Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Jathiyah: Tafsir Ayat Ke-34 hingga Ke-37

Tafsir Surah Al-Jathiyah: Tafsir Ayat Ke-34 hingga Ke-37

550
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Jathiyah
Tafsir Ayat ke-34:

Sambungan Takhwif Ukhrawi.

وَقيلَ اليَومَ نَنسٰكُم كَما نَسيتُم لِقاءَ يَومِكُم هٰذا وَمَأوٰكُمُ النّارُ وَما لَكُم مِّن نّٰصِرينَ
Dan dikatakan (kepada mereka): “Pada hari ini Kami tidak hiraukan kamu (menderita di dalam azab seksa) sebagaimana kamu tidak hiraukan persediaan untuk menemui hari kamu ini; dan tempat kamu ialah neraka, dan kamu tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan.

وَقِيلَ الْيَوْمَ نَنسٰكُمْ
Dan dikatakan: “Pada hari ini Kami lupakan kamu

Inilah kata-kata Allah ﷻ kepada mereka yang berdosa itu. Allah ﷻ kata yang Dia ‘lupakan’ mereka iaitu bermaksud Allah ﷻ tidak hiraukan mereka yang menderita di dalam azab seksa.

Allah ﷻ sengaja ‘lupa’ hendak masukkan mereka ke dalam syurga. Inilah bahasa kiasan yang Allah ﷻ gunakan. Ini kerana bukanlah Allah ﷻ pelupa, takkan Allah ﷻ boleh lupa cuma tidak layan sahaja. Meraung meronta macam mana pun, Allah ﷻ buat tidak kisah sahaja.

كَمَا نَسِيتُمْ لِقَاءَ يَوْمِكُمْ هَٰذَا
sebagaimana kamu lupakan persediaan untuk menemui hari kamu ini;

Sebab dulu mereka buat tidak kisah kepada Hari Qiyamah dan tidak bersedia pun menghadapi hari itu. Malah mereka juga tidak takut kerana tidak percaya.

Mereka leka dengan keindahan dan kesenangan di dunia sampai tidak beramal dengan amalan yang soleh. Mereka sibuk ke sana dan ke sini sampai tidak luangkan masa untuk belajar agama dengan benar.

وَمَأْوٰكُمُ النَّارُ
dan tempat kamu ialah neraka,

Kalimah مَأْوٰ adalah tempat tinggal yang kekal sampai bila-bila. Kekal mereka di dalamnya, bergantung kepada dosa yang telah dilakukan. Kalau dosa syirik, mereka tidak akan ada peluang untuk keluar dari neraka itu.

Kalau mereka beriman dan tidak melakukan syirik, tetapi ada melakukan dosa, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka untuk waktu yang tertentu – tidak tahu berapa lama. Kemudian baru mereka akan dimasukkan ke dalam syurga.

وَمَا لَكُم مِّن نّٰصِرِينَ
dan kamu tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan.

Selalunya di dunia, ada sahaja sesiapa yang boleh tolong kita; keluarga kita, kawan-kawan kita dan sebagainya. Namun, tidak ada sesiapa yang dapat menolong mereka di neraka itu.

Tafsir Ayat ke-35

Kenapa mereka mendapat balasan seteruk itu? Ini akan diberitahu kepada mereka sebagai takzib rohani. Sebagai azab kepada jiwa mereka.

ذٰلِكُم بِأَنَّكُمُ اتَّخَذتُم ءآيٰتِ اللهِ هُزُوًا وَغَرَّتكُمُ الحَيَوٰةُ الدُّنيا ۚ فَاليَومَ لا يُخرَجونَ مِنها وَلا هُم يُستَعتَبونَ
(Balasan buruk) yang demikian ini ialah kerana kamu telah menjadikan ayat-ayat keterangan Allah sebagai ejek-ejekan, dan kerana kamu telah membiarkan diri kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia”. Maka pada hari itu mereka tidak akan dikeluarkan dari neraka, dan mereka tidak diberi peluang untuk bertaubat (memperbaiki kesalahannya).

ذَٰلِكُم بِأَنَّكُمُ اتَّخَذْتُمْ ءآيٰتِ اللهِ هُزُوًا
Yang demikian ini ialah kerana kamu telah mengambil ayat-ayat Allah sebagai ejek-ejekan,

Mereka jadikan ayat-ayat Al-Quran itu sebagai mainan sahaja. Bermacam cara mereka mengejek ayat-ayat Allah ﷻ itu. Mereka tidak ambil kisah ayat yang pada mereka tidak masuk akal, dan mereka kutuk ayat-ayat itu. Mereka kata kenapalah orang-orang Islam bodoh sangat sampai boleh percaya.

Bukan orang bukan Islam sahaja yang mengejek ayat-ayat Allah ﷻ sebagai ejekan, orang Islam pun begitu juga. Apabila mereka tidak belajar, dan kita katakan ayat ini membawa maksud yang tertentu, mereka kata kita yang salah, mereka buat ejek-ejekan pula.

Atau mereka kata kepada mereka yang berdakwah dengan menggunakan ayat Al-Quran: “Tak habis-habis dengan Al-Quran, tidak ada benda lain lagi kah?”. Bagaimana pula dengan mereka yang tidak belajar langsung? Apabila kita ajak mereka belajar Tafsir Al-Quran, mereka kata tidak perlu belajar, sebab sudah faham Al-Quran.

Ada yang lebih karut mengatakan Al-Quran sudah ada dalam dada mereka, kerana mereka ada ilmu ‘sedut’ Al-Quran. Begitulah macam-macam lagi alasan yang mereka berikan. Ingatlah, tidak belajar Tafsir Al-Quran pun sudah dikira main-main sebab tidak menghiraukan ayat Allah ﷻ. Mereka merendahkan kepentingan memahami Al-Quran.

وَغَرَّتْكُمُ الْحَيَوٰةُ الدُّنْيَا
dan kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia

Mereka telah diisibukkan dengan keinginan berlebihan untuk dunia. Sibuk dengan berbagai hal – kerja, persatuan, anak dan isteri, rukun tetangga dan sebagainya hingga hendak belajar pun susah.

Kalau diajak, ada sahaja masalah mereka – tidak senang, anak sakit, anak kena hantar ke tuisyen dan macam-macam lagi. Mereka terpesona dengan segala keindahan dunia. Mereka hendak buat itu dan ini, pergi main golf, jalan-jalan ke tempat perlancongan, pergi gym dan sebagainya.

Mereka juga inginkan keindahan dan kegemerlapan dunia. Ini seperti barang kemas, jam yang cantik, kereta yang cantik, rumah yang cantik, isteri yang cantik dan berbagai lagi. Jadi, untuk mendapatkan semua itu, mereka kena bekerja keras, berniaga dengan tekun.

Kerja dan berniaga tidaklah salah tetapi kalau sampai ia menyebabkan lupa kepada agama, sibuk sangat sampai tidak belajar, maka itulah yang jadi salahnya. Ini kerana apabila tidak belajar, maka mereka jadi jahil dan apabila jahil, ada benda salah yang mereka lakukan. Syaitan pun senang hendak menipu mereka.

Ingatlah bahawa agama ini kena nombor 1. Ia kena duduk di atas dalam prioriti kehidupan kita. Bukanlah belajar agama ini kalau ‘ada masa lapang’, ‘bila senang’, ‘bila tidak ada apa-apa hendak buat’.

Kena cari masa untuk belajar agama dan tinggalkan perkara lain kalau terpaksa. Janganlah sampai hendakkan dunia sangat sampaikan lupa tentang agama. Ini kerana kalau untuk belajar kena tunggu bila masa percuma memang tidak akan ada, kerana kita akan disibukkan sentiasa dengan masalah dunia.

فَالْيَوْمَ لَا يُخْرَجُونَ مِنْهَا
Maka pada hari itu mereka tidak akan dikeluarkan dari neraka,

Kalau mereka telah melakukan syirik atau ada fahaman syirik, mereka akan tinggal selama-lamanya di dalam neraka. Tidak akan ada peluang untuk keluar.

وَلَا هُمْ يُسْتَعْتَبُونَ
dan mereka tidak diberi peluang untuk menyelamatkan diri.

Kalimah يُسْتَعْتَبُونَ adalah apabila seseorang mengurangkan marah orang lain dengan meminta maaf, minta ampun, bertaubat, minta tolong. Di akhirat kelak, mereka tidak dibenarkan minta maaf pun.

✍🏻Seperti disebut dalam [ Zukhruf: 77 ].

وَنَادَوْا يَا مَالِكُ لِيَقْضِ عَلَيْنَا رَبُّكَ قَالَ إِنَّكُم مَّاكِثُونَ
Dan mereka menyeru (ketua malaikat penjaga neraka, dengan berkata): “Wahai Malik! Biarlah hendaknya Tuhanmu mematikan kami (kerana kami tidak tahan menderita)!” Malaikat Malik menjawab: “Sesungguhnya kamu tetap kekal di dalam azab!”

Apa sahaja yang mereka minta di neraka nanti tidak akan dilayan. Zaman untuk bertaubat sudah terlepas. Masa untuk merayu sudah tiada lagi.

Tafsir Ayat ke-36

Dalil Aqli. Siapakah Allah ﷻ? Allah ﷻmemberitahu sifat-sifat-Nya dalam ayat ini.

فَلِلَّهِ الحَمدُ رَبِّ السَّمٰوٰتِ وَرَبِّ الأَرضِ رَبِّ العٰلَمينَ
(Demikianlah ajaran dan peringatan Allah Yang Maha Adil) maka bagi Allah jualah tertentu segala pujian, Tuhan yang mentadbirkan langit, dan Tuhan yang mentadbirkan bumi, – Tuhan sekalian alam.

فَلِلَّهِ الْحَمْدُ
maka hanya bagi Allah jualah segala pujian dan penghargaan,

Segala pujian itu milik Allah ﷻ. Satu puji, dua puji dan segala puji. Perkataan ini telah dibincangkan dengan panjang lebar dalam perbahasan Surah Al-Fatihah.

Namun, ada sedikit perbezaan dalam penggunaan kata alhamdu dalam surah Al-Fatihah dan surah ini. Apabila diterbalikkan dengan didahulukan kalimah فَلِلَّهِ itu, ia bermaksud hanya iaitu dalam bentuk eksklusif.

Dalam Al-Fatihah tidak disebut ‘hanya’ Allah ﷻ sahaja yang terpuji. Kenapa ada penambahan dalam ayat ini? Sebab ada manusia yang menyembah selain dari Allah ﷻ. Allah ﷻ menekankannya bahawa itu tidak boleh, yang sepatutnya kita lakukan adalah hanya sembah Allah ﷻ sahaja.

Allah ﷻ tekankan dalam ayat ini kerana ada jenis manusia yang menyembah dan memuja juga kepada selain Allah ﷻ. Jadi Allah ﷻ perbetulkan pemahaman mereka.

Namun, di dalam surah Al-Fatihah itu adalah pemberitahuan tentang sifat Allah ﷻ sahaja dan bukannya untuk menidakkan salah faham golongan-golongan yang musyrik. Maka, susunan dalam ayat Al-Fatihah itu adalah dalam bentuk normal sahaja.

رَبِّ السَّمٰوٰتِ
Tuhan yang mentadbirkan langit,

Allah ﷻ lah yang menjadikan dan mentadbir langit itu. Bukan sahaja Allah ﷻ menjadikan langit itu dari tiada kepada ada, tetapi selepas Allah ﷻ jadikan, Allah ﷻ mentadbir langit itu. Allah ﷻ tidak membiarkan sahaja alam ini bergerak sendiri tetapi Allah ﷻ yang menjaga dan urus segala perkara.

وَرَبِّ الْأَرْضِ
dan Tuhan yang mentadbirkan bumi,

Allah ﷻ lah yang menjadikan dan mentadbir bumi ini. Bukan sahaja Allah ﷻ menjadikan bumi ini dari tiada kepada ada, tetapi selepas Allah ﷻ jadikan, Allah ﷻ mentadbir bumi ini.

رَبِّ الْعٰلَمِينَ
Tuhan sekalian alam.

Bukan sahaja langit dan bumi, tetapi seluruh alam. Allah ﷻ sebutkan langit dan bumi dahulu kerana itulah yang kita tahu dan kita nampak. Ada lagi alam lain yang kita tidak nampak dan kita tidak tahu.

Inilah juga kata-kata yang terdapat dalam surah Al-Fatihah juga. Terdapat persamaan dan perbezaan antara ayat ini dan ayat dalam Al-Fatihah nampaknya.

Tafsir Ayat ke-37

Oleh kerana Allah ﷻ sahaja yang ada sifat sebegitu, maka hendaklah kita sembah dan seru doa kepada Allah ﷻ sahaja.

وَلَهُ الكِبرِياءُ فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۖ وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ
Dan bagi-Nyalah keagungan dan kekuasaan di langit dan di bumi; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

وَلَهُ الْكِبْرِيَاءُ فِي السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

Dan bagi-Nyalah kebesaran di langit dan di bumi;

Kehebatan dan kekuasaan hanya milik Allah ﷻ. Allah ﷻ menekankan dalam ayat ini kerana ada manusia yang sombong. Allah ﷻ hendak kata, apalah yang hendak disombongkan sangat, padahal mereka itu bukan besar mana pun. Allah ﷻ yang paling besar dan tidak ada yang lebih besar dari Allah ﷻ.

Maka oleh kerana Dia lah yang paling besar, maka kepada-Nya sahajalah kita sembah dan seru dalam doa. Jangan sembah dan buat ibadat kepada selain daripada Allah ﷻ dan berdoa kepada yang selain-Nya. Selain daripada itu jangan gunakan entiti mana-mana sebagai wasilah dalam amalan tawassul.

وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Allah ﷻ berkuasa untuk melakukan apa sahaja yang Dia kehendaki. Allah ﷻ boleh menghukum hamba-Nya bila-bila masa sahaja yang Dia mahu.

Namun, walaupun Maha Berkuasa, Allah ﷻ mentadbir alam ini dengan Sifat-Nya yang Maha Bijaksana. Allah ﷻ boleh seksa dan azab makhluk-Nya bila-bila masa, tetapi dengan kebijaksanaan-Nya, Dia tangguhkan seksaan itu sehingga ke waktu yang tertentu.

Ini memberi peluang kepada manusia untuk bertaubat. Tidaklah kita terus diberi balasan azab setiap kali kita melakukan dosa.

✍🏻SESI MUZAKARAH
Tafsir surah Al-Jathiyah ( Ayat ke-34 – ayat ke-37)

📍Bolehkan setiap kali kita sampaikan pengajaran dan disudahi dengan wallahhualam?
🔵Bagus lah begitu.

📍Adakah sihir boleh terjerumus kepada syirik?
🔵 Untuk sihir menjadi, kena buat syirik dulu.

📍Bagaimana dengan mereka yang tidak mahu belajar Al-Quran? Adakah mereka itu tiada keinginan atau rasa bersalah tidak belajar tadabbur Al-Quran dan tidak tahu pula membaca Al-Quran?

🔵 Mereka belum terbuka hati. Maka kita kena ajak. Kena cerita kepada mereka apa yang bagusnya faham pasal Al-Quran ini. Kalau tidak pandai membaca masih boleh belajar. Senang sahaja Tafsir Al-Quran ini, jangan takut hendak belajar.

📍Apakah cara terbaik yang perlu digunakan untuk mengajak mereka belajar Al-Quran? Jika belum terbuka pintu hati mereka susah juga kita hendak mengubah mereka melainkan diri mereka sendiri.
🔵 Tentulah dengan cara lembut dan kena guna psikologi. Nabi Muhammad ﷺ juga tahayyun: pilih waktu sesuai hendak berdakwah. Dalam ‘NLP’, kita diajar hendak nasihat kena ada ‘rapport’ dengan orang itu.

📍Ada yang kata kita tafsir ikut akal sendiri apabila ayat Al-Quran bertentangan dengan apa yang mereka buat ikut nenek moyang, bagaimana pula dengan orang jenis ini?
Adakah kita perlu tinggalkan?

🔵 Itu antara cara-cara menolak. Tanya balik: ‘Habis tu bagaimana tafsir yang benar?’ Ini boleh sembang lagi. Tinggalkan kalau dia menolak dengan keras, muka merah dll. Ya, insya Allah itu sebaiknya. Cumanya, ilmu dan cara setiap orang berbeza, ada cara kasar dan lembut.

📍Benarkah dosa yang telah dibalas di dunia tidak akan dibalas di akhirat nanti?

🔵 Ada kebenarannya. Sebab itu para sahabat lebih rela menerima hukuman hudud di dunia. Namun, banyak dosa-dosa kita Allah ﷻ tidak balas di dunia. Sebab kalau Allah ﷻ balas, tidak mampu kita hidup.

📍Seseorang menghadapi masalah atau jatuh sakit atau apa-apa sahaja perkara buruk yang menimpa diri mereka,dan bila bersama dengan kawan, sahabat atau ahli keluarga, mereka akan minta kepada mereka “Tolong doakan ‘kebaikan’ untuk saya ya…”.
Adakah ini dipanggil tawassul juga dan bolehkah kita meminta tolong kepada orang lain untuk mendoakan kita?
🔵 Dibolehkan untuk niat mengingatkan mereka sahaja. Tidak bergantung kepada doa mereka kerana pergantungan kita hanya kepada Allah.

📍Kata orang, ujian dan sakit jadi penghapus dosa jika redha. Namun, kalau kita rasa tidak mampu dan berat ujian tersebut, tidak terhapuskah dosa kita?

🔵 Rasa berat itu biasa. Perlu redha dan terima kerana ujian itu adalah datang daripada Allah ﷻ.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan