Utama Bilik (35) Berinteraksi dengan Hadith Bagaimanakah cara untuk berinteraksi dengan kisah-kisah yang datang dari Bani Israel?

Bagaimanakah cara untuk berinteraksi dengan kisah-kisah yang datang dari Bani Israel?

246
0
Iklan

🔴 Bagaimanakah cara untuk berinteraksi dengan kisah-kisah yang datang dari Bani Israel?

🔵
1. Makna

◾️ Kisah atau kejadian yang diriwayatkan daripada sumber Israel iaitu Ya’aqub .

◾️ Ulama’ tafsir dan hadith: Setiap perkara yang terdapat di dalam hadith atau tafsir tentang cerita-cerita lama yang dinisbahkan kepada sumber asal Yahudi dan Nasrani.

◾️ Setiap tuduhan berupa cerita yang tiada asalnya di dalam mana-mana sumber lama mereka di dalam tafsir dan hadith Nabi ﷺ seperti kisah Al-Gharaniq dan kisah perkahwinan Nabi ﷺ dengan Zainab binti Jahsy.

2. Punca penyerapan Israeliyyat ke dalam Islam

◾️ Bermula sejak budaya Yahudi yang menyerap masuk ke dalam budaya Arab jahiliyyah;
Ini kerana Arab menetap dengan mereka sangat lama. Mereka berhijrah ke tanah Arab dan membawa bersama mereka segala riwayat-riwayat kitab agama mereka yang diriwayatkan daripada para Nabi dan pendeta mereka. Mereka mempunyai tempat dipanggil “al-Madras” iaitu tempat mempelajari kitab mereka.

◾️ Arab dikenali dengan rihlah mereka iaitu al-Syita’ ke Yaman dan al-Saif ke Syam. Berlaku perjumpaan dengan Yahudi di sana.

◾️ Di Madinah Nabi ﷺ mengajar sahabat. Di situ ada penempatan Yahudi. Berlaku pertemuan sesama mereka dan pertukaran ilmu dan budaya melalui pertanyaan, debat, perbincangan dengan Nabi ﷺ.

◾️ Keislaman beberapa pendeta mereka seperti Abdullah bin Salam, Abdullah bin Suuri dan Kaab Al-Ahbar.

◾️ Pengaruh budaya mereka ke dalam ilmu dan karya-karya Islam seperti Sejarah, Tafsir, Ilmu Debat dan Ilmu Kalam. Bahkan kebanyakan ajaran kumpulan sesat di dalam sejarah Islam adalah berasal daripada mereka.

Contoh:
Ibnu Al-Atsir di dalam kitab sejarahnya menyatakan daripada Ahmad bin Abi Da’wad bahawa dia pernah berkata bahawa Al-Quran itu makhluk yang mana ia berasal daripada Bisyr Al-Marisi-Jahm Ibnu Safwan-Ja’ad Ibnu Dirham-Abaan Ibnu Sam’an-Tholut-Lubaid ibnul A’sam iaitu seorang Yahudi yang pernah menyihir Nabi ﷺ dan dia pernah berkata bahawa Al-Quran itu makhluk.

Contoh:
Abu Mansur Al-Baghdadi di dalam al-Farqu bainal Firaq menyatakan bahawa aqidah Sabaieyah yang percaya bahawa Ali رضي الله عنه tidak dibunuh tetapi syaitan telah menyerupainya dan dinaikkan ke langit seperti Isa Ibnu Maryam. Akan turun ke dunia untuk menuntut bela, ia berasal daripada Abdullah bin Saba’ seorang Yahudi.

3. Punca penyerapan ke dalam ilmu tafsir dan hadith

◾️ Kedua-duanya melalui dua marhalah iaitu riwayah (periwayatan) dan tadwin (pengumpulan).

◾️ Riwayah →Nabi ﷺ →Sahabat→Tabi’in→Tabi’ Tabi’in.

◾️ Mereka bukan sahaja meriwayatkan daripada Nabi ﷺ Al-Quran dan hadith bahkan tafsir dan syarah terhadap keduanya sekali.

◾️ Zaman sahabat mereka melakukan tasabbut iaitu memeriksa riwayat perawi dengan persaksian dan sumpah. Periwayatan ketika ini mudah diterima dan tidak susah kerana unsur adalah, dhobith dan amanah yang dimiliki para sahabat.

◾️ Zaman tabi’in ketat sedikit kerana pemalsuan hadith sudah mula berlaku. Mereka hanya terima khabar yang ada sanad serta perawi yang adil dan dhobith.

◾️ Zaman tabi’ tabi’in lebih ketat kerana pemalsuan lebih hebat berlaku. Ia membawa kepada perkembangan ilmu riwayah dengan mereka meletakkan kaedah-kaedah untuk mengenalpasti khabar yang boleh diterima dan ditolak. Kaedah golongan ini adalah setiap riwayat mesti disertakan sanad.

◾️ Golongan selepas mereka pula sudah mula ambil mudah dalam riwayat. Mereka membuang sanad riwayat dan tidak bertanya tentang sanad.

Tadwin

Pada hujung kurun pertama dan permulaan kurun kedua. Kedua-duanya bermula pada zaman yang sama.

◾️ Bermula ketika Umar Abdul Aziz meminta agar dikumpulkan hadith-hadith Nabi ﷺ, disusun mengikut bab tertentu dan tafsir termasuk di dalam bab-bab tersebut. Kedua-duanya adalah satu yang mana tafsir ketika itu adalah hadith.

◾️ Kemudian tafsir mula terpisah daripada hadith dan menjadi ilmu yang tersendiri. Waktu ini riwayat yang dikumpulkan masih ma’thur daripada Nabi ﷺ dan sahabat.

◾️ Tadwin pada waktu ini juga masih menyatakan sanad dan masih dapat diketahui darjat sesuatu riwayat.

◾️ Kemudian terdapat beberapa mufassir dan muhaddith yang mula mengumpulkan riwayat tafsir dan hadis tanpa sanad. Sama yang berlaku seperti riwayah. Ia bahaya kerana bakal menatijahkan dan orang akan menyangka bahawa setiap apa yang dikumpulkan adalah sahih belaka kerana percaya kepada pengumpulnya.

Di mana Israeliyyat masuk?

Ia masuk ke dalam tafsir sama waktunya ia masuk ke dalam hadith.

◾️ Riwayah
Ketika sahabat membaca Al-Quran dan terbaca ayat-ayat berkenaan kisah-kisah umat terdahulu mereka telah menerangkan dengan lebih lanjut kisah-kisah tersebut dengan apa yang telah mereka ketahui sebelum ini daripada Ahli Kitab. Ini kerana percampuran mereka dengan Yahudi dan beberapa pendeta mereka yang telah memeluk Islam. Mereka merasakan Taurat dan Injil akan menerangkan dengan lebih mendalam lagi berkenaan hal tersebut. Ini kerana keduanya mengandungi hampir kesemua yang dikandungi oleh Al-Quran, lebih-lebih lagi berkenaan hal nabi-nabi mereka.

◾️ Sebahagian sahabat yang teringin mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan kisah tersebut telah berjumpa dengan pendeta Yahudi yang telah memeluk Islam. Para sahabat telah bertanya berkenaan hal tersebut kepada mereka dan mereka memberitahunya. Akan tetapi setiap penjelasan tersebut tidak tsabit daripada Nabi ﷺ.

◾️ Tabi’in
Mengambil riwayat daripada Ahli Kitab lebih luas lagi, ini kerana ramai daripada mereka yang memeluk Islam. Keterujaan mereka untuk mengetahui kisah di dalam kitab mereka. Maka, banyak riwayat tafsir daripada mereka yang mengandungi cerita dongeng seperti kitab tafsir yang dinisbahkan kepada Qatadah dan Mujahid.

◾️ Zaman selepas mereka lebih hebat dan meluas lagi. Mereka tidak menolak walau apa-apa riwayat dan menerima sahaja apa pun yang sampai kepada mereka walau tidak masuk aqal sekalipun.

◾️ Ia banyak dilakukan oleh golongan Qusas (penglipur lara) yang mengajar di masjid-masjid.

◾️ Tadwin
Era ini hanya ada sedikit sahaja Israeliyyat. Jika ada pun ia masih tidak melanggari nas syara’, semasa tafsir terpisah daripada hadith dan tadwin mula berasingan, yang mana tadwin pada mulanya masih bersanad lagi ketika itu. Akan tetapi masih terdapat ramai yang mengambil riwayat daripada Israeliyyat yang mengandungi segala dongengan, iaitu golongan mufassir yang beranggapan; asalkan ada sanad, supaya dengan sanad ia dapat diperiksa kesahihanya, antaranya ialah Ibnu Jarir Al-Thabari (310H).

◾️ Pada era tadwin yang membuang sanad pula, mereka tidak memeriksa apa pun yang mereka tulis. Di samping ada riwayat yang sahih terdapat juga riwayat Israeliyyat. Semakin lama semakin terbiasa para pengarang kitab hadith dan tafsir meletakkan riwayat Israeliyyat dalam kitab mereka antaranya Abu Ishaq As-Tsa’labi (427H).

◾️ Ibnu Khaldun رحمه الله‎:
Punca: Bangsa Arab asalnya bukan Ahli Kitab, tiada ilmu yang luas dan kebanyakannya buta huruf. Apabila mereka ingin mengetahui berkenaan asal usul kejadian alam dan manusia, maka mereka akan bertanya dengan Ahli Taurat yang telah duduk lama bersama mereka. Kebanyakannya diambil daripada golongan Humair yang banyak mengambil ilmu daripada Yahudi. Apabila mereka memeluk Islam mereka membawa bersama ilmu tersebut, begitu juga dengan Ka’ab Al-Ahbar, Wahab bin Munabbih, Abdullah bin Salam dan lain-lain lagi.

Maka, tafsir dipenuhi dengan riwayat mereka. Terdapat para mufassir yang memandang ringan riwayat tafsir sebegini kerana beranggapan ini bukan berkenaan hukum-hakam yang perlu dipastikan kesahihannya!

4. Kenapa Israeliyyat senang diterima oleh masyarakat?

◾️ Ini kerana sifat teks Israeliyyat adalah kebanyakannya disulami dengan unsur-unsur yang terlampau mempesonakan pendengar. Melebihi teks syara’ yang hanya bersifat secara langsung terus ke titik asal dan biasa.

◾️ Ia juga bersifat mempengaruhi perasaan dan emosi manusia untuk terus didengari yang banyak dilakukan oleh golongan Qusas.

◾️ Qusas selalunya menisbahkan cerita bohong mereka kepada tokoh-tokoh riwayat tertentu untuk menjadi alasan ceritanya diterima.

5. Bahaya Israeliyyat kepada aqidah Islam

◾️ Teksnya yang menjisim dan tasybihkan Allah ﷻ dan menyifatkan-Nya dengan sesuatu yang tidak layak bagi zat Allah ﷻ. Menafikan kemaksuman para Anbiya’ dan Rasul dan cerita-cerita yang menunjukkan mereka mengikut hawa nafsu yang melampau sehingga tidak layak untuk lelaki pilihan Allah ﷻ berperangai sebegitu.

Contoh:
Allah ﷻ datang bersama dua malaikat dengan menyerupai lelaki, Nabi Ibrahim menjemput mereka, membasuh kaki mereka dan menyuruh disiapkan makanan berupa daging dan roti, mereka makan di bawah pokok, habis makan Allah ﷻ ceritakan berkenaan Sarah dan kehancuran kaum Luth, selepas itu Allah ﷻ pulang. Sedangkan Al-Quran menceritakan cerita yang berlainan.

◾️ Selepas Allah ﷻ mencipta dunia ini Allah ﷻ berehat pada hari ketujuh lalu dimuliakan hari ketujuh kerana rehat ini.

◾️ Nabi Luth عليه السلام diberi minum arak oleh kedua anak perempuannya. Lalu mabuk dan berzina dan keduanya melahirkan anak.

◾️ Nabi Daud عليه السلام melihat seorang perempuan cantik sedang mandi lalu berkenan dengannya dan berzina dan apabila mengetahui perempuan tersebut adalah isteri orang diarahkan agar dibunuh suaminya.

🔴 Apakah ini bermaksud masih boleh menyampaikan kisah-kisah Israeliyyat tetapi perlu silang-semak kesahihannya dengan Al-Quran dan sunnah Rasullullah ﷺ yang tsabit supaya tidak terjerumus dalam keadaan yang boleh merosakkan aqidah kita?

🔵
Betul.

Wallahu a’lam

@ustazdaud
#berinteraksidenganhadis

Komen dan Soalan