Utama Bilik (01) Fiqh As Sunnah ISU TAHDZIR

ISU TAHDZIR

358
0
Iklan

ISU TAHDZIR

Terdapat 3 isu Tahdzir:

1. Isu Tahdzir (تَّحْذِيْرُ) ulama’ dalam kalangan Salafiyah.

Secara istilah, tahdzir adalah memberi amaran kepada umum akan bahaya tokoh tertentu terhadap agama. Ia ada asalnya:

َقَالَ ابْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي النَّاسِ فَأَثْنَى عَلَى اللَّهِ بِمَا هُوَ أَهْلُهُ ثُمَّ ذَكَرَ الدَّجَّالَ فَقَالَ إِنِّي لَأُنْذِرُكُمُوهُ وَمَا مِنْ نَبِيٍّ إِلَّا أَنْذَرَهُ قَوْمَهُ لَقَدْ أَنْذَرَ نُوحٌ قَوْمَهُ

“Ibnu ‘Umar r.a.a berkata: Rasulullah SAW berdiri di hadapan manusia lalu memuji Allah dengan pujian yang pantas untuk-Nya, kemudian beliau menceritakan tentang Dajjal, sabda baginda: “Sungguh, aku benar-benar memperingatkan kalian bahaya fitnah Dajjal. Tidak ada seorang nabi pun melainkan telah mengingatkan bahaya fitnah Dajjal kepada kaumnya. Sungguh Nabi Nuh AS (juga) telah mengingatkan kaumnya.” [ HR Bukhari ].

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ سَيَكُونُ فِي آخِرِ أُمَّتِي أُنَاسٌ يُحَدِّثُونَكُمْ مَا لَمْ تَسْمَعُوا أَنْتُمْ وَلَا آبَاؤُكُمْ فَإِيَّاكُمْ وَإِيَّاهُمْ
“Dari Abu Hurairah ra dari Rasulullah SAW , bahawasanya baginda bersabda: “Akan ada orang-orang pada akhir umatku berbicara kepada kalian dengan sesuatu yang kalian belum pernah mendengarnya dan tidak pula moyang kalian. Maka berhati-hatilah dengan mereka” [ HR Muslim ].

Asasnya memang ada. Contoh lain, Imam Malik memberi amaran akan Ibn Ishaq, bahawa Ibn Ishaq adalah Dajjal. Tahdzir semacam ini dibolehkan, akan tetapi apa yang berlaku di zaman kita ialah fenomena tahdzir adalah di sebabkan khilafiah dan furu’ ad deen. Jadi, kita kena pastikan tahdzir yang ditujukan kepada seorang ulama’ itu ada asalnya, bukan atas dasar perbezaan ijtihadiah atau ulama’ tersebut ada masalah peribadi dengan orang yang ditahdzirnya. Sebagai contoh, al Bani vs al Booti ada masalah peribadi. Maka pengikut al Bani tidak boleh mentahdzir al Booti hanya kerana sengketa gurunya, begitu juga dengan pengikut al Booti.

2. Kenapa Saudi terkehadapan dalam isu mentahdzir orang lain?

Ini adalah kerana Saudi merupakan orang yang menguasai dua tanah suci, Haramain. Asal kerajaan Saudi ni adalah gandingan keluarga Abu Syaikh atau keluarga Muhammad Abdul Wahab yang memegang tampuk urusan agama di Arab Saudi. Keluarga Muhammad Abdul Wahab mendirikan madrasah Muwahidun, penegak tauhid dan pembasmi bid’ah serta khurafat di Nejd, Unaizah, Riyadh dan kemudian Mekah dan Madinah. Oleh kerana sudah biasa dengan mata pedang, maka mereka menegakkan manhaj Muwahidun dengan kuasa atas nama sunnah. Kebenaran hanya satu, boleh mendedahkan ahli bid’ah dan ahli musyrik adalah agenda utama silabus Saudi.

Kerja utama ulama’ Saudi ialah mentahqiq kitab lama, menjarah ulama’-ulama’ silam, yang mana boleh dipakai dan yang tidak boleh dipakai. Kebanyakan tesis Masters dan PHD IPTA agama Saudi adalah tahqiq atau membuat koreksi dan semakan semula terhadap karya klasik. Selepas itu muncul generasi muhaqqiq seperti Syaikh Rabi al Madkhali, Syaikh Muqbil Hadi dari Yaman, muridnya URD yang memegang panji-panji radd, tahqiq, dan tahdzir.

Ini asal usul tahdzir yang bermula di Arab Saudi. Memandangkan ia bermula dengan pedang, maka pedanglah yang akan digunakan untuk menyelamatkan dunia Islam dari syirik, bid’ah dan kufur menurut mereka.

3. Saudi vs Ikhwan Muslimin (IM)

Saudi sentiasa curiga dengan apa jua yang datang dari Mesir. Mesir adalah tentera pertama yang datang memerangi King Saudi 1. Ini tidak akan dilupakan oleh Saudi. Begitu juga dengan pengaruh al Azhar yang tidak disenangi oleh Saudi. Selepas itu kemunculan jamaah IM pada tahun 1928 oleh ustaz Hassan al Banna. Pada ketika Saudi diperintah oleh raja-raja yang adil seperti King Faisal, Saudi merupakan tempat perlindungan IM sewaktu ditindas di Mesir. Ramai yang datang mencari perlindungan, termasuklah Muhammad al Wakil, Muhammad Qutub, Muhammad al Ghazali, Qardhawi, Syed Sabiq.

IM dan Saudi memang rapat dan tiada masalah langsung sehinggalah Revolusi Arab atau ‘Arab Spring’ di Tunisia pada bulan Januari 2011 yang melihat kejatuhan Algeria, Tunisia, Libya dan Mesir. ‘Arab Spring’ kemudiannya meletus di Iraq dan Syria. Pihak intelegensia CIA, Mossad dan Saudi mendapati semua ‘Arab Spring’ didalangi oleh IM. Maka, fatwa bersama Teluk pada tahun 2014, IM diisytiharkan sebagai pertubuhan pengganas dan diharamkan dari GCC (7 negara Teluk Arab). Semua negara Teluk Arab kecuali Qatar mengharamkan IM dari bumi mereka.

4. Ulama’ Saudi vs IM

Apabila GCC mengharamkan IM, maka ulama’-ulama’ Saudi semuanya mengeluarkan tahdzir kepada dunia Arab dan Islam akan bahaya pergerakan IM dan ideologi IM. Secara kebetulan tokoh no 1 IM, Dr Syaikh al Qaradawi ada menetap di Qatar sebagai PR (Permanent Resident) maka, sudah tentu beliau juga menjadi sasaran tahdzir Saudi, manakala Mesir memohon dari Qatar dan GCC Council untuk ekstradisi Dr Syaikh al Qardhawi ke Mesir bagi perbicaraan ‘ala rimba.’

Siapakah Dr Syaikh al Qardhawi ini? Beliau pada asalnya adalah aktivis IM dan murid kepada Hasan al Banna sendiri. Beliau menyertai IM sejak berusia 12 tahun dan mendapat PhD dari al Azhar pada tahun 1972. Sekarang beliau berusia 92 tahun, residen Qatar dan menulis sebanyak 125 buah kitab dalam pelbagai genre dan subjek.

Dr Syaikh al Qardhawi merupakan seorang syaikhul Islam abad ini, ulama’ yang terbilang dan menguasai semua bidang ilmu. Jelas tertera di dalam kitabnya fatwa muasirat atau fatwa semasa, manhaj dan fatwanya adalah adil dan muqaran (membandingkan pendapat semua mazhab dan imam). Walau pun ada beberapa fatwanya yang kontroversi seperti larangan melawat Jurusalem, ucapan “Merry Christmas”, hukum janggut, khitan wanita, euthanasia (mercy killing), semua itu adalah furu’ dan khilafiah agama dan tidak boleh sama sekali mencela beliau dengan tahdzir.

5. Tahdzir Salafiyah terhadap Dr Syaikh al Qardhawi dan Dr MAZA dalam isu ungkapan “Merry Christmas” atau Selamat Hari Natal.

Dr Syaikh al-Qardhawi antara yang paling awal mencetuskan kontroversi ketika mengeluarkan fatwa bersama Majlis Fatwa Eropah, di mana beliau adalah pengerusinya. Dr Syaikh al Qardhawi membolehkan ungkapan ‘Merry Christmas’ dengan mengambil kira keadaan 20 juta penganut Kristian Qibti (Coptic Church di Mesir) dan minoriti Islam yang menjadi rakyat USA dan EC.

Hujah Dr Syaikh al Qardhawi ialah jika wanita Kristian boleh dinikahi, sembelihan kitabiah boleh dimakan, maka kenapa ada masalah dengan ungkapan ‘Merry Christmas’?. Apakah bersetubuh dengan wanita Kristian, menyintai isteri Kristian lebih kecil dari ungkapan ‘Merry Christmas’?

Salafiyah membantah fatwa tersebut kerana ‘Merry Christmas’ adalah isu akidah. Jika ungkapan ‘Merry Christmas’ akan merosakkan akidah pengucapnya kerana membenarkan Jesus anak Tuhan dan pendustaan kelahiran Jesus di musim sejuk sedangkan Jesus lahir musim panas, maka sudah tentu ini adalah takwil yang ghuluw. Sahibul Samahah Dr MAZA mendokong fatwa Eropah dan Dr Syaikh al Qardhawi kerana isu hubungan baik dengan orang Kristian.

Terdapat banyak dalil yang menyokong:

إِنَّمَا يَنْهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمْ فِى ٱلدِّينِ وَأَخْرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمْ وَظَٰهَرُوا۟ عَلَىٰٓ إِخْرَاجِكُمْ أَن تَوَلَّوْهُمْ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمْ فَأُو۟لَٰئِكَ هُمُ ٱلظَّلِمُونَ
Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan barangsiapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim [ Al-Mumtahanah: 9 ].

لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ ٱلنَّاسِ عَدَٰوَةً لِّلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱلْيَهُودَ وَٱلَّذِينَ أَشْرَكُوا۟ ۖ وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُم مَّوَدَّةً لِّلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱلَّذِينَ قَالُوٓا۟ إِنَّا نَصَٰرَىٰ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَانًا وَأَنَّهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ
Sesungguhnya kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan sesungguhnya kamu dapati yang paling dekat persahabatannya dengan orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Sesungguhnya kami ini orang Nasrani”. Yang demikian itu disebabkan kerana di antara mereka itu (orang-orang Nasrani) terdapat pendeta-pendeta dan rahib-rahib, (juga) kerana sesungguhnya mereka tidak menyombongkan diri. [ Al-Ma’idah: 82 ].

وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا۟ بِأَحْسَنَ مِنْهَآ أَوْ رُدُّوهَآ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ حَسِيبًا
Apabila kamu diberi penghormatan dengan sesuatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik dari padanya, atau balaslah penghormatan itu (dengan yang serupa). Sesungguhnya Allah memperhitungankan segala sesuatu [ An-Nisa: 86 ].

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan