Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surat Al-Jathiyah – Tafsir Ayat Ke-16 dan Ke-17

Tafsir Surat Al-Jathiyah – Tafsir Ayat Ke-16 dan Ke-17

364
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Jathiya

Tafsir Ayat Ke-16

Ini adalah Dalil Naqli. Allah ﷻ sebut tentang Bani Israil pula. Bani Israil dijadikan sebagai contoh umat yang salah supaya kita jangan ikut mereka kerana mereka adalah kaum yang tidak mengikut jalan yang benar. Memang banyak kisah mereka disebut dalam Al-Quran sebagai pengajaran bagi kita.

وَلَقَد ءآتَينا بَني إِسرٰءيلَ الكِتٰبَ وَالحُكمَ وَالنُّبُوَّةَ وَرَزَقنٰهُم مِّنَ الطَّيِّبٰتِ وَفَضَّلنٰهُم عَلَى العٰلَمينَ

Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Bani Israil Kitab Taurat, dan pangkat kehakiman serta pangkat kenabian; dan Kami telah kurniakan mereka benda-benda yang baik-baik, serta Kami lebihkan (nenek moyang) mereka di atas orang-orang yang ada pada zamannya.

وَلَقَدْ ءآتَيْنَا بَنِي إِسْرٰءيلَ الْكِتٰبَ

Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Bani Israil, Kitab,

Kitab yang dimaksudkan adalah Kitab Taurat. Sepertimana kita diberikan dengan Al-Quran, Bani Israil juga mendapat Kitab wahyu juga.

وَالْحُكْمَ

dan kehakiman

Ada dua maksud potongan ayat ini:

  1. Mereka telah diberikan syariat yang perlu diikuti dalam bentuk hukum-hukum.
  2. Mereka diberikan dengan kedudukan dan pemerintahan di dunia.

وَالنُّبُوَّةَ

serta pangkat kenabian;

Ramai Nabi dan Rasul telah dilahirkan dari golongan mereka. Maka, sentiasa sahaja ada rasul yang memberikan pengajaran dan dakwah kepada mereka. Nabi dan Rasul-Rasul itu bukan datang dengan tangan kosong tetapi mereka bawa dalil dan bukti.

وَرَزَقْنٰهُم مِّنَ الطَّيِّبٰتِ

dan Kami telah kurniakan mereka benda-benda yang baik-baik,

Bukan hal agama sahaja mereka mendapat kelebihan tetapi termasuk berkaitan dengan dunia juga. Mereka telah diberikan dengan kekayaan, kebijaksanaan dan macam-macam lagi kelebihan yang melimpah ruah. Sampai sekarang, mereka adalah orang yang kaya-raya, orang yang bijak pandai.

وَفَضَّلْنٰهُمْ عَلَى الْعٰلَمِينَ

serta Kami lebihkan (nenek moyang) mereka ke atas orang-orang.

Pada zaman sebelum Nabi Muhammad ﷺ, merekalah yang paling tinggi sekali kemuliaan kerana ada agama wahyu. Orang lain akan rujuk kepada mereka tentang perkara agama.

Namun, sekarang kedudukan itu telah diberikan kepada umat Nabi Muhammad ﷺ. Maknanya, waktu itu mereka dalam kedudukan yang tinggi, lebih dari orang-orang lain yang tidak ada wahyu tetapi selepas mereka menolak kenabian Nabi Muhammad ﷺ, kedudukan itu telah ditarik balik.

Lihatlah bagaimana Allah ﷻ telah memuliakan mereka dengan diberikan berbagai-bagai kelebihan dalam perkara agama dan keduniaan. Namun, mereka telah mengubah agama, hinggakan apa yang tidak boleh dibuat, menjadi boleh pula.

Sebagai contoh, arak tidak boleh diminum tetapi mereka buat hingga tidak menjadi masalah kalau hendak minum. Selain itu babi juga termasuk dalam usaha mereka. Sebenarnya, Ahli Kitab tidak boleh makan babi tetapi mereka buat sampai jadi boleh dimakan.

Macam kita juga zaman sekarang yang telah mengubah agama Islam yang suci. Tawassul yang tidak dibenarkan sudah jelas dalam Al-Quran tetapi ada guru yang mengajar telah mengubah jadikan ia boleh dilakukan. Bukan setakat itu sahaja, mereka telah galakkan lagi supaya diamalkan oleh masyarakat.

