Utama Bilik (64) Syamail Muhammadiyyah Syarah Hadis Asy-Syama’il Al-Muhammadiyyah – Hadis 72, Dari Kowloon, Hong Kong

Syarah Hadis Asy-Syama’il Al-Muhammadiyyah – Hadis 72, Dari Kowloon, Hong Kong

271
0
Iklan

http://telegra.ph/Syarah-Hadis-Asy-Syamail-Al-Muhammadiyyah—Hadis-72-Dari-Kowloon-Hong-Kong-07-08

July 9, 2018 by Mohd ‘Adlan Bin Mohd Shariffuddin

72 – حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ، قَالَ: حَدَّثَنَا جَعْفَرُ بْنُ سُلَيْمَانَ الضُّبَعِيُّ، عَنْ مَالِكِ بْنِ دِينَارٍ، قَالَ: مَا شَبِعَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ خُبْزٍ قَطُّ وَلَا لَحْمٍ، إِلَّا عَلَى ضَفَفٍ. قَالَ مَالِكٌ: سَأَلْتُ رَجُلًا مِنْ أَهْلِ الْبَادِيَةِ: مَا الضَّفَفُ؟ قَالَ: أَنْ يَتَنَاوَلَ مَعَ النَّاسِ.

72- Telah bercerita kepada kami Qutaybah, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Ja`far bin Sulayman Adh-Dhuba`iy, daripada Malik bin Dinar, dia berkata: Tidak kenyang Rasulu Llah disebabkan roti sekali pun, dan tidak disebabkan daging, melainkan apabila dhafaf. Berkata Malik: Saya telah bertanya seorang lelaki dari kalangan penduduk gurun, “Apa itu dhafaf?” Dia berkata: Iaitu makan bersama orang.

Syarah Adou_Fr:

Hadis Malik bin Dinar ini turut diriwayatkan oleh Anas bin Malik dengan lafaz:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يُجْمَعْ لَهُ غَذَاءٌ وَلَا عَشَاءٌ مِنْ خُبْزٍ وَلَحْمٍ إِلَّا عَلَى ضَفَفٍ

bahawa Rasula Llah, tidak terkumpul baginya makan siang dan tidak makan malam daripada roti dan daging melainkan apabila dhafaf.

Kedua-dua hadis ini saling melengkapi dalam menunjukkan bahawa Nabi tidak memenuhi hidupnya dengan makanan atau makan seperti yang kita lakukan pada hari ini.

Dalam hadis Malik bin Dinar, ia menunjukkan bahawa Nabi tidak pernah makan roti sehingga kenyang seorang diri. Begitu juga, Nabi tidak pernah makan daging sehingga kenyang seorang diri. Hanya apabila banyak tangan yang menjamah, iaitu apabila Nabi bersama dengan para sahabat, barulah Nabi dapat makan roti atau daging sehingga Nabi kenyang.

Berlawanan dengan budaya kita pada hari ini, ramai antara kita yang suka makan secara seorang diri, agar tidak diganggu ketika makan. Ramai antara kita yang mahu menikmati hidangan makanan tanpa ada yang meminta, atau yang berkongsi, supaya kita dapat makan dengan banyak dan puas. Lihatlah apabila kita pergi ke restoran atau kedai makan, ramai yang akan membeli dan makan seorang diri, tanpa ada teman atau orang di sebelah. Jika kita pergi ke negara-negara maju, budaya makan seorang diri ini lebih ketara.

Benar, pada zaman ini, kita ada banyak duit untuk membeli makanan. Jadi, dengan duit yang ada, kita boleh membeli sebanyak mana dan sekerap mana makanan yang kita mahu. Namun, apabila kita membaca hadis Malik bin Dinar ini, kita seharusnya sedar bahawa Nabi menunjukkan contoh bahawa hidup bukanlah untuk makan sahaja. Apabila Nabi makan seorang diri, dia akan makan sedikit sahaja, bukan sehingga kenyang.

Barangkali kita terlupa bahawa banyak masalah dan penyakit yang muncul pada hari ini adalah disebabkan oleh banyak makan. Pertama, banyak makan bermaksud banyaklah kos yang dikeluarkan untuk membeli makanan. Sedar atau tidak, banyak antara belanja kita seharian dihabiskan untuk makanan sahaja. Justeru, apabila makanan dikurangkan, belanja kita juga akan berkurangan.

Di Malaysia, ada yang makan sehingga enam kali sehari: sarapan pagi, minum dhuha (kudapan), makan tengah hari (merarau), minum petang (cicipan), makan malam, dan minum malam (gabi). Kos makan bagi orang yang makan sebegini sudah tentu lebih tinggi berbanding orang yang makan hanya dua atau tiga kali sehari seperti yang dilakukan oleh ramai pelajar di kolej dan universiti demi menjimatkan wang.

Jika seseorang makan sebanyak RM 10 sehari, ia akan menjadi RM 300 sebulan. Rata-rata kita akan makan lebih daripada itu. Ada yang makanannya bernilai RM 20 sehari, justeru, untuk sebulan, dia perlu mengeluarkan biaya sehingga RM 600. Bagi orang yang makan lebih banyak atau lebih mewah, maka kos sebulan untuk makan pasti menjadi lebih tinggi dan menjadi beban kepada kewangan.

Banyak makan juga bermakna kita membahayakan kesihatan dengan risiko penyakit. Orang yang banyak makan akan bertambah berat badannya, sehingga Indeks Jisim Tubuh atau BMI seseorang akan meningkat melebihi berat badan unggul kepada lebih berat, obes atau obes melampau. Kencing manis (diabetis), penyakit jantung, tekanan darah meningkat, dan pelbagai jenis penyakit lain menanti orang yang lebih berat badan. Dalam banyak keadaan, orang yang lebih berat akan mengalami ketidakselesaan hidup disebabkan tidak dapat melakukan aktiviti fizikal yang memerlukan kelincahan, sering sesak nafas atau mudah semput, kadar metabolisme rendah, serta badan cepat letih.

Justeru, apabila seseorang mencontohi Nabi dalam hal makanan seperti dalam hadis Malik bin Dinar ini, dia dapat hidup dengan lebih sihat dan bahagia.

Dhafaf ialah istilah yang menunjukkan banyak tangan dan orang yang menjamah makanan itu. Justeru, ia menunjukkan bahawa Nabi hanya makan sehingga dua pertiga perutnya apabila dia dijemput makan oleh para sahabat, atau apabila ada tetamu bertandang, atau apabila Nabi berkumpul bersama-sama dengan sahabat.

Pada hari ini, ramai orang agama yang gemuk badannya, banyak lemaknya dan kuat makannya. Ini kerana mereka sering dijemput untuk menghadiri jamuan, kenduri dan pelbagai majlis yang diikuti dengan sesi makan. Hal ini juga bercanggah dengan apa yang ditunjukkan dalam hadis Malik bin Dinar ini, kerana dhafaf itu tidak berlaku setiap hari atau dengan kerap. Ia hanya peristiwa yang berlaku secara sekali-sekala, dan apabila ia berlaku, ia seolah-olah satu keraian. Berbeza dengan realiti hari ini, jamuan makan itu seolah-olah satu perkara yang tetap, contohnya ada masjid yang membuat kenduri setiap malam Juma`at, atau jamuan setiap kali habis kuliah mingguan atau harian, atau makanan selepas doa selamat dan tahlil. Lantas, tanpa disedari, kita telah makan secara berlebihan dan tidak selari dengan apa yang ditunjukkan oleh Nabi.

Dalam lafaz hadis Anas bin Malik pula, ia menunjukkan menu makanan Nabi. Nabi tidak makan roti dan daging sekali gus. Hal ini disebabkan kebanyakan makanan Nabi adalah kurma. Jika ada roti, Nabi hanya makan roti, dan itu pun roti kosong. Jika ada daging, ia ialah daging yang dipanggang. Nabi tidak makan pelbagai juadah seperti yang kita makan pada hari ini.

Ada orang, dia tidak akan makan melainkan di hadapannya ada beberapa jenis lauk. Ada orang, dia akan merungut jika tiada telur dadar, walaupun di atas meja sudah ada ikan dan daging. Lihatlah bahawa kita, disebabkan makan, sudah mula menjadi manusia yang kufur, sehingga kita tidak melihat apa yang ada sebagai ni`mat!

Nabi hanya makan roti kosong! Bayangkan kita makan roti canai atau roti nan kosong! Namun, kebanyakan kita sekarang makan roti dengan kari daging atau kari ayam!

Mempelajari hadis ini bukanlah menegah kita daripada makan, dan bukan juga untuk mengehadkan kita dengan hanya satu atau dua menu makanan sahaja. Kita bebas untuk makan apa yang Tuhan ciptakan dan sediakan untuk kita di bumi ini.

Namun, kita seharusnya menjadi hamba Tuhan yang lebih bersyukur atas apa yang kita ni`mati hari ini. Andai ibu kita, atau isteri kita tidak masak melainkan telur goreng, itu sudah satu rezeki yang harus kita syukuri. Andai hanya ada nasi kosong, itu juga makanan yang harus kita syukuri. Syukur bermakna, kita makan dengan penuh bersyukur dan berterima kasih kepada Tuhan, bukan memaki hamun ibu atau isteri yang tidak menyediakan lauk, atau menjadi enggan untuk makan kerana tiada lauk.

Mempelajari hadis Malik bin Dinar ini juga seharusnya menjadikan kita lebih menghargaï makanan kita, dan kita tidak harus membuang makanan. Jika Nabi dahulu begitu kurang makanannya, adakah patut kita sekarang membuang pula makanan? Jika Nabi dahulu makan tanpa ada lauk, patutkah kita sekarang, memilih-milih dan cerewet pula dengan makanan?

Bagi ibu bapa, kefahaman dan pengajaran hadis ini harus diterapkan kepada anak-anak, agar mereka tidak membazir atau menjadi cerewet dengan makanan. Ini kerana makan adalah sesuatu yang kita lakukan seharian sepanjang hidup kita. Jika kita mencontohi Nabi dalam hal makan, makan kita telah mengikut sunnahnya setiap hari. Jika kita melanggar dan meninggalkan sunnah Nabi dalam hal makan, bermakna kita meninggalkan sunnahnya setiap hari! Betapa rugi orang yang meninggalkan sunnah yang mudah, dan betapa rugi orang yang tidak cuba meniru Nabi dalam sunnah seperti ini.

Di hujung hadis ini, disebut bahawa Malik bin Dinar bertanya kepada penduduk di gurun tentang maksud perkataan dhafaf. Malik bin Dinar ialah seorang tabi`in, dan dengan banyak hadis yang diriwayatkannya, dia masih bertanya tentang masalah bahasa kepada orang Badwi yang menghuni padang pasir, kerana mereka paling `arif dengan bahasa `Arab. Ini juga satu perkara yang harus kita contohi dalam hidup kita, iaitu bertanya tentang bahasa.

Ramai antara kita yang tidak suka melihat kamus, dan tidak begitu endahkan bahasa yang kita guna, jumpa atau baca. Ramai antara kita menganggap bahawa bahasa itu ialah apa yang kita tahu dan guna sahaja, sedangkan bahasa adalah sesuatu yang sangat luas. Bayangkan seorang tabi`in sendiri tidak tahu satu maksud perkataan! Lihat juga apa tindakannya apabila tidak tahu! Ya, dia bertanya, dan dia bertanya kepada yang pakar.

Hari ini, kita semua lebih mudah kerana ada telefon bimbit dan Internet. Apabila kita tidak tahu sesuatu perkataan, kita seharusnya boleh mencari maksudnya, bukan membiarkan dan kemudian mengabaikannya. Setiap hari ada sahaja perkataan baru yang dicipta, atau digunakan, atau diberikan maksud baru. Justeru, setiap kita perlu mengemas kini pengetahuan bahasa kita sepanjang hayat, selagi kita hidup.

Dalam era digital dan global dewasa ini, dengan pelbagai bahan bacaan, dengan pelbagai istilah dan bahasa, maka dengan mencontohi tabi`in ini, kita seharusnya segera mencari maksud perkataan atau istilah yang kita tidak tahu dan tidak pasti. Kita boleh merujuk kepada kamus, atau glosari, atau melihat bagaimana ia digunakan. Semua ini boleh dilakukan dengan hanya satu klik di internet. Persoalannya, adakah kita buat? Dan adakah kita sanggup untuk buat?

Mempelajari agama tidak akan lengkap tanpa kita mempelajari bahasa. Ini kerana agama memerlukan bahasa untuk difahami dan untuk disampaikan. Semoga dengan mempelajari satu hadis ini, kehidupan kita bertambah baik, dan kita lebih dekat dengan gaya hidup serta sunnah Nabi yang kita sayangi.

Komen dan Soalan