Utama Bilik (35) Berinteraksi dengan Hadith Tempoh yang dibolehkan Qasar Salat

Tempoh yang dibolehkan Qasar Salat

1701
0
Iklan

Perbincangan sebelum ini adalah membincangkan tentang jarak yang diperbolehkan qasar.

Kali ini perbincangan adalah berkisar pada tempoh yang dibolehkan qasar salat.

Jumhur para ulama’ mazhab seperti Al-Malikiah, Asy-Syafi’iyah dan Al-Hanabilah mengatakan bahawa jika seseorang berniat untuk menduduki sesebuah negeri yang ingin ditujui melebihi 4 hari, maka dia tidak diharuskan untuk qasar salatnya, kecuali Asy-Syafi’iyah berkata 4 hari tersebut adalah tidak termasuk hari datang dan hari balik.

Manakala Al-Hanabilah menghadkan sebanyak 21 salat.
[Rujuk: Az-Zakhirah Imam Al-Qarafi 2/360, Qawanin Al-Ahkam As-Syar’iyah Ibnu Juzay 100, Al-Majmu’ An-Nawawi 4/215, Al-Hawi Imam Al-Mawardi 2/371, Kasyful Qana’ 1/512]

Al-Hanafiah pula dan Ats-Tsauri juga Al-Muzani dari Asy-Syafi’iyah mengatakan bahawa jika seseorang berniat untuk duduk di sana selama 15 hari maka dia tidak diharuskan qasar.
[Rujuk: Fathul Qadir Imam Kamal Ibnu Humam 2/35, Hasyiah Ibnu Abidin 2/125]

Al-Hasan Al-Basri dan Qatadah pula berkata seorang musafir itu boleh qasar salatnya selagi mana dia tidak pulang ke rumahnya atau jika dia berniat untuk duduk di tempat tersebut selama tempoh yang panjang [Rujuk: Al-Muhalla Ibnu Hazm 5/32]

Di bahagian manakah mereka berbeza pandangan tentang hal ini?

Sebenarnya, tempoh menduduki suatu tempat yang dibolehkan qasar adalah suatu perkara yang disenyapkan oleh syara’.
[Rujuk: Bidayatul Mujtahid Ibnu Rusyd 1/169]

Oleh kerana itulah setiap golongan mazhab cuba untuk mencari tempoh tersebut berdasarkan keadaan-keadaan yang didapati daripada Nabi ﷺ bahawa baginda duduk di suatu tempat dan baginda qasar salatnya, dan setiap keadaan tersebut adalah terlalu berbeza-beza, kerana itulah para ulama’ berbeza pendapat sesama mereka.

Sekarang mari lihat dalil-dalil yang digunakan setiap golongan.

Golongan yang mengatakan tempoh qasar selama 4 hari :

Para jumhur berdalilkan dalil-dalil ini sebagai hujjah:

1. “Jika kalian berjalan di atas mukabumi maka adalah tidak berdosa untuk kalian memendekkan salat..”
[An-Nisa’: 101]

Di dalam ayat ini dibolehkan qasar dengan syarat:
“berjalan di atas mukabumi” dan orang yang berazam untuk menduduki suatu tempat (bermukim) selama 4 hari adalah tidak dianggap bermusafir atau berjalan di atas mukabumi, disebabkan itu dia tidak dibolehkan qasar
[Rujuk: Al-Hawi Imam Al-Mawardi 2/371]

2. Daripada Jabir dan Ibnu ‘Abbas:
bahawa Nabi ﷺ pernah datang ke Mekah pada waktu subuh 4 Zulhijjah, baginda duduk di situ pada hari keempat, kelima, keenam dan ketujuh (Zulhijjah) dan salat Subuh pada hari kelapan, lalu baginda pergi ke Mina, dan baginda qasar salatnya sepanjang tempoh tersebut, dan baginda telah berniat untuk duduk di situ.
[Rujuk: Sahihul Bukhari dengan syarah Fathul Baari 2/565, Sunan An-Nasai’ 5/102]

Berdasarkan hadis ini, para Asy-Syafi’iyah dan Al-Malikiah berkata, bahawa seorang musafir jika duduk di satu tempat selama 4 hari atau kurang tidak dikira hari datang dan hari balik maka dibolehkan qasar salat, dan jika lebih daripada itu hendaklah dia salat tamam (raka’at penuh).

Para Al-Hanabilah pula mengatakan bahawa seorang musafir jika berniat untuk salat sebanyak 21 salat, maka dibolehkan qasar. Ini kerana Nabi ﷺ telah salat di Mekah sebanyak 21 salat pada hari keempat, kelima, keenam dan ketujuh dan salat Subuh pada hari kelapan. Maka jumlah salat pada 4 hari tersebut adalah 21 salat dibolehkan qasar.
[Rujuk: Al-Mughni Ibnu Qudamah 2/289]

3. Diriwayatkan oleh Imam Muslim رحمه الله‎ daripada ‘Ala’ Bin Al-Hadhrami berkata:
“aku telah mendengar Rasulullah ﷺberkata:
“Bagi seorang muhajir (orang yang berhijrah) boleh menduduki 3 hari di Mekah selepas habis ibadatnya” seolah-olah baginda memaksudkan tidak boleh lebih daripada tempoh tersebut, dan pada riwayat lain:
“Seorang Muhajir boleh duduk di Mekah selepas habis ibadat hajinya selama 3 hari”
[Rujuk: Sahihul Muslim dengan syarah Imam An-Nawawi 9/121].

Makna hadis ini ialah orang yang berhijrah dari Mekah sebelum pembukaan Kota Mekah adalah haram bagi mereka bermastautin di Mekah dan duduk di situ, kemudian diharuskan bagi mereka berbuat demikian jika disambung dengan melakukan haji atau umrah dengan duduk di situ selepas habis ibadat mereka selama 3 hari dan tidak boleh lebih daripada 3 hari.

Berdasarkan hadis ini, duduk di satu tempat selama 3 hari bukanlah berhukum seperti bermukim, tetapi berhukum musafir. Jika seorang berniat musafir untuk duduk di satu negeri selama 3 hari tidak termasuk hari datang dan hari balik diharuskan baginya rukhsah dengan qasar salat dan berbuka puasa, dan mereka bukanlah termasuk hukum mukim.
[Rujuk: Syarhun Nawawi Imam Muslim 9/122].

4. Daripada Aslam maula Umar bin Al-Khattab رضي الله عنهما bahawa Umar melawat kaum Yahudi, Nasrani dan Majusi di Madinah dan duduk di sana selama 3 malam dan memenuhi segala keperluan mereka. Tiada langsung pun di antara mereka yang duduk di sana lebih daripada 3 malam.
[Sunan Al-Kubra Baihaqi 3/148 dan berkata An-Nawawi di dalam Al-Majmu’: sanadnya sahih]

Berkata Imam Asy-Syafi’iy di dalam pendapat lamanya dan dengan pendapat yang sama di dalam pendapat barunya :

“Sesiapa yang berniat untuk duduk di suatu tempat selama 4 hari maka hendaklah dia sempurnakan salatnya”
[Rujuk: Sunan Al-Kubra Baihaqi 3/148]

Atsar ini menunjukkan bahawa 3 hari adalah had tempoh bagi musafir dan apa yang melebihi tempoh tersebut adalah tempoh bermukim.
[Rujuk: Al-Hawi Imam Mawardi 2/372]

5. Seorang musafir itu berhak menjadi tetamu selama 3 hari, jika lebih dari 3 hari sudah dianggap bermukim, dan orang yang bermukim tidak berhak menjadi tetamu, ini disokong oleh sebuah hadith riwayat Imam Al-Bukhari :
“Sesiapa yang beriman kepada Allah ﷻ dan hari akhirat maka muliakanlah tetamunya dengan memberi haknya, ditanya: “apakah haknya wahai Rasulullah ﷺ?
Satu hari satu malam, dan had menjadi tetamu adalah 3 hari, jika lebih daripada tempoh itu adalah sedaqah baginya”
[Rujuk: Sahihul Bukhari 7/79].

Golongan yang mengatakan tempoh mukim selama 15 hari (kurang daripada itu masih dianggap musafir):

1. Dari Anas رضي الله عنه berkata:
Kami keluar bersama Nabi ﷺ dari Madinah ke Mekah dan baginda salat dua raka’at, dua raka’at sehinggalah kami pulang semula ke Madinah, lalu ditanya:
“Adakah kalian duduk di Mekah beberapa lama? berkata: kami duduk di sana selama 10 hari [Riwayat Jamaa’ah kecuali Al-Muwattha’ dan di dalam riwayat Al-Bukhari dan Muslim diriwayatkan secara ringkas]: “Kami duduk di sana bersama Nabiﷺ 10 hari dan kami qasar salat”)
[Rujuk: Jami’ul Usul Ibnu Atsir 5/701, lihat juga Sahihul Bukhari dengan syarah Fathul Baari 2/561, Sahihul Muslim dengan syarah An-Nawawi 5/202].

Ini menunjukkan bahawa 10 hari tersebut bukannya bermukim tetapi ia adalah musafir. Oleh kerana itulah Nabi ﷺ qasar salatnya sepanjang tempoh tersebut.

2. Dari Ibnu ‘Abbas dan Ibnu Umar رضي الله عنهما mereka berkata:
“Jika kamu datang ke suatu negeri dan kamu seorang musafir dan berniat untuk duduk di sana selama 15 hari, maka sempurnakanlah salatmu, jika kamu tidak tahu bila kamu bergerak pulang maka qasarlah salatmu”
[Rujuk: Nasbur Rayah 2/183].

Penetapan tempoh mukim selama 15 hari daripada Ibnu ‘Abbas dan Ibnu Umar رضي الله عنهما adalah bukan berasal daripada ijtihad atau pandangan peribadi dan tentu juga ia bukan sekadar agak sahaja, bahkan ia adalah ‘sima’an’ (didengari terus) daripada Nabi ﷺ, maka ia adalah hukum marfu’ (sah atau sahih)
[Badai’e As-Sonai’e 1/97].

3. Diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Ibnu ‘Abbas رضي الله عنهما berkata: “Nabi ﷺ pernah menduduki Mekah pada tahun pembukaan Kota Mekah selama 15 hari dan baginda qasar salat”
[Rujuk: Sunan Abi Daud 2/10].

4. Tempoh ini adalah berkaitan dengan mendirikan salat, maka harus untuk dikatakan tempoh bermukim yang paling sedikit adalah 15 hari jika disamakan dengan tempoh yang paling sedikit bagi tempoh suci daripada haidh iaitu 15 hari juga, ‘illah (titik persamaan keduanya) ialah pada mewajibkan sesuatu yang telah digugurkan, iaitu ia wajib (rakaat penuh) di dalam tempoh bermukim setelah ia digugurkan (ketika bermusafir).
[Rujuk: Hasyiah Asy-Syallabi dengan Tabyiinul Haqaieq 1/211].

Golongan yang mengatakan musafir dibolehkan qasar selamanya selagi mana tidak berniat bermukim di dalam tempoh yang panjang:

1. Daripada Ibnu ‘Abbas berkata:
“Nabi ﷺ pernah bermukim selama 19 hari dan qasar salatnya. Jika kami bermusafir selama 19 hari kami akan qasar, jika lebih daripada itu maka kami salat raka’at penuh”.
[Rujuk : Jaami’ul Usul 5/702, Sahihul Bukhari dengan syarah Fathul Baari 2/561]

2. Dari ‘Imran Bin Hasin berkata:
“Aku telah pergi berperang bersama Nabi ﷺdan mengikuti baginda pada hari pembukaan Kota Mekah dan kami bermukim di Mekah selama 18 hari dan kami hanya salat 2 raka’at selama itu, Nabi ﷺ berkata:
“Wahai penduduk Mekah! Salatlah kalian 4 raka’at sesungguhnya kami ini musafir”.
[Jaami’ul Usul : 5/702, Sunan Abi Daud 2/9]

3. Diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Jabir Bin Abdillah berkata:
“Nabi ﷺ pernah bermukim di Tabuk selama 20 hari dengan qasar salat”
[Rujuk: Jami’ul Usul 5/703, Sunan Abi Daud 2/11].

Kesemua hadis-hadis ini menunjukkan bahawa hakikat seorang musafir tidak berkait dengan tempoh tertentu Nabi ﷺ qasar salatnya selama 18, 19 dan 20 hari, kerana baginda bermusafir.

Baiklah, sekarang mari lihat perbahasan dalil bagi setiap golongan.

Perbincangan dalil para jumhur (4 hari):

1. Berdalilkan ayat ini adalah agak tersasar, kerana orang yang berazam untuk bermukim lebih dari 4 hari adalah dianggap juga “berjalan di atas mukabumi” iaitu musafir.

Dalil dari kata-kata Nabi ﷺ:
“Salatlah kalian (penduduk Mekah) 4 rakaat, sesungguhnya kami ini musafir” sedangkan ketika itu baginda duduk di sana 18 hari.

2. Hadis Jabir dan Ibnu Abbas رضي الله عنهما:
Hadis ini tidak menunjukkan tempoh bermukim yang paling sedikit adalah 4 hari, kerana tsabit daripada Nabi ﷺ bahawa baginda pernah bermukim lebih daripada 4 hari dan baginda qasar salat.

3. Hadis ‘Ala’ Bin Al-Hadhrami رضي الله عنهما:
Hadis ini juga tidak menunjukkan tempoh bermukim yang paling sedikit, kerana adanya ihtimal (kemungkinan) hajat muhajirin yang terpaksa tinggal selama 3 hari ketika itu. Maka, dibolehkan duduk di sana selama 3 hari dan bukanlah ia menunjukkan tempoh bermukim.
[Rujuk: Bada’ie As-Sona’ie 1/97).

Berkata Ibnu Hazm Al-Andalusi رحمه الله‎:
“Hadis ini tidak dapat menjadi hujah bagi mereka, kerana tiada langsung di dalam khabar ini sebarang nas atau isyarat yang dapat menunjukkan kepada tempoh jika seorang musafir yang bermukim mesti salat tamam.

Jadi, apakah yang boleh diqiyaskan (dijadikan persamaan) seorang musafir yang bermukim dengan seorang ‘Al-Muhajir’ yang bermukim di sini?

Berkata lagi, ini kerana seorang musafir diharuskan untuk bermukim selama 3 hari atau lebih dari 4 hari dan tiada larangan tentang hal tersebut, tetapi muhajir pula dimakruhkan untuk bermukim di Mekah selepas habis ibadatnya lebih dari 3 hari.

Jadi, di manakah persamaan keduanya jika satu mukim yang dibenarkan dan satu lagi mukim yang dilarang?

Berkata lagi, sesungguhnya bagi muhajir apa yang lebih dari 3 hari adalah masih dianggap musafir dan bukan bermukim tetapi apa yang lebih dari 3 hari bagi musafir adalah dianggap bermukim yang sahih, dan ini juga boleh jadi penghalang untuk disamakan kedua hukum tersebut. Jika disamakan juga keduanya, maka musafir akan qasar juga salatnya walaupun lebih dari 3 hari”
[Rujuk: Al-Muhalla 5/34].

4. Perbuatan Umar Al-Khattab رضي الله عنهما bersama para ahlul zimmah juga tidak menunjukkan tempoh bermukim yang paling sedikit sama seperti hadis ‘Al-Muhajir.’

5. Hadis muliakan tetamu juga tidak menunjukkan tempoh bermukim yang paling sedikit kerana hak tetamu adalah bergantung kepada kemampuan seseorang untuk memuliakan tetamu mereka. Manakala bermukim pula adalah bergantung kepada negeri yang didudukinya dan rumah yang menjadi tempat teduhannya.
Apakah dia mampu bermukim di situ atau tidak?

Perbincangan dalil golongan 15 hari :

1) Hadis Anas رضي الله عنه:
Hadis ini tidak menunjukkan seorang musafir, jika berniat untuk duduk di satu tempat selama 15 hari dibenarkan qasar, tetapi ia bermaksud diharuskan bagi musafir qasar salatnya selagi mana berhukum musafir.
Kemudian hadis ini juga berlawanan dengan hadis lain yang menunjukkan Nabi ﷺ bermukim 4 hari di Mekah.

Sebagai menjawab percanggahan terhadap tempoh bermukim Nabi ﷺ di Mekah selama 4 hari. Sebenarnya baginda juga bermukim di sekitar Mekah seperti Mina, Arafah dan Muzdalifah selama 10 hari.
[Rujuk: Syarhun Nawawi ‘ala Muslim 5/202].

2. Atsar dari Ibnu ‘Abbas dan Ibnu Umar رضي الله عنهما:
Jika ada kata-kata sahabat didapati berlawanan dengan kata-kata sahabat yang lain, maka tidak boleh dijadikan hujah. Ini kerana terdapat riwayat dari mereka berlawanan dengan riwayat ini.
Dari Ibnu ‘Abbas berkata :

“Nabi ﷺ pernah bermukim selama 19 hari dan qasar salatnya, kami jika bermusafir selama 19 hari kami qasar dan jika lebih kami tamam”
[Sahihul Bukhari].

Diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam Al-Muwattha’ daripada Abdullah bin Umar bahawa Nabi ﷺ pernah bermukim di Mekah selama 10 malam qasar salatnya.
[Rujuk: Jaami’ul Usul 5/703, Al-Muwattha’ dengan Tanwirul Hawalik 1/164].

3. Hadis Ibnu ‘Abbas رضي الله عنهما:
Nabi ﷺ bermukim di Mekah di tahun pembukaan Kota Mekah selama 15 hari dan qasarkan salat; ia boleh dijawab bahawa hadis ini bermaksud baginda tidak berniat mukim pun, tetapi menunggu sesuatu urusan selesai. Dalam keadaan begini memang dibolehkan qasar.

4. Menyamakan tempoh bermukim yang paling sedikit dengan tempoh suci dari haidh yang paling sedikit adalah agak tersasar, kerana tempoh suci boleh jadi kurang dari 15 hari.

Contoh:
Kadang-kadang wanita hamil boleh haidh lalu suci daripada haidh tersebut, lalu melahirkan anak selepas sehari atau dua hari dan terlihat darah nifas pula, maka selang masa sehari atau dua hari dari selepas haidh kepada melahirkan anak tersebut adalah waktu sucinya, tetapi tempoh 15 hari tersebut adalah jika waktu antara haidh kepada suci yang normal.
[Rujuk: Al-Hawi Imam Al-Mawardi 2/372]

Perbincangan dalil golongan yang mengatakan dibolehkan qasar selama tidak berniat mukim:

Dalil-dalil ini semuanya telah dibincangkan iaitu kesemua dalil ini adalah menunjukkan orang yang tidak berazam untuk bermukim tetapi kerana menunggu sesuatu hajat atau urusan selesai, oleh kerana itu dibolehkan qasar selama 17,18 dan 19 hari.

Pandangan yang rajih (terkuat):

Selepas dibentangkan semua pandangan para ulama’ mazhab serta perbincangan setiap hujah mereka, saya dengan rendah hati dan penuh mengharap pengampunan Allah ﷻ, sekiranya tersilap serta dengan penuh penghormatan terhadap setiap pandangan ulama’ salaf berpandangan bahawa bermukim tidak berkait dengan apa-apa tempoh pun untuk diniatkan oleh seorang musafir. Ini kerana musafir dan bermukim kedua-duanya dapat diketahui sendiri hakikatnya sama ada menetap atau tidak, kerana hakikat ini bukanlah tidak dapat dilihat bahkan amat mudah untuk diketahui sendiri.

Jika seseorang itu bermusafir secara hakiki iaitu keluar dari kampung halamannya dan sememangnya akan pulang semula, maka diharuskan baginya qasar salat. Bagi yang bermukim hakiki pula iaitu dia pergi ke satu negeri lain dan menyewa sebuah rumah serta membeli perabot yang lengkap dan duduk menetap di situ, maka semestinya dia tidak boleh qasarkan salatnya kerana dia ketika itu sudah dianggap bermukim dan bukan musafir.

Inilah pandangan yang dipilih oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah serta Imam Ibnu Hazm Al-Andalusi رحمكم الله.
Ini kerana berniat tidak diperlukan terhadap amalan yang tidak disuruh oleh Allah ﷻ seperti bermusafir dan bermukim, tetapi niat itu hanya wajib pada amalan yang disuruh oleh Allah ﷻ yang mana tidak sah, jika tidak disertakan dengan niat.
Wallahua’lam

[Rujukan: Masaielu Fi Fiqhil Muqarin oleh Dr. Muhammad Utsman Syabir m/s : 118-126 cetakkan keempat Dar Al-Nafaies-Jordan]

@ustazdaud
#berinteraksidenganhadis

Komen dan Soalan