Maka berleluasalah amalan tawassul ini dan diamalkan di mana-mana sahaja. Ketika dalam Majlis Tahlil, ada tawasul dan begitu juga amalan-amalan lain seperti dalam Mawlid, Majlis Doa Selamat.

Selalunya hendak tahu sama ada ia adalah tawasul adalah dengan lihat bacaan yang dimulakan dengan “ila hadratin nabi…”. Selalunya, yang membacanya turut tidak tahu apa mereka bacakan kerana hanya ikut-ikut sahaja apa yang dibuat oleh orang terdahulu tanpa usul periksa. Kalau tidak percaya, tanyalah mereka apa maksud bacaan mereka itu.

Mereka tentu akan menjawab: “entah, tetapi itulah yang tok guru-tok guru kita buat dulu”. Ini amat menyedihkan. Ada syariat, tetapi mereka tidak mahu belajar.

Tafsir Ayat ke-17

Sambungan Dalil Naqli tentang Bani Israil.

وَءآتَينٰهُم بَيِّنٰتٍ مِّنَ الأَمرِ ۖ فَمَا اختَلَفوا إِلّا مِن بَعدِ ما جاءَهُمُ العِلمُ بَغيًا بَينَهُم ۚ إِنَّ رَبَّكَ يَقضي بَينَهُم يَومَ القِيٰمَةِ فيما كانوا فيهِ يَختَلِفونَ

Dan lagi Kami telah berikan mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata mengenai perkara agama; maka mereka tidak berselisihan (dalam perkara agama itu) melainkan setelah sampai kepada mereka ajaran-ajaran yang memberi mereka mengetahui (apa yang baik dan yang sebaliknya; berlakunya yang demikian) kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Sesungguhnya Tuhanmu akan menghukum di antara mereka pada hari kiamat tentang apa yang mereka perselisihkan itu.

وَءآتَيْنٰهُم بَيِّنٰتٍ مِّنَ الْأَمْرِ

Dan Kami telah berikan mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata mengenai perkara agama;

Kalimah الْأَمْرِ dalam ayat ini merujuk perintah dalam hal agama. Ia adalah syariat-syariat yang telah dijelaskan kepada mereka. Hal agama dijelaskan kepada mereka oleh kitab wahyu dan oleh Nabi-nabi dalam kalangan mereka. Ia telah dijelas dengan sejelas-jelasnya.

Maknanya, bukanlah agama ini samar-samar pada mereka. Ini kerana mereka mendapat kitab dan Nabi amat banyak. Allah ﷻ telah memberikan keterangan yang jelas nyata – sama ada dalam bentuk wahyu atau mukjizat. Maka tidak ada alasan untuk tidak menerima.

Begitu juga dengan kita, agama ini telah jelas kepada kita sebenarnya tetapi ia hanya jelas kepada mereka yang belajar sahaja. Kalau tidak belajar tafsir Al-Quran dan Sunnah, maka memanglah samar dan keliru. Maka, ajaklah kawan-kawan anda belajar tafsir Al-Quran.

فَمَا اخْتَلَفُوا

maka mereka tidak berselisihan,

Namun, walaupun telah sepatutnya jelas kepada mereka tetapi masih ada lagi yang berselisih sesama mereka. Hukum agama menjadi mainan hingga sanggup mengubah agama dan syariat mengikut nafsu mereka sahaja. Jadi, ada kalangan mereka yang terus beriman dan ada juga kufur dengan melakukan syirik.

Bilakah mereka berselisih itu?

إِلَّا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ

melainkan setelah sampai kepada mereka ilmu;

Mereka tidaklah berselisih, melainkan selepas datang ilmu Tauhid dan ilmu agama kepada mereka. Bukannya mereka berselisih dalam jahil, tetapi mereka sudah tahu apa yang benar. Cuma mereka degil sahaja untuk ikut kebenaran yang telah disampaikan.

Mereka tidak suka kalau disuruh hanya menyembah Allah ﷻ sahaja kerana masih hendak teruskan menyembah dan buat ibadat kepada selain Allah ﷻ. Begitu juga dalam kalangan masyarakat kita. Kalau dibawakan ilmu Tauhid kepada mereka, akan ada yang terima, dan akan ada yang menentang.

Maknanya, bukan tidak diberitahu kepada mereka tetapi para pendakwah sudah cakap. Biasanya akan ada sahaja perselisihan sesama kita. Sampaikan ustaz-ustaz juga boleh berselisih, padahal sepatutnya merekalah yang tahu tentang hal agama.

Maka, sebab itu tidak ramai yang mengajar Ilmu Tauhid kepada masyarakat. Kalau diajar bab feqah, bab Nikah Kahwin dan sebagainya, tidak ada masalah dari segi penerimaan masyarakat. Apabila tidak ramai yang mengajar Ilmu Tauhid kepada mereka, maka ramai yang tidak tahu dan sesat.

Oleh kerana itu, apabila ada guru yang mengajar hal Tauhid, masyarakat jadi asing dan pelik dengan hal Tauhid kerana ia tidak banyak ditekankan dalam pengajaran di kuliah-kuliah dan masjid-masjid.

Kenapa mereka jadi begitu, sedangkan mereka sudah ada ilmu?

بَغْيًا بَيْنَهُمْ

hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka.

Terjadinya perselisihan itu adalah kerana hasad sesama mereka. Ini kerana ada yang rasa mereka lagi pandai, lagi bagus dalam hal agama dan berasa kedudukan mereka lebih tinggi dalam hal agama.

Mereka dengki apabila melihat orang lain mendapat kebaikan. Lihatlah keadaan bagaimana apabila bangsa Arab setelah mendapat pula Nabi Muhammad ﷺ sebagai Rasul dan Nabi terakhir. Mereka menolak kerana baginda ﷺ dari kalangan bangsa Arab dan bukan dari bangsa mereka (bani Israil).

Inilah satu masalah manusia. Apabila tahu lebih sedikit, mereka akan rasa tinggi diri. Itu tidak patut sebenarnya. Sepatutnya, semakin banyak ilmu, menjadikan kita lebih merendah diri tetapi, yang sebaliknya yang terjadi. Ini adalah dugaan kepada orang yang berilmu.

Oleh itu, kita kena tahu bahawa ini adalah masalah zaman sekarang juga, bukannya zaman dahulu sahaja. Terlalu banyak perselisihan sesama kita. Malah yang dalam satu agama juga sudah bertelagah, apatah lagi kalau bukan dalam satu agama.

إِنَّ رَبَّكَ يَقْضِي بَيْنَهُمْ يَوْمَ الْقِيٰمَةِ

Sesungguhnya Tuhanmu akan memutuskan di antara mereka pada hari kiamat

Perselisihan itu akan diputuskan oleh Allah ﷻ nanti iaitu Allah ﷻ akan beritahu mana yang benar dan mana yang tidak. Kalau di dunia, mungkin tidak dapat diputuskan kerana masing-masing tidak mahu mengalah. Namun, di akhirat nanti, semua akan tahu manakah yang benar dan manakah yang salah.

Keputusan yang akan dilakukan adalah keputusan amali. Bukanlah di sana baru tahu mereka salah, kerana memang telah diberitahu mana yang benar dan mana yang salah seperti yang boleh dilihat dalam dalil-dalil syariat. Cuma, keputusan secara amali akan diberi di akhirat kelak. Jadi, kalau baru tahu waktu itu, sudah terlambat kerana tidak boleh hendak perbaiki amalan lagi.

فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ

tentang apa yang mereka perselisihkan itu.

Contoh perselisihan yang besar adalah tentang tawassul. Kita katakan bahawa ada tawassul yang tidak dibenarkan dan ada yang digalakkan. Perkara ini ada yang bersetuju dan ada yang tidak apabila diberitahu perkara ini kepada mereka.

Maka, Allah ﷻ akan memberi keputusan kepada perselisihan itu. Sebenarnya, yang mana benar sudah ada dalam syariat dan dalam wahyu (secara teori) – jadi keputusan yang akan diberikan adalah keputusan amali.

Namun, keputusan itu akan diberikan di akhirat kelak. Bagaimana kalau kita di pihak yang salah? Apa lagi yang kita boleh buat waktu itu? Ini adalah bahaya kerana kalau kita salah, kita tidak dapat pulang ke dunia untuk memperbetulkan kesilapan kita itu lagi, bukan?

Maka, kita akan hanya dapat menanggung sahaja kesalahan itu dengan azab seksa di neraka. Adakah kita hendak kalau begitu? Jadi, kita hendak benar di dunia dan akhirat atau tidak kisah?

📍Oleh itu, hendaklah belajar Tafsir Al-Quran dan Hadis Nabi yang sahih kerana itulah jalan yang selamat untuk mempelajari kebenaran. Kalau belajar, maka tahulah kita mana jalan yang benar dan mana jalan yang salah. Maka, kenalah luangkan masa mencari guru dan luangkan masa untuk belajar.

✍🏻SESI MUZAKARAH

Tafsir surah Al-Jatsiyaah (Ayat ke-16- ayat ke-17)

📍Apakah jenis Tawasul yang dibenarkan?

🔵 Menggunakan dengan asma’ Allah, dengan Iman dan dengan amal baik.

📍Apakah ertinya ”illa khadaroti nabiyi mustofa”?

🔵 Tidak pasti kerana ia rekaan. Begitulah sifat barang rekaan. Yang diamal baca pun tidak tahu. Jika tidak percaya, tanyalah tekong yang amal bacaan itu.

Sama ada Nabi ‘hadir’ dalam majlis itu, atau dihadirkan Farihah yang dibaca itu kepada Nabi. Hanya yang pasti ia bukan amalan dalam syarak. Rekaan semata.

📍Surau berdekatan rumah selalu ada bacaan itu lepas salat fardhu berjemaah dan pernah saya tanya jawabnya tawasul pada Nabi, agar kelak di beri syafaat di yaumul kiamah.

🔵 Itu kiranya agak pandai lah juga sebab selalu saya tanya, jawapannya: “entah…”Tapi adakah dia tahu maksud hadratin itu? Cuba tanya balik. Belum kena halau dari surau lagi kan? Ya, itu adalah amalan tawassul dan kita telah sebutkan berkali-kali yang itu adalah amalan syirik. Maka, kena ditinggalkan dan jangan kita terlibat.

📍Kenapa Bani Israil banyak diberi kelebihan dan diberi al-kitab berbanding bangsa lain waktu itu?

🔵 Allah ﷻ pilih atas ‘ilmu’ Allah ﷻ atau kerana mereka ada kelebihan ilmu wahyu.

📍Bagaimana kalau orang berselisih kerana kepentingan peribadi?

🔵 Hasad itu hendak jaga kepentingan peribadi lah.

📍Adakah sewaktu Hari Mahsyar, semua orang kafir dan beriman boleh lihat Allah ﷻ?

🔵Ketika di Mahsyar tidak nampak Allah ﷻ. Nampak Allah ﷻ di syurga sahaja. Maka ahli syurga sahaja dapat lihat Allah ﷻ.

📍Siapakah orang kafir tulen? Kalau kristian dia ada juga syirik pada konsep trinity. Orang Agama Budha dan Hindu juga syirik pada dewata. Orang kafir Quraisy juga syirik kepada mendewakan orang soleh mereka. Yahudi juga syirik kerana jadikan Nabi Uzair sebagai anak Allah ﷻ.

🔵 Kufur itu maksudnya engkar. Sesiapa sahaja boleh jadi engkar. Hatta dia orang Islam tetapi tidak ikut arahan Allah ﷻ. Iblis itu terima Allah ﷻ sebagai Tuhan, takut dengan azab Allah ﷻ, percaya kepada neraka, tidak pernah sembah selain Allah ﷻ tetapi dia turut kufur juga.

📍Orang Islam yang tidak buat syirik juga boleh jadi kufur. Iblis tidak pernah syirik pada Allah ﷻ tetapi masuk golongan kaafiriin (َ أَبَىٰ وَاسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِين )

Sama juga kan macam atheist, golongan Kufur tanpa syirik?

🔵 Ya, atheist dan agnostic itu kufur. Kufur ini adabanyak jenis.

📍Orang Islam yang tidak syirik tetapi kufur, kemudian taubat. Adakah pahala dia yang sebelum itu masih ada?

🔵 Dosa pahala di tangan Allah ﷻ. Allah ﷻ boleh simpan dan Allah ﷻ boleh musnahkan. Kalau telah melakukan syirik, kita tahu bahawa segala pahala hancur dan musnah, tiada bekas. Kalau dia kufur, terpulang kepada Allah ﷻ hendak kekalkan pahala dia atau tidak.

 

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan