Panel: BroSyarief
asSalaamu ‘alaikum.. nota seterusnya siap. Semoga bermanfaat.
—
#060617 Bilik (09) Ulum al-Quran – Bab Sebab-sebab Penurunan al-Quran (أَسْبَابُ النُّزُول)
06.07.05 Riwayat yang Pelbagai pada Satu Sebab Nuzul – تَعَدُّدُ الرِّوَايَاتِ فِي سَبَبِ النُّزُولِ
#NotaBroSyarief #UlumQuran #UiTOBilik09
6. Jika riwayat-riwayat yang pelbagai itu tidak dapat dikumpulkan kerana berbeza jarak masa setiap riwayat, maka terdapat kemungkinan berlakunya penurunan ayat atau surah yang sama beberapa kali dan berulang-ulang.
Contohnya riwayat berikut daripada al-Musayyab, katanya,
أَنَّ أَبَا طَالِبٍ، لَمَّا حَضَرَتْهُ الْوَفَاةُ دَخَلَ عَلَيْهِ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم وَعِنْدَهُ أَبُو جَهْلٍ فَقَالَ ”
Ketika mana Abu Thalib sedang nazak, Nabi – sallalLaahu ‘alaihi wa sallam – masuk bertemu dengannya, dan pada waktu itu Abu Jahl ada berada di sisinya, lalu Nabi berkata:
أَىْ عَمِّ، قُلْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ. كَلِمَةً أُحَاجُّ لَكَ بِهَا عِنْدَ اللَّهِ”.
“Wahai bapa saudaraku, katakanlah ‘La ilaaha illa-alLaah’, kalimah yang akan aku jadikan hujjah untukmu dengannya di hadapan Allah nanti.”
فَقَالَ أَبُو جَهْلٍ وَعَبْدُ اللَّهِ بْنُ أَبِي أُمَيَّةَ يَا أَبَا طَالِبٍ، تَرْغَبُ عَنْ مِلَّةِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ
Lalu Abu Jahl & ‘Abdullah ibn Abi Umayyah menyampuk,
‘Wahai Abu Thalib, engkau ingin meninggalkan agama Abdul Muttolib?’
فَلَمْ يَزَالاَ يُكَلِّمَانِهِ حَتَّى قَالَ آخِرَ شَىْءٍ كَلَّمَهُمْ بِهِ عَلَى مِلَّةِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ.
Mereka berdua berterusan mendesaknya sehingga dia menyebutkan perkataan terakhir dari apa yang mereka katakan di atas agama Abdul Muttolib.
فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ”لأَسْتَغْفِرَنَّ لَكَ مَا لَمْ أُنْهَ عَنْهُ”.
Maka Nabi – sallalLaahu ‘alaihi wa sallam – pun berkata, “Aku akan memohon keampunan untukmu selama aku tidak dilarang dari melakukannya.”
فَنَزَلَتْ مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَنْ يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ
Lalu turunlah ayat, “Tidaklah selayaknya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman untuk memohon keampunan bagi orang-orang yang syirik..” [at-Taubat (9):113]
[HR al-Bukhari & Muslim]
Adapun sebuah riwayat lagi daripada ‘Ali, menyebutkan,
سَمِعْتُ رَجُلًا يَسْتَغْفِرُ لِأَبَوَيْهِ وَهُمَا مُشْرِكَانِ
‘Aku mendengar seorang lelaki memohon keampunan untuk kedua orang tuanya yang musyrik,
فَقُلْتُ لَهُ أَتَسْتَغْفِرُ لِأَبَوَيْكَ وَهُمَا مُشْرِكَانِ
Lalu aku bertanya kepadanya: ‘Engkau memohon keampunan untuk kedua orang tuamu dalam keadaan mereka musyrik?’
فَقَالَ أَوَلَيْسَ اسْتَغْفَرَ إِبْرَاهِيمُ لِأَبِيهِ وَهُوَ مُشْرِكٌ
Lalu dia menjawab: Bukankah Ibrahim pernah memohon keampunan untuk ayahnya yang musyrik?
فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَنَزَلَتْ
Akupun menyebutkan hal itu kepada Nabi – sallalLaahu ‘alaihi wa sallam – lalu turunlah ayat tersebut.
[HR at-Tirmizi]
Dalam riwayat yang lain pula, daripada Ibn Mas’ud, dia menyebutkan,
خَرَجَ النَّبِيُّ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- يَوْمًا إِلَى الْمَقَابِرِ، فَجَلَسَ إِلَى قَبْرٍ مِنْهَا، فَنَاجَاهُ طَوِيلًا ثُمَّ بَكَى،
Nabi – sallalLaahu ‘alaihi wa sallam – keluar pada suatu hari ke kawasan perkuburan, lalu dia duduk berhampiran salah sebuah kubur, lalu berdoa panjang kemudian dia pun menangis..
فَقَالَ: إِنَّ الْقَبْرَ الَّذِي رَأَيْتُمُونِي أُنَاجِي فِيهِ، قَبْرُ أُمِّي آمِنَةَ بِنْتِ وَهْبٍ وَإِنِّي اسْتَأْذَنْتُ رَبِّي فِي زِيَارَتِهَا، فَأَذِنَ لِي فِيهِ، فَاسْتَأْذَنْتُهُ فِي الِاسْتِغْفَارِ لَهَا، فَلَمْ يَأْذَنْ لِي فِيهِ، وَنَزَلَ عَلَيَّ
(Setelah itu) Dia berkata: “Sesungguhnya kubur yang kalian lihat aku berdoa padanya itu adalah kubur ibuku Aminah bint Wahb, dan aku meminta izin dari Tuhanku untuk menziarahinya lalu Dia membenarkan; lalu aku meminta keizinanNya untuk memohon keampunan untuknya, Dia tidak membenarkan, dan turun kepadaku ayat tersebut.”
[HR al-Hakim]
Maka, dikumpulkan kesemua riwayat-riwayat ini dan difahami bahawa berlaku berbilang penurunan bagi surah atau ayat yang sama. Ini adalah apa yang disebutkan oleh sebahagian para ulama di dalam bidang ini.
Namun begitu, penulis menolak pandangan terdapatnya penurunan beberapa kali bagi surah atau ayat yang sama kerana tidak jelas apa hikmahnya bagi pengulangan penurunan tersebut, malah dia melihat masih boleh diusahakan tarjih (seperti yang disebutkan dalam nota 06.07.03) dalam keadaan tidak dapat dihimpunkan kesemua riwayat tersebut.
Malah dalam contoh riwayat-riwayat di atas, didapati bahawa riwayat al-Bukhari dan Muslim jauh lebih kuat dari riwayat-riwayat yang lain, maka ditarjihkan bahawa ayat tersebut turun ketika kematian Abu Talib.
walLaahu a’lam
Ruj: Mabahits fi ‘Ulum al-Quran, karangan Ust Manna’ Khalil al-Qattan, Cet. ke-7, m/s 85-87.
__
#صحح_لي_إن_كنت_مخطئاً
#BroSyariefShares
Soalan:
Mungkinkah ayat quran yg sama pernah turun berkali- kali utk asbabun nuzul yg berbeza?
Maaf Bro…tiba-tiba saja saya terlintas persoalan 👆😇
BroSyarief:
Kalau mengikut nota di atas, itu kemungkinan yang asal yang dipegang oleh sebahagian ulama. Cuma seperti yang disebutkan di hujung nota, Syaikh Manna’ Qattan beranggapan sebaliknya.
Saya dah baiki sedikit nota di atas dengan tambahan ‘surah atau ayat yang sama’, bukan surah sahaja.
Apa faedahnya atau hikmahnya pengulangan surat atau ayat diturunkan berkali-kali?
Imam az-Zarkasyi (w.794H) menyebutkan,
وَقَدْ يُنَزَّلُ الشَّيْءَ مَرَّتَيْنِ تَعْظِيمًا لِشَأْنِهِ ، وَتَذْكِيرًا بِهِ عِنْدَ حُدُوثِ سَبَبِهِ خَوْفَ نِسْيَانِهِ ،
‘Ada keadaan di mana diturunkan sesuatu (ayat/surah) itu dua kali untuk menunjukkan pentingnya perkara tersebut, dan sebagai mengingatkan apabila timbul sebabnya kerana bimbang ia dilupakan,
وَهَذَا كَمَا قِيلَ فِي الْفَاتِحَةِ : نَزَلَتْ مَرَّتَيْنِ ، مَرَّةً بِمَكَّةَ ، وَأُخْرَى بِالْمَدِينَةِ ، وَكَمَا ثَبَتَ فِي ” الصَّحِيحَيْنِ
Ini adalah seperti apa yang dikatakan (berlaku) pada (sebab nuzul) surah al-Fatihah, di mana ianya turun dua kali. Sekali di Mekah, dan seterusnya di Madinah. Ini sebagaimana yang diriwayatkan dalam kedua-dua Sahih (al-Bukhari & Muslim).’
[al-Burhan fi ‘Ulum al-Quran]