Bukankah (azab) neraka ini benar?”

Semasa mereka dikenakan dengan azab itu, sambil itulah mereka dihina, ditanya sama ada mereka mengaku atau tidak sekarang yang azab neraka itu benar?

Aduh…! begitu menghinakan sekali, sudahlah badan kena azab, hati dan perasaan pun diazab dengan begitu teruk sekali.

Ini dinamakan takzib rohani – azab jiwa dan ia lebih teruk lagi dari azab tubuh kerana kesannya menyusup terus ke dalam jiwa. Allah ﷻ sengaja tambah azab kepada mereka supaya mereka terseksa jiwa raga di akhirat kelak.

قالوا بَلىٰ وَرَبِّنا

Mereka menjawab: “Ya, benar, demi Tuhan kami!”

Waktu itu mereka mengaku benarlah bahawa neraka itu benar-benar memang ada. Sudah masuk dalam neraka, sudah kena azab, takkan tidak mengaku lagi? Memang mengaku sungguh-sungguh.

Malangnya pada waktu itulah baru mereka hendak mengaku Allah ﷻ itu Tuhan. Dulu semasa mereka di dunia, mereka tidak mengaku. Malah kalau pun mereka telah sebut dengan mulut, ia tidak disertakan dengan hati sekali kerana mereka tidak yakin.

Memang ramai yang sebut dengan mulut bahawa Allah ﷻ itu Tuhan, tetapi dalam masa yang sama, arahan Tuhan tidak diikuti, ajaran Dia dalam Al-Quran tidak dipelajari dan diambil peduli. Maka, kalau begitu mereka hanya sebut dengan mulut sahaja dan tidak diserapkan ke dalam hati.

قالَ فَذوقُوا العَذابَ بِما كُنتُم تَكفُرونَ

Maka sekarang rasalah azab seksa dengan sebab kamu kufur ingkar di dunia dahulu.

Natijahnya, mereka dirasakan dengan azab neraka itu. Ini juga lafaz takzib rohani. Sudahlah mereka dikenakan dengan azab badan, ditambah lagi dengan penghinaan semasa azab itu diberikan.

Tafsir Ayat ke-35

Ayat Tasliah kepada Nabi Muhammad ﷺ.

فَاصبِر كَما صَبَرَ أُولُو العَزمِ مِنَ الرُّسُلِ وَلا تَستَعجِل لَّهُم ۚ كَأَنَّهُم يَومَ يَرَونَ ما يوعَدونَ لَم يَلبَثوا إِلّا ساعَةً مِّن نَّهارٍ ۚ بَلٰغٌ ۚ فَهَل يُهلَكُ إِلَّا القَومُ الفٰسِقونَ

(Jika demikian akibat orang-orang kafir yang menentangmu wahai Muhammad) maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya Rasul-rasul “Ulil-Azmi” (yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati) dalam kalangan Rasul-rasul (yang terdahulu daripadamu); dan janganlah engkau meminta disegerakan azab untuk mereka (yang menentangmu itu). Sesungguhnya keadaan mereka semasa melihat azab yang dijanjikan kepada mereka, merasai seolah-olah mereka tidak tinggal (di dunia) melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari. (Penerangan yang demikian) cukuplah menjadi pelajaran (bagi orang-orang yang mahu insaf). Maka (ingatlah) tidak dibinasakan melainkan kaum yang fasik – derhaka.

فَاصبِر كَما صَبَرَ أُولُو العَزمِ مِنَ الرُّسُلِ

maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya Rasul-rasul “Ulil-Azmi”

Nabi Muhammad ﷺ dipujuk untuk bersabar seperti sangat sabarnya rasul-rasul Ulul Azmi yang memiliki kesabaran dan mempunyai kecekalan yang tinggi. Nama-nama mereka ada disebut dalam [ Ahzab: 7 ].

Terdapat lima orang rasul termasuk Nabi Muhammad ﷺ.

Pendapat yang kuat mengatakan mereka adalah Nuh, Ibrahim, Musa, Isa, dan penutup semua para Nabi (iaitu Nabi Muhammad ﷺ). Ini kerana ada pendapat yang lain mengatakan Ulul Azmi adalah semua Rasul. Allah ﷻ hendak beritahu Nabi Muhammad ﷺ, kalau mereka boleh sabar, baginda pun boleh juga.

Tidaklah Allah ﷻ hendak mengatakan yang mereka berlima sahaja yang sabar. Ini kerana kita boleh lihat ada kalimah مِنَ (dari kalangan) dalam ayat ini. Ini hanya penekanan sahaja kerana mereka itu semuanya menerima penolakan yang amat teruk daripada kaum baginda. Semua para Nabi itu sabar, terutama sekali para Rasul Ulul Azmi yang telah disebut tadi.

Allah ﷻ pujuk Nabi Muhammad ﷺ untuk bersabar dari ancaman dan kata-kata Musyrikin Mekah itu. Bermacam-macam dugaan yang baginda kena hadapi dan apabila baginda telah berhijrah ke Madinah, cabaran baginda sebenarnya lagi susah kerana lebih banyak golongan yang baginda kena hadapi.

Ada golongan Munafik, ada Golongan Ahli Kitab (Yahudi dan Nasara), puak-puak lain yang di sekitar Madinah dan lain-lain lagi. Mungkin ramai yang sangka, apabila di Madinah, keadaan jadi semakin baik, tetapi sebenarnya tidak begitu. Kalau kata begitu, maka itu tandanya yang mereka tidak belajar dengan benar.

وَلا تَستَعجِل لَّهُم

dan janganlah engkau meminta disegerakan azab untuk mereka

Dan baginda ﷺ dinasihatkan supaya jangan cepat minta kehancuran kaum Quraish sebagai bantuan untuk pengikut yang telah mengikut baginda.

Baginda tentu dapat melihat bagaimana para sahabat ditindas dengan teruk oleh Musyrikin Mekah. Dalam hati baginda ﷺ tentu mahu menyelamatkan sahabat baginda ﷺ . Selain itu ada harapan dalam diri baginda supaya mereka yang menindas itu dibalas dengan tindakan zalim mereka. Namun, Allah ﷻ nasihat baginda ﷺ jangan doa supaya mereka dihancurkan.

Allah ﷻ nasihat baginda supaya jangan gopoh berdoa supaya penentang baginda dimusnahkan. Para Nabi yang lain telah pakai doa untuk memusnahkan umat mereka. Namun, Nabi Muhammad ﷺ simpan doa besar ini dan baginda guna semasa meminta Syafaat Uzma di Mahsyar kelak apabila baginda berdoa kepada Allah ﷻ supaya dipercepatkan hisab.

Dengan syafaat itu, semua makhluk mendapatkan bahagian dari doa itu (sama ada manusia atau tidak, sama ada muslim atau tidak).

Memang Nabi dulu ada berdoa supaya kaum baginda dimusnahkan walaupun kebanyakan mereka menolak baginda. Namun, selepas itu baginda berhenti dari berdoa begitu setelah dinasihatkan oleh Allah ﷻ. Hanya kalau ada pun doa keburukan kepada musuh baginda, itu hanya kepada golongan tertentu sahaja.

Allah ﷻ menahan Nabi dari berdoa kehancuran musuh baginda kerana kalau mereka dihancurkan terus, teruslah habis peluang mereka untuk beriman. Sedangkan Allah ﷻ dengan segala kebijaksanaan-Nya telah melambatkan azab kepada mereka yang menindas kerana mereka mungkin akan beriman.

Lihatlah bagaimana Abu Sufyan dan Khalid al Walid yang berperang dengan baginda, tetapi akhirnya telah masuk Islam dan menjadi muslim yang baik.

Allah ﷻ akan uruskan mereka nanti seperti yang telah disebut dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{وَذَرْنِي وَالْمُكَذِّبِينَ أُولِي النَّعْمَةِ وَمَهِّلْهُمْ قَلِيلا}

Dan biarkanlah Aku (saja) bertindak terhadap orang-orang yang mendustakan itu, orang-orang yang mempunyai kemewahan dan beri tangguhlah mereka barang sebentar. [ Al-Muzzammil: 11 ]

كَأَنَّهُم يَومَ يَرَونَ ما يوعَدونَ لَم يَلبَثوا إِلّا ساعَةً مِٰن نَٰهارٍ

Sesungguhnya keadaan mereka semasa melihat azab yang dijanjikan kepada mereka, merasai seolah-olah mereka tidak tinggal (di dunia) melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari.

Jangan risaukan hal mereka yang menentang itu, kerana azab pasti akan datang untuk mereka. Apabila mereka dikenakan dengan azab nanti, mereka akan rasa seolah-olah mereka tidak pernah tinggal di dunia melainkan dari satu jam sahaja.

Mereka akan rasa begitu semasa mereka diazab di neraka nanti. Ini kerana teruk sekali azab itu sampaikan masa kehidupan mereka di dunia dulu tidak bermakna lagi pada mereka.

Ini terjadi kerana setiap perkara yang kita alami, masanya adalah relatif. Sebagai contoh, kalau kita duduk dalam panas, lima minit akan rasa lama, tetapi kalau kita sedang bermain, kita rasa sekejap sahaja.

Begitulah nanti di neraka, kerana teruk sangat azab yang dikenakan di neraka nanti, kehidupan berpuluh tahun di dunia itu akan rasa sekejap sahaja dan azab yang dikenakan itu adalah lama. Sememangnya lama pun azab di akhirat kelak.

بَلٰغٌ

cukuplah menjadi pelajaran

Hujah-hujah dalam Al-Quran ini, terutama dalam Surah Hawamin Tujuh ini, sudah cukup untuk manusia memperbetulkan perlakuan mereka. Ia perlu disampaikan kepada manusia supaya semua manusia tahu tentang perkara ini.

فَهَل يُهلَكُ إِلَّا القَومُ الفٰسِقونَ

Maka (ingatlah) tidak dibinasakan melainkan kaum yang fasik – derhaka.

Allah ﷻ hanya kenakan azab itu kepada mereka yang fasik sahaja – yang tidak taat dan keluar dari hukum.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan