Utama Bilik (35) Berinteraksi dengan Hadith Mengapakah para Fuqaha’ Khilaf dalam Hukum?

Mengapakah para Fuqaha’ Khilaf dalam Hukum?

739
0
Iklan

Mengapakah para fuqaha’ khilaf dalam hukum?

Di antara sebab perbezaan pandangan para fuqaha’ adalah seperti berikut:

Pemahaman teks-teks Al-Quran dan As-Sunnah yang pelbagai, di mana sememangnya manusia akan berselisih pendapat di dalam memahami sesuatu perkara. Ada ulama’ yang memahami keduanya secara tekstual (pemahaman zahir) dan ada juga ulama’ yang memahami keduanya secara kontekstual (menyelami maksud sebenar teks) dan kedua-dua jenis pemahaman sebegini telah pun berlaku di zaman Nabi ﷺ lagi.
Apabila baginda bersabda ketika perang Ahzab:

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia bersalat ‘Asar di Bani Quraizah”
[Riwayat Al-Bukhari dan Muslim]

Maka, apabila hari semakin senja dan matahari hampir tenggelam, para sahabat berselisih pandangan sesama mereka. Ada yang mengatakan Nabi ﷺ maksudkan ialah agar kita percepatkan perjalanan agar dapat salat ‘Asar di Bani Quraizah, dan ada juga sahabat yang berkata:
Tidak! Nabi ﷺ mengatakan kita mesti salat ‘Asar di Bani Quraizah, kami hanya akan salat ‘Asar apabila sudah sampai di sana walaupun matahari sudah pun tenggelam!

Apabila perkara ini dikhabarkan kepada baginda Nabi ﷺ, baginda sedikit pun tidak memarahi mana-mana pihak sahabat. Bahkan Nabi ﷺ mengakui ijtihad setiap sahabat, maka di sinilah di antara sebab khilaf.

Sikap manusia ada yang bersifat keras dan ada yang bersifat lembut, ini merupakan sifat semulajadi manusia.
Ibnu Umar berbeza dengan Ibnu ‘Abbas.

Jika Ibnu Umar berpandangan berwudhu’ mesti memasukkan sedikit air ke dalam mata, maka Ibnu ‘Abbas berpandangan perkara demikian bukanlah suatu kemestian sehingga butalah mata Ibnu Umar atas perbuatan tersebut. Jika Ibnu Umar enggan memeluk anak-anaknya kerana khuatir air liur mereka akan terkena pakaiannya maka Ibnu ‘Abbas pula memeluk anak-anaknya dan mengatakan air liur mereka ialah wangian bunga yang dicium. Maka, di sini juga menjelaskan di antara sebab perselisihan pendapat.

Bahasa, bahasa boleh menjadi punca perbezaan pandangan.
Contoh:

Perempuan-perempuan yang ditalaq hendaklah menunggu sehingga tiga kali quru'”
[Al-Baqarah: 228]

Perkataan quru’ boleh membawa maksud yang banyak. Ada pendapat yang mengatakan ia bermaksud haidh, dan ada pendapat yang mengatakan suci. Maka, di sinilah perbezaan berlaku.

Begitu juga pada ayat:
“…atau kalian menyentuh perempuan”
[Al-Maidah: 6]

Ada yang berpandangan makna sentuh itu makna yang hakiki dan ada pula yang kata maknanya secara perumpamaan. Ibnu Umar mengatakan maknanya ialah menyentuh dengan tangan dan Ibnu ‘Abbas pula mengatakan maknanya ialah perumpamaan kepada jima’ (persetubuhan) dan bukannya sentuhan tangan.

Penerimaan sebahagian ulama’ terhadap riwayat sebahagian perawi dan penolakan mereka terhadap sebahagian yang lain.

Dalil-dalil yang digunakan oleh para ulama’ di dalam membina hukum.

1. Ada yang memakai Amalu Ahli Madinah.

2. Ada yang kuat memakai Qiyas dan Istihsan dalam membina hukum.

3. Ada juga yang memakai hadith Mursal dan ada yang menolak, dan begitulah seterusnya.

Bagi yang boleh membaca bahan-bahan di dalam bahasa Arab, disarankan membaca buku-buku tentang khilaf seperti:
1. Al-Insaf Fi Asbabil Ikhtilaf oleh Ad-Dahlawi.

2. Asbabu Ikhtilafil Ulama’ oleh Syeikh Ali Al-Khafif.

3. As-Sohwatul Islamiah Bainal Ikhtilafil Masyru’ Wat Tafarruqil Mazmum oleh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi.

Di antara rahmat Allah ﷻ terhadap ummah ini ialah Allah ﷻ memberikan keluasan terhadap pandangan fiqh itu sendiri dengan menerima kepelbagaian pemahaman manusia. Ada hukum yang sesuai pada sesuatu keadaan tetapi tidak sesuai pada keadaan yang lain. Bahkan ada juga pandangan sesetengah sahabat yang dikeluarkan tetapi ditarik balik disebabkan baru mengetahui sesuatu yang bukan pengetahuannya atau merasakan tidak sesuai digunakan pada sesuatu keadaan.

Maka, perbezaan pandangan terhadap perkara bersifat ranting adalah diharuskan dan adalah agak mustahil manusia sependapat di dalam perkara sebegini.

Persoalannya sekarang, apakah hukum mengikut mazhab-mazhab sebegini?

Ada yang mengatakan ia berhukum wajib mengikuti mazhab-mazhab fiqh yang ada iaitu pandangan Ibrahim Al-Laqqani di dalam kitabnya Jauharatut Tauhid.

◾️ Bermazhab Syafi’iy berkata:
Wajib mengikut Imam Asy-Syafi’iy رحمه الله‎.

◾️ Bermazhab Maliki berkata:
Wajib mengikut Imam Malik رحمه الله‎.

◾️ Bermazhab Hanafi berkata:
Wajib mengikut Imam Abu Hanifah رحمه الله‎.

◾️ Bermazhab Hanbali berkata:
Wajib mengikut Imam Ahmad Bin Hanbal رحمه الله‎.

Bahkan ada yang berkata:
Wajib mengikut kata-kata imam ikutannya dan haram mengikuti kata-kata selainnya!

Imam Ibnu Taimiyah رحمه الله‎ berkata:
Orang yang berkata sebegini mesti bertaubat, jika tidak dia dibunuh!

Cuba kalian lihat kata-kata Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyah رحمه الله‎ tentang menolak pandangan wajib taqlid sebegini di dalam I’lamul Muwaqqi’iin, yang mana beliau menyenaraikan sebanyak 50 sebab kesalahan berbuat sedemikian!

Oleh itu, bagi sesiapa yang belum boleh menilai nas-nas hukum berbekalkan ilmu-ilmu alat untuk menggunakannya sebagai hukum yang dipegangi, maka dia diharuskan mengikuti mana-mana imam yang disukainya.
Imam tersebut mestilah sudah sampai taraf mujtahid. Manakala yang sudah mampu hasil pengajiannya terhadap ilmu-ilmu alat secara konsisten, maka dia diharuskan berijtihad juga.

Apakah Nabi ﷺ ada melakukan perkara-perkara yang menjadi perselisihan para ulama’ fiqh?

Ya, kerana terdapat di dalam banyak hadis-hadis baginda yang diriwayatkan menyatakan beberapa sahabat melihat sendiri perbuatan baginda terhadap sesuatu ibadat.
Akan tetapi terdapat juga sebahagian sahabat melihat perbuatan tersebut tidak sama seperti yang dilihatnya atau dia tidak pernah melihat baginda melakukanya tetapi ada sahabat pernah melihatnya.

Contoh:
1. Azan, ada pendapat yang mengatakan lafaz ‘Allahu Akbar’ itu perlu dilaungkan sebanyak dua kali sahaja dan ada yang mengatakan empat kali, kedua-duanya ada riwayat. Maka, Imam Malik رحمه الله‎ mengatakan dua kali, manakala yang lain mengatakan empat kali.

2. Begitu juga Tarji’ di dalam azan iaitu menyebut lafaz-lafaz azan dengan suara yang perlahan sebelum melaungkannya, kerana ada riwayat tentang hal demikian. Maka, ada ulama’ yang mengambilnya dan ada yang tidak.

3. Begitu juga dengan membaca basmalah secara kuat ketika membaca Al-Fatihah. Ada riwayat yang menyebut Nabi ﷺ pernah membacanya dengan kuat dan ada juga riwayat mengatakan Nabi ﷺ tidak pernah melakukannya. Maka, kemungkinan baginda membacanya secara kuat pada sesetengah waktu adalah untuk mengajarkan para makmum tentang bacaannya.

Imam Ibnu Taimiyah رحمه الله‎ mengatakan:
Harus hukumnya meninggalkan perkara yang afdhal di dalam perkara ibadat dengan bertujuan untuk menyatukan hati-hati manusia sepertimana Nabi ﷺ tidak membina ka’abah di bahagian maqam Ibrahim عليه السلام kerana khuatir manusia akan lari daripada Islam sewaktu kaum Quraisy masih baru lagi memeluk Islam. Sepertimana yang telah dinyatakan oleh Imam Ahmad رحمه الله‎.

4. Salat witir yang dilakukan secara bersambung dengan satu salam.

Semua perbuatan itu adalah perubahan daripada melakukan afdhal (yang paling baik dilakukan) kepada harus dilakukan dengan maksud menjaga penyatuan ummah dan mengajar sunnah.

Bagaimanakah boleh berlaku sesuatu hukum itu menjadi wajib pada sesetengah imam tetapi boleh menjadi makruh pula pada imam yang lain pada perkara-perkara ibadat?

Perkara sebegini adalah agak jarang berlaku seperti.
Contoh:

Membaca Al-Fatihah di belakang imam:

1. Wajib bagi makmum dalam Mazhab Syafi’iy pada setiap jenis salat sama ada secara jelas (Subuh, Maghrib dan Isyak) atau secara perlahan (Zuhur dan Asar)

2. Manakala Mazhab Hanafi memandang bacaan tersebut sebagai makruh.

3. Ada juga pandangan yang bersifat pertengahan, iaitu bacaan dibolehkan pada salat yang dibaca perlahan kerana makmum tidak mendengar bacaan imam dan apabila salat bacaan jelas, maka makmum patut diam kerana bacaan tersebut didengari makmum. Ini berdasarkan hadis sahih riwayat Muslim:
وإذا قرأ فأنصتوا

“Jika dibacakan (Al-Qur’an) hendaklah kalian diam”

Apakah boleh mengikuti mazhab fiqh yang lain selain empat mazhab yang masyhur?

Apakah boleh terus menggunakan dalil Al-Quran dan As-Sunnah tanpa bermazhab?

◾️ Boleh mengikuti mazhab fiqh yang lain selain mazhab empat yang masyhur.

◾️ Boleh juga menggunakan terus dalil-dalil daripada Al-Quran dan As-Sunnah tetapi hanya jika mampu berbuat demikian yang mana sekiranya:

◾️ Sudah mampu berijtihad dan mengkaji serta membuat perbandingan.

◾️Mampu mengeluarkan hukum daripada nas-nas yang ada.

◾️Mampu menilai pandangan yang paling kuat dan lebih dekat kepada isi Al-Quran dan As-Sunnah.

◾️Boleh merujuk kepada para ulama’ fiqh yang suka mencari hukum dengan membuat suai-banding dan perbandingan seperti Imam Ibnu Daqiq Al-‘Aid, Imam Ibnu Taimiyah, Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyah, Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani, Imam As-Son’aani, Imam As-Syaukani dan selain mereka.

◾️Bahkan, berhak memilih pandangan mana-mana ulama’ yang lebih dekat dengan jiwanya.

Tentang kata-kata yang mengatakan bahawa pintu ijtihad telah tertutup adalah merupakan kata-kata yang ditolak kerana tidak didasari oleh sebarang dalil daripada Al-Quran, As-Sunnah dan ijma’ para ulama’.

Berkatanya para ulama’ mazhab Hanbali :

“Adalah sesuatu yang tidak mungkin suatu zaman itu mengalami ketiadaan mufti yang mampu berijtihad berdasarkan dalil-dalil, adalah tidak mustahil Allah ﷻ boleh mengurniakan kemampuan untuk berijtihad kepada mana-mana hamba-Nya”

Bahkan pada zaman ini adalah lebih senang lagi berbekalkan kemajuan teknologi seperti komputer dan sebagainya [Rujuk: Al-Ijtihad Fis Syariatil Islamiah oleh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi]

Manakala bagi sesiapa yang masih belum menguasai ilmu:

◾️ Bahasa Arab dengan baik.

◾️ Ilmu Al-Quran dan ilmu As-Sunnah.

◾️Perkara-perkara berkaitan ijma’ dan khilaf, kaedah-kaedah qiyas, fiqh dan taarudh wat tarjih dan pelbagai lagi ilmu-ilmu asas ijtihad.

Maka, adalah wajib dia bertanyakan orang yang lebih tahu.

Bagaimana pula sekiranya seseorang itu mencampur adukkan pelbagai mazhab?

Inilah yang dinamakan sebagai talfiq.
Talfiq ini ada ulama’ yang mengharuskanya dan ada yang melarang.
Hukumnya adalah, jika seseorang melakukan talfiq dengan tujuan untuk mencari-cari hukum yang paling mudah bagi dirinya atau yang paling dekat dengan hawa nafsunya tanpa didasari sebarang dalil maka perbuatan sebegini adalah tidak dibolehkan.

Oleh kerana itu berkatanya para ulama’ salaf:

◾️ Sesiapa yang mencari-cari yang senang untuk dirinya maka dia adalah fasiq!.

Contoh:
Seseorang berpegang dengan pandangan salah satu mazhab disebabkan dia melihat pandangan tersebut menyenangkan dirinya;

Seperti menggunakan pandangan mazhab Hanafi yang memberikan ‘syuf’ah’ kepada jiran berdekatan jika jiran tersebut ingin menyewa untuk dirinya sendiri.
Jika pandangan mazhab itu tidak relevan untuk dirinya dia akan mengambil pandangan mazhab lain yang lebih memberi untung untuk dirinya.

Maka, ini lah contoh mempermainkan agama untuk kepentingan diri sendiri. Oleh itu, seorang Islam yang beriman hendaklah sentiasa cuba untuk berada di dalam kebenaran sama ada kebenaran tersebut menuruti nafsunya atau tidak, seperti mana Allah ﷻ nyatakan di dalam Al-Qur’an:

Dan (di antara orang-orang yang tidak dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus ialah) mereka yang berkata:
“Kami beriman kepada Allah dan kepada Rasul-Nya serta kami taat”;
Kemudian sepuak dari mereka berpaling (membelakangkan perintah Allah dan Rasul) sesudah pengakuan itu, dan (kerana berpalingnya) tidaklah mereka itu menjadi orang-orang yang sebenarnya beriman

Dan (bukti berpalingnya mereka ialah) apabila mereka diajak kepada kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, maka dengan serta-merta sepuak dari mereka berpaling ingkar (menolak ajakan itu jika keputusan tidak menguntungkan mereka).

Dan (sebaliknya) jika keputusan itu memberi hak kepada mereka, mereka segera datang kepadanya dengan tunduk taat (menerima hukumnya)”
[An-Nur: 47-49]

Orang sebegini Allah ﷻ sifatkan mereka dengan:

“Mengapa mereka bersikap demikian), adakah kerana hati mereka mengandungi penyakit (kufur), atau kerana mereka ragu-ragu (terhadap kebenaran hukuman), ataupun kerana mereka takut bahawa Allah dan Rasul-Nya akan berlaku zalim kepada mereka? (Allah dan Rasul-Nya tidak sekali-kali akan berlaku zalim) bahkan merekalah sendiri orang-orang yang zalim (disebabkan keraguan dan kekufuran mereka).”
[An-Nur: 50]

Akan tetapi, jika seorang Islam itu mengikuti pandangan mazhab lain berdasarkan apa yang dia lihat lebih mendekati kepada kebenaran dari sudut Al-Quran dan As-Sunnah, dan apa yang lebih dekat dengan hati nuraninya, maka adalah tidak mengapa jika:

◾️ Menggunakan pandangan mazhab Hanafi yang mengatakan tidak batal wudhu’ jika menyentuh tangan perempuan ajnabiah.

Juga menggunakan pandangan mazhab Syafi’iy mengatakan:

◾️ Tidak batal salat seseorang yang mengalir darah di badannya.

◾️ Menggunakan pandangan mazhab Maliki yang mengatakan air mutlaq sekali-kali tidak akan menjadi najis selagi mana tidak berlaku perubahan yang mana pemilihan yang dibuat adalah berdasarkan dalil-dalil yang ada.

Maka, anda sendiri berhak menentukannya berdasarkan ilmu yang ada tanpa sebarang kecenderungan hawa nafsu.

Wallahu a’lam.

@ustazdaud
#berinteraksidenganhadis

Komen dan Soalan