Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Ahqaf: Tafsir Ayat ke-30 hingga ke-31

Tafsir Surah Al-Ahqaf: Tafsir Ayat ke-30 hingga ke-31

341
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Ahqaf

Tafsir Ayat ke-29 (sambungan)

فَلَمّا حَضَروهُ قالوا أَنصِتوا

setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah mereka: “Diamlah kamu untuk mendengarnya!”

Beberapa jin telah mendengar bacaan Al-Quran daripada baginda ﷺ dengan penuh perhatian. Mereka minta jin-jin lain supaya senyap agar mereka boleh dengar bacaaan Al-Quran itu dengan teliti. Ini menunjukkan yang mereka ada adab dalam majlis ilmu.

Kejadian ini berlaku ketika mereka hadir ke tempat Nabi ﷺ membaca Al-Quran. Maka, Al-Quran ini kena dengar dengan teliti baru akan dapat faham. Jadi, kalau dalam kelas pengajian tafsir, jangan buat benda lain. Memang kena dengar guru mengajar dengan tawajuh.

✍🏻Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Attan, telah menceritakan kepada kami Abu Uwwanah, dan telah menceritakan kepada kami Imam Al-Hafiz Abu Bakar Al-Baihaqi di dalam kitabnya yang berjudul Dalailun Nubuwwah, bahawa telah menceritakan kepada kami Abul Hasan Ali ibnu Ahmad ibnu Abdan, telah menceritakan kepada kami Ahmad ibnu Ubaid As-Saffar, telah menceritakan kepada kami Ismail Al-Qadi, telah menceritakan kepada kami Musaddad, telah menceritakan kepada kami Abu Uwwanah, dari Abu Bisyr, dari Sa’id Ibnu Jubair, dari Ibnu Abbas r.a. yang mengatakan bahawa Rasulullah pernah membacakan Al-Quran kepada jin dan tidak pula baginda melihat mereka. Rasulullah ﷺ bersama segolongan sahabatnya menuju pasar Ukaz. Pada saat itu antara syaitan dan berita dari langit telah dihalang-halangi, kerana langit telah dijaga oleh bintang-bintang yang menyala­-nyala yang melempari syaitan yang hendak mencuri-curi dengar berita dari langit, maka syaitan-syaitan pun kembali kepada kaumnya. Maka kaumnya bertanya, “Mengapa kalian?” Syaitan-syaitan itu menjawab, “Telah dihalang-halangi antara kami dan berita dari langit, dan dikirimkan bintang yang menyala-nyala mengejar kami.” Kaumnya berkata, “Tiada yang menjadi penyebab kalian dihalang-halangi dari berita langit, melainkan telah terjadi sesuatu peristiwa. Maka berangkatlah kalian ke belahan timur dan barat bumi, lalu carilah penyebab yang menghalang-halangi kalian berita dari langit itu!” Maka berangkatlah mereka menjelajahi belahan timur dan barat bumi untuk mencari orang yang menjadi penyebab yang menghalang-halangi mereka berita dari langit. Serombongan jin berangkat menuju ke arah Tihamah yang ketika itu Rasulullahﷺ sedang berada di Nakhlah dalam perjalanannya menuju pasar ‘Ukaz. Rasulullah ﷺ sedang melakukan salat Subuh mengimami para sahabatnya. Ketika jin-jin itu mendengar bacaan Al-Quran, maka mereka mendengarkannya, lalu mengatakan, “Demi Allah, inilah yang menjadi penyebab kalian dihalang-halangi berita dari langit.” Dan ketika rombongan jin itu kembali kepada kaumnya, mereka berkata kepada kaumnya: Sesungguhnya kami telah mendengarkan Al-Quran yang menakjubkan (yang) memberi petunjuk kepada jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya. Dan kami sekali-kali tidak akan mempersekutukan seorang pun dengan Tuhan kami [ Al-Jin: 1-2 ]. Dan Allah SWT menurunkan firman-Nya: Katakanlah (hai Muhammad), “Telah diwahyukan kepadaku bahwasanya sekumpulan jin telah mendengarkan (Al-Quran) ” [ Al-Jin: 1 ]. Dan sesungguhnya yang diwahyukan kepada Nabi SAW hanyalah menceritakan tentang ucapan jin kepada kaumnya.

✍🏻Dalam hadis yang lain:

Abu Bakar ibnu Abu Syaibah mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Ahmad Az-Zubairi, telah menceritakan kepada kami Sufyan, dari Asim, dari Zur, dari Abdullah ibnu Mas’ud r.a. yang mengatakan bahawa jin-jin itu turun menemui Nabi ﷺ saat itu sedang membaca Al-Quran di Lembah Nakhlah. Ketika mereka mendengar bacaannya, mereka mendengarkan dengan penuh perhatian dan mengatakan kepada teman-temannya, “Diamlah!” Jumlah mereka adalah sembilan jin, yang salah satu dari mereka berupa zauba’ah (angin puyuh). Maka Allah menurunkan firman-Nya: Dan (ingatlah) ketika Kami hadapkan serombongan jin kepadamu yang mendengarkan Al-Quran, maka tatkala mereka menghadiri pembacaan (nya), lalu mereka berkata, ‘Diamlah kamu (untuk mendengarkannya).” Ketika pembacaan telah selesai, mereka kembali kepada kaumnya (untuk) memberi peringatan [ Al-Ahqaf: 29 ] sampai dengan firman-Nya: Mereka itu dalam kesesatan yang nyata [ Al-Ahqaf: 32 ]

Jadi, kalau kita lihat hadith-hadith di atas, ada beberapa pendapat yang dikeluarkan. Kita tidak pasti dengan sah mana satukah kejadian yang benar. Beberapa keadaan itu boleh jadi kemungkinannya.

فَلَمّا قُضِيَ وَلَّوا إِلىٰ قَومِهِم مُّنذِرينَ

Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya memberi amaran.

Selepas mendengar dan faham apakah yang dibaca oleh Nabi Muhammad ﷺ, mereka telah beriman dan mereka terus pulang dan memberitahu kepada kaum mereka apa yang mereka telah dengar dari Al-Quran itu. Maknanya, mereka telah berdakwah kepada kaum mereka.

Ini menunjukkan kepentingan dakwah dan menyampaikan perkara baik yang kita telah belajar. Kalau dapat satu ayat, maka sampaikan kembali satu ayat itu kepada orang lain. Tidak perlu belajar habis satu Al-Quran baru boleh ajar kepada orang lain. Kita boleh sahaja terus ajar kepada anak dan isteri dari apa yang kita telah belajar dalam kelas. Mulalah ajar sikit-sikit. Jangan takut hendak sampaikan ajaran Al-Quran.

Mereka tidak pun ambil ijazah dari Nabi ﷺ untuk jadi pendakwah. Mereka terus sahaja beritahu kepada kaum mereka. Jin-jin itu pun tidaklah ada berjumpa dengan para sahabat dan bertanya khabar atau bertukar-tukar ilmu dengan mereka.

Kalau Nabi ﷺ pergi berjumpa dengan jin-jin itu untuk mengajar pun, baginda ﷺ tidak bawa para sahabat sekali dengan baginda, sedangkan dalam banyak hal-hal lain, Nabi akan ada yang menemaninya. Ini menunjukkan tidak perlu ada interaksi antara jin dan manusia.

✍🏻Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ismail ibnu Ibrahim, telah menceritakan kepada kami Daud, dari Asy-Sya’bi dan Ibnu Abu Zaidah, telah menceritakan kepada kami Daud, dari Asy-Sya’bi, dari ‘Alqamah yang mengatakan bahawa aku bertanya kepada Abdullah ibnu Mas’ud r.a., “Apakah Rasulullah ﷺ membawa seseorang dari kalian di malam jin?” Ibnu Mas’ud r.a. menjawab, “Tiada seorang pun dari kami yang menemaninya, tetapi kami merasa kehilangan beliau di suatu malam di Mekah, maka kami mengatakan, ‘Beliau diculik.’ Aku merasa curiga, dan kami tidak dapat memikirkan apa yang harus kami perbuat.”

Ibnu Mas’ud melanjutkan kisahnya, bahawa malam itu kami jalani dengan perasaan tidak menentu. Dan ketika malam menjelang Subuh atau di waktu sahur, tiba-tiba kami melihat baginda ﷺ kegelapan datang dari arah Hira. Lalu kami berseru, “Wahai Rasulullah!” Kemudian kami menceritakan kepadanya perihal kecemasan kami terhadap baginda selama baginda tidak bersama kami. Maka baginda ﷺ:

“إِنَّهُ أَتَانِي دَاعِي الْجِنِّ، فَأَتَيْتُهُمْ فَقَرَأْتُ عَلَيْهِمْ”

Sesungguhnya telah datang kepadaku utusan dari jin, maka aku temui mereka dan kubacakan (Al-Quran) kepada mereka.

Kemudian Nabi ﷺ dan memperlihatkan kepada kami bekas perapian mereka dan jejak-jejak mereka.

📍Namun, kalau tidak belajar tentang jin melalui jalan sunnah, maka manusia akan kena tipu dengan jin. Maka, ramailah dari kalangan orang kita yang berkawan dengan jin.

Salah satu antaranya yang banyak buat kerja ini adalah pengamal silat. Mereka banyak amalan-amalan yang salah dan kerana itu jin akan berdamping dengan mereka. Mereka mengamalkan mentera-mentera yang panggil jin dan kerana itulah ada gelaran ‘Panglima Hitam’ lah dan sebagainya dalam pergerakan persilatan negara ini.

Begitu juga dengan pengamal ajaran tarekat. Mereka juga banyak buat amalan bid’ah dan syirik dan kerana itu mereka didatangi oleh jin yang jahat. Jin-jin itu menyamar sebagai wali itu dan ini, khadam itu dan ini.

Malangnya, ramai yang tertipu dengan pergerakan tarekat kerana mereka itu jahil asalnya, tetapi mahu kepada kebaikan. Mereka hendak menjadi baik dan belajar agama, dan mereka nampak ahli-ahli tarekat itu ‘macam’ pandai dan baik sahaja, lalu mereka telah sertai kumpulan itu.

Apabila sudah sertai mereka akan diajar sedikit demi sedikit amalan yang didapati dari khayalan guru-guru mereka. Oleh kerana yang sertai tarekat itu adalah jahil asalnya, mereka tidak tahu yang ajaran-ajaran itu salah belaka. Maka ini amat bahaya sekali kerana kita juga tahu ramai yang terjebak dalam ajaran tarekat ini. Maka, kenalah kita tahu apakah keadaan mereka supaya kita dan ahli keluarga kita tidak tertipu.

📍Dari kalangan jin tidak ada Nabi dan Rasul. Mereka hanya ada pendakwah sahaja. Oleh kerana itulah mereka kena ambil ilmu dari Nabi Muhammad ﷺ dan memang Nabi Muhammad ﷺ diutus kepada sekelian alam, termasuklah jin dan manusia.

Tafsir Ayat ke-30

Jin-jin itu telah berdakwah kepada kaum mereka dari kalangan jin. Kita tidak ada waktu kejadian itu, dan Nabi ﷺ sendiri pun tidak tahu apa yang berlaku kerana Nabi tidak dapat ‘scan’ jin. Allah ﷻ lah yang beritahu kita apakah yang mereka kata kepada kaum mereka. Kata-kata mereka itu diabadikan dalam Al-Quran selama-lamanya sampai Kiamat.

Apakah kata mereka?

قالوا يٰقَومَنا إِنّا سَمِعنا كِتٰبًا أُنزِلَ مِن بَعدِ موسىٰ مُصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيهِ يَهدي إِلَى الحَقِّ وَإِلىٰ طَريقٍ مُّستَقيمٍ

Mereka berkata: “Wahai kaum kami! Sesungguhnya kami telah mendengar Kitab (Al-Quran) yang diturunkan (oleh Allah) sesudah Nabi Musa, yang menegaskan kebenaran kitab-kitab suci yang terdahulu daripadanya, lagi, memandu kepada kebenaran (tauhid) dan ke jalan yang lurus (ugama Islam)

قالوا يٰقَومَنا إِنّا سَمِعنا كِتٰبًا

Mereka berkata: “Wahai kaum kami! Sesungguhnya kami telah mendengar Kitab

Jin juga boleh terima Al-Quran dan mereka dakwah kepada bangsa mereka. Bukan semua tetapi ada sebahagian dari mereka. Ini adalah kerana mereka amat terkesan dengan apa yang mereka telah dengar dan mereka tidak buang masa untuk sampaikan kepada jin-jin yang lain.

📍Bagaimana pula dengan kita? Adakah kita terkesan dengan ayat-ayat Al-Quran yang kita dengar dan kita baca ini? Adakah kita sampaikan kepada orang lain atau kita simpan sendiri sahaja?

Agama Islam ini berkembang dengan dakwah. Kalau orang yang tahu agama tidak dakwah agama dan Al-Quran ini kepada manusia lain, tentulah kita tidak tahu tentang Al-Quran ini. Tentulah tidak sampai agama Islam ini ke nusantara dan kita tentu sudah lahir dalam agama Hindu dan sekarang nama kita pun ada yang nama Hindu juga.

Maka, jangan kita abaikan tugas dakwah ini. Kalau kita tidak mampu sampaikan apa yang kita belajar, ajak orang lain datang untuk belajar sekali dengan kita. Janganlah berat sangat mulut itu untuk ajak orang lain.

أُنزِلَ مِن بَعدِ موسىٰ

yang diturunkan sesudah Nabi Musa,

Dari sini kita dapat isyarat bahawa jin-jin itu adalah penganut agama Yahudi. Mereka kenal Nabi Musa عليه السلام dan mereka tahu tentang Kitab Taurat. Oleh itu, mereka juga tentu tahu tentang kedatangan Nabi Akhir Zaman – Nabi Muhammad ﷺ.

Mereka tidak menyebutkan Nabi Isa عليه السلام kerana Nabi Isa عليه السلام diturunkan kepadanya kitab Injil yang isinya hanya mengandung nasihat-nasihat, hal-hal keutamaan, dan hanya sedikit mengandungi perkara halal dan haram.

Pada hakikatnya ia merupakan syariat yang menyempurnakan kitab Taurat, dan hal ini bererti yang dipegang sebagai hukum utama adalah Kitab Taurat. Kerana itulah jin mengatakan, “Yang diturunkan sesudah Musa.”

Hal yang sama telah dikatakan oleh Waraqah ibnu Naufal ketika Nabi ﷺ menceritakan kepadanya kisah turunnya Jibril a.s. pada yang pertama kali, lalu Waraqah ibnu Naufal berkata, “Beruntunglah, dia adalah An-Namus (malaikat) yang pernah datang kepada Musa عليه السلام. Aduhai, sekiranya diriku dapat hidup sampai di masa itu dan dalam keadaan kuat.”

Lihat bagaimana Waraqah sebut Nabi Musa عليه السلام sedangkan dia sendiri menganuti agama Nasrani.

مُصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيهِ

yang membenarkan Kitab-kitab Suci yang terdahulu daripadanya,

Apa yang disampaikan oleh Al-Quran itu membenarkan apa yang disampaikan dalam Kitab Taurat dan kitab-kitab lain yang telah ada (yang telah ada sebelum ini). Jadi, perkara akidah yang disampaikan dalam kitab-kitab itu adalah sama sahaja.

Daripada ayat ini, kita tahu bahawa ajaran Nabi Muhammad ﷺ itu sama sahaja dengan ajaran Nabi-nabi yang lain zaman berzaman. Allah ﷻ telah beritahu dengan berbagai cara tentang perkara ini. Sebelum ini telah disebut ada ulama dari kalangan Bani Israil yang telah membenarkan ajaran Al-Quran. Sekarang kita diberitahu yang jin pun beritahu perkara yang sama.

يَهدي إِلَى الحَقِّ

memandu kepada kebenaran

Ajaran dalam Al-Quran itu membawa hidayah kepada kebenaran. Asalkan mahu terima kebenaran, Allah ﷻ akan beri kebenaran kepada mereka yang mahu.

Lihatlah bagaimana jin-jin itu menceritakan kelebihan Al-Quran. Maka ini mengajar kita, apabila kita dakwah, kita kena cerita kelebihan Al-Quran. Allah ﷻ mengajar cara dakwah kepada kita melalui Al-Quran ini, maka kenalah kita ambil cara-cara itu. Sampaikan Al-Quran kepada manusia.

وَإِلىٰ طَريقٍ مُستَقيمٍ

dan ke jalan yang lurus

Itulah jalan yang lurus yang selalu kita minta dalam surah Al-Fatihah dalam setiap solat kita. Allah ﷻ memberitahu yang jalan yang lurus itu ada diberitahu dalam Al-Quran ini. Maka kena belajar tafsir Al-Quran dan kena amalkan apa yang disuruh dalam Al-Quran.

Yang dimaksudkan dengan الحَقِّ adalah tentang akidah dan yang dimaksudkan dengan طَريقٍ مُستَقيمٍ adalah tentang amal ibadat. Ini adalah kerana dua perkara ini amat penting.

Akidah tanpa amal tidak berguna.
Beramal tetapi akidah tidak sempurna juga sia-sia.

Tafsir Ayat ke-31

Ini adalah targhib kepada iman.

يٰقَومَنا أَجيبوا داعِيَ اللهِ وَءآمِنوا بِهِ يَغفِر لَكُم مِّن ذُنوبِكُم وَيُجِركُم مِّن عَذابٍ أَليمٍ

Wahai kaum kami! Sahutlah (seruan) Rasul (Nabi Muhammad) yang mengajak ke jalan Allah, serta berimanlah kamu kepadanya, supaya Allah mengampunkan sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

يٰقَومَنا أَجيبوا داعِيَ اللهِ

“Wahai kaum kami! Sahutlah (seruan) yang mengajak ke jalan Allah,

“Terimalah seruan daie ini”. Daie yang dimaksudkan adalah Nabi Muhammad ﷺ. Jin mengajak kaumnya beriman kepada Al-Quran dan juga kepada Nabi Muhammad ﷺ. Kita yang manusia ini kenalah menerima seruan Nabi Muhammad ﷺ juga. Kenapa? Ini kerana baginda mengajak kepada mentauhidkan Allah ﷻ. Itulah tujuan hidup kita.

Ini juga adalah sebagai dalil bahawa Nabi Muhammad ﷺ diutus juga kepada bangsa jin, bukan bangsa manusia sahaja.

Dai’e yang disebut itu boleh juga bermaksud Al-Quran itu sendiri kerana Al-Quran menyeru juga. Maka kena baca dan fahamkan apa yang disampaikan oleh Al-Quran ini dan juga oleh Nabi Muhammad ﷺ . Selain itu kena belajar Tafsir Al-Quran dan juga syarah Hadis.

وَءآمِنوا بِهِ

serta berimanlah kamu kepadanya,

Jin yang telah beriman itu juga mengajak kaumnya beriman juga dengan Nabi Muhammad ﷻ (dan juga Al-Quran). Apakah maksud beriman dengan Nabi? Maksudnya iaitu terima Nabi Muhammad ﷻ sebagai Rasulullah. Kemudian kena amal ajaran yang Nabi ﷺ ajar dan tidak menambah-nambah dalam ajaran baginda.

Bukan itu sahaja, kerana yang penting adalah ikut ajaran baginda. Bukan mengaku Nabi Muhammad ﷺ itu sebagai Rasul tetapi tidak mengikut ajaran baginda. Ini yang ramai dalam kalangan masyarakat kita yang bermasalah. Mereka terima yang Nabi Muhammad ﷺ itu adalah Rasulullah, tetapi mereka tidak mengikuti ajaran baginda ﷺ sepenuhnya.

Ini kerana mereka tidak belajar agama dengan benar. Mereka hanya belajar dengan guru-guru yang tidak mementingkan pengajaran Al-Quran dan Sunnah.

Maksud terima ajaran baginda ﷺ adalah mengamalkan sunnah. Namun, masyarakat kita, ramai yang tidak faham pun maksud ‘sunnah’ itu. Mereka terima sahaja ajaran dari berbagai jenis manusia, sampaikan mereka telah terkeluar dari sunnah.

Mereka kebanyakannya mengamalkan bid’ah dan syirik pun ada juga. Mereka tidak belajar dan kerana itu tidak faham apakah maksud ‘bid’ah’ itu sendiri sampaikan mereka akan kata amalan bid’ah mereka sebagai ‘Bidaah Hasanah’.

Perkara ini terlalu panjang untuk dihuraikan di sini, tetapi carilah maklumat sebenar tentang apakah bid’ah dan apakah bid’ah hasanah itu. Janganlah dengar dari satu pihak sahaja, tetapi dengarlah dari pihak yang lain. Buatlah kajian dan bukalah minda.

📍Pertama sekali, kena tahu bahawa sumber agama kita adalah Al-Quran dan Sunnah (hadis yang sahih dan terpakai). Kalau dapat terima dua sumber ini, maka in sha Allah akan selamat dalam mencari ilmu. Kena belajar dan mahir dengan dua perkara ini sebelum belajar perkara-perkara yang lain.

يَغفِر لَكُم مِّن ذُنوبِكُم

supaya Allah mengampunkan sebahagian dari dosa-dosa kamu,

Jin yang telah beriman itu terus berdakwah kepada kaum mereka. Mereka mengingatkan mereka bahawa mereka itu banyak dosa, maka hendaklah dosa itu dibersihkan dengan beriman kepada Nabi Muhammad ﷺ, terima ajaran baginda ﷺ dan terus beramal dengan amalan yang diajar oleh baginda ﷺ .

Ini adalah nasihat kepada kita juga. Kalau dulu anda mengamalkan syirik dan amalan bid’ah, maka tinggalkanlah sekarang, buatlah amalan yang sahih daripada agama Islam ini. Mintalah ampun kepada Allah ﷻ atas kesalahan dulu – kerana dulu kita jahil, kita tidak tahu manakah yang benar, kita belajar dari ustaz-ustaz yang ramai di negara ini dan kita pun sangka mereka semua ajar perkara yang benar.

Namun, apabila sudah belajar tafsir dan sudah belajar Hadis, baru kita tahu banyak ustaz-ustaz di negara ini pun tidak faham apakah sunnah, apakah bid’ah. Mereka tidak tahu mana yang tauhid dan mana yang syirik. Oleh kerana mereka lah, tunggang langgang agama Islam di negara ini.

وَيُجِركُم مِّن عَذابٍ أَليمٍ

dan menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Kalau kita beriman sempurna, mengamalkan tauhid, mengamalkan amalan yang sunnah, maka kita akan selamat dari azab seksa yang kita tidak mampu hendak tanggung. Tidak ada cara lain untuk menyelamatkan kita dari azab neraka itu melainkan beramal dengan ajaran agama yang benar.

Ayat ini bermaksud diselamatkan dari azab neraka. Kalau telah selamat dari azab neraka, tentulah akan masuk syurga dan inilah yang kita hendak, bukan?

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa golongan jin tidak dapat masuk syurga kerana mereka dari keturunan iblis – paling kuat mereka dapat adalah selamat dari neraka sahaja; tetapi pendapat ini disanggah kerana di akhirat kelak, cuma ada syurga dan neraka.

Maka kalau selamat dari neraka, tentu masuk syurga. Tidaklah mahu dipanjangkan perbahasan ini kerana kita bukan jin dan kenalah kita kenang bahawa Allah ﷻ tidak akan zalim kepada hamba-Nya. Apa sahaja yang Allah ﷻ takdirkan untuk mereka, itu adalah adil belaka.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan