Utama Bilik (35) Berinteraksi dengan Hadith Isu Majlis Tahlil

Isu Majlis Tahlil

345
0
Iklan

🔴 Bagaimana dalam isu majlis tahlil secara berjamaah di mana hampir setiap kenduri diselitkan dengan bacaan tahlil dari jamaah surau atas jemputan tuan rumah?

🔵
Bacaan tahlil yang jika difahami dengan zikir “la ilaha illallah” adalah zikir yang harus dibaca pada setiap masa. Namun, ibadah zikir adalah tauqifi iaitu semata-mata bergantung dengan nas untuk layak dianggap sah dari sudut syara’. Ia tidak boleh dikhususkan cara tertentu melainkan ia ada dikhususkan syara’.

Zikir secara berjemaah berlaku khilaf dalam kalangan ulama’ mazhab yang terdahulu dan kemudian.

Namun, saya lebih cenderung dengan pandangan Imam Malik رحمه الله‎ dalam bab ini yang menyatakan ia “laisa min amri al-qadim” ia tidak dilakukan oleh golongan terdahulu iaitu salaf.

Imam Malik رحمه الله‎ menganggapnya sebagai bid’ah kerana yang masyru’ zikir secara berjamaah dan dikuatkan suara adalah talbiah dan zikir dengan tujuan pengajaran dan pembelajaran.

Selalunya dalam majlis tahlil ada bacaan Al-Quran secara berjemaah. Ia juga menjadi khilaf ulama’. Namun, secara peribadi saya cenderung kepada Mazhab Maliki dalam hal ini dengan menganggapnya tidak sunnah. Pun demikian, ada ulama’ Mazhab Maliki semisal Abu Zaid Al-Fasi رحمه الله‎ menyatakan syarat iaitu mesti tartil dan bertajwid serta waqf pada tempat yang sama. Jika tidak, akan mengakibatkan taqti’ iaitu memutuskan bacaan bukan pada waqf yang betul dan mengakibatkan kesalahan makna.

Berkata Al-Jazari رحمه الله‎:

والأخذ بالقرآن لازمُ,لم يجودِ القرآن آثمُ
لأنه به الإله أنزلَ,وهكذا منه إلينا وصلَ

“Baca Al-Quran itu mesti bertajwid, betapa dosanya tanpa tajwid kerana Tuhan yang turunkan, bagaimana ia sampai, begitulah diperturunkan”.

Nasihat saya, jika diundang ke majlis tahlil kenduri usahlah menyisihkan diri. Boleh terima ajakan tersebut dan memenuhi undangan.

Jika kita di suruh menjadi tekong tahlil, bacalah doa kebaikan untuk tuan rumah agar dimurahkan rezeki dan diberkati hartanya.

Jika kita hanya tetamu, bacalah sendiri zikir-zikir warid yang sahih daripada Rasululllah ﷺ.

Jika kita sebagai tuan rumah bukan kita yang menganjurkannya tetapi bacalah doa yang baik-baik.

Wallahua’lam.

@ustazdaud
#berinteraksidenganhadis

Komen dan Soalan