Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al- Ahqaf: Tafsir Ayat Ke-25 hingga Ke-27

Tafsir Surah Al- Ahqaf: Tafsir Ayat Ke-25 hingga Ke-27

164
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Ahqaf

Tafsir Ayat ke-25

Takhwif Duniawi.

تُدَمِّرُ كُلَّ شَيءٍ بِأَمرِ رَبِّها فَأَصبَحوا لا يُرىٰ إِلّا مَسٰكِنُهُم ۚ كَذٰلِكَ نَجزِي القَومَ المُجرِمينَ

Yang menghancur leburkan segala-galanya dengan izin Tuhannya”. (Setelah azab itu menimpa mereka) maka menjadilah mereka (punah ranah) – tidak ada yang kelihatan melainkan tempat-tempat tinggal mereka. Demikianlah Kami membalas kaum yang berdosa.

تُدَمِّرُ كُلَّ شَيءٍ بِأَمرِ رَبِّها

Yang menghancur leburkan segala-galanya dengan izin Tuhannya

Semua yang ditakdirkan hancur, musnah dengan arahan Tuhan. Terpulang kepada Allah ﷻ bahagian mana yang Dia hendak hancurkan. Ini kerana tempat tinggal mereka tidak dihancurkan. Maknanya Allah ﷻ hendak hancurkan tubuh badan mereka sebenarnya.

فَأَصبَحوا لا يُرىٰ إِلّا مَسٰكِنُهُم

maka menjadilah mereka (punah ranah) – tidak ada yang kelihatan melainkan tempat-tempat tinggal mereka.

Kelibat mereka tidak ada, tinggal rumah sahaja. Tubuh badan mereka sedikit pun tidak ada lagi. Allah ﷻ tinggalkan tempat tinggal mereka sebagai peringatatan kepada orang kemudian. Orang boleh tengok kesan mereka itu dan mengingatkan kepada azab yang dikenakan kepada orang yang ingkar dengan agama.

كَذٰلِكَ نَجزِي القَومَ المُجرِمينَ

Demikianlah Kami membalas kaum yang berdosa.

Begitulah Allah ﷻ beri contoh apa yang terjadi kepada kaum yang buat dosa. Bukanlah ia khusus kepada kaum Aad sahaja. Mereka dikenakan dengan azab sebegitu kerana mereka telah melakukan kesalahan yang berat dari segi akidah.

Namun ia dikenakan kepada kaum yang Allah ﷻ ingin balas semasa di dunia. Macam umat Nabi Muhammad ﷺ, Allah ﷻ tidak azab sampai habis keturunan kerana kalau diberi azab begitu, maka tidaklah ada tinggal lagi umat manusia kerana semua manusia sekarang adalah umat Nabi Muhammad ﷺ.

Maka azab yang dikenakan kepada umat Nabi Muhammad ﷺ adalah sikit-sikit sahaja, hanya dikenakan kepada tempat-tempat tertentu. Tidaklah sampai habis semua keturunan terus seperti yang dilakukan kepada Kaum Aad ini.

Tafsir Ayat ke-26

Sambungan kisah Kaum Aad dan Tsamud.

وَلَقَد مَكَّنّٰهُم فيما إِن مَّكَّنّٰكُم فيهِ وَجَعَلنا لَهُم سَمعًا وَأَبصٰرًا وَأَفئِدَةً فَما أَغنىٰ عَنهُم سَمعُهُم وَلا أَبصٰرُهُم وَلا أَفئِدَتُهُم مِّن شَيءٍ إِذ كانوا يَجحَدونَ بِئآيٰتِ اللهِ وَحاقَ بِهِم مّا كانوا بِهِ يَستَهزِءونَ

Dan demi sesungguhnya! Kami telah meneguhkan kedudukan mereka (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kamu menguasainya (wahai kaum musyrik Makkah), dan Kami telah jadikan bagi mereka pendengaran dan penglihatan serta hati; dalam pada itu, pendengaran dan penglihatan serta hati mereka tidak memberikan faedah sedikitpun kepada mereka, kerana mereka sentiasa mengingkari ayat-ayat keterangan Allah; dan (dengan yang demikian) mereka diliputi oleh azab yang mereka telah ejek-ejek itu.

وَلَقَد مَكَّنّٰهُم فيما إِن مَّكَّنّٰكُم فيهِ

Dan demi sesungguhnya! Kami telah meneguhkan kedudukan mereka yang tidak Kami berikan kamu di dalamnya

Allah ﷻ memberitahu bahawa Dia telah memberi kelebihan keduniaan kepada kaum Aad. Kalau kita lihat dalam sejarah, masih ada lagi kesan peninggalan mereka di dunia ini. Mereka hebat sungguh, sampaikan beribu tahun pun, masih ada lagi peninggalan mereka yang kita dapat lihat sampai hari ini.

Allah ﷻ membandingkan dengan apa yang ada pada Musyrikin Mekah yang menentang dan menolak dakwah Nabi Muhammad ﷺ. Penduduk Mekah itu tidak ada apa yang boleh dibandingkan dengan penduduk Aad itu. Namun, kenapalah mereka berlagak sangat?

Jadi, khitab ayat ini pertamanya kepada Musyrikin Mekah kerana mereka yang mula-mula diperbacakan ayat-ayat Al-Quran kepada mereka. Allah ﷻ mengingatkan yang mereka tidak punya apa-apa pun kalau dibandingkan dengan Kaum Aad itu.

Jika mereka hendak makanan perlu dapatkan dari tempat lain sebab tempat mereka tidak banyak tanaman yang tumbuh. Malangnya ramai manusia yang sombong untuk terima kebenaran kerana kedudukan mereka yang tinggi dalam dunia. Mereka rasa mereka sudah cukup segala serba serbi, jadi tidak perlukan orang lain lagi.

Kalau yang datang memberi nasihat kepada mereka itu adalah dari kalangan orang bawahan, mereka susah hendak terima kerana berasa mereka lebih hebat dari orang itu. Allah ﷻ hendak memberitahu, kehebatan keduniaan mereka tidak ada apa-apa nilainya kalau menolak kebenaran.

وَجَعَلنا لَهُم سَمعًا وَأَبصٰرًا وَأَفئِدَةً

dan Kami telah jadikan bagi mereka pendengaran dan penglihatan serta hati;

Mereka bukannya orang yang bodoh atau tidak cukup sifat, kerana segala pancaindera yang diperlukan untuk menerima kebenaran telah diberikan kepada mereka.

فَما أَغنىٰ عَنهُم سَمعُهُم وَلا أَبصٰرُهُم وَلا أَفئِدَتُهُم مِّن شَيءٍ

pendengaran dan penglihatan serta hati mereka tidak memberikan faedah sedikitpun kepada mereka,

Namun, malangnya, mereka sahaja yang tidak mahu guna segala kemudahan pancaindera yang Allah ﷻ telah berikan kepada mereka. Kalau kita zaman sekarang pun macam itu juga, akan mengalami nasib yang sama seperti Kaum Aad itu kalau kita turut sama macam mereka. Kalau tidak terima azab semasa di dunia, akan diberikan azab di akhirat kelak.

.
إِذ كانوا يَجحَدونَ بِئآيٰتِ اللهِ

kerana mereka sentiasa menentang ayat-ayat keterangan Allah;

Mereka dikenakan dengan azab itu kerana mereka menolak wahyu Allah ﷻ. Segala pancaindera dan kelebihan yang Allah ﷻ berikan tidak berguna kepada mereka apabila mereka membantah dan berhujah melawan wahyu dari Allah ﷻ.

Apabila mereka telah banyak melawan, Allah ﷻ akan tutup pancaindera mereka hingga tidak akan dapat terima hidayah lagi – ini yang dinamakan Khatmul Qalbi (penutupan hati).

وَحاقَ بِهِم مّا كانوا بِهِ يَستَهزِءونَ

mereka diliputi oleh azab yang mereka telah ejek-ejek itu.

Mereka ejek segala azab yang telah diancam kepada mereka kerana nampak Nabi dan pengikut Nabi orang yang lemah sahaja. Mereka rasa macam mana orang lemah hendak azab mereka? Sedangkan azab itu bukan dari Nabi dan orang Islam, tetapi dari Allah ﷻ.

Maka, nanti di akhirat mereka akan diliputi dengan azab yang dulu mereka olok-olokkan. Perkara yang mereka dulu ejek seperti buah Zaqqum dan sebagainya itu akan nyata di hadapan mereka.

Tafsir Ayat ke-27

Takhwif duniawi kepada Musyrikin Mekah. Diberikan bila mereka menentang Nabi Muhammad ﷺ. Apabila kaum terdahulu menentang Nabi-nabi mereka, Allah ﷻ musnahkan mereka. Semua pujaan-pujaan mereka yang mereka sembah, tidak dapat membantu mereka sedikit pun.

وَلَقَد أَهلَكنا ما حَولَكُم مِّنَ القُرىٰ وَصَرَّفنَا الآيٰتِ لَعَلَّهُم يَرجِعونَ

Dan demi sesungguhnya! Kami telah binasakan negeri-negeri yang ada di sekeliling (negeri) kamu (wahai kaum musyrik Makkah), dan Kami telah menerangkan tanda-tanda (kekuasaan Kami) dengan berbagai cara, supaya mereka kembali (bertaubat).

وَلَقَد أَهلَكنا ما حَولَكُم مِّنَ القُرىٰ

Dan demi sesungguhnya! Kami telah binasakan negeri-negeri yang ada di sekeliling (negeri) kamu

Yang dimaksudkan adalah daerah sekeliling Mekah seperti tempat tinggal Kaum Aad dan Tsamud. Kaum sebelum Nabi Muhammad ﷺ memang duduk sekeliling mereka sahaja. Bukan jauh dari mereka, maknanya musyrikin Mekah kenal dan tahu sejarah kaum-kaum itu.

Mereka juga ada bermusafir ke kawasan-kawasan itu. Allah ﷻ suruh mereka tengoklah balik dan ambillah pengajaran dari mereka.

Kaum Aad tinggal di Al-Ahqaf di Hadramaut, iaitu negeri Yaman. Kaum Tsamud tempat tinggal mereka terletak antara Mekah dan negeri Syam. Demikian pula penduduk Saba’ yang terletak di negeri Yaman.

Selain dari itu ada penduduk Kota Madyan yang tempat tinggal mereka berada di tengah jalan yang biasa dilalui oleh penduduk Mekah menuju ke Gazzah (Palestina). Juga kaum Nabi Luth yang tempat tinggal mereka telah diubah menjadi danau. Semuanya itu mereka (penduduk Mekah) biasa lalu kawasan itu juga.

وَصَرَّفنَا الآيٰتِ لَعَلَّهُم يَرجِعونَ

dan Kami telah menerangkan tanda-tanda dengan berbagai cara, supaya mereka kembali (bertaubat).

Maksudnya mereka telah diberitahu segala bukti dan dalil. Bukan dengan satu cara, tetapi dengan macam-macam cara. Allah ﷻ bagi banyak cara kerana kadang-kadang manusia boleh faham dengan kaedah ini, dan ada yang boleh faham dengan kaedah lain pula. Maka semua cara telah digunakan oleh Allah ﷻ untuk beri mereka faham.

Semuanya Allah ﷻ lakukan supaya manusia dapat faham. Sampaikan tidak ada alasan yang mereka kata tidak faham. Seorang yang mahu buka hatinya kepada kebenaran akan nampak kebenaran yang disampaikan.

✍🏻SESI MUZAKARAH
Tafsir surah Al-Ahqaf ( Ayat 25 -27 )

وَصَرَّفنَا الآيٰتِ لَعَلَّهُم يَرجِعونَ

dan Kami telah menerangkan tanda-tanda dengan berbagai cara, supaya mereka kembali (bertaubat).

Maksudnya mereka telah diberitahu segala bukti dan dalil. Bukan dengan satu cara, tetapi dengan macam-macam cara. Allah ﷻ bagi banyak cara kerana kadang-kadang manusia boleh faham dengan kaedah ini, dan ada yang boleh faham dengan kaedah lain pula. Maka semua cara telah digunakan oleh Allah ﷻ untuk beri mereka faham.

📍Kami menerangkan, dalam ayat di atas adakah terdapat perincian bagaimana Allah menerangkan atau boleh difahami penerangan melalui Nabi sahaja ketika itu?

🔵 Maksudnya Allah terangkan kebenaran dalam Al-Quran dengan berbagai cara iaitu ada cara lembut, ada keras, ada bagi analogi, motivasi dan pelbagai cara lain lagi. Al-Quran itu sudah boleh difahami dengan dibaca sendiri sebenarnya. Memang ada juga yang memerlukan penjelasan dari Nabi, tetapi ada ayat-ayat yang baca sudah boleh faham. Terutama ayat tentang akidah, memang jelas tetapi kita tidak berapa pandai, kenalah belajar tafsir kerana baca sendiri tidak faham. Itulah yang kita lakukan sekarang.

📍Kaum Add memang diazab hingga tiada tinggal keturunan? Adakah terdapat kaum Add yang beriman? Bagaimana pula Kaum Tsamud, Saba’ dan Madyan, mereka juga diazab hingga habis keturunan?

🔵 Semua dimatikan tidak ada tinggal baka.Ya, zaman dulu banyak umat. Habis satu umat, ada lagi umat manusia yang lain. Tiada masalah. Mungkin awak keliru dari mana kita datang. Sebenarnya kita umat lain. Manusia ini banyak umat.

📍Bagaimana hendak kira satu-satu umat itu? Bukankah kita datang dari satu keturunan iaitu dari Nabi Adam a.s?

🔵Umat bukan keturunan. Kita umat Nabi Muhammad ﷺ tetapi kita bukan keturunan Nabi Muhammad ﷺ

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan