Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Ahqaf: Tafsir Ayat Ke-22 hingga Ke-24

Tafsir Surah Al-Ahqaf: Tafsir Ayat Ke-22 hingga Ke-24

300
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Ahqaf

Tafsir Ayat ke-22

Sebagaimana Nabi Muhammad ﷺ telah ditolak dan ditentang, begitu juga dengan Nabi Hud عليه السلام dulu. Ayat ini sebagai tasliah (pujukan) kepada Nabi, kerana Nabi Muhammad ﷺ telah ditolak oleh kaumnya. Allah ﷻ hendak memujuk Nabi dengan memberitahu, bukan baginda sahaja yang kena tolak, tetapi Nabi Hud عليه السلام pun kena tolak juga.

قالوا أَجِئتَنا لِتَأفِكَنا عَن ءآلِهَتِنا فَأتِنا بِما تَعِدُنا إِن كُنتَ مِنَ الصّٰدِقينَ

Mereka menjawab: “Adakah engkau datang kepada kami untuk memesongkan kami dari menyembah tuhan-tuhan kami? Maka bawalah azab seksa yang engkau janjikan kepada kami itu jika betul engkau dari orang-orang yang benar!”

قالوا أَجِئتَنا لِتَأفِكَنا عَن ءآلِهَتِنا

Mereka menjawab: “Adakah engkau datang kepada kami untuk memesongkan kami dari menyembah ilah-ilah kami?

Kaum Nabi Hud عليه السلام tidak dapat menerima ajaran tauhid yang disampaikan oleh Nabi Hud عليه السلام itu. Mereka marah kepada baginda dan menuduh baginda hendak memesongkan mereka dari ilah mereka.

Setakat yang kita telah sentuh dalam banyak tempat, ilah itu adalah tempat penyempurna hajat dan tempat kita letak harapan hati.

Ia hanya boleh diletakkan kepada Allah ﷻ sahaja tetapi kaum Aad itu sudah lama mengamalkan amalan syirik. Apabila perkara besar begitu dikatakan salah oleh Nabi Hud عليه السلام, tentulah mereka melenting.

Masyarakat memang takut kalau perkara yang telah lama mereka lakukan diganggu gugat dan dikatakan salah. Macam masyarakat kita sekaranglah juga, kalau ada yang kata amalan bid’ah mereka seperti talqin, Doa Selamat, Solat Hajat, Majlis Tahlil dan yang seumpamanya dengannya itu adalah salah, melenting sungguh mereka.

Kita yang memberi nasihat kepada mereka pula yang dimarah kerana dikatakan hendak menukar agama nenek moyang mereka. Mereka kata: “benda ni sudah lama orang kita telah amalkan, tiba-tiba kamu kata salah pulak? Siapa kau??”

فَأتِنا بِما تَعِدُنا

Maka bawalah azab seksa yang engkau janjikan kepada kami itu

Mereka dengan beraninya telah mencabar Nabi Hud عليه السلام untuk membawakan azab yang telah dijanjikan kepada mereka. Nabi Hud عليه السلام telah berdakwah dan memberi amaran kepada mereka, kalau tetap meneruskan melakukan syirik, mereka akan ditimpa oleh azab.

Mereka tetap tidak mahu mendengar nasihat baginda, malah telah berani mencabar Nabi Hud عليه السلام untuk bawakan azab itu dengan segera.

إِن كُنتَ مِنَ الصّٰدِقينَ

jika betul engkau dari orang-orang yang benar!”

Mereka tidak percaya yang Nabi Hud عليه السلام itu adalah Nabi yang sebenar. Maka, mereka cabar baginda tanpa usul periksa lagi, tanpa berfikir panjang. Mereka cabar supaya disegerakan azab yang dijanjikan itu.

Ini adalah permintaan yang amat bodoh sekali kerana sepatutnya kita minta elak dari musibah dan azab, tetapi mereka ini minta azab dipercepatkan pula.

Tafsir Ayat ke-23

Allah ﷻ ajar dalam ayat ini bahawa azab itu janji Allah ﷻ, bukan datang dari kehendak Nabi.

قالَ إِنَّمَا العِلمُ عِندَ اللهِ وَأُبَلِّغُكُم مّا أُرسِلتُ بِهِ وَلٰكِنّي أَرٰكُم قَومًا تَجهَلونَ

Nabi Hud berkata: “Sesungguhnya ilmu pengetahuan (tentang kedatangan azab itu) hanya ada di sisi Allah, dan (tugasku hanya) menyampaikan kepada kamu apa yang aku diutuskan membawanya, tetapi aku lihat kamu satu kaum yang jahil (akan tugas Rasul)!”

قالَ إِنَّمَا العِلمُ عِندَ اللهِ

(Nabi Hud) berkata: “Sesungguhnya ilmu pengetahuan (tentang kedatangan azab itu) hanya ada di sisi Allah,

Kuasa untuk menurunkan azab adalah dalam tangan Allah ﷻ; Allah ﷻ sahaja yang ada ilmu bilakah ia akan dikenakan kepada mereka. Nabi Hud عليه السلام hendak turunkan azab yang dijanjikan itu pun tidak boleh kerana bukan baginda yang jaga azab.

Atau, ia bermaksud ilmu sama ada mereka layak dikenakan dengan azab atau tidak hanya ada pada Allah ﷻ sahaja kerana Allah ﷻ sahaja yang tahu. Nabi Hud عليه السلام boleh sampaikan sahaja.

Macam kita boleh sebut kriteria orang kafir begini dan begitu, tetapi kita tidak boleh label seseorang sebagai kafir. Kita tidak boleh kata: “kau kafir, pasti kena azab, pasti masuk neraka!”. Paling kuat kita boleh kata: “aku tengok engkau ni ada ciri-ciri orang kafir. Maka berhati-hatilah dan baikilah diri kamu.”

Kita tidak boleh kata seseorang itu akan dikenakan dengan azab atau seseorang itu pasti masuk neraka. Kena ingat yang kita tidak jaga neraka dan syurga.

وَأُبَلِّغُكُم مّا أُرسِلتُ بِهِ

dan (tugasku hanya) menyampaikan kepada kamu apa yang aku diutuskan membawanya,

Bukan baginda boleh tentukan siapa masuk neraka dan siapa kena azab, kerana baginda boleh beri peringatan dan ancaman sahaja. Baginda telah menjalankan tugas baginda dalam menyampaikan.

Maka, yang selain darinya, terpulang kepada Allah ﷻ. Maka kita pun kenalah jalankan tugas kita menyampaikan ajaran wahyu kepada umat.

وَلٰكِنّي أَرٰكُم قَومًا تَجهَلونَ

tetapi aku lihat kamu satu kaum yang jahil

Baginda kata mereka adalah kaum yang jahil atau ‘buat-buat jahil’. Buat-buat tidak faham dengan apa yang disampaikan.

Jahil itu adalah apabila ikut perasaan sahaja iaitu ikut kehendak nafsu sahaja, sudah tidak ikut akal. Ini kerana kadangkala akal boleh terima apa yang disampaikan, tetapi nafsu yang tidak boleh terima. Maka, mereka yang menolak akan menolak dengan berbagai-bagai cara.

Sebagai contoh Kaum Aad itu tahu yang azab itu bukan dari baginda tetapi minta juga dari baginda. Mereka sengaja hendak menyakitkan hati baginda dengan berkata begitu. Konon-kononnya apabila baginda tidak dapat turunkan azab, maka baginda tidak benarlah pada mereka.

Tafsir Ayat ke-24

Takhwif Duniawi. Mereka telah dikenakan dengan azab. Ini sebagai penguat kepada Maksud Surah ini – pujaan-pujan yang mereka sembah itu tidak dapat menolong mereka apabila mereka dikenakan dengan azab. Sama ada azab itu di dunia atau di akhirat kelak.

Salah satu rahmat Allah ﷻ yang kita mungkin tidak perasan adalah Allah ﷻ sudah tidak hancurkan umat setiap kali mereka menolak Nabi mereka.

Sejak kedatangan Nabi Muhammad ﷺ, Allah ﷻ sudah tidak buat begitu lagi. Malah semenjak Nabi Musa عليه السلام lagi sudah tidak ada azab yang menghancurkan kaum diberikan. Ini adalah kerana syariat perang sudah diberikan.

Allah ﷻ tidak hancurkan manusia secara keseluruhan lagi kerana kalau Allah ﷻ buat macam dulu, lagi teruklah manusia zaman ini kena azab, kerana penentangan kita lagi teruk dari kaum-kaum terdahulu.

Itulah sebabnya Nabi Muhammad ﷺ digelar sebagai ‘rahmat kepada sekelian alam’ – kerana selepas baginda, azab yang besar-besar sudah tiada – kita diberi peluang untuk bertaubat.

Kalau Allah ﷻ musnahkan ‘umat’ Nabi Muhammad ﷺ, maka tiada lagi manusia atas muka bumi, kerana semua kita adalah umat Nabi Muhammad ﷺ sebenarnya. Sedangkan kalau dulu Allah ﷻ musnahkan satu kaum, ada lagi kaum lain. Macam Allah ﷻ musnah kaum Aad, ada lagi kaum lain.

فَلَمّا رَأَوهُ عارِضًا مُّستَقبِلَ أَودِيَتِهِم قالوا هٰذا عارِضٌ مُّمطِرُنا ۚ بَل هُوَ مَا استَعجَلتُم بِهِ ۖ ريحٌ فيها عَذابٌ أَليمٌ

Maka apabila mereka melihat azab itu sebagai awan yang menghala ke lembah-lembah mereka, mereka berkata: “Ini ialah awan yang akan membawa hujan kepada kita!” (Mendengarkan kata-kata yang demikian, Nabi Hud berkata): “Tidak! Bahkan itulah (azab) yang kamu minta disegerakan kedatangannya, iaitu angin yang membawa azab seksa yang tidak terperi sakitnya;

فَلَمّا رَأَوهُ عارِضًا مُّستَقبِلَ أَودِيَتِهِم

Maka apabila mereka melihat (azab itu sebagai) awan yang menghala ke lembah-lembah mereka,

Oleh kerana kedegilan mereka, Allah ﷻ telah hentikan hujan untuk mereka. Jadi mereka sudah lama dalam kemarau. Allah ﷻ jadikan begitu supaya mereka rasa rendah diri tidak sombong, supaya hilang ego mereka. Ini kerana selalunya orang jadi sombong apabila mereka senang dan apabila mereka susah, baru teringat kepada Allah ﷻ.

Sepatutnya bila kena musibah sebegitu, membuatkan mereka terfikir yang mungkin perkara itu terjadi akibat tidak beriman dan supaya mereka kenangkan dosa mereka dan kembali ke pangkal jalan.

Maka lamalah mereka tidak dapat hujan, maknanya sudah lama musim kemarau. Tiba-tiba satu hari mereka boleh nampak datangnya awan yang tebal menuju ke lembah tempat tinggal mereka. Mereka pun teruslah suka apabila nampak awan itu.

قالوا هٰذا عارِضٌ مُّمطِرُنا

mereka berkata: “Ini ialah awan yang akan membawa hujan kepada kita!”

Mereka sudah melonjak kegembiraan, kerana mereka sangka itu adalah awan yang membawa hujan yang akan turun. Mereka tidak sangka yang ia adalah azab yang dibawa untuk mereka kerana ia datang dalam bentuk awan. Mereka memang gembira kerana mereka memang tunggu hujan pun.

✍🏻Siti Aisyah r.a. mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ. apabila melihat mendung atau angin yang besar, maka terlihat ada perubahan pada roman muka beliau. Lalu Siti Aisyah bertanya, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya orang-orang merasa gembira bila mereka melihat awan kerana adanya harapan akan turun hujan. Tetapi aku amati apabila engkau melihatnya, ada perasaan kurang senang di wajahmu.” Maka Rasulullah ﷺ menjawab:

“يَا عَائِشَةُ، مَا يُؤَمِّنُنِي أَنْ يَكُونَ فِيهِ عَذَابٌ، قَدْ عُذِّبَ قَوْمٌ بِالرِّيحِ، وَقَدْ رَأَى قَوْمٌ الْعَذَابَ فَقَالُوا: هَذَا عَارِضٌ مُمْطِرُنَا”

Hai Aisyah, aku merasa khuatir bila di dalam awan itu terdapat azab, kerana ada suatu kaum yang telah diazab melalui angin yang besar (awan), kaum itu melihat kedatangan azab tersebut, lalu mereka mengatakan, ‘Inilah awan yang akan menurunkan hujan kepada kami.”

Dalam hadis yang lain:

✍🏻Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abdur Rahman, dari Sufyan, dari Al-Miqdam ibnu Syuraih, dan ayahnya, dari Aisyah r.a. yang mengatakan bahawa sesungguhnya Rasulullah ﷺ apabila melihat awan muncul di cakrawala langit dari arah mana pun, beliau meninggalkan pekerjaannya. Dan jika beliau berada di dalam salatnya, mengucapkan doa berikut:

“اللَّهُمَّ، إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا فِيهِ”

Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari keburukan yang terkandung di dalam awan ini.

Dan jika ternyata awan itu hilang, maka beliau memuji kepada Allah ﷻ. Jika hujan turun, maka beliau membaca doa:

“اللَّهُمَّ، صَيِّبًا نَافِعًا”

Ya Allah, (jadikanlah hujan ini) hujan yang bermanfaat.

ۚ بَل هُوَ مَا استَعجَلتُم بِهِ

“Tidak! Bahkan itulah (azab) yang kamu minta disegerakan kedatangannya,

Tetapi ia bukannya awan nikmat tetapi itulah dia azab yang dulu mereka minta disegerakan. Bukankah sebelum ini mereka telah cabar Nabi untuk bawakan azab yang dijanjikan? Sekarang ia sudah datang, hendak cakap apa pula?

ۖ ريحٌ فيها عَذابٌ أَليمٌ

iaitu angin yang membawa azab seksa yang tidak terperi sakitnya;

Ia adalah angin kencang yang ada azab di dalamnya bukan air hujan tetapi azab.

Dalam surah lain ada disebut yang angin taufan itu melanda mereka selama tujuh malam lapan hari. Kalau sekarang kita tengok tornado serang sesuatu kawasan tiga minit pun kita boleh tengok kehancuran yang dilakukannya. Memang tidak dapat dibayangkan kemusnahan itu.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan